Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
112,318
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 7

WAJAH Jazadin kelihatan sangat lemah tak bermaya. Matanya tak berdaya dibuka. Terpejam dia kelesuan. Mukanya lebam-lebam. Ada kesan darah dihujung bibir. Apa yang berlaku pada dirinya, dia hanya berserah. Kalau diamati, dia redha saja. Dalam keadaan kedua-dua tangan dan kaki diikat pada kerusi, apalah dayanya lagi.

“Hoi, orang tua!” Salah seorang daripada tiga lelaki orang suruhan lintah darat itu menjerkah. Tubuhnya yang paling sasa.

Jazadin tak menghiraukan panggilan itu. Dia sesungguhnya sudah tiada daya.

“Dah banyak kali aku bagi kau peluang nak hidup. Kau tak nak bagi tahu jugak ke kat mana anak kau? Hah, orang tua?” Lelaki itu menunjal-nunjal kepala Jazadin.

Jazadin memandang lelaki itu seketika sebelum menggeleng. “Pak cik tak tahu.” Lemah perlahan suaranya.

Lelaki itu tersengih menyindir. “Tak tahu konon!” Ditumbuk kuat pipi kiri Jazadin, membuatkan beralih muka Jazadin ke kanan. Bersembur darah!

Walau sakit hampir mati pun, Jazadin takkan sesekali memberitahu di mana Intan berada. Doanya agar Intan selamat sama ada di Kuala Lumpur atau di mana saja anaknya itu berada.

Genangan air mata ditahan. Dikeraskan hati agar tak menangis dan merayu. Sejak ditangkap geng lintah darat itu petang semalam, teruk dia dibelasah. Dia dipaksa memberitahu di mana Intan berada. Malah, dia hanya diberi minum air. Perutnya langsung tak menjamah makanan. Dia juga tak tahu sedang berada di mana. Kelihatan seperti bangunan kilang tinggal.

“Eii, orang tua ni. Makin panas pulak hati aku ni. Jangan sampai remuk tulang kau tu aku kerjakan!”

“Kau relakslah, Dom. Tak payah marah-marah. Bagi penumbuk cukup-cukup dahlah. Esok lusa gerenti dia bagi tahu. Kau ingat orang tua ni boleh tahan ke?” Lelaki bertatu bentuk kala jengking di leher itu ketawa mengejek Jazadin.

“Kau settlekan dia, Ken.” Dom sudah malas.

“Okey!” Cerah muka Ken menerima arahan itu. Terus dia berdepan dengan Jazadin. Muka Jazadin didongakkan sedikit. “Kau tengok aku buat ni, orang tua.”

Jazadin membiarkan saja. Dipejamkan matanya.

Lalu Ken menampar pipi kiri Jazadin. Kuat bunyinya. Ditampar pula pipi kanan lelaki tua itu hingga terteleng muka Jazadin.

Jazadin berkerut muka menahan pedih. Dia ditampar di kiri dan kanan bergilir-gilir. Terasa birat pipinya. Namun, mulutnya tetap dibiarkan terkunci. Mata kepanasan mahu menggugurkan air jernih.

Tersenyum Dom melihat Ken menampar Jazadin. Dia puas hati. Dihampiri seorang lagi kawannya yang sejak tadi hanya baring di atas meja besi beralaskan kotak. Tangan dihulurkan.

Lelaki yang sedang melayan vape itu bertanya dengan isyarat kepala. Tak faham apa yang Dom mahukan.

“Bagi aku tu,” tunjuk Dom ke arah air tin warna biru bergambar harimau itu. Diteguk sedikit air itu setelah air tin itu berada di tangannya. Kawannya yang sedang berbaring itu dijeling.

“Kau ni dari tadi asyik baring je aku tengok, Remy.” Dom seakan mengkritik kawannya itu.

Mulut Remy berkepul keluar asap putih. Dipandang Ken yang masih lagi menampar Jazadin. Kuat betul tamparan Ken. Bergema bunyinya. Pek! Pek! Pek!

“Bos suruh kita buat sampai dia bagi tahu kat mana anak dia. Kalau kau terbaring dengan vape tak habis-habis, kau rasa dia nak buka mulut ke?”

“Kau dengan Ken dah belasah dia, cukuplah.” Remy membalas acuh tak acuh.

“Kalau bos tahu...”

Belum sempat Dom menyudahkan ayat, muncul bos mereka di situ bersama dua orang kanannya. Mendadak Dom berdiri tegak. Remy bergegas bangun. Dia turun dari meja itu. Sedangkan Ken pula terus berhenti menampar Jazadin.

Jazadin tertunduk lemah. Pipinya terasa kebas dan perit. Mengalir perlahan air mata di hujung matanya.

“Mr. David...” Ken menjarakkan diri dari Jazadin. Memberi ruang kepada bosnya itu.

David menghampiri Jazadin dengan pandangan angkuh. Sinis senyumannya terukir sedikit. Dengan hujung jari telunjuk, diangkat dagu Jazadin. Dia berdecit, kononnya kesian melihat wajah lebam berdarah dan keadaan Jazadin yang lemah itu.

“Dah teruk macam ni pun masih tak nak bagi tahu kat mana anak kau?” Tak perlu bertanya pada Ken, Dom dan Remy pun dia sudah tahu jawapannya. Jazadin sangat degil dan keras kepala!

“Apa kita nak buat ni, bos?” Dom menghampiri ke sebelah Ken.

David melepaskan dagu Jazadin. Dia diam seketika. “Rugi jugak tak dapat anak dia. Kalau tak, boleh kita ‘kendurikan’ perempuan tu.”

Jazadin masih membatu. Disabarkan diri daripada bercakap apa-apa. Sedangkan dalam hati dia membentak. Diketap kuat gigi sendiri. Tak guna punya setan! Aku takkan benarkan kau sentuh dia!

“Tapi tak apa.” David senyum semula. “Hutang tetap kira hutang, Jazadin. Tak dapat anak kau, kau pun boleh langsaikan hutang-hutang kau tu.”

Jazadin mula cuak mendengar kata-kata David itu.

Dom, Ken dan Remy saling berpandangan.

“Mulai sekarang...” David menepuk-nepuk bahu Jazadin. “Kau jadi kuli tanpa gaji kat kandang babi aku. Tak lama. Sepuluh tahun je. Lepas tu, kira langsai hutang kau yang RM40 ribu tu termasuk bunganya sekali. Okey?”

Bulat mata Jazadin. Kandang babi? Gementar hatinya.

“Angkut dia!” perintah David kepada Dom, Ken dan Remy.

Ken dan Remy memaut kiri dan kanan lengan Jazadin yang masih berikat. Dipaksa Jazadin berjalan walau kakinya berikat.

Mereka semua keluar dari kilang tinggal itu. Sebuah van sudah menunggu. David dan dua orang kanannya pula masuk ke dalam kereta BMW.

Ken dan Remy menyumbat Jazadin ke dalam van itu dengan kasar. Diapit Jazadin duduk di kiri dan kanan. Manakala Dom duduk bersama pemandu.

Kedua-dua kereta dan van itu mula bergerak meninggalkan kawasan tersebut. Mereka sudah tahu ke mana arah yang hendak dituju. David mempunyai sebuah kandang ternakan babi antara yang terbesar di Malaysia.

Jazadin tundukkan muka dengan mata terpejam. Berbaur perasaannya ketika ini. Sedih, kecewa, hampa. Perlahan-lahan air jernih mengalir dari celah matanya yang terpejam. Sungguh dia tak rela. Tapi demi keselamatan Intan, dia terpaksa. Asalkan Intan selamat, itu sudah cukup baginya.

 

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.