Bab 26

BAB 26

LAGU dari penyanyi J-Min bertajuk Stand Up memberi semangat kepada aku pagi tahun baru ini. Aku yang baru saja keluar dari kamar mandi, berdiri di hadapan almari untuk memilih pakaian yang sesuai. Yelah, hari ini adalah hari pertama aku menjalani praktikal di hospital yang selama ini aku impikan, akhirnya menjadi kenyataan.

Sehelai blaus berwarna putih dan seluar palazo berwarna ungu menjadi pilihan aku. Tak sampai beberapa minit, pakaian pilihan aku tadi sudah pun tersarung kemas pada tubuhku ini. Aku tersenyum lebar saat terpandang dua buah bingkai gambar yang terletak di atas meja solek.

Gambar aku bersama ayah dan ibu, lagi satu gambar aku dengan Prof. Luqman Rafhael. Walaupun hampir tujuh bulan dia menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita, aku tak pernah melupakan dia walaupun sesaat. Aku sentiasa mendoakan untuknya supaya dalam keadaan baik-baik walaupun aku hati aku rasa sangat sakit setiap kali memikirkannya.

Abang Luqman, hari ni Aly akan mulakan praktikal dekat tempat yang Aly impikan selama ni. Abang ingatkan? Hospital yang terkenal dekat negeri kita. Aly happy sangat walaupun abang tiada di samping Aly. Tapi hati Aly tak dapat nak tipu yang perasaan rindu pada Aly sangat membuak-buak.

Fuh... Aku tak boleh patah semangat! Aku kena kuat! Alyna, kau kena kuat! Kau boleh tempuhi semua ni seorang diri.

Setelah siap mendandan rambut, segera aku turun ke bawah, menuju ke dapur untuk bersarapan. Aku menyewa sebuah rumah sewa kecil, sesuai untuk aku seorang berhampiran dengan hospital. Hanya jalan kaki saja untuk ke hospital. Tidak perlu tergesa-gesa.

Berdebar juga nak praktikal hari pertama ni, entah siapa pula yang aku jumpa. Harap semuanya baik-baik saja, tiada yang pekara tak diingini berlaku. Aku mahu lakukan yang terbaik supaya aku dapat menghabiskan pengajian dengan cepat dan merealisasikan impian aku.

Oh ya, pasal perkahwinan aku tu, secara tiba-tiba ayah batalkan. Masa tu, aku rasa nak jerit dan lompat tinggi-tinggi. Suka sangat! Sebab ayah berubah fikiran. Kalaulah masa tu aku boleh cerita semuanya dekat Luqman, mesti aku lagi gembira.

Tapi.... itu hanya angan-angan saja. Tak salahkan berangan?

Sekeping roti disapu dengan jem strawberi digigit penuh nikmat sekali gus meneguk susu coklat yang baru saja keluar dari peti sejuk. Nikmatnya bertambah-tambah, lebih-lebih lagi perut berkeroncong pagi-pagi ni.

*****

"PROF. Luqman...," panggil seseorang sebaik saja dibenarkan masuk ke dalam bilik kerja Luqman.

"Ya saya? Ada apa?" soal Luqman sambil matanya masih dipakukan pada fail-fail yang menimbun di atas meja kerja itu.

"Nanti ada pelajar praktikal yang akan masuk, dalam pukul 8:30 pagi macam tu dia akan sampai," ujar pembantu Luqman itu.

"Baiklah, terima kasih. Ini dia fail yang Prof. Ikhmal minta." Sebuah fail berwarna putih diberikan kepada pembantunya.

Sebaik saja si pembantu keluar dari bilik, dia menggeliat panjang kemudian bangun, melangkah keluar dari bilik sambil matanya mengerling ke arah jam tangan yang dililit pada pergelangan tangan kirinya.

8:25 pagi.

Dia menuju ke tandas yang berhampiran dengan bilik kerjanya itu dan pada masa yang sama dia berselisih dengan seorang gadis yang sedang berjalan sambil meliar melihat sekeliling dengan senyuman tidak lekang dari bibir.

*****

"CANTIKNYA....," ujar aku sambil memerhatikan suasana hospital itu. Sungguh aku tak percaya yang aku akan menjalani latihan industri dekat sini. Gembiranya hati!

Mana aku nak cari pegawai yang bertanggungjawab atas kemasukkan aku ni?

"Cik?" suara lembut seseorang menegurku dari belakang. Segera aku menoleh dan melemparkan senyuman semanisnya.

"Cari siapa?" soalnya.

Aku menghulurkan sehelai kertas iaitu surat dari kolej aku.

"Oh! Ini lah Cik Nur Alyna yang nak praktikal dekat sini?"

Laju aku menganggukkan kepala.

"Oh! Sebentar ya. Professor yang akan jadi mentor awak tengah keluar. Mungkin ke tandas. Awak boleh tunggu dekat kerusi tepi bilik kerja dia tu."

Aku tersenyum lalu melabuhkan punggung di kerusi yang dimaksudkan itu.

Ish! Makin berdebar pula jantung aku ni. Mulalah darah gemuruh ni nak datang menyerang waktu-waktu macam ni. Tolonglah. Aku tak nak rosakkan mood aku pagi-pagi ni. Fuh....

*****

LUQMAN membawa langkah ke bilik kerjanya sambil menundukkan wajahnya. Dari ekoran matanya dia ternampak seseorang sedang duduk di kerusi berhampiran dengan bilik kerjanya.

'Mesti budak praktikal yang Ros cakap tadi tu,' getus hati Luqman.

"Awak yang nak praktikal tu, boleh masuk bilik saya," arah Luqman sambil meneruskan langkahnya masuk ke dalam bilik dengan dalam keadaan kedua-dua belah tangan diselukkan ke dalam poket kot putihnya itu. Lagaknya seperti sombong.

*****

AKU terpinga-pinga mendengar suara garau itu sekali imbas. Saat aku toleh, tengok-tengok dia dah masuk ke dalam biliknya. Wah! Sombong betul Professor ni, nak sertai ayah ke? Aduh! Boleh pula aku kutuk ayah aku sendiri. Maafkan Alyna, ayah...

Saat aku masuk ke dalam bilik kerja itu, kelihatan satu susuk tubuh yang sedang berdiri membelakangi aku sambil menyemak sebuah fail di tangannya. Fokus betul sampai aku masuk pun tak nampak ke? Saja menguji kesabaran aku.

"Duduklah," arahnya sepatah.

Aku akur saja arahan yang diberikan. Saat aku mahu melangkah ke arah kerusi berhadapan dengan meja kerjanya, ketika itu juga dia memalingkan tubuhnya menghadap aku.

Jantung aku ketika itu bagaikan berhenti berdegup dan dia pula tergamam melihat aku. Selama beberapa saat kami dalam berkeadaan begitu. Kaki aku bagaikan terkunci di tempat aku berdiri tadi.

"Alyna...."

Aku mengemamkan bibir. Kenapa hati aku tak gembira saat melihat insan yang selama ini aku rindui sekarang berada di hadapan aku? Kenapa hati aku terasa sangat sakit tatkala memandang wajahnya itu?

"Alyna...." Sekali lagi dia memanggil nama aku.

Akibat tak dapat menahan rasa sakit yang semakin menggunung di hati, segera aku berlari keluar dari bilik kerjanya itu dan berlari sekuat hati. Air mata sudah pun mengalir deras membasahi pipi. Teresak-esak aku menangis. Hati aku sakit. Sangat sakit.

"Alyna!" Luqman menjerit memanggil nama aku tetapi aku tidak mengendahkannya.

"Alyna! Tunggu!" jeritnya sekali lagi dan aku masih meneruskan larian aku yang sudah keluar dari bangunan hospital itu.

"Alyna!" Kali ini suara Luqman bergema di sekitar kawasan hospital itu.

Akhirnya aku beralah dan menghentikan larian aku. Segera dia menarik lengan aku supaya berdiri menghadapnya.

"Lepaslah!" marah aku sambil menepis tangannya tetapi dia masih lagi kaku memegang lengan aku.

"Lepas!" jerit aku dengan tangisan yang masih lagi berbaki. Luqman memandang aku dengan wajah tegangnya itu.

"Abang takkan lepas." Keras nada suaranya.

Aku hanya mengemamkan bibir sambil anak mata aku menatap wajahnya lama dengan rembesan air mata yang mengalir deras.

"Alyna..." Intonasinya bertukar menjadi lembut dan perlahan. Tika itu juga aku menundukkan wajah dan melepaskan tangisan teresak-esak.

Biar dia tahu...

Biar dia lihat air mata aku yang mengalir sekarang ini...

Supaya dia tahu...

Apa perasaan aku waktu dia tinggalkan tanpa sebarang khabar berita...

Selama tujuh bulan...


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.