Bab 20

BAB 20

BEG digalas pada bahu kanan aku sebaik saja aku keluar dari perut kereta Luqman. Hari ini dia membawa aku sebuah pantai yang tidak jauh dari kolej. Katanya, mengikut kajian, suasana di tepi laut mampu menenangkan fikiran dan hati seseorang saat mendengar deruan ombak yang menghempas air laut serta bunyi burung-burung berkicauan dan juga serangga.

Kami memilih sebatang pohon yang rendang untuk dijadikan tempat istirahat. Luqman membentangkan alas tikar yang dibawa dari rumahnya dan aku pula, membawa sedikit jamuan untuk mengisi perut kami berdua. Hari ini, aku tak nampak kelibat ibu dan ayah. Mungkin mereka sudah keluar awal pagi sebelum aku bangun.

"Suka?" soalnya dengan hanya sepatah perkataan. Aku menoleh memandangnya sebaik saja melabuhkan punggung di atas alas tikar itu sambil bersandar pada sebatang pokok.

"Mestilah suka. Siapa yang tak suka laut tu memang rugi!" ujar aku sambil tersengih menampakkan barisan gigiku yang tersusun, putih bersih. Luqman mengangguk-anggukkan kepalanya sambil melemparkan pandangan ke arah laut yang sedang berombak.

Tak jauh dari situ, ada beberapa anak muda yang sedang bermain bola tampar, ada seisi keluarga yang sedang berkelah, menjamu selera dan kelihatan juga beberapa orang kanak-kanak sedang membina istana pasir di tepi pantai dengan berpakaian renang. Sungguh comel melihat telatah mereka yang bersungguh-sungguh membina istana pasir itu menggunakan alat-alat mainan mereka.

"Jauh Alyna termenung, menungkan apa?" suara garau Luqman memecahkan lamunan aku. Segera aku menoleh memandangnya sekali lagi, tika itu sepasang anak matanya juga turut memandang ke arah aku.

"Tak. Tak termenung pun, tengok budak-budak tu main pasir. Seronok...," jawab aku dengan senyuman terbit di bibir.

"Abang pun teringin nak bina istana...," ujarnya tiba-tiba.

Aku tertawa kecil.

"Pergilah buat..."

Dia menggelengkan kepala.

"Bukan istana pasir..." Lama dia menumpukan pandangan sepenuhnya ke arah aku. Tika itu, jantung aku berdetak dengan sangat laju bagaikan baru saja melepasi larian marathon secara berperingkat. Aku cuba kawal dengan hanya beriak biasa, tidak mahu lihat yang aku ni sedang berdebar-debar.

"Habis tu? Nak bina istana apa?" Sengaja aku soal.

"Abang nak bina istana mahligai cinta dengan seseorang yang abang sayang."

Aku terdiam seketika sebelum memberi respons dengan ayatnya itu. Dia dah ada teman istimewa ke? Tak tahu pula aku.

"Wah, ayat abang bukan main. Siapalah yang bertuah dapat duduk dalam istana mahligai cinta abang tu, ya?" soal aku sambil membetulkan posisi kedudukkan aku, kedua-dua belah kaki dilunjurkan ke hadapan dan belikat aku disandarkan pada batang pokok. Tangan disilang ke dada.

"Seseorang. Seseorang yang tak tahu abang sukakan dia."

Agak terkejut juga mendengar ayatnya itu.

"Kiranya abang tengah crush seseoranglah ni?"

Dia ketawa sambil mengusap dagunya yang berkumis itu.

"Crush, ya? Entahlah, abang pun tak tahu sebab sebelum ni abang tak pernah bercinta dengan sesiapa. Sepanjang abang hidup selama 26 tahun, inilah kali pertama abang merasai perasaan pelik ini. Bila abang berhadapan dengan dia, hati yang sarat dengan masalah menjadi tenang. Setiap kali mendengar ayat yang keluar dari mulutnya, pasti membuatkan abang tersenyum ataupun ketawa."

Aku menelan air liur perlahan. Takkan aku? Eh! Jangan perasan, buat malu je.

"Wah, itu namanya, abang dah jatuh cinta!" ujar aku dengan nada teruja.

Dia memandang aku sambil ketawa."Kenapa Alyna cakap macam tu pulak?"

Aku mengangguk-anggukkan kepalaku.

"Ya! Aly dah banyak baca novel cinta jadi Aly tahulah. Kalau dah macam tu gayanya, abang sedang dilamun cinta. Kiranya cinta pandangan pertama lah ni?"

Dia ketawa besar sehingga matanya tertutup. Segera aku mengalihkan pandangan ke arah lautan. Tawanya itu membuatkan hati aku terusik. Sungguh aku suka melihat dia ketawa begitu.

"Alyna... Alyna rasa layak ke abang dalam dunia percintaan?" soalnya selepas menghabiskan sisa tawanya tadi.

"Laa... kenapa tanya macam tu? Semua insan ada hati dan perasaan, mestilah ada perasaan macam tu. Orang yang dah tua pun masih ada lagi perasaan cinta dan sayang tau dengan pasangan masing-masing. Apatah lagi kita yang muda ni," kata aku. Dia terdiam seketika.

"Entahlah. Abang rasa, abang macam tak layak dalam dunia percintaan. Dari kecil sehingga besar abang disuruh untuk menerokai dunia sains dan juga teknologi. Kalau abang cerita, Alyna sudi nak dengar?"

Laju aku menganggukkan kepalaku. Biasanya dia yang mendengar luahan aku, sekarang giliran aku pula menjadi pendengarnya.

"Abang dari kecil lagi dah dikerah untuk belajar dan terus belajar sampaikan abang tak biasa nak bergaul dengan orang luar selain keluarga. Ayah abang seorang saintis yang mengkaji macam-macam pekara yang wujud dekat muka bumi ini. Mak abang pula, seorang pembantu makmal tempat ayah bekerja. Di situlah mereka berjumpa dan berkahwin." Dia berjeda seketika, menghelakan nafas. Aku duduk bersila menghadapnya dan mendengar dengan tekun.

"Dari usia abang tiga tahun lagi, ayah dan mak kenalkan abang dengan dunia sains mereka. Boleh dikatakan setiap hari kehidupan harian abang penuh dengan ilmu sains. Abang kena skor dalam semua subjek dekat sekolah terutamanya Sains dan matematik. Kalau abang gagal atau markah tak seperti yang mereka mahukan, mereka kurung abang dalam makmal selama sebulan dan abang kena hadap semua benda yang ada dalam makmal tu sepanjang masa tanpa sedikit pun rehat. Rehat pun hanya sekadar makan dan abang hanya tidur selama 4 jam saja. Sehinggalah abang meningkat remaja, mereka hantar abang ke sebuah sekolah sains internasional. Abang kena duduk asrama. Disebabkan abang dah biasa bersendirian dan sentiasa belajar, itulah rutin harian abang sepanjang di asrama dan sekolah." Dia melepaskan keluhan kecil, sepertinya dia sedang bergelut dengan perasaan sendiri tatkala menceritakan kisah silamnya.

"Sampailah masanya, abang tamat persekolahan. Ayah hantar abang ke Jepun untuk menyambung pelajaran sampai ke peringkat PHD. Ya, abang akui. Abang gembira bila orang semua puji abang sebab abang dapat menghabiskan pelajaran abang dengan begitu pantas dan lancar. Semua orang tak percaya. Tapi itulah hakikatnya. Cumanya, ramai orang melabelkan abang sebagai seorang yang sombong disebabkan abang tak terlalu pandai dalam pergaulan. Abang cuba belajar untuk mencari kawan tetapi tak semua yang sudi nak berkawan dengan abang."

Aku berasa simpati dengan Luqman. Rupanya masalah dia dari kecil sehingga sekarang lagi berat dari aku.

"Kesian abang, tapi tak apalah. Abang dah jadi seorang professor yang berjaya, yang sangat dikagumi oleh seorang gadis bernama Nur Alyna!"

Aku cuba menghidupkan semula suasana ceria tadi. Luqman tergelak kecil.

"Pandai hiburkan hati abang semula. Terima kasih, Alyna."

Aku tersengih, mengangguk-anggukkan kepala.

"Sekejap ya, abang nak ke tandas sana tu. Jangan pergi mana-mana, nanti abang tak dapat cari."

Aku ketawa sambil menganggukkan kepala. Sebaik saja dia meninggalkan aku, otak aku tiba-tiba terfikir semula semua bait kata-katanya. Kalau dia kata dia susah nak bergaul dengan orang, tapi siapa crush dia?

"Seseorang. Seseorang yang tak tahu abang sukakan dia."

Ayat dia itu terngiang-ngiang di dalam mindaku. Seseorang itu, yang tak tahu Luqman sukakan dia. Memang aku perasan, Luqman langsung tak pernah keluar dengan kawan-kawannya selain aku.

Takkanlah...

Tak. Tak, aku tak boleh perasan macam ni. Aku tak tahu kehidupan dia yang sebenar. Mungkin masa dia bekerja kat tempat lain, dia ada ramai kawan yang aku tak tahu.

Fuh, hati janganlah cepat perasan. 



Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.