Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
112,353
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 12

HARI makin menginjak ke petang. Intan tetap setia menanti sejak pagi lagi berdekatan dengan tiang bendera yang paling tinggi itu walau cuaca panas terik. Apabila terasa terlalu membahang panas, dia beralih duduk di bawah pokok yang redup.

Berpeluh-peluh dia sepanjang hari. Sekejap-sekejap dengan topi yang dipakai itulah dibuat seperti kipas. Penat duduk, dia berdiri. Cuaca panas begini adakala membuatkan matanya layu. Sambil duduk tanpa sedar dia terlena seketika.

Kelibat pelancong yang ramai pada hari Ahad begini langsung tak dihiraukan. Dia tetap menunggu kedatangan Jazadin. Namun, wajah ayahnya itu tidak juga kelihatan.

Muram wajah Intan. Jiwa berasa hiba. Roti yang menjadi bekalan makanan di dalam begnya sudah habis. Diteguk air mineral sedikit. Sengaja dia minum lebih air supaya kurang berasa lapar. Duit yang tinggal dah tak banyak. Selagi boleh berjimat, dia akan berjimat.

Dompet dari poket belakang seluar dikeluarkan. Direnung gambar bersama Jazadin tanpa jemu. Walau Jazadin sudah tua, itulah ayahnya. Meskipun Jazadin miskin, itu jugalah ayahnya. Ayah yang menjaganya ketika sihat atau sakit.

Jika Jazadin menerima gaji, mesti dia dibelikan makanan yang sedap-sedap. Bila ayahnya membawa pulang makanan yang sedap-sedap, tapi hanya dia seorang yang makan. Ayah kata dah kenyang. Namun apabila dia sudah besar dan boleh berfikir, barulah dia tahu yang ayahnya berbohong.

Jazadin lapar sebenarnya, tapi hanya mampu membelikan makanan yang sedap itu untuk dirinya saja. Asalkan dia dapat makan, ayahnya gembira.

Sejak itu dia tak lagi minta macam-macam pada Jazadin. Dia cuma mahu makan bersama ayahnya itu. Tak kisah walaupun makanan biasa-biasa. Yang penting Jazadin tak kelaparan.

Bergenang matanya saat teringat semula kenangan susah payah hidup dengan Jazadin tanpa ibu. Direnung gambar wajah Jazadin puas-puas. Satu-satunya tempat dia bergantung hidup.

Semasa mahu menutup kembali dompet itu, baru dia terperasan sesuatu. Seperti ada kepingan kertas terjulur sedikit dari dompet itu. Diperhatikan betul-betul. Kertas yang terjulur itu seakan-akan wang kertas. Tak mungkin...

Lantas dibuka semula dompetnya. Dilihat memang betul-betul wang kertas ada di celah bahagian untuk meletak duit. Buntang matanya. RM50!

“Mana datang duit ni? Sebelum ni tak ada pun.”

Dahinya berkerut-kerut cuba berfikir. Dia teringat peristiwa dia kena ragut. Dompetnya hilang dibawa pergi. Masa tu dia memang fikir tiada harapan untuk dia dapatkan semula dompet itu.

Namun ketika sedang menunggu Jazadin di Dataran Merdeka, dari jauh dia nampak dua orang lelaki muncul. Jarak antara mereka kira-kira 5 meter atau lebih sikit. Salah seorang daripada lelaki itu mengangkat dompetnya tinggi-tinggi.

Masakan dia tak kenal dompet sendiri yang lusuh itu. Dompet yang digunakan sejak dia sekolah rendah! Alien Workshop! Mana ada orang guna dompet tu lagi? Dia seorang saja.

Makin bengang dia apabila melihat lelaki itu membuka dompetnya dan membelek-belek. Tak bertangguh, terus dia rampas dompetnya. Mungkin ketika itulah lelaki itu memasukkan wang ini kepadanya.

“Tapi kenapa lelaki tu masukkan duit pulak?” Susah dia nak hadam musabab lelaki itu bertindak begitu.

“Hisyhh... tak mungkin.” Dia menggeleng.

Jadi, macam mana duit RM50 boleh berada dalam dompetnya?

“Atau mungkin yang masukkan duit ni lelaki yang meragut aku. Peragut tu tahu yang aku tak ada duit masa nampak aku beli roti guna duit dalam stoking. Lepas tu, dia pura-pura ragut aku sebab nak masukkan duit ni.” Dia terangguk-angguk dengan spekulasi yang agak tak masuk akal itu.

“Haihh... entahlah,” keluhnya berat.

Tak lama kemudian dia tersenyum. Dia ada duit lagi! RM50 pulak tu! Mula terbayang nasi berlauk yang sudah lama dia tak jamah ke mulut. Perutnya serta-merta berasa lapar. Langsung dia berdiri mahu mencari kedai makan berdekatan. Dia mahu makan nasi!

Lebar senyumannya mengenangkan betapa seronok dapat menikmati nasi. Maka di sebuah kedai makanan Melayu berdekatan, dia makan nasi berlaukkan ayam masak kicap dan sayur campur.

Sambil makan air matanya mengalir ke pipi. Setiap kunyahan dihayati dengan sepenuh perasaan. Sudah lama benar dia tak merasa nikmat makan begini. Dia menangis sampai tersedu-sedan. 


----------------------

 

“KE mana lagi mama nak jalan?” Airel yang sedang memandu Honda Civic keluar dari kawasan parkir menoleh ke arah Wanifah sekilas.

“Jomlah balik. Mama dah dapat dinner kat KL Tower dengan anak-anak mama ni cukuplah.”

“Atmosphere 360!” sahut Harraz, menyebut nama restoran berputar di Menara Kuala Lumpur itu dengan gembira. Perut kenyang, seronoklah dia.

“Sayang papa tak ada.” Aariz seakan sedikit terkilan.

Next week kita dinner dengan papa kat situ lagi. Nak?" Wanifah merancang.

“Mama ni... macamlah tak kenal papa tu. Busy je selalu,” balas Aariz malas-malas.

Seketika kemudian menitik-nitik air ke cermin kereta.

“Hujan!” Aariz menuding jari ke luar cermin tingkap.

“Hmm...” Wanifah dan Harraz turut membuang pandang ke luar cermin tingkap kereta.

Airel menggerakkan wiper cermin hadapan. Cermin yang tadi kabur dek air hujan kembali bersih.

“Hujan gerimis je. Sekejap lagi berhentilah ni,” komen Wanifah.

“Bang!” Tiba-tiba Harraz memanggil Airel.

Airel memandang cermin pandang belakang, melihat wajah ceria Harraz.

“Jom pergi Time Square!” ajak Harraz.

Muka Aariz terus berubah teruja.

“Nak buat apa?” Airel sudah tunjuk muka pelik.

“Nak buat apa kat situ?” Wanifah juga sehaluan dengan Airel. “Tak payahlah. Ni dah pukul 10.30 dah ni. Esok nak sekolah. Kita balik jelah, Airel,” putusnya. Membuatkan si kembar bersandar monyok.

“Time Square tu bila-bila boleh pergi.” Wanifah menambah.

“Kita round KL dulu, lepas tu baru kita balik rumah.” Airel memberitahu. Dia tahu adik kembarnya itu sekadar mahu mencuci mata melihat suasana Kuala Lumpur waktu malam.

Abang Airel is the best.” Harraz tersenyum senang.

The best among the best,” sambung Aariz pula.

Wanifah tercemik memandang Airel. Tapi kemudian dia mengulum senyum menahan ketawa.

Tersengih-sengih Airel dipuji. Dia kemudian memandu mengelilingi KLCC, melalui jalan di Bukit Bintang, melintasi kawasan Pudu, Pasar Seni dan kemudian melalui Dataran Merdeka. Walau dalam hujan, lampu-lampu neon di sepanjang bandar raya ini tetap bercahaya cantik.

Si kembar di tempat duduk belakang pot pet pot pet berbual sesama mereka tidak dipedulikan. Ketika baru saja nak sampai di Dataran Merdeka, dia teringat gadis yang ditemui semalam. Serta-merta nama Abdul Jazadin mengganggu fikirannya lagi.

Dia memperlahankan kelajuan. Keretanya bergerak perlahan. Sewaktu menoleh ke arah dataran itu di sebelah kirinya, matanya menangkap kelibat seseorang yang pernah dilihat berdekatan dengan tiang bendera paling tinggi itu. Membuatkan kereta yang dipandu jadi perlahan dan hampir tak bergerak. Kepalanya sampai berpusing ke kiri.

Walau dalam suasana malam, dia masih nampak dengan jelas kerana lampu jalanan yang masih terang-benderang. Yang paling dia cam topi gadis itu! Topi jenis bucket hat tu lain daripada yang lain. Gadis itu juga memakai kemeja lengan panjang seperti semalam. Dan menunggu di situ walau dalam hujan!

“Airel! Kenapa berhenti?” Wanifah bertanya kehairanan. “Jaga-jaga, takut kereta belakang tak perasan nanti kena langgar.”

Barulah Airel memandang ke hadapan semula. Pedal minyak ditekan perlahan. Diperhatikan dari cermin sisi, ada kenderaan lain di belakangnya turut berhenti disebabkan dia.

“Pandang apa sampai terteleng kepala?” Wanifah terasa curiga.

“Err...” Airel menyengih. “Tak ada apa-apa, tak ada apa-apa...” Dia terus memandu untuk pulang ke Impian Bukit Tunku. Sedangkan dalam fikiran masih kuat terkenangkan gadis bernama Intan Nadra itu. Kesiannya.

Tapi kenapa dia duduk jugak kat situ hujan-hujan macam ni? Habis basah kena hujan. Tak sejuk ke?

Hatinya mula dilambung kerisauan.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.