Bab 16

SEJURUS terjaga dari lena, aktiviti pertama sekali yang dia lalukan adalah meneliti telefon bimbit. Tiada lagi sebarang pesanan yang dia terima daripada Farhad. Sebaliknya, bertalu-talu bunyi mesej menerusi aplikasi WhatsApp sebaik sahaja Wi-Fi dihidupkan.

Nama Tengku Aariz, Che Puan Medina dan Aida berada di tiga teratas. Muhal Farhad merajuk. Setahu Isya, Farhad bukan seorang yang perajuk.

Hati mula berdesis, engkaulah telefon si Farhad tu dulu.

Tidak! Isya yang membuat perjanjian tersebut, mana mungkin dia yang akan melanggar perjanjian sendiri.

Dia menyanggah keras. Perjanjian sudah termeterai. Apakah perjanjian tersebut hinggakan ego Isya begitu megah?

Perjanjian pertama, mereka hanya dibenarkan berhubung sekali sahaja dalam satu minggu. Perjanjian kedua, berlaku setia. Perjanjian ketiga, umpamakan antara mereka berbuat selingkuh, perjanjian yang terpateri akan dibatalkan sekali gus hubungan mereka berdua telah putus.

Sememangnya berat untuk mengotakan janji. Namun Isya yakin, ia akan dipermudahkan jika hati lelaki itu nirmala. Hati yang nirmala tidak mudah termakan dengan godaan syaitan.

Dan Isya yakin, hati itu adalah milik Farhad.

“Bangun! Bangun! Bangun!”

Isya mengurut dada. Dia mendengus. Kacau sajalah, Abang Ir ni! Jeritan hatinya tiada siapa yang dapat mendengar.

“Kata nak jalan-jalan. Cepatlah bersiap.”

Ajakan Irwan membuatkan Isya tersedar sesuatu perkara. Jam berdetik menyedarkan dia. Terkocoh-kocoh dia lari-lari anjing menuju ke bilik mandi.

Gesit dia mengambil air sembahyang. Isya bangun pada waktu terangkat kening. Dalam hatinya berdesah tanpa henti.

“Yang Isya gopoh-gapah ni kenapa?” Selamba Irwan menanyakan soalan.

“Subuh! Isya tertinggal solat subuh! Ini kalau ayah tahu ... nahas Isya,” jawabnya disertai dengan desah.

“Ala, relakslah. Pak Ngah kat Malaysia, Isya kat New York. Manalah Pak Ngah tahu apa yang Isya buat kat sini ...”

Tidak semena-mena matanya mencerlung.

“Tapi, Allah tahu apa yang Isya buat.”

Irwan tungkap. Bisa sungguh kata-kata Isya namun bermesej. Dia memberi laluan kepada adik saudaranya. Bahana kalau terlanggar sedikit sahaja nanti, tak tentu fasal wuduk gadis itu batal.

Tika itu, memang dia akan disumpah seranah oleh Isya.

Niat solat subuh dibaca seperti biasa. Dia memang tidak sedar atau menyengajakan untuk terlambat bangun. Mungkin asbab terlalu letih kelmarin.

Irwan tak berengsot dari muka pintu kamar Isya. Sambil menyilangkan tangan, dia menanti Isya selesai solat. Di saat Isya menampungkan tangan, Irwan turut meniru perilaku gadis itu.

Seusai berdoa, Isya terus melipat mukenah dan sejadah. Pantas mengayun langkah untuk bersiap. Waktu dia membersihkan diri dan bersiap sahaja sudah memakan masa 30 minit.

I'm done.

Suara Isya menyentap Irwan daripada khayalan. Irwan mengusap dada. Bikin dia hampir terkena serangan jantung saja.

“Dah siap? Let's go,” kata Irwan seraya mengorak sila dari sofa. Kaca TV dimatikan.

Isya mengekori abang saudaranya dari belakang. Sedang Irwan mengunci pintu rumah, mata Isya leka menghadap skrin telefon.

“Assalamualaikum.”

Laju dia mengkalihkan pandangan.

“Waalaikumussalam,” balas Isya serentak membalas senyuman.

Isya dan wanita bertudung itu senyum-menyenyum.

“Ha, Isya. Perkenalkan ini, Ana. Jiran kita yang berasal dari Indonesia. Ada dua orang je orang Asia kat sini,” ujar Irwan setelah usai mengancing pintu.

“Hai, Ana. Nice to meet you. Nama saya ... Isya,” sapa Isya kemudian mereka berjabat tangan. Pada masa yang sama dia bersyukur saking ada teman serumpun di sini. Tidak adalah dengan loghat English 24 jam.

“Senang dapat ketemu kamu juga ....”

“Ana nak pergi ke mana?” tanya Irwan seraya menyelukkan tangan ke dalam poket. Dingin. Suhu di sini tidak sama dengan Malaysia.

“Saya mahu ke toko buku, mas,” jawab Ana dalam bahasa ibundanya. Ana sekeluarga baru sahaja berpindah di sini dua bulan yang lepas. Bahasa Indonesia dia juga masih pekat, namun masih mampu difahami.

“Oh ... kedai buku? Ayuh, ikut mas. Kebetulan, mas memang nak bawa adik saudara mas jalan-jalan,” tutur Irwan terikut-ikut cara percakapan Ana.

Ana melangkah masuk dahulu ke dalam mobil, sejurus kemudian giliran Isya.

Kenderaan pacuan empat roda itu menggelangsar pergi sebaik saja menghidupkan enjin. Lokasi pertama yang hendak dituju adalah kedai buku. Berapakah yojana jauhnya rumah mereka menuju ke pusat membeli-belah?

Lebih kurang 2 kilometer.

Sebaik-baik selepas menghentikan kereta di parkiran, telefon bimbit Irwan berdering. Perbuatan mereka untuk keluar dari perut kereta, tergencat.

Jantung Isya berdegup laju ketika Irwan diam sepanjang menjawab panggilan.

What? Okay, thanks.

Hanya itu butir bicara Irwan sebelum talian diputuskan.

“Isya, Ana. I need to go now.

“Pergi? Pergi mana pula?” soal Isya bingung.

“Kak Mona pengsan kat butik dia! Abang kena pergi sekarang. Macam ni, Isya dengan Ana ... pergi kedai buku dulu. Nanti abang datang sini balik.”

Isya menekup mulut sambil mengangguk. Dia dan Ana berganjak dari perut kereta. Tanpa membazir waktu, Irwan beredar dari tempat letak kereta.

Kereta itu lesap dari pandangan mata mereka.

“Isya, yuk.”

Perlahan-lahan Isya mengangguk. Di dalam hati dia berdoa, semoga keadaan Ramona baik-baik sahaja. Mereka mengorak langkah masuk ke dalam kompleks membeli-belah.

Pintu gelangsar terbuka dan tertutup secara automatik. Mereka berdua terus mendaki eskalator. Amazon Books berada di tingkat paling atas. Sebelum mereka tiba di kedai buku, boleh tahan ramai bilangan orang mengerumuni kedai buku itu.

Lekas mereka masuk ke dalam toko buku tersebut. Bukan apa, hanya takut buku yang dicari oleh Ana akan habis. Sedang Ana sibuk menilik sebuah novel, Isya sibuk menilik telefon.

Ada sesuatu yang membuatkan anginnya kurang baik hari ini. Angin untuk membeli-belah juga telah melayang. Novel-novel yang terletak di atas para-para juga tidak berjaya menarik tumpuannya.

“Isya? Kamu lagi ngapain?”

Pundak Isya terenjut. Kaget dengan sapaan Ana. Ana tak bersalah, cuma Isya yang bertafakur terlalu lama.

“Kamu lagi mikirin pacar ya... ?” usik Ana yang sudah selesai membeli buku rujukan.

“Pacar? Teman lelaki maksud awak? Tak, tak, tak. Saya masih single available,” nafi Isya dan tidak menceritakan kewujudan Farhad.

“Saya ... nggak percaya.”

“Tak percaya, sudah.”

Isya dan Ana sama-sama tertawa kecil. Hajat mereka ke kedai buku telah tercapai. Ada baiknya mereka kelik ke rumah sekarang.

“Esok kita berangkat ke kuliah berbarengan ya?” pelawa Ana memandangkan mereka satu universiti dan satu bidang.

Berjodoh betul!

Isya anggukkan kepala. Dulu, hanya Aida rakan ikrabnya di kampus. Kini, Ana pula yang menggantikan tempat Aida. Mudah-mudahan impian mereka berdua untuk menjadi seorang doktor pada masa hadapan, akan tercapai.

Jantung Isya berdetak hebat tatkala memikirkan hari esok. Hari esok yang menjadikan dia sebagai pelajar baru. Pelbagai tanggapan negatif, menujah perasaan. Libang-libu kotak fikirannya dibuatnya.

Gemuruh menguasai dalaman.

Mereka berdua mulih ke rumah dengan menaiki teksi. Isya tidak sampai hati untuk mengacau Irwan. Tak nak menambah lagi beban lelaki itu.

Tanpa menyinggah ke mana-mana, mereka terus pulang ke rumah. Asian ada Ana yang mengingati alamat rumah, kalau tidak ingat? Sama ada rela atau tak, mereka terpaksa menunggu Irwan datang menjemput mereka berdua di bahu jalan.

Kembali di rumah, Isya dan Ana saling mengucapkan selamat tinggal sebelum masuk ke dalam tempat tinggal masing-masing. Isya tidak tahan dengan sariranya yang agak berlegas.

Semasa sibuk membersihkan diri, terdengar ada keriuhan di ruang tamu. Isya tertarik ingin tahu. Selesai berpakaian, Isya hanya mengenakan tuala untuk menyelubungi kepalanya.

Terlihat Ramona dan Irwan tengah duduk berdua di sofa. Isya sangkakan ada orang lain yang datang.

“Akak dah balik dari hospital? Akak pengsan sebab apa?” Dengan tiada memberi salam, Isya terus menanyakan soalan.

Irwan dan Ramona berpandangan sesama sendiri.

“Akak ... mengandung,” jawab Ramona sambil berpalis dengan manisnya.

“Akak mengandung?” Terjungkit sebelah kening Isya. Ala kening Ziana Zain.

“Ya ... I'm pregnant.” Bersungguh-sungguh Ramona menjelaskan bahawa dia sedang hamil anak pertama.

“Aaa! Tahniah akak!” Isya meloncat keriangan. Kedua-dua belah tangannya mengipas wajah. Dia bakal menjadi seorang mak cik!

Ramona dan Isya saling berlaga pipi. Irwan di sebelah tersengih-sengih, gembira sangat nampaknya nak jadi seorang ayah.

Sorry ... sebab abang biarkan Ana dan Isya balik naik teksi,” ucap Irwan serba salah. Ramona pengsan agak lama di hospital, tidak sampai hati pula untuk dia meninggalkan Ramona seorang diri.

It's okay, abang. Nasib baik ada si Ana tu, tahulah juga dia selok-belok New York City ni. Kalau takde dia ... boleh sesat Isya.”

Isya ketawa separuh terpingkal. Hatta maka, mulutnya menguap. Serta matanya sedikit berair. Dah penat berjalan agaknya.

“Abang, akak. Isya masuk bilik dulu. Nak prepare untuk kelas esok,” pamit Isya sederap mengorak sila.

Tendas suami dan isteri itu mengangguk.

Isya melangkahkan kaki ke bilik untuk beristirahat. Ingin melepaskan segala lelah dan kekacauan benak fikiran. Dirinya direbahkan ke atas katil bujang.

Telefon pintar yang lampunya berkelip sejak tadi dikelih. Gara-gara Farhad, Isya menjadi resah. Dia suhad. Isya mengelamun di perbaringan. Lamunannya jauh sampai ke Malaysia.

Jeritan telefon di meja sisi katil memeranjatkan dirinya. Nama Farhad tertera di skrin.

“Helo, Farhad?”

Keadaan senyap sunyi, hanya hujung talian yang bersuara.

“Apa? Farhad dikejarkan ke hospital?”


KAKINYA mundar-mandir. Telefon berterusan di genggaman. Satu malam tidurnya tidak nyenyak karena Farhad. Rasa khuatir tidak dapat dibendung lagi.

Seperti apa berita Farhad yang terkini? Isyarat di sini tidak berapa baik semalam. Sora Azad terdengar tersekat-sekat.

Tidak jelas. Apa penyebab Farhad dikejarkan ke rumah sakit?

Ketukan pintu mematikan langkahnya. Suara Ramona kedengaran.

“Isya ... dah siap?”

“Dah,” jawabnya pendek. Daun pintu dibuka.

“Abang Irwan pergi tempat kerja awal sikit hari ni .... Isya takpe kan pergi campus jalan kaki?”

Angguk.

Ramona memandang ke arah Isya dengan seribu kerutan pada dahinya. Riak wajah Isya tampak muram.

“Jom sarapan,” ujar Ramona sambil menyenduk nasi ke atas piring.

Isya menggeleng lemah. Nafsu makannya telah hilang.

“Isya ... kalau iya pun, jamahlah sikit,” ujar Ramona lagi.

Isya tetap menggelengkan kepala. Dia mencium tangan Ramona sebelum bertolak punggung.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” balas Ramona. Dia berasa hairan dengan tingkah laku Isya hari ini. Terlalu ketara perubahan yang ada pada raut wajah itu.

Tangan Isya cekatan mengunci pintu kayu berwarna coklat itu dari luar.

“Isya!”

Dia disergah seseorang. Terhinjut bahu Isya dek sergahan dari arah belakang. Kus semangat.

Bila ditoleh, Ana rupanya. Sudah tentu gadis berkerudung labuh itu muncul untuk menagih janji.

“Yuk ke kampus. Dari sini ke kampus nggak jauh kok, kamu gak usah khawatir ya?”

Hanya anggukan tindak balas Isya. Perasaan gemuruh sebagai pelajar baru lenyap dengan sekelip mata. Isya mengatur langkah dan berjalan beriringan.

Ana memaut bahunya. “Kamu kenapa? Nggak usah takut ... aku kan ada. Lagi pula ... siswi-siswi di sini baik-baik orangnya,” ujar Ana ingin menenangkan Isya.

Isya sekadar senyum kelat. Langkah dia semakin lemah. Cuma Farhad penawar bagi kemurungan ini.

Kring! Kring!

Bunyi telefon menjedakan langkah mereka. Lantas Isya mengeluarkan telefon pintar dari kantung jaket. Mata Isya mencicil. Butang hijau dileret ke kanan.

“Helo? Helo, Farhad?”

“Isya.”

Bibirnya menguntum sebuah senyuman. Lat beberapa saat senyuman itu tumpas.

“Kenapa awak tak call saya? Kenapa awak tak cakap yang awak sakit? Awak sakit apa sampai masuk hospital?”

Isya mengajukan soalan secara bertalu-talu. Farhad di hujung talian tergelak kecil.

“Awak ni ... tanyalah satu-satu. Macam ni, awak janganlah risau. Saya cuma rebah sebab demam panas,” kata Farhad.

“Iya ke?” tanya Isya seakan-akan tidak percaya.

“Iya, lagi pun saya memang sengaja lambat call awak. Sebab, tahu-tahulah ... saya ni dapat call awak seminggu sekali je,” protes Farhad tentang perjanjian tempoh hari.

“Wah ... berani eh protes?” sakat Isya sembari berpeluk tubuh. Sepasang kakinya terus berjalan ke depan.

“Hahaha, takdelah. Mana ada saya protes. Cuma, saya rindukan awak.”

Isya membungkam. Jauh di lubuk hatinya juga ingin membalas 'rindu'. Tapi perasaan malu menebal di kalbu.

“Far, saya kena pergi kampus dulu. Hari ni first day saya ... tolong doakan saya?”

“Baiklah.”

“Awak cepat sembuh ya ... jangan buat saya yang kat sini risau. Saya tak boleh nak melawat awak. Lainlah kalau saya ada pintu Doraemon.” Deraian tawa mereka bersatu.

Ana di sisi Isya tercengang-cengang. Apa hal yang mencuit hati Isya?

“Awak jaga diri kat sana. Saya akan setia menanti awak di sini. Itu janji saya.” Setiap kalimah Farhad kedengaran begitu ikhlas.

“Insya-Allah, Far. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Senyumnya melebar. Isya memegang tangan Ana dan menyuruh rakannya itu berjalan dengan lebih pantas.

“Ana ... jom. Nanti kita terlewat.”


MASING-MASING mematikan panggilan. Azad di sampingnya mengetap rahang dari tadi. Penipu! Tidak usah menjerkah dari mulut, pertembungan mata sudah menyampaikan segalanya.

Farhad berlagak biasa. Berlagak seperti orang tiada penyakit. Ia meletakkan perlahan telefon pintar di atas meja sebelah.

Minum petang untuk pesakit telah tersedia. Kudapan yang disediakan oleh pihak hospital adalah biskut kering dan secawan koko.

Bolehlah nanti dia mencecahkan biskut dengan koko.

“Kenapa kau tak jujur je yang kau sakit? Ke kau nak, dia tahu-tahu je kau dah mati nanti?”

Farhad menggagu seribu bahasa. Cuma senyuman nipis yang menjernihkan sedikit roman wajah yang pucat itu. Koko suam itu diminum sedikit demi sedikit.

“Aku takut ... kau yang menyesal tak sudah nanti, Far.”

“Zad, kau boleh diam tak? Aku akan beritahu dia. Cuma ... waktunya bukan sekarang.”

“Bila waktunya? Bila kau dah nyawa-nyawa ikan?”

Dua sahabat itu berdebat antara satu sama lain.

“Mungkin ... aku akan beritahu Isya dalam tempoh 5 tahun akan datang?”

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh