Home Novel Cinta Katakan Pada Aku (1-11 REUPLOAD)
Katakan Pada Aku (1-11 REUPLOAD)
AkaaSol
8/1/2020 10:37:20
33,417
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

"Hidup ini, perjuangan, aku boleh, aku boleh". Elinda mengomel sendirian. Dia sedang cuba untuk menaikkan semangatnya yang hampir hendak hilang. Elinda mengenangkan kembali eksperimen semalam yang tidak menjadi, berbagai cara yang dia lakukan. Dia telah datang ke makmal dari pagi sampai ke petang. Tiada result. Hari ini dia bercadang untuk mencuba cara lain pula. Sampailah dia mendapat data yang penyelia dia berpuas hati.

"Engkau dah kenapa cakap seorang diri ni?. Macam mana eksperimen kau semalam Eli?". Elinda hanya mencebik kearah Syu atau nama sebenarnya Syuhada. Salah seorang daripada rakan sebiliknya dari semester 1 sampailah semester 5 ini.

"Tak okay jugak?". Elinda hanya mengangguk untuk mengiakan. Lemah semangat hendak menjawab pertanyaan itu.

"Kau punya projek dah sampai mana?". 'Agaknya sempat tak aku nak habis projek sama dengan Syu nanti'.

"Aku dah dapat data untuk bahagian 1, tunggu supervisor aku tengok dulu. Dia tengah sibuk dengan conference, tak sempat nak tengok, mungkin esok aku dapat pergi jumpa supervisor aku". Kata Syuhada sambil terbongkang di atas katil.

"Habis kau tak pergi lab la ni?". Syuhada mengangguk sambil tersengih pada Elinda. Elinda dengan pantas mengambil bantal dan menghempuknya beberapa kali. Syuhada hanya tergelak besar. Betapa nikmatnya hidup, walaupun cuti satu hari, hanya pelajar seperti mereka yang sedang usaha menghabiskan projek sahaja yang tahu. Selepas puas Elinda melepaskan geram, dia pun bersiap-siap untuk pergi ke makmal.

"Niya dengan Sarah sampai hari ini kan?". Kata Elinda sambil memasukkan lab coat ke dalam beg galas.

"Katanya dalam petang macam tu baru sampai. Dia orang lagi seronok 2 minggu lewat mula projek. Kita ni budak organik kena mula awal sebulan. Tak rasa cuti semester. Jealous aku". Sebal sungguh Syuhada rasakan.

"Kalau kau jealous pergi sana pilih inorganic chemistry dengan dia orang. Bahan kimia pun tak sampai lagi, macam mana nak mula projek tu. Kita ni nak rendam pokok je dah perlu seminggu, nak extract lagi."

"Tak nak aku, cinta hatiku hanya pada organic chemistry. Dahlah pergilah kau cepat, lab dah buka ni aku rasa. Aku doakan kau berjaya hari ni". Elinda hanya tersengih. Dia berharap sangat hari ini berjalan lancar.

******************
Elinda menyarungkan lab coat dan berlalu masuk ke dalam makmal. Dia pergi ke arah sample projeknya sambil menyapa rakan sekelas yang lain dan Kak Anna lab assistant yang kebetulan berada disitu. Kak Anna bertanggungjawab untuk menjaga makmal khas untuk pelajar tahun akhir menyiapkan projek mereka.

"Selamat pagi, Kak Anna".

"Selamat pagi, Elinda".

"Kak Anna, ada lagi tak stok metanol grade AR?. saya nak buat campuran untuk test dalam instrumen Ultraviolet".

"Awak nak berapa banyak? Chemical yang baru, sampai dalam minggu depan, jadi minggu ini kena berjimat sikitlah".

"Sikit je Kak Anna dalam 50 milimeter je". Elinda menunjukkan lima jarinya dan membuat jurus muka kasihan.

"50 milimeter cukuplah, tapi kena ambil kat makmal inorganik, makmal ni dah habis".

"Tak kisah Kak, saya boleh pergi ambil sendiri." Elinda tersenyum gembira. Dengan pantas dia mengambil bikar, silinder penyukat dan dropper, lalu memasukkannya ke dalam bakul.

"Kalau macam tu Akak akan beritahu lab assistant di makmal inorganik, kamu nak ambil chemical".

"Terima kasih kak". Elinda beredar ke makmal inorganik.

Ding! Telefon Elinda berbunyi menandakan mesej baru masuk. 1 mesej dari group chat.

Syuhada : Wei dia orang dah sampai.

Elinda : Ada bawa oleh-oleh tak?.

Elinda membalas mesej di tangan kiri sambil tangan kanan memegang bakul.

Sarah: Apa punya kawan dia ni, benda tu yang ditanya dulu. Ada ni untuk kau orang, mak aku bekalkan macam-macam.

Elinda menekan butang lif untuk naik ke makmal inorganik di tingkat 3.

Taniya: Aku pun. Kau balik nanti ambil je. Aku letak atas meja.

Pintu lif terbuka.

Elinda: Happy...happy...

Gedebuk!!!.

Terlepas segala benda di tangan Elinda. Dia pun jatuh berguling dengan tidak senonohnya. 'Alamak terlanggar dinding. Malunya aku, nasib sekarang cuti semester tak ramai orang.' Elinda cepat-cepat ingin bangun dan beredar dari situ. Namun dia melihat isi bakulnya yang sudah pecah berderai, terhempas di lantai hanya dropper sahaja yang masih elok kerana ianya plastik manakala yang lain sudah tiada rupa asal. Dia melihat di sisi lain pula, elok terletak telefon bimbitnya di atas lantai. Elinda mencapai telefonnya yang sudah gelap. 'Rosak ke?'. Elinda cuba menghidupkan telefonnya, berharap ia masih elok. Namun gagal. 'Kenapa hari ni!'. Elinda yang masih terduduk ke lantai memandang ke langit. Tiba-tiba dahinya ditekapkan dengan tisu oleh seseorang. Elinda masih keras membeku terduduk di lantai di hadapan lif itu, melihat seorang lelaki bert-shirt putih dan bertopi yang tiba sahaja memperlakukannya sebegini. Tidak Elinda perasan terdapat orang lain lagi yang berada disitu.

"Pegang ni, jangan lepas". Perlahan suara memberitahu Elinda untuk terus menekap dahinya. Elinda melihat tisu di dahinya itu terdapat kesan darah. 'Darah aku ke ni, bila masa aku luka ni?'.

"Hulur tangan kanan tu". Tangan kanan Elinda juga ditekapkan dengan tisu sejurus sahaja dia menghulurkan tangannya. Elinda juga baru menyedari lab coat yang dipakainya terdapat kesan darah yang terlekat, semasa cubaannya untuk menghidupkan telefonnya yang telah terpadam. Elinda ligat melihat lelaki itu yang mengemas segala barang kaca yang sudah pecah berselerak di lantai. Selepas mengutip semua barang Elinda, lelaki itu membawanya ke klinik universiti. Elinda mengikut langkah lelaki itu kerana luka di tangan dan dahinya sudah mula terasa perit.

*****************

Elinda melangkah masuk bilik dorm yang dikongsi bersama 3 rakannya yang lain. Syuhada yang sedang duduk di meja belajar hanya menoleh sekilas melihat Elinda yang sedang menyusun kasutnya.

"Aik! Awal sangat kau balik ni, pukul 12 pun tak lagi. Eksperimen kau tak berjaya lagi ke? " Syuhada bertanya tanpa menoleh ke arah Elinda.

"Aku ingat nak buat esok la". Elinda sudah terbaring di atas katilnya.

"Macam tu pulak, pagi tadi bukan main semangat lagi nak settle hari ni."

"Aku sakit kepala ni". Elinda menjawab sambil memejam matanya.

"Kau sakit kepala? Dah makan ubat belum? Aku ada ubat sakit kepala. Kejap aku cari". Syuhada mengambil ubat di dalam laci mejanya dan berlalu ke arah Elinda.

"KENAPA NI ELI! Ni bukan sakit kepala biasa-biasa". Terjerit sedikit Syuhada apabila menyedari dahi Elinda yang bertampal.

"Shush, jangan bising. Nanti terbangun pulak Niya dengan Sarah tu". Elinda hanya membuka sebelah matanya melihat Syuhada yang sedang membelek dahinya.

"Pagi tadi kau elok je, tak sampai beberapa jam dah jadi macam ni, mana tak terkejut aku. Kenapa kau tak call aku?".

"Aku terlanggar orang. Doktor kata tak serius pun, dua tiga hari eloklah. Handphone aku rosak, aku mana ingat nombor kau, jangan risau, ada orang tolong aku tadi."

"Siapa tolong kau?". Syuhada teruja ingin tahu hingga memegang tangan Eli yang terluka. Terjerit Elinda sedikit dibuatnya.

"Sorry, sorry, aku tak perasan tangan kau pun berbalut". Syuhada melepaskan tangan Elinda.

"Siapa lagi orang yang langgar aku itulah". Elinda menjawab soalan Syuhada tadi. Dia tidak terniat ingin meninggikan suara, namun kepalanya tengah sakit ketika itu.

"Kau kenapa berbalut tangan, bertampal dahi tu Eli? ". Sarah sudah terjaga dari tidur bertanya. Manakala Taniya sudah turun dari katil berlalu pergi ke tempat Elinda dan Syuhada berada. Elinda menjengilkan matanya pada Syuhada . 'Pasal kau la ni dia orang terbangun'.

"Sorry kau orang, Syu ni bising sangat sampai terbangun kau orang".

"Aku ni dah terlebih cukup tidur dah, malam tadi dalam bas ada tidur jugak, cuma tak lena. Ni dapat tidur 2 tiga jam dah okay".

"Aku pun, dahlah tu pasal kita orang, kau kenapa ni?". Kini giliran Taniya pula bertanya. Elinda menceritakan segala yang terjadi, dari dia terlanggar sehingga dia dibawa ke klinik.

"Adakah ini permulaan kisah cinta pandang pertama?" Syuhada tersengih-sengih memandang Elinda.

"Kau ingat drama melayu petang-petang. Terlanggar, jatuh buku, tolong kutip. Aku berdarah betul-betul ni tau!". Elinda berkata sambil menunjukkan dahinya yang berbalut ke arah Syuhada.

"Atau adakah ini akan menjadi kisah perlanggaran lagenda yang menjadi sebutan pada akan datang." Sarah pula dengan fantasinya. Elinda buat muka. 'Seriously kau pun Sarah'.

"Memang akan jadi lagenda, ini namanya lagenda perlanggaran berdarah". Jenuh Elinda hendak memecahkan buih buih fantasi kawan kawannya ini.

"Tapi baik dan bertanggungjawab betul dia pada kau kan". Taniya pula berkata.

"Memanglah dia baik dengan bertanggungjawab, dia yang langgar aku"

"Kau pun ada salah jugak, jalan sambil main handphone". Syuhada membidas. 'Betul jugak tu, aku pun ada salah'. Hati Elinda mengiakan dakwaan Syuhada itu.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh AkaaSol