Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
112,354
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 6

TERSENYUM Airel melihat Dina yang lengkap beruniform taekwondo. Siap dengan tali pinggang putih. Comel sangat! Ini kali pertama kanak-kanak itu menghadiri kelasnya.

“Dina dengar cakap Sir Airel tau. Mama nak balik jaga kedai dulu. Dah habis kelas nanti mama datang ambil Dina.” Mimi berpesan sambil membela tali pinggang Dina agar nampak lebih kemas.

Kemudian dia memandang Airel yang juga lengkap beruniform taekwondo dan bertali pinggang hitam. “Kelas sejam setengah kan, Sir Airel?”

Airel mengangguk.

“Okey, pukul 10.30 nanti akak datang balik. Bye!” Mimi dan Dina saling berlambaian sebelum Mimi hilang di sebalik pintu.

“Jom, Dina... kita masuk kat dalam. Boleh kenal dengan kawan-kawan baru,” ajak Airel.

Dina mengekori Airel masuk ke dalam bahagian studio. Melihat sudah ramai yang sedang menunggu, dia mula malu-malu.

“Okey, semua...” Airel bersuara, menarik perhatian pelajar-pelajarnya. “Hari ni sir nak kenalkan dengan kawan baru kita, Dina namanya. So, sekarang kita dah cukup 12 orang. Senang nak pairing nanti. Kita mulakan kelas. Bersiap sedia semua!”

Kesemua pelajar berdiri mengambil tempat masing-masing. Berbaris tiga barisan.

Airel membawa Dina ke barisan tengah supaya dia bolehmengikut pergerakan pelajar-pelajar di hadapan serta di kiri dan kanannya.

Kelas dimulai dengan membuat peregangan badan terlebih dahulu. Kemudian, barulah teknik asas dalam taekwondo diajar.


-----------------

 

SETIAP kali berselisih dengan sesiapa, Intan akan bertanya arah untuk ke Dataran Merdeka. Dia risau kalau tersesat atau tersalah jalan.

Tubuhnya sudah dibasahi peluh. Matahari yang kian meninggi begitu terik menghangatkan. Dia terus berjalan walau langkah terasa lambat. Kakinya mula kelenguhan. Malah, tapak kasut sneakersnya yang buruk itu turut berasa panas. Seolah-olah kian menipis.

Digagahkan juga diri berjalan selagi termampu. Apabila tekaknya kekeringan dan kehausan, dia akan berhenti seketika meneguk air mineral botol besar yang dibeli sebelum memulakan perjalanan. Sesudah itu, dia menyimpannya semula

Setelah sejam 20 minit dia berjalan, akhirnya dia nampak Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak menghadap dengan Dataran Merdeka. Senyumannya melebar. Sampai juga dia di situ. Dia melepaskan penat di bawah sebuah pokok di tepi dataran bersebelahan tiang bendera yang paling tinggi itu. Berjuraian peluh menitis-nitis di muka. Dilap dengan baju kameja yang dipakai.

Air mineral diteguk sedikit. Tekak yang haus kekeringan berasa lega semula. Dia membuka kasut. Tapak kakinya itu seolah-olah menipis. Mujur dia memakai stoking. Diurut kedua-dua betisnya yang lenguh. Hampir saja kakinya itu kejang kalau berjalan lebih lama lagi.

Sambil-sambil itu dia merenung ke sekeliling. Dicari kelibat Jazadin. Walau dari jauh dan agak ramai pelancong, dia masih boleh mengecam tubuh tua ayahnya itu. Namun tiada. Ada rasa kecewa terbias di wajahnya.

Tak apa... aku akan tunggu sampai ayah datang. Ayah mesti datang. Sebab ayah dah janji nak jumpa aku kat sini.

Intan menanti dengan setia di situ. Sejam, dua jam, tiga jam, empat jam, lima jam, enam jam...

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.