Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
112,320
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 3

"INTAN! Intan! Intan!” Kedengaran nama Intan dilaungkan dengan begitu kuat dari luar rumah. Suara Jazadin!

Serta-merta dada Intan rasa bergemuruh. Dia yang sejak tadi hanya duduk bersandar ke dinding terus berdiri. Ketika itu Jazadin sudah merempuh masuk ke dalam rumah dengan muka pucat.

“Cepat kemas baju semua, Intan. Cepat!” arah Jazadin sambil menjinjing sepasang kasut sneaker Intan. Mukanya sudah cuak ketakutan.

Intan tergamam. Dia terkaku memandang Jazadin.

Tak berlengah, Jazadin mengambil beg sandang Intan dan memasukkan barang keperluan Intan. Dia main sumbat apa saja yang terpandang oleh matanya.

“Ka... ka... kawan ayah... dah datang ke? Dia nak bawa kita ke KL ke?” Intan tergagap bertanya. Melihat muka pucat Jazadin membuatkan dia resah.

“Lintah darat tu dah tahu kita kat sini! Ayah nak Intan lari dulu. Lari pergi KL. Tunggu ayah kat Dataran Merdeka. Ingat! Jangan sampai kena tangkap dengan lintah darat tu. Ya? Tunggu ayah kat Dataran Merdeka.” Jazadin menyuakan beg sandang dan kasut kepada Intan.

Intan sudah mula mahu menangis. “Ayah...”

“Pergi! Ayah kata pergi, pergi! Cepat!” desak Jazadin kerisauan. “Ayah nampak lintah darat tu nak datang ke sini. Cepat, Intan. Ambil duit ni. Simpan baik-baik.” Sejumlah wang kertas yang bergulung-gulung dimasukkan ke dalam stoking hitam, lalu diserahkan ke tangan Intan.

Intan melihat stoking yang mengembung sedikit itu dengan perasaan pilu.

“Cepat, Intan! Pergi!” Jazadin mendorong Intan ke pintu belakang rumah. Walau Intan cuba berkeras bertahan, ditolak anaknya itu dengan kuat.

Cepat-cepat Intan berpaut ke dinding, tak mahu keluar dari rumah itu.

“Intan! Dengar cakap ayah. Pergi sekarang!”

Intan berdiri menghadap Jazadin. “Ayah ikutlah sekali. Kita lari sama-sama. Kita pergi KL sama-sama.” Dia tercemik dengan genangan air mata memandang Jazadin penuh mengharap.

Hati Jazadin disayat sayu. Berat hati nak melepaskan anak gadis yang baru berusia 19 tahun itu sendirian ke Kuala Lumpur. Tapi itu saja pilihan yang ada sekarang.

“Ayah...” rintih Intan, lalu air matanya gugur ke pipi.

“Duit yang ada tu tak cukup untuk kita berdua. Lagipun, ayah nak lengah-lengahkan lintah darat tu. Ayah takkan benarkan dia orang tangkap Intan. Intan jangan risau. Ayah datang ke KL cari Intan nanti. Ayah janji. Intan pergi dulu ya?” Jazadin sesungguh hati merayu. Diseka air mata Intan dengan tangannya.

“Ayah janji?”

“Ya. Janji...” Jazadin takkan biarkan Intan sendirian dikota raya itu.

Intan merenung wajah Jazadin yakin tak yakin.

“Ingat, Intan... jangan percaya pada sesiapa pun. Orang yang buat baik kat kita tak semuanya jujur. Banyak yang buat baik sebab nak ambil kesempatan. Hati-hati.” Sempat Jazadin berpesan apabila sekelumit perasaan risaukan Intan menyelinap dalam hati.

Mereka berpaling ke arah hadapan rumah apabila terdengar suara bising sayup-sayup di luar. Muka mereka berdua terkejut pucat.

“Cepat, Intan!” Dengan pantas Jazadin menolak Intan keluar.

Intan masih teragak-agak. Susah hati dia nak tinggalkan ayah yang sudah tua itu sendirian. Tapi keadaan benar-benar mendesak. Dia terpaksa. Sempat dia mencapai bucket hat di kepala Jazadin. Dipakai topi coklat lusuh ayahnya itu.

“Intan tunggu ayah kat Daratan Merdeka. Kat tiang bendera yang paling tinggi tu.”

Laju Jazadin mengangguk.

“Ayah pun selamatkan diri. Jangan sampai lintah darat tu apa-apakan ayah.” Betapa risaunya Intan nak tinggalkan Jazadin.

Bam!

Sebaik sahaja mendengar bunyi dinding ditendang, Intan dan Jazadin terkaku dengan mata membulat.

“Cepat, Intan! Pergi!” Jazadin menolak Intan.

Sedangkan Intan masih terkaku. Dalam hati masih serba salah mahu meninggal ayah yang tua itu sendirian. Tapi dalam masa yang sama dia perlu selamatkan diri.

“Tangkap dia!” jerit David di muka pintu rumah itu setelah melihat Jazadin dan Intan ada di pintu belakang.

Orang-orang David seramai lima orang itu menyerbu.

“Lari, Intan! Lari! Lari!” pekik Jazadin sekuat-kuat hati. Seluruh tubuhnya menggigil.

Dengan muka ketakutan, Intan mula berlari. Dia tertoleh-toleh ke arah Jazadin.

“Kejar dia! Cepat! Kejar sampai dapat! Tangkap!” David mengerah orang-orangnya mengejar Intan.

Tiga daripada orang David mula berlari mengejar Intan. Tapi Jazadin menghalang ketiga-tiga mereka. Dia berdiri di muka pintu dengan tangan kukuh berpaut pada pintu agar mereka tak dapat melolos keluar.

“Lari laju-laju, Intan! Lari jauh-jauh! Lari!” Jazadin menjerit sekuat hati. Dia menangis teresak-esak. Dalam hati dia berdoa moga Intan dilindungi ALLAH sepanjang jalan.

“Hei, orang tua! Ke tepi!”

Jazadin tetap bertahan. Dihalang ketiga-tiga lelaki itu dengan sedaya upaya dengan sisa tenaga yang ada. Dia mahu Intan lari sejauh-jauhnya.

Buk!

Satu penumbuk menghentak belakang leher Jazadin, membuatkan orang tua itu mengerang sakit dan melurut jatuh ke lantai.

Dua orang lelaki kemudian mengheret Jazadin ke ruang tengah.

“Tolong jangan apa-apakan aku,” rayu Jazadin, menahan sakit tubuhnya diseret dengan kasar.

David berpeluk tubuh memandang sinis ke arah Jazadin.

Manakala Intan pula berlari sambil menangis meraung. Kelihatan dari jauh tiga orang lelaki sedang mengejarnya. Sangat pantas dan laju. Dengan tenaga yang ada, dia berlari lebih laju bagaikan tak cukup tanah. Dia tak berpaling ke belakang lagi. Berjuraian air matanya. Dia benar-benar takut akan ditangkap geng lintah darat itu dan menjadikannya pelacur.

Dadanya diamuk debaran yang menggila. Tercungap-cungap dia berlari. Berpeluh-peluh. Perasaan sebak dan pilu menyesakkan dadanya. Sambil berlari dia menangis semahu hati.

“Ayah.... ayah...” Teresak-esak dia merintih.

Dia risaukan ayahnya. Dia takut apa-apa terjadi pada Jazadin. Tapi dia perlu selamatkan diri. Moga Jazadin turut dapat selamatkan diri daripada lintah darat jahanam itu! Hanya itu doa yang diulang-ulang dalam hati.

Dan Intan terus berlari, berlari, berlari... meredah semak-samun agar tak ditangkap lelaki-lelaki durjana yang mengejarnya. Air matanya tak henti-henti mengalir.


------------------

Deringan telefon bimbit di atas meja kaunter itu membuatkan Airel mencapainya sebelum menjawab panggilan tersebut.

“Helo...”

“Helo, Abang Airel.” Suara di hujung talian agak ceria.

“Haa... Roza. Ada apa?” Terus Airel bertanya.

“Abang Airel kat studio ke?”

“Kat studiolah, kat mana lagi. Kenapa?” soal Airel pula.

“Roza tengah tunggu turn nak dialisis ni. Tapi mama ada hal pulak dengan kawan dia, tak boleh nak tunggu. Kalau abang free, datanglah sini temankan Roza.” Roza memberitahu. Mengajak sebenarnya. Atau lebih tepat lagi sedang menyuruh Airel.

“Malaslah.” Selamba Airel membalas.

“Mama, tengok ni Abang Airel tak nak temankan Roza.” Roza mengadu pada Mariam, namun Airel mendengarnya di hujung talian.

Mengekeh Airel ketawa.

“Abang Airel ni, dengan sepupu sendiri pun nak berkira. Tak kesian langsung dengan orang yang sakit ni,” rungut Roza lagi.

“Yalah, yalah... cakap kat mak uda, kejap lagi abang datang. Kat tempat biasa kan?”

“Kat Jalan Raja Abdullah nilah macam biasa. Datang cepat tau. Bye!

Airel memasukkan telefon bimbitnya ke dalam poket seluar setelah talian diputuskan.

“Fizi!” panggil Airel agak kuat.

Fizi yang berada di dalam studio, keluar ke kaunter. “Ya, bang.”

“Aku nak keluar ni.”

“Okey, bos!” Fizi buat aksi tabik sambil tersenyum.

Tak berlengah, Airel keluar dari situ setelah mencapai kunci kereta. 

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.