Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 85

Era Heian, Tahun 872.

 

76 tahun lalu, Maharaja telah memindahkan pusat pemerintahan dinasti Yamato ke Heian-kyo, terletak di Kyoto.

 

Sejak akhir-akhir ini, berlaku banyak pembunuhan misteri ahli puak Fujiwara, puak bangsawan berdarah gahara yang memiliki banyak tanah-tanah padi. Siapa yang melakukannya tidaklah diketahui. Hanya mereka sekonyong-konyongnya dipanah tidak kira di siang atau malam hari. Panahannya sekali dan mengena, bererti dilakukan pemanah yang amat mahir.

 

Fujiwara menghantar dua orang pengawal dari puak mereka sendiri yang paling arif bertarung, bernama Sekiro dan Zenzaburo untuk memburu pemanah handal itu, yang digelar Bayang Malam (yoru-no-kage), walaupun tidak kurang pembunuhan yang dilakukan pada waktu siang juga.

 

Suatu malam, Sekiro dan Zenzaburo berjaya mengepung Yoru-no-Kage. Namun Yoru-no-Kage berjaya mengelak panah-panah mereka dengan pantasnya seperti hayabusa, sambil ketawa berdekah-dekah seperti mempermainkan dua pemuda itu.

 

Penat mengejar Yoru-no-Kage, mereka berhenti. Yoru-no-Kage berhenti di hadapan mereka, tidak pula menyerang mereka, namun hanya ketawa memerhati mereka berdua tercungap-cungap seperti anjing.

 

Yoru-no-kage jyanai. Waga no na wa Higashihara Hiiragiko (Namaku Higashihara Hiragiko, bukan Bayang Malam).” Pemanah handal itu membuka topeng musangnya.

 

Sekiro dan Zenzaburo terpegun melihat wajah pemanah itu. Dia seorang wanita yang amat jelita. Wajahnya bujur putih mulus, matanya nipis segaris sepet, bibirnya merah bak kelopak mawar, rambutnya hitam pekat namun disanggul rapi di balik topi kon yang dipakainya. Meskipun dia cantik begitu, dia hanya memakai pakaian seorang petani yang lusuh dan bertampalan.

 

“Aku akan menghapuskan puak kalian satu persatu sehingga tiada seorangpun yang tersisa.”

 

“Mengapa engkau mahu membunuh kami?”

 

“Kalian hanya duduk sahaja di rumah mengutip cukai sedang kami petani membanting tulang sehari-hari memberi kalian makan. Bukankah itu sudah cukup alasan untuk menghapuskan kalian?”

 

“Kami melindungi petani sepertimu dari serangan musuh dari luar.”

 

“Benarkah begitu? Bagaimana kampungku boleh dibakar? Ibu bapaku dibunuh? Jelaskan padaku apa fungsi kalian jika benar kalian melindungi kami?”

 

Sekiro dan Zenzaburo terdiam. Bagaimana hendak disangkal jika sebuah kebenaran dihempuk ke muka sendiri? Mereka bergelar pahlawan namun tidak pernah melibatkan diri dalam peperangan. Setiap kali serangan, petani merekalah yang mengangkat cangkul dan parang menyerang musuh.

 

“Tahu mengapa aku bertemu kalian? Aku telah lama perhatikan kalian. Kalian nampaknya satu-satu sahaja manusia yang aku boleh harapkan, yang masih punya keazaman dan keberanian. Ambil ini.”

 

Hiiragiko mencampakkan dua ketul batu berbentuk hablur yang panjang sebesar tapak tangan, satu kepada Sekiro dan satu lagi kepada Zenzaburo. Mereka masih tidak mempercayainya, dipermainkan wanita ini yang sengaja berpura-pura ditangkap untuk bertemu mereka.

 

“Ini batu kuasa, tama-no-iwa. Aku temui tiga sahaja di dalam petak sawah di rumah lamaku, aku mengambil satu untukku. Entah siapa yang menjatuhkannya. Mungkin saki-baki Emishi yang tinggal di situ, barangkali ahli sihir mereka yang penuh khurafat itu.” Emishi ialah bangsa asli yang menghuni Jepun sejak zaman purbakala. Mereka menyembah semangat alam, para kami. Sedang Hiiragiko menganut agama baru dari tanah Tang di benua besar di tempat matahari terbenam, dipanggil Buddha.

 

“Ia mungkin hasil doaku bertahun-tahun kepada Buddha agar mengurniakan kekuatan untuk membunuh puakmu yang tidak berguna itu, jika benar kalian tidak berguna. Nampaknya doaku telah dimakbulkan, maka benarlah kalian memang tidak berguna pun.” Selepas mengeluarkan kata-kata pedas itu Hiiragiko ketawa. Sekiro dan Zenzaburo terpana sebentar mendengar tawanya yang panjang mengilai itu.

 

“Apa tujuanmu memberi kami ini?”

 

“Sekiro-san, Zenzaburo-san, jadilah ahli puak Fujiwara yang berguna. Jika semua mereka tidak berguna sekalipun, sekurang-kurangnya hindari kalian dari menjadi sebahagian dari mereka.”

 

“Aku tidak faham, aku tidak gemar permainan bahasa. Jelaskan cepat, Hiiragiko!”

 

“Batu ini rahsia pergerakan pantasku. Rahsia panahanku yang selalu mengena. Kalian, aku hanya mengambil dua persepuluh dari keseluruhan kuasanya. Siapa yang lebih cepat di antara kalian, akan mendapat enam persepuluh, dan yang lebih lambat, akan mendapat dua persepuluh.”

 

“Lebih cepat atau lambat dalam apa?”

 

“Kalian, cari sebuah tanah lapang di tengah-tengah pergunungan yang banyak burung hayabusa, dan tanamkan batu ini. Siapa yang cepat menemui dan menanamnya, maka dia beroleh pecahan kuasa hayabusa terbesar. Kemudian pohon di hadapan batu ini kepada hayabusa-no-kami meminta kepantasan burung itu dalam bertarung. Nescaya keturunan kalian menjadi petarung handal dan bukan lagi puak tidak berguna.”

 

Aku memang sudah lama menginginkan kuasa. Aku kerapkali bertarung dengan samurai-samurai dari puak lain namun masih tidak dapat menandingi mereka. Dengan adanya kuasa, mereka akan menghormatiku. Gadis-gadis di Kyoto ini akan sanggup berkongsi bantal denganku. Aku akan memiliki gundik dan anak yang ramai, dan puak Fujiwara akan dihormati dan disegani tidak seperti sekarang. Begitulah dalam fikiran Sekiro dan Zenzaburo. Fikiran biasa lelaki zaman itu.

 

“Namun kalian harus berhati-hati dengan sumpah hayabusa. Setiap seratus tahun selepas permohonan kalian diperkenankan, akan lahir seorang pemedang terhandal dari puak kalian. Namun ia di atas satu pembayaran. Salah seorang dari mereka juga akan dikenakan sumpah hayabusa yang mana mereka akan mati sebelum suatu umur.”

 

“Aku sudah menerangkan panjang lebar. Terpulang kepada kalian untuk memutus. Jya, sayonara!”

 

“Sebentar, Hiiragiko. Bagaimana aku harus percaya kebenaran kata-katamu?”

 

“Kalian, jika aku ingin membunuh kalian tadi, aku sudah melakukannya dan kalian tidak akan dapat melarikan diri. Aku hanya menunggu agar dapat memberikan batu itu.” Hiiragiko ketawa.

 

Sekiro dan Zenzaburo cuba mengambil kesempatan memanah Hiiragiko namun dia hilang ditelan malam sepantas kilat. Zenzaburo mengambil batu itu, menggenggamnya dan memandang Sekiro.

 

“Sekiro, apa yang engkau fikirkan tentang batu ini? Bolehkah perempuan itu dipercayai?”

 

“Belum cuba belum tahu, Zenzaburo. Aku fikir tidak salah kita mencuba dahulu.”

 

“Dia akan membunuh puak kita jika kita meninggalkan tempat ini. Itu mungkin sekadar muslihatnya!”

 

“Zenzaburo, jika kita di sini sekalipun, mereka akan dibunuh juga.”

 

Betul juga.

 

“Jadi, Zenzaburo, apa keputusanmu?”

 

Zenzaburo masih berfikir.

 

“Fikir, Zenzaburo. Kita lupakan puak ini. Kita mulakan puak baharu, dengan nama keluarga baharu. Cipta sebuah keagungan seratus, bahkan seribu tahun dari sekarang. Keturunan kita, masing-masing akan menjadi keturunan petarung yang membela Maharaja. Tiada lagi Fujiwara. Bangsa ini akan mengenali kita, keturunan kita dengan nama lain. Bukan Fujiwara yang lemah dan menindas petani, serta pengecut. Tetapi sebuah keturunan pahlawan.”

 

“Sekiro, aku sayangkan puak ini. Aku tidak akan pergi. Terpulang padamu jika engkau mahu pergi.” Sekiro, engkau sudah tiada sesiapa di sini. Ibu bapamu telah mati. Engkau tiada adik-beradik. Senang bagimu. Sedang aku masih punya ibu di sini. Aku tidak akan sekali-kali membiarkan dia berseorangan.

 

“Baiklah, Zenzaburo. Jika engkau memutus sebegitu. Aku tidak menghalangmu. Jika engkau berubah fikiran, pergilah ke selatan, kerana aku memilih utara. Sayonara!

 

Sayonara, Sekiro. Semoga takdir menemukan kita kembali.”

 

Tidak lama selepas itu, ibu Zenzaburo meninggal dunia. Zenzaburo mengambil keputusan meninggalkan puak Fujiwara, dan memulakan hidup baru di tempat lain di selatan. Dia menanam batu itu di sebuah tanah lapang di tengah-tengah Hidagawa, dan menjadi penerima pertama dua persepuluh kuasa hayabusa. Bermulalah keturunan Okuhida.

 

Takdir tercatat sejak saat itu.

 

**

 

“Ketika Higashihara Hiromatsu, generasi ke-80 puak Higashihara yang merupakan daimyo ke-72 Yozehama, wilayah yang sekarang sebahagian dari Kodama, jatuh sakit, dia mencari pewaris puaknya. Anak tunggalnya tidak mahu menyambung kerjaya beliau dan telah lama melarikan diri. Setelah gagal menemui anaknya, dia memutus memberikan tama-no-iwa yang diwarisinya kepada Yoshitsugu Hoshi, daimyo Shinagawa ketika itu yang merupakan rakan baiknya, dan bapa kepada Hamada, dan turut mewariskan wilayah Yozehama kepadanya.”

 

“Sebelum batu itu diberikan kepada Hoshi, Hiromatsu telah meminta hayabusa-no-kami merencatkan kuasanya agar ia hanya melindungi pemegangnya sahaja. Bererti, lembah asal mereka yang digelar Higashi-no-Yane (‘Bumbung Timur’) di Pergunungan Yokuma tidak lagi berfungsi. Pemegang batu itu mendapat kuasa halimunan. Mereka tidak akan dapat dijejaki oleh sesiapapun dan tidak akan dapat dibunuh kerana jasad mereka menjadi seperti angin, tidak boleh ditikam atau ditembak. Hanya orang-orang yang diizinkan oleh pemegangnya sahaja yang dapat menyentuh dan melihatnya. Namun hanya puak Amaguri yang mampu melihatnya tanpa perlu meminta izin terlebih dahulu.” Kotobuki menerangkan panjang lebar.

 

Menggerunkan. Ini kerana dengan kuasa ini Hamada masih boleh mengarahkan pengikutnya melakukan apa sahaja tanpa dia ditangkap. Jika semua pengikutnya ditangkap, dia masih dapat melarikan diri dengan mudah tanpa dikesan. Dengan kebolehan halimunan itu juga, dia menyukarkan para pengintip mendapatkan bukti yang dia memberi arahan kepada samurainya. Bererti Takasaki benar! Mujur sahaja aku mengikut nasihatnya. Jika tidak, sia-sia aku ke sana berseorangan, bahkan mungkin telah ditangkap oleh samurai-samurainya.

 

Meskipun Hamada mampu menyembunyikan dirinya, dia masih memerlukan kuasa, dan harta, dan orang-orang yang bekerja untuknya untuk hidup. Maka meskipun engkau halimunan, engkau tidak boleh melarikan diri sewenang-wenangnya atau terpaksa memilih meninggalkan kedudukan dan hartamu.

 

“Apakah dengan kuasa itu membuatkan dia mula bertindak di luar batas?”

 

“Benar. Pada mulanya dia hanya memimpin seperti bapanya, tanpa penindasan. Hamada mewarisi wilayah Yozehama dan Shinagawa pada usia muda iaitu 18 tahun, selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 1821.”

 

“Tanggungjawab yang besar memberikannya tekanan. Hamada seorang yang lembut, dan berperwatakan seperti wanita. Dibesarkan dalam kemewahan, dia tidak punya kekuatan dalaman yang cukup untuk memimpin. Kesan dari keputusan yang terpaksa dibuatnya, ramai yang terbunuh. Peristiwa itu berlaku pada tahun 1840, berkait wabak berjangkit Aoki.”

 

“Dia trauma dan tidak dapat menerima akibat besar dari keputusan sebagai pemimpin. Hatinya tidak cukup kuat. Natijahnya, dia mulai hilang kewarasan. Setelah menerima rawatan selama dua tahun, tabib memberitahu dia sudah pulih. Namun perwatakannya berubah, tidak lagi seperti sebelum dia jatuh sakit.”

 

“Dia membuat keputusan untuk membakar semua rumah petani yang tidak membayar cukai. Semakin lama semakin banyak rumah yang menerima nasib begitu. Kadangkala disebabkan rumah itu dibina rapat dengan rumah lain, maka mangsanya lebih ramai dari yang diarahkan untuk dihapuskan.”

 

“Dari penjelasan seorang tabib Belanda dari sudut psikologi, ia sama seperti seorang pembunuh yang lahir dari trauma melihat pembunuhan berlaku di depan mata. Atau seorang perogol yang lahir dari trauma akibat dinodai sewaktu kecil.”

 

“Menyedari yang dia mampu menghilangkan diri dengan kuasa halimunan, perlakuannya semakin menjadi-jadi. Semakin banyak rumah petani dibakar dan hanya samurainya yang ditangkap sedang dia masih selamat. Takasaki dan Tsugiyama antara samurai yang masih terlepas kerana mereka bijak menyembunyikan bukti. Meskipun adalah hak daimyo menghukum petani yang tidak membayar cukai, namun membunuh dan membakar tidak dibenarkan shogun atau daimyo menerima padahnya.”

 

Ryouji maklum akan khidmat Takasaki ketika dia bersama Hamada, namun pabila mendengar perinciannya dari mulut Kotobuki sendiri, dia masih tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya. Takasaki, yang penuh integriti itu, membakar rumah petani? Sukar untuk aku mempercayainya. Namun Takasaki telah membuktikan sesuatu yang sering aku cuba untuk percaya selama ini. Bahawa manusia mampu berubah, jika mereka memilih untuk berubah. Jika mereka diberi peluang. Tidak semua mereka harus dibunuh. Namun sekurang-kurangnya mereka perlu diberi pengajaran. Aku fikir undang-undang seharusnya digubal untuk mendidik, bukannya menghukum. Sekurang-kurangnya itulah peganganku sekarang.

 

“Kotobuki-san, aku fikir tidak kiralah sama ada tiada bukti dia memberi arahan ataupun tidak. Wilayah dia adalah tanggungjawabnya. Maka sudah tentu dia yang bersalah. Kebakaran itu jelas berlaku di dalam wilayahnya dan dilakukan oleh samurai-samurainya atas arahannya, maka ia sudah jelas jenayahnya dan Hamada sudah perlu dibicarakan.”

 

“Ryouji, dengan kuasa begitu, bagaimana engkau boleh menangkapnya meskipun sudah terang lagi bersuluh jenayah itu di dalam wilayah tanggungjawabnya? Maharaja juga sudah berputus asa. Orang-orangnya begitu setia menurut arahan Hamada. Selagimana dia terus bersembunyi dan kesetiaan orang-orangnya masih utuh, maka semua malapetaka ini tidak akan berhenti.”

 

Ryouji mendengarkan penuh tekun. Kata-kata Kotobuki tidak tercatit dalam mana-mana laporan di perpustakaan Takasaki.

 

“Kotobuki-san, mengapa semua ini tidak tercatit di perpustakaan Takasaki? Mengapa baru sekarang engkau memberitahuku?”

 

“Ia maklumat rahsia kami. Sepertimana yang aku jelaskan tadi, Takasaki tidak memberitahumu kerana dia mahu melindungimu dari terburu-buru menjejaki Hamada, tambahan engkau masih belum menyertai kami ketika tinggal di situ.”

 

“Onar yang dilakukan Hamada itu bermula sejak tahu 1842, ketika dia berusia 39 tahun dan dua tahun selepas wabak di Aoki. Bapamu yang telah lama berkhidmat dengannya dan menjadi pengawal pedagang di laluan Nakasendo, diarahkan pulang ke Kawamoto dan dinaikkan pangkat menjadi orang kanan Hamada tidak lama selepas itu dan sejak itu dia mula terbabit dalam pelaksanaan beberapa arahannya.”

 

“Miura kerapkali singgah di kuilku mengadukan perkara ini. Dia risaukan kemanusiaannya setiap kali melaksanakan tugas Hamada. Tidak lama beberapa tahun kemudian dia meletakkan jawatan, melepaskan status samurainya dan meninggalkan Hamada. Dua tahun kemudian, Takasaki pula menyusul.”

 

“Apakah Kogen punya cara untuk mengeluarkan Hamada? Maksudku, cara yang lebih berkesan dari sekarang? Dari sekadar memukul di tepi belukar?”

 

“Kuasa tama-no-iwa Hamada boleh dihapuskan jika salah seorang dari kita memiliki lapan persepuluh dari kuasa hayabusa. Iaitu, dengan cara sama ada kamu memberikan kami kuasamu yang dua persepuluh itu, atau kami memberikan kepadamu kuasa yang enam persepuluh itu.”

 

“Bagaimana?”

 

“Pemedang handal perlu pergi ke batu tama-no-iwa utama dan memohon kepada hayabusa-no-kami. Semudah itu. Namun engkau harus beringat, Ryouji. Jika salah seorang dari puak kita melakukannya, meskipun sumpah hayabusa engkau dan kuasa pemedang handal Hisamiko atau Ayame tidak akan lenyap, juga kepantasan hayabusa kita dalam bertarung, pembatalan kuasa akan membuka lembah-lembah dan rumah perlindungan kepada pencerobohan. Itu yang amat ditakuti. Anak-anak yatim kita akan dijejaki dan diculik, bahkan mungkin dibunuh. Binatang-binatang buas di pergunungan juga akan mula memasuki kawasan perlindungan. Dan semua ini tidak akan dapat diundur kembali.”

 

Bererti hanya Ayame dan Hisamiko yang boleh melakukannya. Semuanya bergantung kepada mereka.

 

Berdasarkan kata-kata Kotobuki itu, aku mulai faham, bahawa masalah ini sungguh rumit. Ia antara menangkap Hamada atau melindungi anak-anak di rumah perlindungan. Kogen cuba mengambil jalan dengan bertindak balas, secara reaktif dalam setiap gerakan Hamada. Patutlah jaringan pengintip mereka begitu ramai bagi mengesan tindak-tanduk Hamada dengan lebih awal.

 

“Jika kami yang melepaskan dua persepuluh kuasa hayabusa itu kepada kalian, mengapa pula rumah-rumah perlindungan kalian yang terkesan? Bukankah rumah-rumah itu di bawah perjanjian kalian?” Ryouji meneruskan pertanyaan.

 

“Aku tidak tahu, Ryouji. Itu yang dikhabarkan kepadaku oleh Momoyama melalui Ayame.”

 

“Aku masih hairan, Kotobuki-san. Hamada punya kuasa halimunan begitu. Jika dia mahu, dia boleh sahaja meninggalkan kedudukan dan hartanya dan hidup bergelandangan, tidur dan makan di mana-mana. Mencuri makanan di pasar dan tiada siapa yang tahu. Tidur di dalam hutan dan tiada haiwanpun yang mampu menyerangnya kerana tubuhnya seperti angin. Hidup yang amat mudah.”

 

“Ryouji, setiap orang berbeza. Hamada mungkin tidak boleh berseorangan, kerana orang-orang di sekeliling memberi makna padanya. Tanpa mereka, dia tidak mampu hidup meskipun punya makan dan tidur yang cukup. Itu kelemahannya. Dan dengan kelemahan itu, kita akan menangkapnya.”

 

Benar. Aku amat memahaminya. Ia sama seperti Kobato. Sama seperti aku. Aku tidak dapat membayangkan jika Hisamiko, Chisato tiada di sisiku. Sama. Aku, Hamada, kedua-duanya hanyalah manusia biasa. Aku terlalu dilalaikan oleh banyak kata-kata, laporan, ura-ura yang menggambarkan betapa bahayanya Hamada. Namun aku terlupa, dia juga hanyalah seorang manusia yang punya kelemahan sepertiku.

 

“Strategi lain kami ialah dengan memohon dari Maharaja agar menambahbaik sistem keselamatan rumah-rumah perlindungan kami, atau memindahkan para penghuninya ke tempat yang lebih terbuka dan luar dari pergunungan. Ia masih dalam peringkat perbincangan. Sekiranya rancangan ini berjaya, kita akan membatalkan kuasa hayabusa dan menangkap Hamada.”

 

Ryouji terfikirkan sesuatu. Memang, kuasanya sebagai petarung berkepantasan hayabusa tidak akan lesap selepas pembatalan kuasa dibuat. Namun, apa yang akan dilakukan keluarga Shirasaka selepas penghapusan kuasa Hamada dan penangkapannya, dengan lapan persepuluh kuasa hayabusa di tangan mereka? Apakah mereka punya perancangan terselindung? Bukankah itu berbahaya kepada Maharaja?

 

Apapun, aku akan fikirkan soalan itu sekali lagi kelak. Apabila masalah di hadapan mataku sekarang ini diselesaikan. 

 

Kotobuki berdiri di situ, sementara menanti Ryouji hilang dari pandangan. Ryouji, aku menunggu masa yang sesuai. Memang ada kaedah lain bagi menghapuskan kuasa Hamada. Dan kaedah rahsia ini sudah hampir dapat dilaksanakan, kuncinya ada bersamamu. Pabila sampai masanya, aku akan membongkarkannya kepadamu. Yang pasti, bukan di sini dan bukannya sekarang. Aku tidak mempercayai anakku Ayame dan bapaku Omi. Orang-orang mereka di mana-mana di sini, senantiasa memasang telinga.

 

Takasaki, terima kasih mempercayaiku. Sengsara kita sudah hampir ke penghujungnya. Undang-undang akan ditegakkan kembali. Yang menindas akan ditumpaskan.

 

 

**

 

Musim bunga, 1858 (imbas kembali kisah latar Shinji)

 

Hamada mulai risau. Anak murid kepada tabibnya Noguchi Takamine bernama Chiyo telah melarikan diri. Ia bukan kerana Chiyo anak murid Noguchi, mahupun kerana dia menghargai khidmat Chiyo.

 

Hamada baru sahaja mendapat tahu, Chiyo adalah dari keturunan Amaguri. Dia seorang ibu tunggal dengan seorang anak kecil dan menyara diri dengan membantu Noguchi. Anak itu dan dia, adalah pewaris Amaguri yang digeruni Hamada.

 

Keturunan Amaguri adalah ancaman kepada Hamada, kerana Amaguri, ahli sihir Emishi itu adalah pencipta tama-no-iwa dan dia serta keturunannya mampu menghapuskan kuasa batu mistik itu. Hamada sedar, kuasa halimunannya tidak akan kekal selamanya. Pabila waktunya tiba, keturunan Amaguri akan menghapuskan semuanya, termasuklah kuasa yang dalam pemilikan pemegang lain seperti puak Okuhida dan Shirasaka.

 

Chiyo sedar dirinya datang dari keturunan Amaguri dan dia perlu mengunci mulutnya atau nyawanya terancam, sebagaimana nasihat mendiang ibu dan bapanya. Namun dia tidak mampu melakukan penghapusan kuasa tama-no-iwa. Jika dia melakukannya, anak-anak yatim di bawah perlindungan Kogen akan terdedah kepada bahaya. Penghapusan kuasa itu hanya boleh dilakukan sekali, dan kesannya sekaligus. Ia menjadikan batu tama-no-iwa sebagai batu biasa yang tiada nilai apa-apa.

 

Hamada senantiasa mencari jalan bagi mengesan keturunan Amaguri dan menghapuskan mereka. Tama-no-iwa adalah batu yang sangat penting bagi Hamada. Kerana dia memegang batu itu sekarang, menjadikan dirinya halimunan dan kebal dari ditangkap. Jika kuasa batu itu lesap, dia akan terdedah kepada musuh-musuhnya. Jasadnya akan boleh ditikam, dipanah, ditembak oleh para penyerang hendap. Penyerang hendap, yang bukan sahaja dari Kogen, jika ada, bahkan dari musuhnya yang lain dari kalangan petani yang ditindasnya, dan juga dari kalangan bekas samurainya yang tidak berpuas hati dengan dasar dan arahannya. Atau mungkin, Hagiura yang cuba merampas wilayahnya!

 

Hagiura, aku senantiasa memerhatimu. Aku tahu engkau mahukan wilayahku dan merancang menggabungkannya dengan wilayahmu. Anak tak guna! Sampai hati engkau lakukan perancangan keji ini terhadap bapamu sendiri!

 

Tahun itu tahun 1858, di mana Shinji berumur dua tahun. Hagiura dan Hamada masing-masing adalah daimyo di wilayah mereka.

 

“Hamada-sama! Noguchi menemui perkara baru berkenaan anak muridnya Chiyo. Dia pewaris Amaguri!” Pembantunya Momota menyampaikan pesan.

 

Hamada memaling muka memandang Momota. Wajahnya berkerut seribu, menggugurkan sedikit debu solekan yang tebal bak geisha. Dia amat pantang mendengar nama Amaguri.

 

“Bagaimana dia menemuinya?”

 

“Dia mencuri dengar perbualan antara pengintip Kogen di rumahnya dengan Chiyo.”

 

“Apa yang dia nampak? Ceritakan Momota.”

 

Momota mengulas pemerhatian Noguchi.

 

“Di mana Chiyo sekarang? Aku mahu dia dihapuskan, termasuk anaknya sekali. Bawa kepala kedua-dua mereka ke sini sekarang!”

 

Momota tunduk gerun seraya menyampaikan arahan Hamada kepada samurai-samurainya.

 

Sebelumnya...

 

Tidak kusangka! Bagaimana aku sendiri menemuinya? Hamada sudah mencari di seluruh pelusuk Honshu. Dan pewaris Amaguri itu berada benar-benar di bawah batang hidung kami!

 

Terima kasih kerana engkau cuai hari ini, Chiyo. Maka aku akhirnya menemui rahsiamu. Aku telah mendengar perbualanmu hari ini dengan salah seorang pengintip Kogen yang sememangnya ramai di Kawamoto ini. Aku sudah mula sedar yang engkau membocorkan maklumat penyelidikan kita kepada Kogen sejak beberapa bulan lepas, maka aku mengekorimu.

 

Dan aku tahu Kotobuki si bangsat yang melarikan diri dariku dan mencuri formula aotsuyu lama, tiga belas tahun lepas itu adalah dalang di sebalik semua ini, kerana aku baru tahu yang dia berbapakan Omi, pengasas Kogen itu. Jika aku tahu lebih awal sudah pasti aku tidak akan mengambilnya bekerja denganku dahulu. Sehingga sekarang aku masih gagal mencipta formula baru, dan kami masih menggunakan aotsuyu lama ke atas karayuki, dan hanya mengharap Kogen tidak menemui mereka dalam setiap misi-misi kami menjual karayuki.

 

Noguchi mengimbas kembali perbualan di antara pengintip Kogen dengan Chiyo yang didengarinya sebentar tadi.

 

“Chiyo, setakat mana penghasilan aotsuyu baharu?” Soalan itu datang dari atas sebatang pokok berhampiran Chiyo.

 

“Sudah empat persepuluh. Noguchi sensei memulakan proses baru. Maka kami perlu mencubajaya dengan pelbagai bahan bagi menyahracun pati bunga torikabuto.” Chiyo menjawab, tanpa memandangnya. Cukup sekadar mengamati suara dari atas pokok itu bagi mengesahkan identitinya.

 

“Chiyo, aku ingin tahu apa yang engkau nampak selepas aku mengeluarkan batu ini.” Pemuda yang berada di atas pokok dan berpakaian seperti ninja dengan warna serba hitam itu mengeluarkan sejenis batu hablur berwarna putih dan bercahaya.

 

“Untuk apa, Akio?” Chiyo memandang sebentar ke arah pokok dan sekelilingnya berubah ungu tiba-tiba. Chiyo sedar batu itu tama-no-iwa. Dia mendongak langit dan mendapati matahari biru muncul.

 

Keunguan, maka sudah pasti batu tama-no-iwa Amaguri. Juga sudah pasti dari Kogen, kerana untuk mereka yang bukan dari puakku, mereka harus melalui terowong itu dahulu untuk ke kawasan rahsia Amaguri.

 

Perlukah aku percayakan Akio? Dia sudah lama datang ke sini mengambil maklumat dariku. Dia sudah lama berkhidmat kepada Kogen. Meskipun begitu, kebarangkalian untuk dia membelot kepada Hamada masih ada. Lagipun, Kotobuki sudahpun tahu yang aku pewaris Amaguri. Mengapa dia mahu mengesahkannya lagi?

 

Kotobuki sudah tahu rahsiaku sejak dia terserempak denganku di kawasan rahsia Amaguri, ketika aku bersembunyi di sana melalui Hidagawa dan dia datang melalui terowong rahsia di dalam perpustakaan. Sejak itu dia menawarkan aku pekerjaan sebagai pengintip Kogen di sini, sebagai pembantu Noguchi. Hanya aku dan puakku sahaja yang boleh ke kawasan rahsia Amaguri melalui pergunungan Hidagawa. Mereka yang lainnya perlu melalui terowong itu dari Kogen.

 

“Mengapa, pewaris Amaguri sang ahli sihir Emishi? Engkau tidak mahu mengaku identiti sebenarmu? Engkau terpana melihat keunguan di sekelilingmu? Demi Hamada, aku akan membunuhmu sekarang!”

 

Sejurus Akio menarik pedangnya, leher dan bahunya dipanah. Dia terus rebah dengan darah mengalir keluar dari mulutnya. Itu panah beracun yang dicalit torikabuto di matanya.

 

“Sanemi...” Gumam Ayame perlahan sambil mengerling ke arah pemuda yang memanah Akio, yang bertenggek di atas pokok.

 

“Aku terpaksa. Ayuh! Kita tidak punya banyak masa.”

 

Sanemi, seorang pemuda yang berpakaian pengintip Kogen seperti Akio, keluar dari persembunyian seraya meniup jari memanggil kuda. Dia terus memanjat pelana dan membantu Chiyo membonceng. Pantas mereka meninggalkan kawasan itu untuk bertemu seseorang.

 

“Aku telah lama memerhatinya. Kelakuannya menunjukkan bibit-bibit pembelotan. Aku tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pembelot!” Sanemi mengalirkan air mata sebaik mengujarkannya. Chiyo tergamam.

 

“Engkau menangis...” Gumam Chiyo yang membonceng di belakang Sanemi sebaik mengesan esakan Sanemi.

 

“Dia rakanku sedari kecil! Kami menyertai Kogen bersama-sama. Banyak sumbangan kami kepada pertubuhan itu. Namun ketika Akio meminta sedikit bantuan dari Omi-san untuk ibunya yang sakit, Omi-san memaling muka. Dia meminta bantuan Hamada dan Hamada memberi tanpa soal.”

 

Patutlah dia membelot, getus Chiyo.

 

“Maafkan aku Akio, maafkan aku!” Sanemi melaung dalam tangis sambil terus menunggang kuda menuju ke sebuah persimpangan. Di situ keluar seorang wanita tua mendukung seorang bayi lelaki. Terdapat seekor kuda ditambat tidak jauh dari situ.

 

Kaede nee-san, arigatou.”

 

Doumo.”

 

Wanita pengasuh pertengahan umur bernama Kaede itu menyerahkan Shinji yang ketika itu berumur dua tahun kepada Chiyo. Chiyo mengikat kain penganduh Shinji di belakangnya kemas-kemas, sebelum meneruskan perjalanan sejauh mungkin dengan kuda yang ditambat itu.

 

Aku akan melarikan diri jauh dari sini, di Shinagawa ini. Bukan lagi Hidagawa seperti dahulu, kerana kawasan itu telah dapat dicapai orang-orang Kogen. Mungkin ke Kyoto. Ya, Kyoto, tempat asalku. Aku kenal seorang paderi Jesuit di sana sebelum menyertai Kogen. Aku akan menyerahkan Shinji kepadanya.

 

Namun aku akan menipu dengan mengatakan aku ke kampungku. Aku tidak boleh mempercayai hatta Kogen sekalipun! Kogen juga mungkin merancang membunuhku kelak demi melindungi kuasa mereka! Menghantar Sanemi ke sini mungkin hanya helah mereka.

 

Gambatte, Chiyo. Semoga selamat sampai ke kampungmu.”

 

Arigatou, Sanemi. Kaede nee-sanSayounara.”

 

Setelah Chiyo jauh meninggalkan mereka, Kaede bertanya kepada Sanemi.

 

“Sanemi, mengapa engkau tidak menemaninya?”

 

“Aku akan mengekorinya senyap-senyap. Dia tidak mahu destinasi persembunyiannya diketahui. Barangkali dia juga mengesyaki aku bersekongkol dengan Hamada dan semua yang kulakukan setakat ini hanya lakonan.”

 

“Sampai begitu sekali Chiyo tidak mempercayai kalian.”

 

“Suaminya telah dibunuh dahulu. Dia tidak mempercayai sesiapa sejak itu. Hanya Kotobuki yang berjaya mendapatkan kepercayaannya kembali. Namun sekarang, aku tidak pasti sama ada dia masih mempercayai Kotobuki.”

 

Sementara itu, Noguchi tergamam melihat kejadian itu dan cepat-cepat menyusup lari melaporkan kepada Hamada.

Previous: Bab 84
Next: Bab 86

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov