Bab 12

GENAP tiga jam Isya dan Farhad bergayut di corong telefon. Pelbagai topik yang dibualkan oleh mereka. Ketawa mereka menjadi satu. Malam kian larut pun mereka berdua tidak sedar. Hawa malam pun semakin menebal di luar tingkap.

Asyik sungguh Farhad dan Isya tatkala berhubung menggunakan panggilan WhatsApp. Kendatipun talian terputus beberapa kali, mereka tetap akan mencari jalan untuk menyambung talian semula.

Seronok apabila dapat berkongsi cerita dengan Farhad. Seorang pendengar yang terbuka. Langsung tidak kisah, walaupun Isya tidak henti-henti bercerita mengenai kisah cintanya yang lampau.

Buat masa sekarang, Farhad masih menutupi kisah cinta yang lalu.

Sedang Isya rancak berborak, ada seseorang menyelinap masuk ke dalam kamarnya. Dia tersentak. Badan berpusing ke belakang, mata terbelelek.

Telefon pintar tidak lagi terlekap di telinga. Isya tayang sengih.

Itulah, lama sangat bergayut dengan telefon.

“Siapa tu?” soal Tengku Aariz yang sedari tadi memasang telinga. Bukan main rancak lagi anak daranya bergayut di tepi jendela.

“Kawan je ayah,” ujar Isya tanpa memberitahu 'kawan lelaki'.

“Kawan? Siapa? Zafran ke?”

Tangkas Isya gelengkan kepala.

Tengku Aariz merebut telefon di tangan Isya. Sejarah panggilan dilihat. 

“Farhad? Siapa budak ni?” Si ayah menyoal serta mencerling dengan ekor mata yang tajam.

“Ka ... wan,” jawab Isya tidak panjang. Perasaannya tengah berkocak. Mesti Farhad mulai berfikir yang bukan-bukan, kerana tiba-tiba sahaja dia meletakkan panggilan.

“Esok bawa dia berjumpa dengan ayah. Ayah tak suka kamu berkawan dengan semua orang tanpa pengetahuan ayah. Orang zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat,” titah Tengku Aariz seraya mengedangkan telefon itu kepada pemiliknya semula.

Isya mengangguk tanda faham. Sebaik sahaja bapanya beredar keluar dari bilik, dia menghela nafas lega.

Lega metah.

Segera Isya menghantar pesanan mesej kepada Farhad.

ISYA - Sorry, Far ... sebab tiba-tiba je saya letak call. Esok lepas kelas, boleh awak datang rumah saya? Ayah saya nak jumpa awak.

Farhad is typing ...

Lama sungguh Farhad menaip. Isya syak yang Farhad tengah menulis cerpen.

FARHAD - Okey.

“Punyalah berjam-jam kau menaip, 'okey' je kau tulis?”


ESOKNYA sesudah kuliah, Farhad bergegas menunggang motosikal menuju ke rumah Isya. Dia dan Isya sudah berjanji untuk berjumpa di perhentian bas.

Setibanya di perhentian bas, Farhad terus mengekori kereta Isya dari arah belakang. Terasa kerdilnya diri Farhad saat ini. Di usia yang muda, Isya sudah memiliki sebuah kereta.

Sementara dirinya?

Hanya memiliki sebuah motosikal. Bukan bermaksud dia tidak bersyukur. Tapi secara mendadak dirinya terasa tidak layak untuk berada di sisi Isya.

Isya berketurunan bangsawan, manakala dia berketurunan biasa-biasa sahaja.

Ambil masa 18 minit dari kampus ke rumah Isya. Sebelum memasuki petempatan kediaman itu, mereka harus mendapat kebenaran pengawal keselamatan.

Farhad menjadi gamam. Country Heights Damansara, ini bukan kawasan perumahan biasa-biasa. Banglo mewah!

Farhad kembali membuntuti kereta Isya. Dia menikmati pemandangan rumah-rumah mewah itu. Mudah-mudahan kelak, Farhad dapat memiliki kediaman seindah itu.

Pintu pagar terbuka automatik. Sebuah kereta dan motosikal menyusur masuk ke pekarangan banglo mewah. Rumah ala Inggeris. Memang cita rasa Farhad kalau rumah seperti ini.

Dia menanggalkan topi keselamatan lalu diletakkan di boncengan.

“Jom masuk,” pelawa Isya sebaik saja selesai menyimpan kereta di garaj.

Isya dan Farhad berjalan seiring. Riak wajah Farhad kelihatan canggung. Gemuruhlah tu nak jumpa ayah, getus hati Isya.

“Awak dah tahu ke nak panggil ayah saya apa?” tanya Isya sengaja nak kenakan Farhad.

Farhad terpinga-pinga.

“Panggil tengku?”

No. Panggil ayahanda,” ujar Isya tanpa ragu-ragu.

“Ayahanda? Biar betul?”

Isya mengangguk laju. Mereka kembali melangkah. Daun pintu utama sudah terpelahang setarek mereka tiba tadi. Isya mengetuk pintu beberapa kali dengan menggunakan buku jari.

Sebelum menapak masuk ke dalam, Farhad menanggalkan kasut.

Sekali lagi Farhad terpempan. Indah nian hiasan dalaman rumah ini. Dekorasinya tersusun rapi. Tidak serabut. Ton warna kelabu asap mewarnai tema kediaman ini.

Sesusuk tubuh lelaki sedang bersila panggung di ruang tamu. Sambil bertemankan surat khabar Harian Metro. Begitu tekun sekali pria itu meneliti kandungan berita keluaran paling terkini.

Farhad mengikuti Isya untuk menghampiri lelaki itu.

“Ayah ...”

Dengan sekali seruan, Tengku Aariz tolehkan kepala ke belakang. Farhad menyengihkan gigi di belakang sofa. Lantas Tengku Aariz bingkas dari sofa berona biru nila.

“Apa khabar ayahanda?”

Tengku Aariz terkedu. Ayahanda?

“Bila masa aku jadi ayah dia?” soal hati Tengku Aariz.

Isya mengulum tawa. Tidak salah kut kalau jadi nakal sekali-sekala.

“Ayahanda sihat?”

Stop call me, ayahanda. Anak saya sendiri tak panggil saya ayahanda,” tegas Tengku Aariz, sejurus itu ia berpindah dari ruang tamu ke meja makan.

Farhad tercengang. Tapi tadi .... Dia memandang ke arah Isya yang sedang tersipu-sipu. Terbuktilah, dia sudah terkena.

Sorry ...” Isya mengungkapkan maaf.

“Boleh tahan nakal juga awak ni ya?” desis Farhad.

Bibir Isya menyungging senyum raja. Mereka menapak bersama-sama menuju ke meja makan. Hanya Che Puan Medina yang mempelawa Farhad untuk bersantap sekali dengan mereka.

“Dah berapa lama kenal Isya?”

Baru Farhad hendak melabuhkan punggung, Tengku Aariz sudah memulakan sesi soal jawab.

“Kira-kira ... sebulan yang lepas,” jawab Farhad serta menghenyakkan punggung di samping Tengku Aariz.

“Oh ... jumpa kat mana?” Soalan kedua ditanyakan.

“Berhampiran fakulti perubatan. Saya ambil jurusan undang-undang,” ujar Farhad mesra.

“Oh iya ke? Saya tak tanya pun,” balas Tengku Aariz kurang mesra.

“Kanda ...” Che Puan Medina memanggil perlahan suaminya.
Isyarat meminta supaya jangan melampau.

Isya di sebelah mengasingkan diri. Diam. Mulut terus mengunyah butiran nasi sehingga lumat.

Menu yang disajikan oleh Che Puan Medina, bukan biasa-biasa. Nasi kukus ayam berempah.

“Sedap, Che Puan masak,” puji Farhad lalu satu demi satu suapan masuk ke mulut.

“Panggil auntie je,” ujar Che Puan Medina sambil tersenyum manis. Paras rupa wanita itu langsung seperti tidak dimamah usia!

Farhad membalas senyuman.

“Maaflah ... lauk simple je auntie masak hari ni. Ikut angin orang sebelah ni ... tiba-tiba nak makan nasi kukus ayam berempah,” sindir Che Puan Medina. Sindiran berkenaan ditujukan kepada siapa?

Siapa lagi kalau bukan Tengku Aariz. Setiap hari, Che Puan Medina akan memasak lauk mengikut kata tekak suaminya.

“Takpe, auntie. Saya okey ... saya ni tolak batu dengan kayu je,” lelucon Farhad kemudian tergelak sendiri.

Demi menjaga hatinya, Che Puan Medina turut berpura-pura ketawa. Dalam diam, Che Puan Medina mencubit paha Isya di bawah meja.

Dari ekor mata bondanya, Isya sudah mafhum. Deraian tawa kecil kedengaran dari mulut Isya.

Tidak lama selepas itu, laungan azan berkumandang dari masjid berdekatan. Mereka berempat serentak senyap. Suapan yang termuat di dalam mulut masing-masing dikunyah perlahan.

“Awal waktu Zohor masuk hari ni. Jomlah solat,” suara Tengku Aariz serentak bangkit dari kerusi.

Segera Farhad ikut bangkit.

“Eh, kamu nak pergi mana?” soal Tengku Aariz. Wajahnya berkerut seribu.

“Solat Zohor,” jawab Farhad berbasa-basi. Meskipun wajah Tengku Aariz bengis, itu bukan penghalang untuk Farhad bermanis muka.

“Kalau macam tu ... kamu jadi imam.”

“Insya-Allah. Boleh ... tengku,” balas Farhad dengan rela hati.

Tengku Aariz mengerling Farhad yang tercegat di hadapannya. Nampak dari tingkah laku budak ni, dia lebih baik daripada Zafran. Tapi aku tak boleh terus percaya, bisik hati Tengku Aariz tanpa didengari siapa-siapa.

Hanya dia yang dapat mendengari bisikan hati sendiri.




Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh