Bab 22

BAB 22

AKU menggenggam iPhone aku lama dan berharap agar dia membalas semua perbualan yang aku hantar melalui WhatsApp atau hubungi aku. Kali terakhir aku berjumpa dengan dia pada dua bulan yang lepas, selepas itu langsung tiada sebarang khabar berita dari dia. Telefon dia sepertinya sudah tidak wujud lagi, setiap kali aku hubungi semestinya talian terputus dengan sendiri. Dia menutup telefon bimbit dia, tapi kenapa?

Banyak sangat kerja ke dekat Pusat Makmal Negara tu, takkanlah sampai tak ada masa langsung nak tengok telefon? Lagi beberapa minggu saja lagi aku akan menduduki peperiksaan akhir semester. Aku berharap aku dapat berjumpa dengan dia untuk mendapatkan semangat sebelum menjelang peperiksaan.

Aku menundukkan kepala sambil memeluk betis di atas katil. Telefon bimbit aku lempar ke katil hadapanku. Air mata aku deras mengalir. Hati ini sangat sakit menanggung sesuatu yang aku pendam selama ini. Aku langsung tak berpeluang untuk meluahkan perasaan yang selama ini aku simpan untuknya.

Aku jujur, aku cintakan dia. Aku sayangkan dia. Tapi dia tak tahu...

Teresak-esak aku menangis sambil memeluk erat kedua-dua belah kakiku. Aku cuba menenangkan diri aku untuk tidak terus menangis tetapi air mata ini tetap berdegil untuk mengalir. Tangan kanan aku menarik laci meja lampu tanpa lihat dan meraba-raba mencari kotak tisu tetapi tangan aku terpegang satu reben kecil yang terlekat pada satu kotak itu.

Segera aku mengesat air mata menggunakan tangan dan mengalihkan pandangan ke arah kotak itu. Kotak itu, sungguh aku terlupa untuk membukanya. Ia adalah hadiah yang diberikan oleh Luqman tempoh hari. Sudah lama dan baru sekarang aku terjumpa dan kotak itu masih belum dibuka.

Aku menarik reben itu dari kotak dan penutup ditolak perlahan. Aku mengemamkan bibirku saat kornea mataku memandang ke arah seutas gelang tangan berwarna campuran ungu dan silver yang berloketkan beberapa kuntum bunga dahlia kecil. Sangat cantik. Air mata aku kembali jatuh. Aku merapatkan gelang itu ke dadaku dan menangis teresak-esak.

Abang Luqman mana... Alyna rindu dekat abang...

"Cantik bunga dahlia ni. Sesuai untuk Alyna yang tembam!"

Aku masih teringat lagi Luqman menyelitkan sekuntum bunga dahlia di tepi telinga aku. Sungguh aku rindukan semua kenangan aku bersama dia. Kenapa kegembiraan aku ini tidak boleh kekal? Kenapa di saat aku mula mencintai dia, dia semakin menjauh dari aku?

Gelang itu aku lilitkan pada pergelangan tangan kanan aku. Dagu aku letakkan di atas lutut kemudian anak mata merenung gelang itu tanpa berkelip.

"Nah... abang bagi dekat Alyna. Harap Alyna suka. Sebenarnya barang tu dah lama abang beli, tapi tak tahu nak bagi dekat siapa."

"Bagi dekat Alyna? Untuk apa?"

"Saja. Untuk Alyna ingat abang walau kita dah berjauhan nanti."

Ayat dia menjadi kenyataan. Dia sekarang memang sangat berjauhan dengan aku. Hanya gelang ini saja yang membuatkan aku rasa dia sentiasa bersama di samping aku.

Terima kasih Luqman. Walaupun perjumpaan kita hanya sementara tapi awak sempat menghadirkan sebuah kebahagiaan kepada saya. Saya gembira selama dengan awak.

*****

DIA melepaskan keluhan kecil saat memandang skrin telefon bimbitnya yang sarat dengan notifikasi yang dihantar oleh gadis itu. Hatinya sentiasa melarang untuk dia menjawab atau membalas sebarang perbualan dari gadis itu. Sungguh dia berasa serba salah dengannya.

"Alyna... maafkan abang. Abang buat semua ini sebab terpaksa. Abang, abang serba salah. Abang nak jelaskan semuanya tapi tak boleh. Abang buat semua ni untuk Alyna, Abang hanya mampu tolong sampai di situ saja. Abang sayang Alyna sangat-sangat. Abang sayang Alyna lebih dari seorang adik. Abang cintakan Alyna. Alyna lah satu-satunya gadis yang rapat dan sentiasa bersama dengan abang..." Perlahan air matanya jatuh ke pipi. Dia memejamkan mata, menghelakan nafas panjang.

Sudah beberapa hari dia tidak tidur kerana memikirkan tentang Alyna dan menyibukkan dirinya dengan kajian yang diberikan oleh Pusat Makmal Negara.

"Doktor, saya ada pekara nak bincang sedikit dengan doktor..."

"Apa dia?"

"Doktor boleh tak jangan paksa Alyna untuk berkahwin? Dia masih muda dan banyak lagi perjalanan yang masih belum dia kecapi. Kalau nak berkahwin pun biarlah pilihan dia sendiri."

"Kau nak masuk campur hal keluarga akulah kiranya ni?"

"Tak, saya tak bermaksud macam tu. Saya cuma..."

"Baik. Aku takkan paksa dia berkahwin tapi ada syarat yang mesti kau ikut."

"Apa dia, doktor?"

"Lepas kau dah habis ajar dia, aku nak kau jauhkan diri kau dari dia. Aku tak suka kau rapat dengan dia. Aku takkan paksa dia kahwin kalau kau jauhkan diri."

Terngiang-ngiang lagi percakapan dia dan Doktor Amsyar iaitu ayah Alyna ketika dia berjumpa lelaki itu di hospital. Ketika itu dia tidak tahu, jawapan apa yang harus dia berikan. Alyna merintih tidak mahu dipaksa berkahwin membuatkan dia berasa kasihan dengan gadis itu, jadi biarlah dia menanggung keperitan ini. Dia cuba untuk melupakan Alyna dengan mengambil keputusan untuk berjauhan begini dengan alasan dia sibuk dengan pekerjaan.

"Maafkan abang, Alyna... abang sentiasa berdoa untuk Alyna semoga dipermudahkan untuk menjawab peperiksaan akhir itu. Abang tahu Alyna boleh. Alyna dah boleh buat..." Dia meraup wajahnya beberapa kali cuba menenangkan diri. Dia kembali mengkaji bahan yang terbiar di atas meja panjang itu.

*****

SENYUMAN kecil aku ukirkan saat melangkah keluar dari dewan peperiksaan. Aku berjaya menjawab soalan-soalan peperiksaan itu dengan hati yang tenang. Dua minggu sebelum peperiksaan, aku sibukkan diri dengan mengulang kaji pelajaran dan hanya terperap di dalam bilik. Sesekali aku meluangkan masa dengan membaca novel dan melayani dunia aku sendiri.

"Alyna..."

Aku memaling ke belakang saat terdengar nama aku dipanggil dengan nada biasa. Aku tersenyum ke arah Firdan.

"Hai awak..." Aku melambai ke arahnya. Dia membalas lambaian aku.

"Macam mana soalan tadi, okey tak?"

Laju aku menganggukkan kepala.

"Okeylah tu. Aku doakan kau berjaya," katanya dengan senyuman tipis.

Aku tersenyum, menganggukkan kepala.

"Terima kasih... awak nak balik dah ke?" soalku sambil jalan beriringan dengannya.

Dia menggelengkan kepala.

"Aku nak lepak dekat kafe depan tasik sana tu. Kau nak join? Aku belanja...," ajaknya.

"Hmmm..." Aku memegang daguku, lagak seperti orang sedang berfikir.

"Alah, bukan selalu pun kau lepak dengan aku. Lepas ni kau tak datang kolej dah kan?"

Aku menganggukkan kepala.

"Okeylah, jom..."

Kami berdua beiringan jalan menuju ke kafe yang dimaksudkan oleh Firdan tadi. 


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.