Bab 14

SETAREK cerita malam tadi, Isya mengurungkan diri seorang diri di dalam kamar. Sarapan pun masih belum dia jamah. Sudah masuk tengah hari, perutnya masih belum diisi.

Bikin hati Che Puan Medina terasa kurang sedap. Pintu biliknya diketuk berulang kali. Namun tiada sebarang sahutan. Membisu seperti sudah hilang nyawa.

Berkali-kali Tengku Aariz disalahkan dalam hal ini tetapi lelaki itu buat muka toya saja. Tengku Aariz hanya tak mahu anaknya menjadi benak tegal seorang lelaki. Berlambak lagi lelaki yang lebih berkualiti di luar sana.

Mahu Tengku Aariz mengemukakan ucapan maaf? Siang-siang dia cakap, dia tidak akan menarik semula kata-katanya. Pendirian seorang bapa.

“Kanda, saya risaulah ... dah nak masuk azan zohor ni. Anak kita pengsan ke apa dalam bilik?”

Telah masuk kali kesepuluh, Che Puan Medina mengatuk daun pintu berwarna coklat kayu itu.

“Dia bertapalah tu kat dalam bilik,” kata Tengku Aariz seperti tiada perasaan.

Che Puan Medina menjegilkan anak mata. Suaminya yang timbulkan masalah, dia yang kena pulihkan keadaan.

Kanda ni tahu keruhkan keadaan sahaja, kutuk Che Puan Medina dalam hati.

Mendadak sontak kedengaran seseorang meloceng rumah mereka. Tengku Aariz mengarahkan isterinya untuk melihat siapa yang datang.

Langkah diayun kasar. Lagi-lagi dia yang akan dikerah. Terkumat-kamit bibir Che Puan Medina mencomel.

Sebaik sahaja menguak daun pintu utama, dia mengelih susuk tubuh di luar pagar. Seperti pernah dia lihat pemuda itu? Dia terus perhati dari jauh.

Oh, Farhad!

Pagar bergerak sejurus pengawal keselamatan mendapat kebenaran tuan rumah.

Farhad melangkahkan kaki masuk ke halaman rumah itu.

“Assalamualaikum, auntie. Isya ada?” soal Farhad sembari menyungging senyum.

Tutur kata pemuda itu sungguh sopan.

“Waalaikumussalam ... Isya ada. Cuma ...”

“Cuma apa auntie? Saya risau sebenarnya. Call saya pun dia tak angkat,” pintas Farhad.

Khali.

Che Puan Medina menjemput anak muda itu masuk ke dalam. Farhad akur. Hening. Jejak Che Puan Medina lantas diekori.

Kini mereka sudah ada di tingkat atas banglo mewah yang didereti ruang kamar. Farhad tergegau. Mata Tengku Aariz menikam matanya.

Gulp!

“Isya tengah mogok makan. Phone dia pula dah rosak,” bisik Che Puan Medina belan-belan menapak menuju ke daun pintu yang masih terkunci.

Tiada satu saat pun pintu terkuak.

Jelingan mata Tengku Aariz, Farhad buat-buat tak nampak.

“Isya ... oh, Isya. Saya ni, Far.” Buku lima menggetok pintu itu. Setiap ketukan semakin keras. Boleh roboh pintu kayu itu.

“Eh, eh. Kau hati-hati sikit. Kalau pintu ni tercabut, kau nak ganti ke?” berang Tengku Aariz. Lelaki separuh kurun itu berpeluk tubuh.

Perbuatan Farhad terhenti. Apa masalah Tengku Aariz sebenarnya? Selalu ingin naik radang sahaja setiap kali berjumpa dengannya. Farhad hanya sanya nak membujuk Isya.

Antap. Ertinya, Isya masih mahu menyendiri.

Tiga batang tubuh itu akhirnya beredar meninggalkan bilik itu.

“Auntie buatkan air sekejap,” tutur Che Puan Medina sebaik-baik saja Farhad dan suaminya berlabuh punggung di ruang tamu.

Farhad menganggukkan jemala. Kelibat Che Puan Medina sirna dari ruang itu. Tinggal mereka berdua.

Tengku Aariz dan Farhad saling bersikap dingin.

“Tengku, apa khabar?” Farhad yang duduk sejarak 1 meter itu merisik khabar.

“Alhamdulillah, saya masih bernafas,” jawab Tengku Aariz sambil dagunya disangga dengan tangan.

Farhad senyum kelat. Ada saja yang cacat di mata lelaki tua itu.

“Farhad, jom pergi.”

Secara mendadak suara halus menegurnya dan mengajaknya pergi. Tekaan Farhad pada mulanya, Che Puan Medina. Namun yang sebetulnya adalah Isya.

Isya mendesak Farhad bangun dari sofa. Lalu dia menarik baju lelaki yang sedang terpinga-pinga itu.

“Isya! Nak pergi mana tu?” Suara garuk tersebut menyoal.

Isya tak meladeni persoalan si ayah. Kembali meneruskan langkah yang tergencat. Farhad akur.

“Isya! Jawab pertanyaan ayah!” bentak Tengku Aariz.

“Eh, kanda. Isya dengan Farhad tu nak ke mana?” Panjang leher Che Puan Medina yang berkejar dari dapur menyaksikan kepergian dua batang tubuh itu. 

“Tak tahulah.” Tengku Aariz goyangkan bahu. Kepalanya tergeleng-geleng.

Farhad dipaksa masuk ke dalam kereta berwarna putih itu.

Dengan mengenderai kereta, Isya dan Farhad berlalu meninggalkan kediaman itu.

Orang di dalam kereta itu sama-sama gagu. Isya sebagai pemandu, Farhad di sebelah sebagai penumpang. Kadar laju pemanduan Isya melaju.

Berderau darah Farhad dibuatnya.

Mercedes-Benz itu bergerak dengan terlalu laju. Tambah lagi ketika memotong kenderaan berat.

“Isya, awak nak bawa saya pergi mana ni? Kalau awak nak kahwin dengan saya, cakap je. Saya boleh minta kakak saya, masuk meminang awak. Tak perlu awak nak culik saya macam ni!”

Pemanduan Isya menjadi perlahan. Culik? Dahi berkerut seribu seraya mengelih Farhad.

“Bila masa saya nak culik awak?”

Farhad malu sendiri. Membuang pandangan ke atas jalan raya yang dibina daripada batu dan tar.

“Saya nak pergi rumah Zafran. Saya nak jumpa dia untuk kali terakhir sebelum bertolak ke oversea,” suara Isya sebaik sahaja memasuki sebatang jalan.

Farhad menceber. Nak pergi rumah Zafran rupanya, dia sangkakan nak pergi kahwin. Sejujurnya, memang Farhad nak kahwin sekarang kalau Isya sudi!

Kereta berhenti betul-betul di hadapan pagar sebuah rumah banglo. Kebetulan selang beberapa saat, ada sebuah kereta yang ingin keluar. Isya tangkas menghalang.

Farhad diarahkan untuk kekal duduk di dalam kereta. Biar Isya sahaja yang keluar. Dia mencebet beg kertas Brands Outlet itu sambil melangkah ke arah kereta sebelah.

Seseorang yang sangat dia rindu itu berlari anak lalu mendakap sarira Isya.

Mommy rindukan Isya sangat-sangat ...” Datin Wati meluahkan isi lubuk hatinya.

“Isya pun rindukan mommy,” luah Isya. Bukan Isya seorang yang bersedih dengan aturan takdir, Datin Wati juga sama.

“Zaf kata Isya nak sambung belajar ke luar negara. Betul ke?”

Isya mengangguk. Kedengaran pintu dihempas. Zafran baru keluar dari perut kereta kemudian berlenggang ke arah mereka.

“Isya,” sapa Zafran dengan senyuman bergula.

Isya ikut tersenyum. Tapi lekas senyumannya memudar sejurus tertengok batang tubuh seorang perempuan tak bertudung di dalam kereta Zafran.

“Iya, mommy. Lagi seminggu je Isya nak pergi ke luar negara,” jawab Isya ke atas pertanyaan yang tergantung tadi.

Mommy akan rindukan Isya. Sekarang ni sepatutnya mommy, Zaf dengan bakal menantu mommy nak pergi butik untuk tempah baju kahwin ... tapi dah alang-alang Isya dah datang, mommy tangguhkan jelah,” kata Datin Wati.

“Mommy,” seru Zafran pendek.

Isya mengerti.

It's okay, mommy. Isya datang sini hanya nak kirimkan hadiah. Ni jubah untuk mommy dan ini jaket untuk Zaf.” Beg kertas berasingan diberikan kepada dua beranak itu.

“Terima kasih ... sayang,” ucap Datin Wati sesudah sekilas melihat isi beg itu. Dia mengusap kepala Isya yang sudah dia sayang seperti anak kandung.

“Terima kasih, Isya.”

Hanya itu respons Zafran. Isya anggukkan kepala sambil tersenyum.

Lama Farhad menunggu Isya. Hatinya berbahang setiap kali terpandang Sally. Sungguhpun dura dan di dalam kereta yang berlainan, Farhad dapat tangkap akan jelingan ekor mata Sally.

“Ewah ... berani pula si minah tu kerling aku,” getus hati Farhad menyampah.


“TERIMA KASIH, Far. Sebab, sebab ...”

“Sebab sudi temankan awak jumpa Zafran?” terka Farhad.

Tubir bibir Isya terjungkit. Bab-bab menebak, Farhad adalah nombor satu. Jus oren disedut dengan straw. Matanya tunak menatap Farhad yang tengah mendahar. Dia akan merindui sifat telus pria itu.

7 hari sahaja lagi yang tinggal. Sudah lebih sebulan mereka berkawan. Jiwa Isya terasa dekat apabila bersama Farhad. Selulus berasa selamat untuk luahkan segala rahsia hati hanya kepada lelaki itu.

“Boleh tak kalau ... kita jangan berjumpa sampai tarikh penerbangan saya?”

Suapan mi goreng mamak, Farhad berjeda.

“Tapi kenapa?” Farhad memberanikan diri untuk menyoal sebab terhadap Isya.

Isya yang hanya minum air dari tadi diam buat beberapa ketika.

“Tak manis kan Farhad kalau kita selalu berjumpa? Lagipun, saya kena belajar hidup tanpa awak. Setiap kali kat universiti, kita akan bertembung. Lepas ni, saya takkan bertembung dengan awak lagi selama lima tahun.”

Lima tahun? Ukuran masa yang terlalu lama. Pelbagai hal boleh berlaku di belakang mereka.

“Boleh kan Far? Come on ... kita boleh contact guna telefon. Cuma ... awak kena call nombor telefon rumah sayalah, maklumlah tengah kumpul duit lagi nak beli phone baru,” ujar Isya kemudian terpingkal-pingkal.

Farhad yang bersetentangan Isya itu senyum serong-serong bahasa. Dia menyambung makan semula. Debar jantungnya tika ini, hanya tuhan yang tahu.

Ada sesuatu yang perlu dia nyatakan kepada Isya sebelum terlambat.

“Isya, sebenarnya ... saya nak luahkan sesuatu,” tuturnya dengan suara tertahan-tahan.

“Cakaplah.” Mesra nada suara Isya.

Farhad menghela nafas dalam-dalam dan hembus. Kelihatan dahi Isya berkerut-kerut.

“Bismillah. Saya cin ...”

Kring! Kring!

Bunyi telefon menjerit mengganggu pertuturannya. Pantas Farhad mengeluarkan telefon pintar. Telefon pintar tetapi bunyi macam zaman Nokia.

Kak Hana? Kenapa perlu telefon pada waktu begini? Farhad menggerutu.

“Helo kak. Ada apa ni call teman?”

Senyap.

“Apa? Aboh masuk hospital?”






















Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh