Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 84

 

Selepas insiden Hisamiko bertarung dengan lima penyerangnya, Goryuuin bertemu Omi.

 

“Dari laporan penyiasatan pasukan tugas khas, mereka berlima adalah bekas samurai yang dihantar Hamada untuk menculik mana-mana gadis.” Lapor Goryuuin.

 

“Namun kemahiran bertarung mereka sederhana. Mereka tidak tahu kaminari.”

 

“Nampaknya Hamada semakin terdesak sekarang. Sejak Maharaja memberi amaran kepadanya.” Omi menambah.

 

“Benar. Dengar kata dari pasukan pengintip, dia juga sedang melatih Sonzaemon sejak musim panas lalu.”

 

“Sonzaemon? Siapakah dia?”

 

“Perompak di Furukawa. Dahulunya samurai di Tsugaru. Kemudian meletak jawatan dan menjadi petani di bawah Daimyo Kimura. Namun malangnya, tanah padinya dirampas oleh Maharaja. Sejak itu dia menjadi perompak di Furukawa. Dia melarikan diri ke Yozehama dan mengemis di Onuma. Kemudian terbaru, dia menjadi nelayan pula.”

 

“Goryuuin, aku mahu engkau jejak Sonzaemon ini. Aku yakin Hamada melatihnya sebagai pengganti Tsugiyama. Sejak kehilangan Saitou dan juga Takasaki, dia hilang harapan. Samurai-samurai yang masih setia dengannya tiada daya kepimpinan seperti Takasaki atau Tsugiyama dan masih muda.”

 

“Baiklah, Omi-san.”

 

Akhirnya aku menemui engkau, Hatakemaru. Tidak kusangka engkau di Onuma jika tidak kerana aku mengamati betul-betul dirimu yang sudah berubah gemuk. Aku tahu, itu engkau sebenarnya. Mengapa engkau melarikan diri dari Tsugaru? Mengapa? Apakah disebabkanku?

 

**

 

“Pasti mereka sangat ketakutan dan terbayang-bayang wajah lelaki-lelaki yang telah menodai mereka. Mereka mahu menjerit, tetapi jeritan mereka tidak kedengaran dan terlekat di tenggorok. Ketika ditangkap, mulut mereka ditekup. Kemudian, mereka diperlakukan seperti bahan mainan, sebelum dijual.” Hisamiko mengomel berseorangan, matanya membulat seperti sedang melihat satu kedahsyatan, setiap patah perkataan yang diucapkannya ditekan-tekan.

 

Dia menyambung, “Tiada kekuatan, tiada pertolongan, hanya menerima nasib diri. Kemudian, mereka membenci diri mereka. Mereka mahu membunuh diri mereka. Namun tidak. Mereka tidak mampu melakukannya. Mereka masih mahu teruskan hidup, namun dengan membenci diri mereka.” Hisamiko cuba menggambarkan perasaan seorang wanita yang ditangkap, dinodai dan kemudian dijual di rumah-rumah karayuki.

 

Ryouji di sebelahnya, hanya menadah telinganya mendengar luahan adik kesayangannya itu. Hisamiko bersandar di bahu Ryouji namun membelakanginya dengan kedua-dua kaki di atas bangku di taman zen sedang kepalanya mendongak ke langit. Taman zen itu dilatari pergunungan Tateyama yang salji di puncak-puncaknya tidak pernah lenyap. Suhu pada hari itu sederhana sejuk, kerana langit putih membumbungi mereka di musim luruh.

 

Ryouji sebenarnya sedang menahan marah kerana sekali lagi, ketiadaannya telah mencederakan Hisamiko. Dia tersepit di antara menyumbang kepada Kogen, dan melindungi Hisamiko.

 

Onii-san, sungguh aku amat takut ketika itu.” Hisamiko meneruskan kata-kata, sendunya mulai kedengaran. “Bagaimana jika aku tidak dilindungi hayabusa-no-kami? Bagaimana jika Kitsune-san tidak tiba di situ? Bagaimana jika Azuchi tiada di situ?”

 

Ryouji menepuk lembut kepala Hisamiko, cuba menenangkannya. “Aku terlalu takut, aku tidak berniat langsung membunuh mereka. Aku hanya terlalu takut.” Tangannya menggigil. Ryouji mengambil tangan Hisamiko dan menggenggamnya.

 

Esakan Hisamiko semakin kuat. Ryouji membiarkannya dalam keadaan begitu, sedang tangannya masih memegang tangan Hisamiko. Lepaskan semuanya Hisamiko. Menangislah sepuas-puasnya. Aku di sini Hisamiko. Aku yang bodoh ini. Hanya jika aku berada di situ. Hanya jika! Maafkan aku Hisamiko, kerana menyebabkan engkau terpaksa menghadapi semua ini. Maafkan abangmu yang bodoh ini.

 

Lama Hisamiko menangis begitu. Kemudian barulah dia mula menenangkan diri. Ryouji mengesat air mata Hisamiko dengan lengan yukatanya.

 

Onii-san, aku mahu menjadi hayabusa mereka.” Hisamiko tiba-tiba bersuara, seraya bangun dari bahu Ryouji.

 

“Sebagaimana Azuchi telah membantuku. Sebagaimana hayabusa-no-kami membantuku. Mereka memerlukan hayabusa untuk melindungi mereka, dan memberikan harapan kepada mereka.”

 

“Apa maksudmu, Miko?”

 

Onii-san, aku faham keperitan mereka. Aku faham ketakutan mereka. Aku tidak mahu mereka merasa apa yang aku rasa. Aku mahu membela mereka, kerana untuk apa anugerah kemahiran bertarung yang aku miliki?”

 

Biar betul? Ryouji mendengung di dalam hati, mendengarkan budak berumur tiga belas tahun di hadapannya itu. Hisamiko, engkau bertutur seperti seorang dewasa!

 

“Jika engkau tidak mahu aku mengikutimu kerana risaukan aku sekalipun, sekurang-kurangnya benarkan aku mengikutimu demi mereka.” Hisamiko berkata sambil memandang tepat Ryouji penuh pengharapan.

 

Ryouji berbelah bahagi. Aku telah didesak begini olehnya berkali-kali. Dan berkali-kali juga aku cuba menafikannya. Hanya kali ini, dia bersungguh-sungguh mendesakku.

 

Aku harus yakin. Hisamiko pasti boleh. Tidak. Hisamiko lemah tangannya. Dan dia baru sahaja diserang dan hampir dinodai! Namun jika demikian, bagaimana pula dia mampu mengalahkan penyerang-penyerang? Tidak, dia berjaya menewaskan mereka kerana Tsuneki.

 

Cukuplah. Aku mencari alasan demi alasan demi mengekangnya di sini. Mungkin, aku perlu belajar meyakini dan menerima risiko. Sungguh aku akui, walau aku abangnya, aku seolah-olah tidak mampu mengawalnya, melihat dari kejadian ini dan juga yang telah berlaku dalam tahun-tahun belakangan. Aku yakin, dia pasti akan keluar lagi begini selepas ini. Aku tahu tahap kedegilannya. Maka, lebih baik untuk dia menyertaiku dari keluar berseorangan lagi.

 

“Baiklah, Hisamiko. Aku akan membenarkanmu mengikutiku.” Ryouji melafazkan kata-kata itu meskipun hatinya berat.

 

Hisamiko, dengan melepaskanmu begini, aku merisikokan nyawamu, maruahmu. Namun, engkau seolah-olah tidak dapat aku kawal. Aku terpaksa mengalah denganmu, Hisamiko. Jika apa-apa berlaku, aku pasti akan melindunginya. Hari itu satu kesilapan besar bagiku. Aku tidak akan membiarkan peristiwa yang sama berulang lagi. Pasti!

 

Hisamiko tersenyum lalu memeluk Ryouji.

 

“Dengan satu syarat.”

 

“Hmm?”

 

“Engkau akan dilatih olehku sendiri.”

 

Arigatou, onii-san. Aku pasti akan berlatih bersungguh-sungguh!”

 

Aku risau jika suatu hari nanti, pedang ini akan membunuh manusia sewenang-wenangnya, dan aku tidak lagi merasa sebarang sesalan darinya. Dan aku risau jika Hisamiko akan turut menjadi begitu. Penumpah darah, seperti yang pernah diramalkan oleh Kotobuki.

 

Aku merancang mahu melarikan diri dari Kogen, selepas aku dapat menangkap Hamada dan Chisato disembuhkan. Aku mahu membawa Chisato, adik-adiknya, dan Hisamiko jauh dari sini. Mungkin ke lembah Okuhida. Dan aku akan menyekat kebenaran sami Shinto dari memasuki lembah itu. Dan hidup di situ sehingga hari kematianku tidak lama lagi.

 

**

 

Masih di lewat musim luruh 1872.

 

Suatu hari, Azuchi bertenggek di atas sebatang pokok matsu di taman zen, memerhati Hisamiko yang sedang berdiri menikmati pemandangan pergunungan yang melatarinya. Dia kemudian memerhati Nariko sedang duduk berseorangan memandang kolam batu di tengah-tengah taman zen itu. Kelihatan dari jauh tubuhnya bergoncang-goncang.

 

Hisamiko hairan lantas mendekatinya.

 

Nee-chan, nee-chan...” Hisamiko memanggil lembut. Nariko tidak menyahut.

 

Dia melihat dari belakang, tangan Nariko menggigil. Hisamiko duduk di sebelahnya, perlahan-lahan memegang tangan Nariko dengan kedua-dua tangannya.

 

Nee-chan sumetai no (sejukkah)?” Dia bertanya Nariko, kemudian terkejut memandangnya. Nariko menjegilkan mata dalam tunduk memandang kolam di hadapannya, seperti sedang benar-benar memarahi sesuatu.

 

Nee-chan, nee-chan?” Hisamiko memegang bahu Nariko dan menggoncang-goncangkannya. Nariko tersedar dari lamunan.

 

“Ah, Hisamiko. Gomen ne. Aku tidak sedar engkau di sini.”

 

Nee-channani shiten no? Engkau menangis...” Hisamiko menyedari air mata Nariko berlinangan tiba-tiba.

 

Gomen Hisamiko...” Nariko menyeka air mata, dan cuba melarikan diri, namun tangannya dipegang Hisamiko.

 

Matte, nee-chan. Ceritakan padaku.”

 

Nariko cuba melepaskan tangannya. Badan Nariko yang kecil dan sama tinggi dengan Hisamiko memudahkan Hisamiko menariknya. Setelah didesak Hisamiko berkali-kali, Nariko mengalah dan duduk kembali di bangku.

 

**

 

*Peringatan buat pembaca: Kisah Nariko ini kisah gelap.

 

Kisah Nariko

 

Musim luruh 1862, sepuluh tahun lepas (ketika Nariko berumur 16 tahun).

 

Hari cerah. Suhu sejuk pagi itu, di pertengahan musim luruh. Aku tinggal bersama ibu tuaku yang sudah uzur, di sebuah kampung bernama Matsuzawa, terletak jauh di selatan Hidagawa. Aku mencari rezeki dengan memotong kayu api di hutan dan menjualnya di pekan berhampiran, demi menyara diriku dan ibuku.

 

Okaa-san, aku pergi dulu. Jangan lupa makan ubatmu. Sarapan telah aku sediakan. Aku akan pulang sebelum tengahari.” Kata aku pada ibuku suatu hari.

 

“Nariko, berhati-hati nak. Sekarang ini banyak penyamun.”

 

Okaa-san, aku pasti selamat. Doakanku!”

 

“Semoga kami melindungimu.”

 

Entah mengapa, aku rasa begitu pilu melihatkan ibu pada hari itu. Aku ingin sekali menatap sepuas-puas wajahnya. Namun masa menuntutku bergerak. Jika tidak aku akan pulang petang dan tidak sempat menjual kayu-kayu itu di pekan. Aku mengemaskan bakul bambu di belakang badan dan membawa sebilah kapak. Langkah kuatur ke hutan berhampiran.

 

Sebelum tengahari, aku sudah kembali ke pekan. Semua kayu apiku habis dijual. Pendapatan yang diperolehi tidak seberapa, hanya cukup untuk kegunaan kami selama dua hari. Permintaan terhadap kayu api akan meningkat ketika musim sejuk, maka aku akan lebih bersungguh-sungguh pada musim itu meredah cuaca dingin begitu demi menambah pendapatan kami.

 

Aku pulang ketika hari sudah petang.

 

Aku mengetuk pintu. Tiada jawapan. Aku memanggil ibu. Masih tiada jawapan. Pintu gelangsar aku periksa. Tidak berkunci, seperti biasa. Tiada sebarang kesan pencerobohan. Juga sunyi seperti biasa. Kerana hanya ada aku dan ibu di sini. Dan rumah ini agak terpisah dari rumah-rumah lain di perkampungan ini.

 

Aku menolak pintu perlahan-lahan.

 

Aku menemui ibu sedang terbaring berlumuran darah di katil tempat dia terlantar. Aku bergegas menujunya, menggoncang-goncangkan badannya, memanggil namanya namun dia kekal membisu. Aku periksa nafas dan nadinya. Jelas, dia sudah tidak bernyawa. Terdapat beberapa kesan tikaman di perutnya. Tiada kesan pergelutan. Barangkali penceroboh telah memasuki rumah ini senyap-senyap melalui pintu depan yang tidak berkunci, dan telah menikam ibuku tiba-tiba ketika dia masih terbaring di atas katilnya.

 

Aku menangis. Dan pada ketika itu aku terdengar bunyi derapan kaki. Seorang lelaki yang kelihatan sedang mabuk keluar dari dapur. Mulutnya kelihatan butir nasi. Dia baru menghabiskan makanan kami pada hari itu.

 

Dia menerpa ke arahku dan menindihku. Badannya besar dan aku tidak berupaya melawan tindihannya. Dia membuka hakama-nya dan menarik hakama-ku. Aku meronta-ronta dan menjerit cuba melepaskan diri, namun aku tidak berupaya. Kudratku tidak setanding dengannya.

 

Ketika berlakunya onar itu, angin menderu masuk melalui pintu gelangsar di depan. Aku tidak sempat menangkap pemandangan itu sepenuhnya, ia berlaku terlalu pantas dan kepala lelaki itu terputus, darah memancut dari lehernya membasahi perutku. Lelaki itu tumbang dan ditarik ke tepi. Aku masih ketakutan, dan dalam kesamaran senja, kulihat seorang wanita bertopi kon sedang berdiri dengan pedangnya berlumuran darah.

 

Wanita bertopi kon itu memelukku dan memegang tanganku yang sedang menggeletar. Dia meminta maaf kerana darah penceroboh itu telah mengotori yukataku. Dia memberitahu telah mendengar jeritanku dan bergegas ke sini.

 

Kami keluar dari situ, dan membakar rumah itu bersama mayat lelaki tersebut. Mayat ibu dikebumikan, atas permintaanku, agar aku dapat melawatnya kelak. Aku masih trauma. Wanita bertopi kon itu memperkenalkan dirinya sebagai Ayame, dan mempelawa aku mengikutinya. Dia membawa aku ke Kogen dan aku tinggal dan bekerja di situ sehingga kini.

 

**

 

“Hanya jika… hanya jika aku tiba lebih awal, pasti aku dapat menyelamatkan okaa-san. Dia pergi berseorangan, aku tidak sempat mendengar bicara terakhirnya...” Nariko mengerutkan dahinya menahan marah, sementara air matanya terus mengalir.

 

Nariko memandang Hisamiko tepat ke dalam anak matanya dan memegang kedua-dua belah bahu Hisamiko.

 

“Hisamiko, apa yang membuatmu begitu kuat? Aku inginkan kekuatan itu. Agar aku dapat membunuh mereka yang cuba melakukannya sekali lagi!” Nariko berkata sambil menggoncang-goncang tubuh Hisamiko.

 

Hisamiko memeluk Nariko, cuba meredakan perasaannya. Dia membiarkan Nariko terus-terusan menangis di pelukannya.

 

“Hisamiko, maafkan aku bercerita kisah begini denganmu.”

 

“Tidak mengapa, nee-chan. Aku sentiasa sudi mendengarmu.”

 

Hisamiko, aku masih bingung bagaimana engkau mampu menewaskan mereka. Ayame memberitahuku yang engkau menjerit sekuat hati dan terus menikam penyerang-penyerangmu. Melakukannya pasti memerlukan kekuatan luar biasa. Atau pekikan yang luar biasa. Aku tidak tahu. Engkau sungguh membingungkan.

 

Kufikir ia bukan sekadar kuasa, tetapi nekad, keazaman, atau pengalaman lalunya. Atau didikan abang dan bapanya? Mungkin. Kuasa yang dikhabarkan Ayame itu tidak berdiri sendiri. Ia perlu dipupuk, disemai dengan pengalaman.

 

“Engkau masih takut, Hisamiko?”

 

“Masih, nee-chan. Aku tidak tahu kisah latarmu selama ini. Nee-chan, kita akan hadapi semua ini bersama-sama.” Hisamiko menggenggam tangan Nariko. “Kita akan pastikan zaman ini berakhir, bersama-sama.”

 

Nariko memeluk Hisamiko. Hangat pelukan Nariko mengingatkan Hisamiko akan Chisato yang selalu bersamanya dahulu. Dia sedang sakit dan dirawat di atas sana. Bilakah aku dapat bertemumu kembali, Chisato nee-chan? Aku, Chinami dan Chiho amat merinduimu.

 

**

 

Musim luruh 1869

 

Ketika ini baharu sahaja berlalu beberapa hari selepas Ryouji dan Hisamiko pulang ke rumah Takasaki dari kuil Kotobuki selepas Hisamiko dirawat kecederaannya, akibat pergelutan dengan Sonzaemon dan orang-orangnya di hutan berhampiran kampung mereka.

 

Takasaki datang bertemu Kotobuki di kuilnya untuk membincangkan sesuatu.

 

“Takasaki, aku temui tanda kedua, kali ini pada Ryouji.”

 

“Benarkah?”

 

“Aku pasti itu tanda sumpah hayabusa. Puak Okuhida yang mendapat sumpah itu akan dihadkan jangka hayatnya selama dua puluh tahun sahaja, sedang puakku tiga puluh tahun.”

 

Takasaki maklum itu. Dia tidak terkejut. Miura pernah memberi bayangan itu. Ini kerana hanya Ryouji satu-satunya waris Okuhida selain Hisamiko, maka sudah pasti sumpah itu akan menimpanya. Takasaki sudah bersedia menerima kematian Ryouji awal-awal lagi sewaktu Miura masih hidup.

 

“Takasaki, latih Ryouji sehingga jurus kesembilan.”

 

“Jurus kesembilan? Mengapa begitu tergesa-gesa Kotobuki?”

 

“Aku fikir sudah tiba masanya. Sebelum ajalnya tiba lebih baik kita bersedia lebih awal demi memanfaatkan kemahirannya.”

 

“Kotobuki, bukan aku tidak mahu. Aku sendiri tidak dapat memahami tulisan Miura berkenaannya. Ryouji pula, meskipun dia Okuhida, dia masih muda dan rusuhan tenaga masih risikonya.”

 

“Itu bukanlah satu-satunya cara untuk mencapainya. Sumpah hayabusa Ryouji akan dibangkitkan ketika mana-mana hayabusa mengibaskan sayapnya. Ia meningkatkan kepantasan petarung yang menerima sumpah itu. Mungkin berpotensi meningkatkan Ryouji di jurus lapan ke jurus kesembilan.”

 

“Maksudmu?”

 

“Manfaatkan Hisamiko. Aturkan pertarungan agar hayabusa-nya melintas ketika Ryouji berlatih bertarung di jurus kelapan. Ryouji akan meningkat sendiri ke jurus kesembilan ketika hayabusa itu melintas. Namun dia akan melakukannya di bawah sedar, dirasuk sumpah itu. Jika dia berjaya melepasi rusuhan tenaga, maka dia juga akan melepasinya ketika melakukan jurus tersebut ketika sedar.”

 

“Bagaimana jika dia tidak berjaya melepasi rusuhan tenaga ketika melakukannya di bawah sedar, dan mati? Kotobuki, risikonya besar! Bahkan Ryouji masih terlalu muda untuk jurus ini, meskipun dia Okuhida. Dan dia harapan kita dan Kogen, aku tidak mahu kehilangannya.”

 

“Maksudmu?”

 

“Aku tahu dia akan mati selepas umur kedua puluh. Namun aku tidak mahu dia pergi lebih awal dari itu disebabkan kebodohan kita.”

 

“Takasaki, kita tiada pilihan lain. Kita harus mengambil risiko, dan menguruskannya.”

 

“Seperti mengurangkan beban fizikal, maksudmu?”

 

“Ya. Cari ramuan untuk meringankan bilah. Aku fikir engkau mungkin lebih tahu, kerana aku tidak arif kaminari. Bagaimana dengan perantismu Shinji?”

 

“Masalahnya, dia masih belum menemui bilah begitu, meskipun dia penempa paling mahir di antara kami. Bagaimana pula dengan perantis di Kogen?”

 

“Aku mengharapkan serendipiti (serendipity). Kami mencubajaya mencampur pelbagai jenis garam dan mineral lain ke dalam ramuan bilah. Namun masih, tiada hasil memuaskan setakat ini. Aku berharap dengan terciptanya bilah istimewa ini, kita akan dapat menguruskan risiko Ryouji dimamah rusuhan tenaga. Bahkan aku mengimpikan kita dapat melahirkan lebih ramai petarung jurus kesembilan dari puak selain Shirasaka dan Okuhida. Demi Kogen. Demi menumpaskan Hamada dan sekongkolnya.”

 

“Kotobuki, bagaimana dengan Ayame-mu? Sudahkah dia menguasai jurus kesembilan dengan menggunakan buku tulisan kami?”

 

“Dia sudah berjaya mencapainya.”

 

“Hanya dengan pedang biasa?”

 

“Benar. Namun dia tidak diancam rusuhan tenaga kerana usia dua puluhannya dan darah Shirasaka-nya. Dan aku syak dia sudah melatih Goryuuin jurus tersebut, dengan meningkatkan had tampungan tenaganya sama seperti Miura melatih petarung lain.”

 

“Jadi untuk apa pula engkau memerlukan Ryouji?”

 

“Lebih ramai yang tahu lebih bagus. Bukankah telah aku katakan, yang aku ingin melihat ramai yang tahu jurus kesembilan? Ryouji boleh dijadikan guru gantian bagi membantu Ayame.”

 

Sebentar, aku tidak dapat menerima alasan Kotobuki. Pasti ada udang di sebalik batu. Kotobuki, apakah engkau mengesyaki sesuatu sedang dilakukan Ayame di belakangmu?

 

Namun Takasaki memilih untuk tidak menyuarakan apa yang difikirkan itu. Cukuplah menerima jawapan Kotobuki buta-buta.

 

Aku percayakan Kotobuki. Aku yakin dengan pertimbangannya.

 

“Baiklah, Kotobuki. Aku akan cuba. Apapun, aku perlu memerhatinya lebih bagi memahami rentaknya. Dia baru sahaja tinggal denganku setahun.”

 

 

**

 

Lewat musim luruh, 1872.

 

Ryouji duduk berseorangan di taman zen, larut dalam lamunannya.

 

Aku sudahpun berjaya menguasai jurus kesembilan kaminari dalam sedar, justeru, aku yakin aku mampu mengalahkan orang-orang Hamada. Tsugiyama pun sudah tiada. Tentang Saitou, aku tidak pasti. Persetankan, aku dari puak Okuhida, mengalahkan mereka amat mudah dengan jurus kesembilan. Tertakluk jika mereka masih belum berjaya menguasainya. Namun mereka tidak akan dapat lari dari risiko diancam rusuhan tenaga sama seperti Kobato, maka kemenangan masih berpihak kepadaku.

 

Dengan kemahiran dan kekuatanku sekarang, bila-bila masa sahaja aku mampu menyusup ke manapun Hamada bersembunyi. Aku tahu dia berada di Kawamoto. Boleh sahaja aku tewaskan pengawal-pengawalnya dan mengurung dia bersamaku dan memaksanya berterus terang akan dosanya terhadap bapaku dan rakan-rakanku. Jika aku boleh berbuat demikian, mengapa aku masih di sini? Mengapa aku masih di sini semata-mata kerana menuruti nasihat Takasaki agar mengikut kaedah Kogen? Atau Takasaki sebenarnya menyembunyikan kenyataan bahawa Hamada itu berkuasa halimunan dan tidak mudah ditewaskan?

 

Dan kaedah Kogen yang disuguhTakasaki itu masih belum melibatkan diriku. Ini kerana aku belum lagi menyertai misi-misi di luar, hanya mengikuti Ayame menyelesaikan masalah-masalah dalaman sahaja. Adapun misi-misi luarku setakat ini hanyalah memperbetulkan keadaan kampung-kampung yang telah musnah akibat bencana alam dan sebab-sebab lain. Misi-misi di luar yang dimaksudkan Takasaki itu ialah misi yang menggagalkan rancangan jahat Hamada dengan cara menutup punca pendapatannya, seperti yang biasa dipimpin Goryuuin-san. Iaitu misi menyelamatkan anak gadis dari diperdagangkan, sebagai contoh.

 

Namun, dari pemerhatianku, sekian lama mereka melakukan misi, Hamada masih lagi tidak keluar-keluar, meskipun ramai ahli Kogen telah ditahan, diseksa, bahkan ada yang telah terkorban. Pastinya disebabkan kuasa halimunan itu bukan? Ah, sukarnya! Dia halimunan, dan tidak boleh dibunuh, betul juga. Dan orang-orangnya masih taat setia dengannya, meskipun kesamuraian telah dimansuhkan. Bagaimana dia mampu menarik pengikut setia begitu?

 

Mungkin, itulah puncanya mengapa dia masih bertahan di persembunyiannya di Kawamoto. Tanpa pengikut setia, dia akan berseorangan. Tiada sesiapapun yang akan sudi melaksanakan arahannya lagi. Bukankah itu sebabnya mengapa Takasaki pernah menekankan agar menghapuskan pengikut Hamada dahulu?

 

Sebentar, jika dia mampu menambat mereka, pastinya dengan wang bukan? Apakah dia punya sumber kewangan lain sebagai talian hayat, sebagai contoh melalui anaknya Hagiura itu? Hagiura itu punya perniagaan ternakan dan pelacuran karayuki.

 

Aku fikir lebih baik aku berjumpa Hamada sendiri. Masaku sudah terlalu suntuk. Persetankan sama ada dia halimunan mahupun tidak. Namun, bagaimana mungkin aku mencederakannya dengan pedangku dan membawanya ke muka pengadilan? Ah, sungguh rumit! Rumit!

 

Ryouji memandang tanda hitam pada tangan kanannya itu, hayatnya berbaki tiga tahun lagi. Sakitnya semakin terasa dari hari ke sehari. Tolonglah, sumpah hayabusa. Jangan kau datang di saat nyawaku di hujung tanduk lagi!

 

Jika difikirkan, Goryuuin dan Ayame juga menguasai jurus kesembilan sepertiku. Lagikan Ayame yang memiliki kuasa sepertiku. Dan mereka tidak menyerbu Hamada sendiri? Apakah kerana ia sememangnya mustahil kerana kuasa halimunannya? Bukankah itu bermakna aku juga tidak akan mampu menewaskannya?

 

Ryouji akhirnya menemui Kotobuki bagi merungkai kekusutannya.

 

Kotobuki sedang berada di tama-no-iwa keluarga Shirasaka, di tengah-tengah sebuah kawasan yang terlindung oleh bukit-bukau yang putih di atas sebuah bukit di Shirasaka-no-Kogen. Ryouji mengikut laluan pernah dilaluinya bersama Shinji untuk ke situ. Mujur dia masih mengingatinya.

 

“Kotobuki-san aku masih tidak faham. Mengapa Kogen masih gagal menangkap Hamada? Bukankah Kogen sudah lama menggagalkan rancangan demi rancangannya? Setiap kali Hamada menghantar orangnya membuat onar, kita hanya bertindak balas bagi membetulkan keadaan. Dan Hamada masih tidak keluar-keluar.”

 

“Apa yang Takasaki beritahumu dahulu tentang Hamada?”

 

“Tentang Hamada selaku ketua mereka. Strategi Kogen ialah melemahkan pengikut-pengikutnya dan menggagalkan rancangannya agar Hamada keluar sendiri menyerah diri.”

 

“Hanya itu?”

 

“Dengan melemahkan pengikutnya, Hamada akan keluar sendiri. Ini kerana amat sukar menemukan bukti yang menghubungkan Hamada dengan jenayahnya. Bukti-bukti hanya mengarah kepada pengikutnya.”

 

“Benar, Ryouji. Meskipun kita punya bukti yang boleh mensabitkan pengikutnya, amat sukar untuk mendakwa Hamada kerana bugyou kita di mahkamah Kogen akan meminta bukti Hamada memberi arahan kepada mereka. Bukti Hamada sebagai daimyo mereka sahaja tidak cukup. Namun, bukti arahan itu datang dari Hamada boleh sahaja direkodkan oleh pengintip Kogen yang dihantar ke dalam kawasan rumahnya. Namun mengapa ia tidak berlaku? Ryouji, Takasaki tidak memberitahumu maklumat penuh. Biar aku ceritakan.”

 

“Apa maksudmu? Takasaki menyembunyikan sesuatu dariku?”

 

“Benar. Takasaki mahu melindungimu. Dia tidak mahu engkau melulu lagi seperti di Furukawa dahulu. Ramai bekas pelajarnya masih berkhidmat kepada Hamada, dan engkau pula masih belum menguasai jurus tinggi kaminari pada waktu itu. Dia risaukan engkau, Ryouji. Padanya, lebih baik engkau menentang Hamada melalui Kogen daripada berseorangan.”

 

“Dengan hanya menggagalkan aktiviti-aktivitinya dengan harapan dia akan keluar sendiri? Aku tidak faham, Kotobuki-san. Aku sudah menguasai jurus kesembilan, dan aku yakin aku mampu memaksa dia keluar dan menangkapnya sekarang. Bahkan Ayame-san juga, dan Goryuuin-san juga, jika Kogen tidak cukup denganku seorang. Aku tidak faham mengapa kalian mengambil jalan selamat dan menunggu lama.”

 

“Benar, Ryouji. Sesiapapun, hatta yang paling bodoh di antara kita, pasti akan berfikir buat apa menunggu lama? Kamipun sudah memiliki petarung jurus kesembilan seperti Ayame dan Goryuuin, bahkan engkau sendiri. Tangkap sahajalah Hamada itu. Luru terus ke rumahnya di Kawamoto, hapuskan pengawal-pengawalnya di rumah itu dan tangkap sahaja dia untuk dibicarakan. Kes-kesnya sudah cukup untuk mendakwanya di bugyou, atau dibicarakan di hadapan Maharaja.”

 

“Namun Ryouji, Hamada punya kebolehan yang digeruni. Dia memiliki salah satu dari tiga tama-no-iwa utama. Ia warisan dari Higashihara-no-Hiiragiko, pemanah lagenda di Heian-kyo seribu tahun lepas. Seorang kesatria wanita yang memiliki ketiga-tiga tama-no-iwa utama, dan memberikan baki dua lagi batu kuasa itu kepada moyang kita, Fujiwara-no-Sekiro dan Fujiwara-no-Zenzaburo.”

 

Maka amat hampir dengan kuasa Hamada yang diberitahukan Shinji kepadaku. Aku perlu bersabar dan membiarkan Kotobuki menghabiskan penerangannya dahulu. Namun Hiiragiko? Siapakah dia? Sekiro? Aku pernah mendengar berkenaan Zenzaburo dari Takasaki-san, namun siapa lagi dua orang ini?

 

“Hiiragiko? Sekiro? Aku tidak pernah mendengarkannya. Tentang tama-no-iwa itu, apakah ia sama dengan yang digunakan di rumah perlindungan, atau lembah kita? Mohon peneranganmu, Kotobuki-san!”

 

Tama-no-iwa yang digunakan di semua rumah perlindungan kita dipotong dari tama-no-iwa di sini, di Shirasaka-no-kogen.” Kotobuki merujuk kepada tiang batu yang berada berdekatan dengan mereka. Ryouji maklum itu, dia sudah ke sini bersama Shinji sebelumnya.

 

“Asalnya semua tiga batu ini kecil, namun ia bertumbuh selepas ditanam dan boleh dipotong. Kemudian ia akan bertumbuh kembali.”

 

Bererti aku boleh melakukan perkara sama menggunakan tama-no-iwa di lembah Okuhida? Bererti aku boleh membina gugusan rumah-rumah perlindunganku sendiri?

 

“Namun hanya puak kami yang boleh melakukannya. Ini kerana kami memiliki enam persepuluh dari kuasa hayabusa. Puak kalian Okuhida dan puak Higashihara masing-masing hanya memiliki dua persepuluh.”

 

Harapan Ryouji meleset.

 

“Mengapa begitu?”

Previous: Bab 83
Next: Bab 85

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov