Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Bab 19


Melysa merebahkan badannya diatas katil. Dia menarik mafas lega setelah majlis perkahwinannya dengan Rafiq telah selesai. Kini dia telah sah bergelar sebagai seorang isteri. Telefon bimbitnya dicapai. Dia teringat akan Ryan. Dia tidak tahu apa yang telah dirancang oleh Ryan untuk memalukan Arra. Sudah dua hari berlalu tetapi Ryan gagal dihubunginya. Sikap Ryan menimbulkan tanda tanya di dalam benaknya. Ryan tiba-tiba menyepikan diri dan tidak memaklumkan apa yang telah terjadi. Hatinya mula berasa bimbang, jika sesuatu yang buruk telah menimpa Arra ataupun Aril. 

Keluhan kecil dilepaskan. Hatinya mula diselubungi rasa bersalah dan berdosa kerana cintanya terhadap Aril tidak kesampaian. Dia hampir saja menjadi seorang pembunuh. Mujurlah Ryan tidak bersetuju dengan rancangan jahatnya itu. Kini dia menyesal akan perbuatannya. Dia hanya mampu berdoa agar Arra dan Aril dijauhi segala musibah. 

"Assalamualaikum," ujar Rafiq lalu membuka pintu bilik.

"Waalaikumussalam," jawab Melysa. Dia hanya mengeluh kecil. Selimut tebal ditarik menutupi badannya. Dia mengiring ke arah kiri. 

Rafiq menanggalkan songkok diatas kepalanya lalu meletakkan diatas meja disebelah katil. Lampu bilik dipadamkan. Dia merebahkan badan diatas katil. Bahu Melysa disentuh perlahan. Dia dapat merasakan Melysa seolah-olah tidak bahagia atas perkahwinan ini.

"Mel," panggil Rafiq perlahan.

"I penatlah. You nak apa?" soal Melysa sambil menepis tangan Rafiq yang memegang bahunya.

"Abang ada perkara nak cakap."

Abang? Bukan I atau you lagi, desis hati kecil Melysa.

"Dah pukul berapa ni? You tak tengok jam ke?" marah Melysa. Dia tetap memusingkan badan ke arah Rafiq. "Cakap esok tak boleh ke?"

Rafiq tersenyum melihat Melysa memandang wajahnya. Dia mengelus lembut pipi isterinya. "Abang nak ucapakan terima kasih."

Melysa menepis tangan Rafiq yang menyentuh pipinyam Dia rimas dengan tindakan lelaki itu. Hatinya berkeras mengatakan cintanya masih milik Aril. "Terima kasih untuk apa?"

Rafiq meraih tangan Melysa lalu menciumnya. "Terima kasih kerana sudi menerima abang sebagai suami sayang. Abang harap hubungan kita sebagai suami isteri kekal hingga akhir hayat," ujar Rafiq dengan ramah.

Melysa menjeling marah. Perkahwinan ini berlaku hanya disebabkan bapanya. Jika diikutkan hatinya, dia tidak sudi menerima Rafiq sebagai suaminya. Kini dia terpaksa menerima kenyataan dirinya telah bergelar seorang isteri kepada lelaki yang tidak pernah dicintainya.

"Sama-sama," balas Melysa acuh tak acuh. Dia mula mengiringkan badannya semula menghadap meja ditepi katil. 

Rafiq mengeluh perlahan. Dia tahu Melysa masih belum bersedia menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Dia hanya mampu bersabar melayani sikap Melysa. Rambut Melysa diusap perlahan.

"Abang takkan paksa jika sayang tak sudi untuk bersama dengan abang. Tapi abang harap sayang berilah peluang untuk abang tunaikan tanggungjawab abang sebagai seorang suami," bisik Rafiq pada telinga Melysa. "Dan abang harap sayang tak lupa tanggungjawab sebagai seorang isteri. Selamat malam, assalamualaikum," ujar Rafiq lalu cuba melelapkan matanya. 

Melysa sekadar mendengar ucapan Rafiq. Dia hanya mampu mengeluh perlahan. Dia cuba memejamkan mata. Tidak mahu kehadiran Rafiq mengganggu tidurnya. Dia perlu sedikit masa untuk menerima Rafiq sebagai suaminya. Hatinya masih menanti Aril. Walaupun kini harapannya tak mungkin akan tercapai. Akhirnya dia terlena bersama deraian air mata yang membasahi pipinya.


"JANGAN!"jerit Arra.

Aril yang baru sahaja menunaikan solat Isyak segera mendapatkan Arra yang masih lena diatas sofa. Kedengaran suara Arra meracau lagi. Dia duduk lalu memegang tangan Arra.

"Lepaskan saya! Pergi!" jerit Arra lagi.

"Arra bangun," ujar Aril perlahan.

Arra terjaga dari tidurnya. Tubuh Aril ditolak menjauhinya. "Pergi!"

Aril memeluk erat tubuh Arra walaupun dadanya ditolak dan dipukul oleh Arra. Dia menahan segala kesakitan itu demi menenangkan Arra. "Istighfar Arra," ujar Aril sambil menggosok belakang Arra.

Arra meleraikan pelukan apabila kembali sedar ke alam yang nyata. Air mata yang mengalir disapu dengan hujung jari. Dia mula menjarakkan diri daripada Aril. Perasaan malu mula bertandang di dalam hatinya. Selama dia hidup hanya seorang lelaki yang pernah dipeluk iaitu abahnya. 

Aril menyapu air mata yang masih tersisa pada pipi Arra. "Arra okey? Nak makan?" soal Aril.

Arra menggelengkan kepalanya. "Arra tak lapar?" balasnya perlahan. "Maaf. Arra ganggu abang Aril tidur?"

Aril menggelengkan kepalanya. "Taklah."

Arra mengeluh kecil. Dia menyandarkan tubuhnya pada sofa. Dia menguap. Kepala yang terasa sakit dipicit perlahan.

Aril mendekati tubuh Arra. Luka dikepala Arra dilihat. "Alhamdulillah luka dah baik."

Arra menepis tangan Aril yang menyentuh dahinya. Dia segan dengan sikap prihatin lelaki itu. Lelaki yang kini telah bergelar suaminya. "Dah pukul berapa ni? Awak tak tidur lagi?"

"Baru pukul sepuluh.," balas Aril sambil tersenyum. Kepala Arra diusap perlahan. Sudah lama dia teringin membelai rambut gadis yang telah dinikahinya. "Kenapa tak tidur atas katil?"

Arra terkejut mendengar soalan Aril. Dia tersenyum sumbing. "Tak apalah. Tidur atas sofa pun selesa aje," bohong Arra tidak mahu melukai hati Aril. Dia segan mahu tidur sekatil dengan Aril walaupun hubungan mereka telah halal.

Tangan Arra cuba dipegang. Namun Arra menarik kembali tangannya. Tidak selesa apabila berduaan begitu di dalam bilik. "Mulai malam ni, abang nak Arra tidur atas katil."

Telinga aku salah dengar ke? Dia bahasakan diri dia abang. Bukan abang Aril? Detik hati kecil Arra.

"Malam ni biar abang yang tidur atas sofa."

"Tak apa ke?"

Aril menganggukkan kepalanya. 

"Jangan salahkan Arra kalau rasa sakit badan nanti," ujar Arra lalu bangkit dari tempat duduknya. Dia melangkah ke arah katil lalu merebahkan badannya diatas tilam. Selimut ditarik bagi menutupi badannya. Mata yang berasa segar dipaksa untuk pejam. Akhirnya dia terlena bersama linangan air mata.


ARIL terjaga dari tidurnya apabila terdengar suara Arra menjerit. Mata yang berasa mengantuk digeyeh perlahan. Arra yang masih lena diatas katil dihampirinya. Dia melihat Arra masih lagi meracau seperti tadi. Dia duduk disebelah Arra. Tangan Arra dipegang. 

"Jangan!" jerit Arra dalam tidur.

Aril baring disebelah Arra. Tangan Arra dipegang agar isterinya tidak meracau lagi. Dia membaca ayat kursi dan beberapa doa agar Arra kembali tenang. Air mata yang membasahi pipi Arra disapu. Hatinya turut berasa sedih melihat keadaan Arra.

Suami mana yang tidak sayangkan isterinya. Jika dahulu dia hanya berpura-pura mengaku Arra adalah isterinya dihadapan Melysa. Kini perkara itu telah menjadi satu kenyataan. Dia telah menikahi Arra pada dua hari yang lalu setelah ditangkap khalwat. Perkahwinan mereka atas permintaan abah Arra.

Walaupun telah bergelar suami isteri. Sikap Arra masih dingin terhadapnya. Arra seolah-olah tidak dapat menerima perkahwinan mereka. Satu keluhan kecil dilepaskan. Sejujurnya dia memang mula menyayangi Arra dalam diam. Dia sendiri tidak sedar bilakah perasaan itu muncul di dalam hatinya.

Luka dikepala Arra dilihat semakin pulih. Dia bersyukur kecederaan yang dialami oleh Arra tidak serius. Setelah melihat Arra kembali lena. Aril bangkit daripada pembaringan. Kepala Arra diusap perlahan. Dahi Arra dicium penuh kasih dan sayang.

"Ya Allah, berilah kesembuhan kepada isteriku. Jadikanlah kami suami isteri yang soleh dan solehah. Berkatilah rumah tangga kami, Ya Allah," doa Aril.

Aril kembali ke sofa. Dia tidak mahu Arra buruk sangka terhadapnya atau dikira mengambil kesempatan. Aril mahu Arra sendiri ikhlas menerimanya sebagai seorang suami. Walaupun akan mengambil masa yang lama bagi Arra menerima perkahwinan ini.


BUNYI guruh dilangit mengejutkan Arra daripada lenanya. Dia mengucap panjang kerana terkejut. Kedengaran hujan lebat membasahi bumi ketika ini. Dia bangkit dari pembaringan. Dia mengusap wajahnya perlahan. Telefon bimbit diatas meja diambil. Telefon itu baru dibelikan oleh Aril bagi mengantikan telefonnya yang rosak. Dia melihat jam pada skrin telefon telah menunjukkan angka tiga pagi. 

Selimut dibuka. Dia bangun lalu melangkah ke bilik air. Sofa dihapadan katil dihampiri. Wajah Aril yang masih lena dilihat sekilas pandang. Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik air, dia mencuci wajahnya. Tanpa membuang masa dia mengambil wuduk. 

Arra membentangkan sejadah menghadap kiblat. Telekung Siti Khatijah disarung. Telekung yang ingin diberikan kepada ibunya kini menjadi hadiah perkahwinannya. Setelah selesai menunaikan solat sunat tahajud. Dia memandang wajah Aril dari jauh. Satu keluhan kecil dilepaskan. 

"Ya Allah, berilah kekuatan kepadaku dalam menempuh ujian yang telah Engkau berikan. Terima kasih kerana Engkau telah menyelamatkan diriku daripada menjadi mangsa nafsu orang yang ingin melukaiku. Ya Allah, bukakanlah pintu hatiku untuk menerima Aril Zakuan sebagai suamiku. Sesungguhnya hanya kepada-Mu aku memohon petunjuk dan meminta pertolongan. Amin."

Arra mengaminkan doanya. Air mata yang mengalir disapu dengan hujung jari. Dia menanggalkan telekung lalu dilipat bersama sejadah. Dia bangkit dari tempat duduknya lalu melangkah ke arah balkoni. Pintu balkoni dibuka. Angin sejuk mula terasa hingga ke tulang. Dia melabuhkan punggung diatas kerusi yang telah disediakan. Hujan lebat kini beransuran perlahan.

Fikirannya kosong. Cincin yang tersarung pada jarinya dilihat. Cincin idamannya kini telah menjadi miliknya. Cincin berbentuk rama-rama yang diimpikan selama ini adalah cincin perlahwinannya dengan Aril. Dia tidak menyangka Aril telah membelikan cincin ini untuknya.

Sudah dua hari dia bergelar seorang isteri. Entah kenapa hatinya sukar mahu menerima apa yang telah berlaku. Niatnya ingin bekerja mencari wang belanja bagi keperluan pengajiannya. Tapi perkara yang tidak diingini pula telah berlaku. Masih segar dalam ingatannya saat dia dinikahkan dengan Aril.


"SAYA mahu anak saya dikahwinkan," ujar Encik Sufian dengan tegas.

Arra yang masih berpelukan dengan Puan Anisah terkejut mendengarnya. Kata-kata Encik Sufian bagaikan petir yang menyambar gegedang telinganya. Arra meleraikan pelukan ibunya. 

"Abah," sapa Arra perlahan. "Arra tak setuju."

"Abah rasa ini yang terbaik untuk Arra."

Air mata yang cuba ditahan akhirnya mengalir jua mendengar keputusan Encik Sufian. "Tapi abah..."

"Suka atau tidak ini keputusan muktamad," ujar Encik Sufian.

"Aril?" soal Dato' Sri Zainuddin.

"Saya setuju," jawab Aril.

Jawapan Aril turut mengejutkan Arra. Tangan Encik Sufian diraih perlahan. "Abah. Arra tak setuju," rayu Arra.

"Inilah jalan penyelesaian terbaik untuk kamu berdua," ujar Encik Sufian lalu melangkah masuk ke dalam pejabat.

"Abah...," panggil Arra perlahan. Puan Anisah dihampiri. "Ibu cakaplah dengan abah. Arra tak nak kahwin," pinta Arra dengan nada sebak.

Puan Anisah tidak dapat membantah kata-kata suaminya. Dia mengusap bahu Arra. "Percayalah cakap abah. Mungkin inilah yang terbaik untuk Arra," kata Puan Anisah lalu memimpin tangan Arra melangkah masuk ke dalam pejabat agama.

Akhirnya Arra terpaksa akur dengan keputusan Encik Sufian. Kepala yang berasa sakit dipicit perlahan. Dia tidak pernah mengimpikan untuk menamatkan zaman bujangnya dengan cara begini. Namun takdir telah tertulis untuknya. Siapalah dia ingin menyalahkan takdir. Dari jauh kedegaran suara Aril menjawab lafaz ijab dan kabul.

"Aril Zakun bin Zainuddin."

"Ya, saya."

"Aku nikahkan akan dikau dengan anakku Arra Safiyya binti Sufian dengan mas kahwin RM1000 tunai."

"Saya terima akan nikahnya dengan mas kahwin yang tersebutnya itu."

"Sah," kata para saksi.

"Alhamdulillah."

Air mata yang baru sahaja kering kini mengir lagi. Bagi pasangan lain mungkin air mata kegembiraan yang mengalir. Namun tidak baginya. Air mata yang mengalir membasahi pipinya adalah air mata kesedihan kerana dikahwinkan tanpa kerelaan hatinya. Jika dahulu dia mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang bahagia. Kini hanya rasa sedih yang menyelubungi hatinya saat dirinya dikahwinkan.

Terasa dunia ini gelap seketika. Dia harus menempuh hidup baru sebagai seorang isteri tanpa rasa bersedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.


SETIBA dihadapan banglo mewah milik Dato' Sri Zainuddin, Arra bergegas ke dalam biliknya. Dia mengemas pakaiannya. 

"Kami minta diri dulu," ujar Encik Sufian.

"Masuk lah dulu. Saya buatkan air," pelawa Datin Sri Aida.

Encik Sufian menggelengkan kepalanya. "Tak perlu. Hari pun sudah lewat malam."

"Saya mohon maaf atas apa yang telah berlaku," kata Dato' Sri Zainuddin perlahan. Dia turut rasa bersalah atas apa yang menimpa anaknya.

Encik Sufian mengeluh perlahan. "Tiada apa yang nak dimaafkan. Mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku."

Aril hanya diam. Dia tidak berani bersuara dihadapan Encik Sufian yang kini telah menjadi bapa mertuanya.

Encik Sufian memandang wajah Aril. "Aril," panggilnya perlahan.

"Ya... abah."

"Jagalah permata hati abah sebaiknya. Kini Arra adalah tanggungjawab kamu," pesan Encik Sufian dengan nada sebak. Anak yang disayangi dan sering dimanjai kink telah bergelar isteri orang.

"InsyaAllah abah," jawab Aril teragak-agak ingin memanggil Encik Sufian dengan panggilan abah.

"Kami minta diri. Jom Nisa."

"Abah tunggu," kata Arra lalu menghampiri Encik Sufian. "Arra nak ikut ibu dengan abah balik rumah."

"Arra kan dah kahwin. Arra tinggallah kat sini," ujar Puan Anisah lalu memandang wajah suaminya. 

Arra memeluk erat tubuh ibunya. "Arra nak balik. Arra nak rindu ibu," ujar Arra dengan sebak.

"Nisa, masuk dalam kereta."

Puan Anisah meleraikan pelukan Arra. "Arra jaga diri baik-baik. InsyaAllah, nanti ibu datang lagi," ujar Puan Anisah lalu melangkah masuk ke dalam kereta.

"Ibu."

"Tempat seorang isteri disisi suaminya," kata Encik Sufian lalu memandu kereta meninggalkan kawasan perumahan kampung Ladang.

"Abah!!!" jerit Arra sambil mengejar kereta milik Encik Sufian yang semakin jauh meninggalkannya di belakang.

"Arra!" panggil Aril cuba mendapatkan isterinya.

Arra terduduk. Dia menangis teresak-esak. "Abah jangan tinggalkan Arra."

Aril menyentuh bahu Arra. "Arra, jom masuk. Esok kita balik rumah ibu," ujar Aril cuba memujuk Arra.

Arra menepis tangan Aril. Dia berdiri semula. Wajah Aril dipandang dengan rasa benci. Hilang segala rasa sayang yang mula terbit dihati apabila lelaki itu tidak berterus terang apa yang sebenarnya telah berlaku kepada ibu bapanya.

"Kenapa?"

Aril kehairanan dengan soalan Arra. "Kenapa? Apa? Abang tak faham?"

Pang!!!

"Kenapa tak jelaskan perkara sebenar dekat abah?" soal Arra sambil tersedu-sedu menahan tangis. 

Aril terkejut dengan tindakan Arra. Namun dia takkan salahkan Arra. Dia tahu bukan mudah untuk menerima apa yang telah berlaku. 

"Kenapa abang?"

"Arra..." panggil Aril lalu cuba memegang bahu Arra.

Arra menepis tangan Aril. "Arra benci abang Aril," kata Arra lalu melangkah masuk ke dalam rumah. 

Cahaya kilat yang memancar menyedarkan Arra daripada lamunannya yang panjang. Air mata yang hampir menitis disapu dengan hujung jari. Dia bangkit dari tempat duduknya. Kepalanya tiba-tiba berasa sakit. Dia memicit perlahan. Pintu balkoni dipegang. Sebelum sempat dia memanggil nama Aril, dia terjatuh. Pandangan matanya berpinar. Akhirnya Arra hilang kesedaran diri.


BUNYI telefon mengejutkan Aril daripada lenanya yang panjang. Dia segera mematikan jam pengera. Dia bangkit daripada pembaringan. Badannya mula berasa sejuk. Matanya terarah pada balkoni. Dia hairan melihat pintu balkoni terbuka.

Aril bingkas bangun dari tempat duduknya. Matanya teralih pada katil. Arra tiada diatas katil. Langkah kakinya segera menuju ke arah balkoni. Dia terkejut melihat sekujur tubuh Arra terbaring diatas lantai.

"Ya Allah, Arra!" 

Aril mula cemas. Tanpa membuang masa dia segera mengangkat tubuh Arra lalu diletakkan diata sofa. 

"Arra bangun," ujar Aril sambil menepuk pipi Arrra dengan perlahan.

Aril segera mencapai telefon bimbit dan kunci kereta serta beg tangan Arra. Melihat Arra tidak sedarkan diri, dia segera mengangkat tubuh Arra untuk dibawa ke hospital. 

"Ya Allah, selamatkanlah isteriku. Berilah kesembuhan kepadanya," doa Aril. Aril tidak berhenti berdoa agar Arra diberi kesembuhan dalam perjalanan ke hospital

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu