Bab 23

BAB 23

FIRDAN dan aku duduk di atas rumput berhadapan dengan tasik sambil menjilat aiskrim masing-masing. Selepas makan di kafe sebarang sana, Firdan mengajak aku mengambil angin di tasik sambil menikmati kemanisan aiskrim. Semuanya dia belanja. Aku pun terima sajalah. Rezeki jangan ditolak.

"Kau rasa Prof. Luqman pergi mana kan? Aku dah lama tak nampak dia. Kau yang rapat dengan dia tahu tak pergi mana?" Soalan dia itu membuatkan aku terhenti dari menjilat aiskrim. Kemanisan aiskrim itu bertukar menjadi tawar secara tiba-tiba.

"Err... saya tak tahu. Dia tak ada maklumkan dekat saya cuma dia ada cakap yang dia sibuk bekerja dekat Pusat Makmal Negara tu."

Firdan menganggukkan kepala.

"Dia ajar okey kan? Aku suka cara dia mengajar aku..."

Aku tersenyum kecil, hanya menganggukkan kepala.

Lama kami berdiam diri sehingga aiskrim tadi habis dijilat. Aku mengelap tanganku dengan tisu basah yang memang aku bawa dari rumah.

"Lepas habis exam ni, kau ada plan nak pergi mana-mana ke? Kau dah mohon tempat untuk kau buat latihan industri?"

Aku menggelengkan kepala sambil pandangan dipakukan pada air tasik.

"Tak. Saya belum fikir lagi. Tempat latihan industri pun masih dalam pencarian sebab saya fikir saya nak cari luar dari daerah kita duduk ni. Saja nak berjalan jauh, luas pemandangan, luas pengalaman dan luas pengetahuan."

Firdan mengangguk sekali lalu memeluk betisnya.

"Aku pun tak tahu dekat mana nak latihan industri, sebab ada beberapa pekara aku nak selesaikan sebelum mulakan latihan industri semula. Kau ingat senang bila dah masuk peringkat latihan industri ni. Lagi-lagi kalau kau dapat majikan yang tak boleh masuk dalam diri kau. Semuanya nak ikut cakap dia, masa kita susah pun dia tak ambil kisah."

Aku mengangguk.

"Saya faham apa yang awak maksudkan. Saya pun rasa berdebar juga nak mulakan latihan industri tapi tu sajalah cara untuk saya graduasi. Kalau tak sia-sia sajalah saya bertungkus lumus belajar selama ni," balas aku.

Kami berdua terdiam langsung tidak bersuara. Masing-masing melayan emosi sendiri.

"Dulu dengan Prof. Luqman, sekarang dengan pelajar senior pula? Alyna memang terdesak nakkan perhatian ke?" Terhinjut bahu aku apabila terkejut mendengar suara garau yang menegur kami berdua. Firdan menoleh dengan pandangan tajam.

"Apa maksud, doktor?"

Dia menjongketkan kening, memandang ke arah aku.

"Maksud saya, dulu awak menagih perhatian dan simpati dekat Prof. Luqman, sekarang ni lelaki tu dah berpindah dari kolej lain, Alyna nak rapat dengan Firdan pula?"

Berderau darah aku saat mendengar ayat yang terpacul dari mulut si Doktor Yazid ini.

"Apa? Pin... pindah kolej?" Terketar-ketar bibir aku saat menyoalkan soalan itu.

Yazid tersengih memandang ke arah aku.

"Ya, Alyna. Dia dah pindah kolej seminggu yang lalu, Alyna tak tahu ke? Kesian..." Nada suara dia seperti mengejek aku. Kolam air mataku mula bergenang lantas aku bangun lalu berlari meninggalkan mereka.

"Alyna!" jerit Firdan dari belakang tetapi aku tidak mengendahkannya. Apa yang ada dalam kepala otak aku sekarang ni, kenapa Luqman tinggalkan aku macam tu saja tanpa beritahu aku? Kenapa mesti orang lain yang beritahu aku, bukan dia?

"Alyna! Nanti!" Masih lagi kedengaran suara Firdan menjerit-jerit memanggil nama aku.

PINNNNNN!

Aku tersentak saat mendengar bunyi hon kereta. Tiba-tiba terasa tangan kekar seseorang memaut pinggang aku dan tarik aku ke dadanya.

"Kau nak mati ke?" Sinis suara Yazid bertanya, suaranya betul-betul di tepi telinga aku. Jantung aku bagaikan terkeluar dari tangkainya. Tangan aku naik ke dada dan merasai denyutan jantung yang sangat laju.

Mujur pemandu kereta itu tak memarahi aku, kami sama-sama meminta maaf. Yazid menarik lengan aku jauh dari jalan. Aku nampak Firdan sedang berlari ke arah aku.

"Alyna ni kenapa? Jangan nak ikut perasaan dan emosi sendiri boleh tak? Kan bahaya, kalau kena langgar tadi? Siapa yang susah?" marah Yazid dengan intonasi nada yang perlahan tetapi ada selit ketegasannya. Aku hanya mendiamkan diri.

"Kenapa diam? Dah tahu salah sendiri tahu diam. Kalau nak marah orang tu pun jangan sampai korbankan nyawa sendiri. Tak berbaloi. Dia pun dah menghilangkan diri macam tu je. Itu pun masih nak ingat dia lagi ke?"

Aku terus memandang tajam ke arahnya. Aku tak kisahlah sekarang dia siapa pun. Pensyarah sekali pun dia tak berhak nak cakap macam tu. Ini kisah aku dengan Luqman, dia tak ada kena mengena pun.

"Jangan cakap macam tu lah, doktor. Doktor tak tahu apa perasaan yang saya rasakan sekarang ni. Doktor tak pernah rasa macam mana perasaan bila orang tu sentiasa bersama kita, tolong kita tiba-tiba hilang dari hidup kita. Doktor tak ada kena mengena dengan hal saya, doktor jangan masuk campurlah. Jangan buat saya jadi biadap dengan doktor," ujar aku dengan nada keras, aku masih mengawal lagi suara aku supaya tidak meninggi.

"Siapa cakap Alyna tak ada kena mengena dengan saya? Hmm?" soalnya sambil melepaskan lengan aku dan tangannya disilang ke dada. Aku mengerutkan dahi cuba mencari jawapan apa yang disoalnya itu. Firdan di tepi aku hanya memandang dia dengan renungan tajam.

"Doktor Amsyar kenal saya dan bakal suami awak tu adalah saya..."

Aku terkaku saat mendengar jawapannya. Nafas aku bagaikan terhenti seketika. Firdan di sebelah turut terkejut mendengar percakapannya itu.

"Apa?" soal aku dengan suara sudah naik satu oktaf. Tak! Mustahil. Ni semua gila!

"No way! Saya tak nak berkahwin dengan doktor. Saya masih ada matlamat hidup saya sendiri! Kenapa doktor terima? Kenapa?" Aku sudah hilang sabar. Nafas aku sudah tercungap-cungap laju. Sungguh kali ini aku tidak boleh menerima kenyataan yang terjadi sekarang ini.

PANG!

Aku menyentuh pipiku yang terasa pijar. Berani-beraninya Yazid melempang aku, ayah, ibu mahupun Luqman langsung tak pernah menyentuh aku. Inikan pula dia, layakkah dia nak jadi suami kalau sebelum berkahwin pun dah berani sentuh!

"Woi! Kau jangan nak kasar dengan perempuan! Aku boleh adukan dekat pihak kolej nanti!" Firdan mula mencelah, dia menarik lengan aku ke belakang. Aku mengundur beberapa tapak dan berdiri di belakangnya. Pipi aku terasa perit. Baru aku tahu perasaan bila kena tampar macam ni.

"Kau tak payah nak masuk campur! Ini urusan aku dan dia!"

Firdan mendengus lalu mencekak kolar kot putih Yazid. Aku terkejut. Janganlah mereka bergaduh di sini. Aku tak pandai nak leraikan pergaduhan orang.

"Kau dengar sini, eh! Disebabkan kaulah aku jadi macam ni! Kau ingat tu!" tempik Firdan sambil mengacukan penumbuk ke arah wajah Yazid.

"Firdan, jangan! Jangan, cukup. Jangan bergaduh. Orang ramai tengok nanti." Aku menarik tangan Firdan dari terus mencekak kolar kot Yazid.

"Kau ingat tu!" Sempat lagi dia memberi amaran kepada Yazid.

Yazid hanya tersenyum sinis dan hanya memandang kami yang beredar dari situ.


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.