Bab
8
Ezri pulang ke
rumah dan menghempaskan dirinya ke kusyen.Dia
membaringkan dirinya dan cuba melelapkan mata.Kelibat Nur Jannah tidak kelihatan dan Ezri sendiri malas
mengambil tahu tentang gadis itu. Seketika dia terdengar derap kaki dari dapur
dan menuju ke arahnya. Pantas Ezri menutup mata dan berpura-pura tidur.
“ Abang..” Nur Jannah memanggil
perlahan. Wajah insan yang dirinduinya dipandang lama. Hatinya sedikit lega
walau ada luka yang masih berdarah. Dia benar-benar merindui Ezri dan
mengharapkan Ezri sentiasa berada disampingnya.
“ Abang!” Nur Jannah menggoyangkan
tubuh suaminya. Pantas Ezri membuka mata dan memandangnya tanpa senyuman. Dia
bergegas bangun dan menuju ke dapur dan mengambil segelas air masak. Nur Jannah
yang memerhati merintih hiba..sampai hati Ezri melakukan dirinya sebegitu.
Tiada lagikah cinta di hati lelaki itu buatnya? Selama ini mereka menyemai
cinta dengan gelak dan tawa. Tiada sengketa antara mereka. Namun kini
segala-galanya telah berubah. Dia sememangnya tidak mengerti apa yang telah
berlaku.
“ Esok mama dan daddy nak datang!”
laung Ezri dari dapur. Nur Jannah yang mendengar mula mengerti mengapa Ezri
pulang ke rumah. Hatinya yang sakit makin bernanah. Alangkah dayusnya Ezri
sebagai seorang lelaki. Cuba melakonkan kebahagiaan hidup berumah tangga di
hadapan orang tuanya sedangkan mahligai mereka hampir berkecai.
“ Sebab tu abang balik?” Nur Jannah
bersuara keras saat Ezri melangkah ke arahnya. Wajahnya kemerahan menahan
marah. Sakit hatinya diperlakukan sebegitu oleh lelaki bergelar suami. Hina
sangatkah dia kerana menjadi isteri kepada Ezri.
“
Kau tak berhak menyoal aku. Rumah ni rumah aku. Aku nak balik ke, tak
nak balik ke, kau tak berhak masuk campur!” Ezri memberontak. Dia duduk sambil
meneguk air yang diambilnya dari dapur.
“ Nur tak berhak? Nur ni siapa?
Pelacur atau hamba abdi abang? Nur isteri abang..abang sudah lupa?” Nur Jannah
cuba bersabar, namun kesabarannya seakan terhakis. Penat dia mengharap
pengertian daripada suaminya. Namun hanya luka yang diguris di tapak hatinya
tanpa belas kasihan.
“ Kalau kau isteri aku, kenapa kau
nak berkurang ajar?” Ezri membidas sambil memandang ke arah Nur Jannah yang
berdiri. Benci benar dia pada Nur Jannah saat itu.
“ Kurang ajar? Siapa yang ajar Nur
macam ni? Kalau bukan abang. Kenapa abang hukum Nur macam ni? Apa salah Nur
abang?” Nur Jannah mengendurkan suara. Tanpa dipaksa air matanya mengalir ke
pipi. Sampai hati Ezri memberi hukum. Bukan niatnya untuk melawan. Dia perlukan
penjelasan dari Ezri.Andai cinta itu telah
tiada apa lagi ertinya hidup bersama.Dia digantung tidak bertali dari mula perkahwinan. Dia atau Ezri yang kurang
ajar dalam hal tersebut.
“
Aku yang salah. Bukan kau. Aku yang tersilap memilih!” Ezri bersuara
perlahan, namun jelas pada pendengaran Nur Jannah.
“
Tersilap memilih? Apa maksud abang ni?Apa yang Nur dah buat?” tutur Nur Jannah mulai lemah. Bibirnya
bergetar-getar menahan kelukaan hati. Adakah dia diduakan tanpa disedari?
Adakah juga kerana kepercayaannnya kepada Ezri selama ini dibalas dengan
kecurangan?
“ Kau tak buat apa-apa! Tapi kerana
kau, hati aku yang merana sekarang!” Tutur Ezri tanpa mempedulikan rintihan di
hati isterinya. Hanya bayangan Zurina yang bermain di matanya dengan senyuman.
“ Bagaimana pula dengan hati Nur,
bang?’’ Nur Jannah duduk di kaki suaminya. Wajah suaminya ditatap dengan penuh
kasih. Namun pandangan lelaki itu berkalih ke arah lain. Benci benar tampaknya
dia kepada Nur Jannah. Entah ke mana menghilang kasih dan sayangnya yang dulu.
“
Aku minta maaf! Aku tak mampu ubatkan hati orang lain! Hati aku sendiri
terasa sakit..’’
“
Tapi kenapa kita berkahwin bang? ’’
“
Mungkin ada yang membomohkan aku! ’’ Tutur Ezri dengan suara yang sinis.
Wajah Nur Jannah dipandang. Tiada sekelumit simpati di dalam hatinya untuk
isterinya. Nur Jannah terduduk mendengar kata-kata suaminya. Hatinya hancur
berderai seperti kaca yang terhempas. Tidak pernah dia menyangka percintaan
mereka selama ini palsu belaka.
“ Sekurang-kurangnya, aku tidak
mengambil kesempatan kepada kau walaupun kau dah sah jadi isteri aku! Ingat
tu!’’Ezri bangun dan keluar. Seketika enjin keretanya kedengaran dan hilang
sekelip mata. Nur Jannah menangis teresak-esak menahan kelukaan hati. Jiwanya
sakit dan parah. Namun cintanya pada Ezri tetap mekar disitu. Tiada dua atau
tiga, hanya Ezri yang satu.
****
Ezri memecut laju
keretanya ke arah Setapak. Pening kepalanya memikirkan apa yang telah berlaku.
Terasa saat itu juga dia ingin berpisah dengan Nur Jannah. Namun memikirkan
banyak kemungkinan yang akan berlaku dia membatalkan hasrat hatinya.
“ Aku cintakan Zurina. Bukan kau!” Ezri menghentak streng kereta. Dia
memberhentikan keretanya di bahu jalan. Masih jelas di matanya air mata Nur
Jannah yang mengalir laju.
“ Maafkan aku! Aku tak ada niat nak buat kau macam tu!” Ezri meraup
wajahnya. Dia sendiri hairan, mengapa dia terlalu membenci Nur Jannah.
Ingatannya hanya pada Zurina. Kasihnya pada Zurina seluas lautan. Cintanya pada
gadis itu terlalu banyak. Bagaimana dia memilih Nur Jannah yang kurang
serba-serbinya. Ah! Semuanya sudah berlaku. Apa yang terjadi tidak dapat
diundurkan kembali. Nur Jannah kini menjadi miliknya. Isterinya yang sah, namun
cintanya pada Zurina makin mekar dari hari ke hari. Dia tidak mampu melupakan
Zurina walaupun sesaat. Jauh sekali untuk meninggalkan gadis itu. Tidak
sekali-kali Dalam kekusutan, Ezri mencapai telefonnya dan mendail seseorang.
“
Helo..” Ezri bersuara apabila panggilannya dijawab.
“
Helo..siapa?” kedengaran suara Arman Mustaqim di corong telefon.
“
Aku Ezri lah! Kau kat mana Arman?” pantas Ezri bersuara. Rasa bosan menyelinap masuk ke dalam dirinya saat itu.
“
Aku kat rumah. Apahal Ez?”`
“
Jom..kita keluar!” Ezri begitu mengharap. Dia tidak ingin berseorangan saat
itu.
“
Maaflah Ez! Aku ada hal malam ni..kau kenapa?” tutur Arman Mustaqim tanpa
mengerti perasaan Ezri yang bercelaru.
“
Tak ada apa. Saja ajak minum..kalau tak dapat tak apalah.” Suara Ezri sedikit
kecewa. Nampak gaya, terpaksalah dia melayan sendiri kepalanya yang semakin
sakit.
“ Kau ajaklah bini kau tu..jangan
asyik keluar dengan Zurina je. Tak baik! Curang namanya tu. Oklah aku ada hal
ni..” sempat Arman Mustaqim memberi nasihat.
“ Yelah..” Ezri bersuara singkat.
Kemudian talian diputuskan selepas menjawab salam Arman Mustaqim. Sakit juga
hatinya dikenakan berkali-kali. Dia termenung seketika. Curangkah dia? Salahkah
dia bersama Zurina yang menduduki tempat di hatinya. Berdosakah dia menyintai
gadis itu? Ah, mengapa semua ini berlaku! Memikirkannya kepala Ezri semakin
sakit. Dia menghidupkan kembali keretanya dan menuju ke arah Gombak. Ezri
berkira-kira untuk pulang ke rumah namun akhirnya dia singgah di kedai Mamak
dan mengenakan secawan kopi.
****
Zurina
membelek-belek majalah wanita yang dibeli oleh Maisarah. Dia mencari halaman
yang berkaitan dengan diet dan cara-cara menguruskan badan.Tangannya
berhenti membelek apabila membaca cara-cara mendapatkan diet yang berkesan.
“
Em..minum air putih banyak-banyak dalam lapan gelas sehari atau lebih..jangan
makan selepas pukul lapan.Bukan
payah sangat!” Zurina bersuara sendiri. Dia membaca lagi dan termenung
seketika.
“ Kau apahal? aku tengok termenung
semacam je! Apa yang menarik sangat?” Maisarah duduk di sebelah Zurina. Matanya
pantas membaca helaian yang dibaca oleh Zurina. Dia tersenyum sendiri sambil
diperhatikan oleh Zurina yang mengerutkan dahinya.
“ Kenapa kau senyum? Apa yang kelakarnya?”
“ Kau tu dah kurus. Buat apa nak
diet-diet ni..buat seksa badan jelah. Badan dah macam kerengga, dah langsing.
Lainlah macam aku ni, lemak sana sini.”
“ Aku takut pakwe aku larilah
Mai..Nanti merana aku!” Zurina berwajah sedih. Maisarah tergelak kecil melihat
mimik muka temannya.
“ Sayang..kaukan dah kena tinggal
dengan boyfriend. Si Ezri tu kan dah
kahwin..atau kau dah ada boyfriend
baru ni? Saja tak nak cakap dengan aku,” Maisarah memandang ke arah Zurina
dengan pandangan tajam. Cuba diselami temannya yang masih bersedih dengan
perkahwinan kekasih hati.
“ Tak adalah..aku..” Zurina
memberhentikan percakapannya sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
Kemudian dia memandang Maisarah sekilas sebelum menatap semula majalah
kesukaannya.
“ Atau kau ada hubungan lagi dengan
jantan tu? Kau jangan Zurina. Tak baik kau menghancurkan rumah tangga orang!”
Maisarah memberi nasihat. Zurina
memandang kembali kepadanya.
“ Dia yang hancurkan percintaan aku
dengan Ezri.Bukan aku yang merampas!” Tiba-tiba
Zurina membentak keras. Tidak habis-habis orang menyalahkan dirinya.
“ Zurina, merampas kekasih dengan merampas
suami tak sama. Lelaki tu telah diamanahkan menjaga seorang perempuan yang
telah diakadkan olehnya sebagai seorang
isteri. Seorang isteri yang halal untuk dia sentuhi dan wajib dia memberi
kebahagiaan kepada isterinya,” Maisarah bersuara panjang. Dia tahu ada kelukaan
di hati Zurina yang menaruh kepercayaan kepada Ezri terhadap cinta mereka
selama ini.
“
Ezri adalah cinta pertama aku Mai! Dia juga cintakan aku sepertimana aku
cintakan dia.” Wajah Maisarah dipandang lama. Temannya itu sendiri tahu tentang
percintaan mereka. Tetapi kenapa Maisarah sentiasa menyalahkan dirinya?
“
Cinta? Dia cintakan kau? Zurina, kalau dia cinta dan sayang sangat kat kau, dia
takkan kahwin dengan perempuan lain walau dipaksa. Tapi dia sendiri yang rela.
Dan kau harus tahu Ezri tu curang orangnya..” Maisarah menggelengkan kepalanya. Memang benar kerana
cinta manusia menjadi buta untuk menilai yang baik dan yang salah. Kerana cinta
juga seseorang boleh menjadi kejam dengan melukai hati insan lain. Sebagai
teman, Maisarah tidak ingin melihat Zurina karam dengan mainan perasaan.Biarlah Zurina menangis pedih kerana kehilangan Ezri
daripada menghancurkan hati seorang isteri.
“ Dia tersilap memilih Mai. Dan dia
masih cintakan aku..dia tak sayang perempuan tu. Agaknya perempuan tu guna ubat
guna-guna tak Mai?”Zurina mula menitiskan air mata.
Dia cintakan Ezri sepenuh hati. Dia tidak sanggup kehilangan Ezri. Jika diberi
peluang, Zurina sanggup mengucup tapak kaki isteri kekasihnya supaya melupakan
lelaki itu. Sungguh Zurina akan melakukannya.
“
Mengucap Zurina..bukankah jodoh pertemuan itu di tangan tuhan. Memang kau dan
Ezri tiada jodoh. Tidak baik menuduh orang macam tu. Masih ramai lelaki yang baik diluar
sana yang akan sukakan kau. Tapi yang pasti orang tu bukan Ezri!” Tegas
Maisarah cuba menyedarkan Zurina yang tidak habis-habis menyalahkan orang lain.
“ Aku sayangkan dia. Aku tak
boleh hidup tanpa dia!”
“
Berapa ramai yang mati kerana putus cinta? Tak ramaikan? Kalau ada pun yang cetek iman dan pegangan
agamanya dengan mengambil jalan singkat dengan membunuh diri. Aku tak nak
tengok kau jadi sebodoh tu Ina!” Maisarah tidak berhenti menasihati. Dia tahu
tentang percintaan Zurina dan Ezri. Dia juga tahu kasih Zurina pada lelaki itu
seluas lautan. Namun semuanya tidak bermakna andai kasih sayang dibalas dengan
kecurangan. Sebagai gadis terpelajar Zurina seharusnya sedar cinta Ezri
hanyalah permainan.
“ Aku tak tahu, apa yang harus aku
lakukan Mai. Aku hanya mampu menunggu Ezri tunaikan janjinya!”
“ Kau nak bermadu?” Maisarah
memandang tajam.
“ Ezri akan ceraikan isteri dia, dan
akan kahwin dengan aku.”
“ Astaghfirullahalhazim…Zurina tidak
baik meruntuhkan rumah tangga orang. Tu namanya meruntuhkan masjid..lagipun kau
akan menyesal Ina!” Maisarah terkejut dengan keputusan Zurina. Hebat sangatkah
Ezri sehingga temannya itu sanggup melukai hati wanita lain. Tidak terfikirkah
Zurina, hati seorang isteri yang akan terluka parah kerana seorang suami yang
curang. Malah perkahwinan mereka masih dianggap mentah.
“ Bukan aku puncanya Mai!Ezri
tak cintakan perempuan tu. Malah mereka tidak tinggal sebumbung pun. Jadi bukan
aku yang salah!” Zurina masih kuat mempertahankan sikapnya.
“
Sampai tak tinggal sebumbung? Tu pun kau cakap bukan salah kau?Kerana Ezri couple
balik dengan kau lah, dia tak pulang Ina! Tu pun kau tak sedar lagi? Sudahlah
aku tak nak bertekak dengan kau. Cuma sebagai teman, aku nasihatkan jangan
bermain dengan api Ina..” Maisarah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“ Alang-alang hati aku panas, lebih
baik aku terbakar..biar jadi debu sekalipun, aku takkan lepaskan Ezri..” Zurina
bersuara keras. Sudah tekad di hatinya, walau apapun terjadi cinta Ezri hanya
untuknya.
“ Kalau kau dah nikah dengannya,
satu hari Ezri jatuh cinta dengan orang lain dan perempuan tu nak dia ceraikan
kau, kau sanggup hadapi..ingat Ina..setiap perbuatan ada balasannya..cinta
manusia bila-bila boleh berubah, tapi cinta pada Illahi kekal abadi. Oklah, aku
nak mandi dulu. Sekejap lagi solat maghrib..banyakkanlah berdoa semoga Allah
berikan kau petunjuk. Andai Ezri jodoh kau, InsyaAllah..dia akan bersama kau
juga. Namun biarlah tiada hati yang terguris! Hanya kerana cinta kalian,”
Maisarah bangun dan menuju ke bilik. Zurina
hanya mampu mengetap bibir. Tanpa sedar air matanya menitis lagi..sungguh dia
tidak bisa membuat keputusan. Kasihnya pada Ezri seluas lautan, namun mengapa Maisarah
tidak mengerti. Maisarah tidak berhak menghukumnya..tahukah Maisarah erti
kelukaan hatinya. Banyak mana luka di hati isteri Ezri, hatinya lagi terluka,
jiwanya sakit dan untuk merawatnya sendiri dia tidak berdaya. Zurina membelek
lagi buku Wanita yang dipegangnya. Namun fikirannya berserabut dengan kata-kata
Maisarah sebentar tadi. Pantas dia bangun dan menuju ke bilik untuk mandi.
Seketika wajah Ezri bermain di ruang matanya dan tanpa dipaksa dia tersenyum
sendiri.
****
Ezri pulang ke
rumahnya di Taman Harmonis. Dia berkira-kira untuk masuk atau tidak. Malas dia
melayan soalan Nur Jannah yang bertubi-tubi. Puas dia bersandar di dalam kereta
akhirnya Ezri membelok keretanya ke halaman rumah. Lampu yang terpasang
menandakan Nur Jannah masih berada di ruang tamu. Setelah mematikan enjin kereta, Ezri melangkah ke arah pintu dan membukanya
dengan menggunakan kunci pendua. Pantas matanya terarah ke arah Nur Jannah yang
terlena di atas kusyen. Televisyen yang masih terpasang tidak sedikitpun mengganggu
lena Nur Jannah yang mungkin sedang diulit mimpi. Ezri melangkah ke arah bilik dan menguncinya dari dalam. Dia menukar
pakaiannya dan menuju ke bilik air untuk mandi. Selesai mandi, Ezri menghala ke
arah televisyen dan mengambil remote
control dan mematikannya. Seketika wajah Nur Jannah ditatap lama. Ada kesal
di hatinya kerana melukai Nur Jannah. Maafkan abang..abang yang bersalah..tapi
abang cintakan Zurina..jangan cintakan abang lagi! Ezri bersuara di dalam hati.
Dia tahu Nur Jannah pasti terluka, namun cintanya untuk Nur Jannah mula pudar
dan tiada serinya. Ezri melangkah ke arah bilik tanpa
mengejutkan Nur Jannah. Dia mencapai sebuah novel kesukaan isterinya yang
berjudul Hatimu Untuk Siapa hasil karya H.M Tuah Iskandar. Dia membelek-belek
isi kandungannya dan meletak semula di atas meja. Hati abang hanya untuk
Zurina..getus Ezri sendiri. Dia mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi Zurina.
“ Helo sayang..” Ezri bersuara lembut
saat panggilannya dijawab oleh gadis itu. Wajah kekasihnya terbayang di mata
dengan senyuman yang manis.
“ Abang kat mana?” Zurina bersuara
manja, cukup menenangkan hati Ezri yang keresahan.
“ Abang kat rumahlah sayang..Ina dah
makan?” masih lembut tutur katanya.
“ Belum..tak ada selera!” Zurina
kedengaran merengek bagai anak kecil. Ezri tersenyum sendiri.
“ Aik! Tak ada selera? Ni mesti
rindu kat abang kan?” Ezri meneka dan tergelak kecil. Wajah Zurina yang manis
terbayang lagi di ruang mata.
“ Mestilah..abang jom keluar
makan..” lembut suara Zurina memujuk kekasih hati.
“ Tadi kata tak ada selera. Macam
mana nak makan kalau dah kenyang?” sengaja Ezri mengenakan Zurina di hujung
telefon. Seronok dia melihat Zurina mengajuk walaupun bukan mudah untuk
dipujuk.
“
Bila pulak Ina cakap Ina kenyang. Cuma tak ada selera makan tanpa abang,” Zurina memberi alasan. Ezri tersengih
mendengar alasan kekasihnya. Tak ada selera konon! Agaknya dah berpinggan
makanan dia sebat!
“
Dah malamlah sayang..nanti ada masa, kita makan sama-sama. Masa tu Ina jangan
cakap tak ada selera k!”
“
Abang duduk kat rumah mana ni?” suara
Zurina mula berbaur cemburu. Ezri tidak
senang dengan soalan Zurina yang seolah menguji kesetiaannya. Sebolehnya, dia
tidak ingin Zurina bertanya itu ini di saat hubungannya dengan Nur Jannah belum
menemui kata putus.
“ Abang duduk kat Sentul. Mana lagi.. Ina
jangan fikir yang bukan-bukan ek! Oklah, abang dah ngantuk ni. Ina pun tidurlah
ye..”
“
Em..yelah! abang jangan lupa mimpikan Ina. Jangan mimpi orang lain!” suara
Zurina yang bagai memberi arahan itu sudah biasa Ezri dengar. Semua kata-katanya bagai satu kewajipan untuk
ditelan. Sudahnya Ezri hanya tergelak sendiri memikirkan Zurina yang suka memaksa.
Namun begitu, Ezri senang andai Zurina cemburu. Itu menandakan Zurina sayang
padanya. Kata orang, cemburu itu tanda sayang!
“ Em yelah.. I love you!” Ezri memberi
satu kucupan di corong telefon.
“
Love you too..good night!” Zurina
bersuara manja. Ezri membalasnya dan tersenyum sendiri. Dia membalikkan dirinya
di atas tilam. Matanya dipejam, cuba membuang semua masalah yang datang. Sesekali wajah Nur Jannah datang menerpa
bermain di kepalanya dan bayangan Zurina, membuatkan Ezri mula terlena bersama
senyuman yang memanjang.