Bab 18

KERETA SPORT meluncuri lebuh raya yang lengang. Kereta itu sudah jauh meninggalkan KLIA. Ibu kota Malaysia tidak terlampau sibuk pada hari bekerja.

Itulah yang dikatakan oleh Zafran. Isya sekadar mengangguk dan mengeyakan.

Nubari Isya tengah melonjak keriangan tegal dapat pulang ke tempat asalnya. Lagu 'Balik Kampung' yang diputarkan dari corong radio, mewarnai lagi kegembiraannya.

Siapa sahaja yang tidak mengenali lagu tersebut atau pemilik lagu tersebut? Nyanyian seniman Sudirman Haji Arshad yang tidak pernah lapuk dek zaman.

“Isya buat apa je kat luar negara tu bila tengah bosan?” tanya Zafran, namun matanya lurus memandang ke depan.

“Apa yang Isya buat bila tengah bosan? Hmm ... Isya shopping, kadang-kadang pergi library dengan Ana dan Eric.” Isya menjawab sambil menyilangkan tangan.

“Eric? Siapa tu?” soal Zafran penyibuk. Semua hal dia nak tahu.

Friend. Eric tu lahir kat Singapore tapi dia membesar kat Amerika since ... him parents divorced.

Zafran kembali semula mendiamkan diri. Isya kelih ke arahnya. Dia sedar akan tatapan wanita itu tetapi dia berlakon tidak sedar.

“Berani eh Zaf panggil Isya, sayang tadi? Tak takut your wife mengamuk ke?”

Usikan Isya meledakkan tawa Zafran. Isterinya hendak marah? Dia masih ada tiga lagi kekosongan. Mentak, Isya boleh mengisi kekosongan berkenaan.

Lelaki itu mempunyai hak untuk menambah isteri satu lagi. Kalau Sally pandai menjaga pakai, makan dan minum suami, lengkara Zafran boleh terfikir untuk menikah satu lagi.

Zafran terkerising. Isya menengok tajam senyuman yang tidak berketentuan itu. Zafran sedang berangan atau fokus memandu?

“Zaf. Zafran!”

Sengihan lelaki itu hilang sekilap mata. Zafran menyelingar serentak menggerakkan kepala. Strereng terus dikawal untuk mengemudikan kereta.

“A ... apa dia?”

“Ada apa Zaf tersenyum-senyum tadi? Zaf memang tak berubah kan? Suka buat Isya rasa takut,” tutur Isya fasal kelakuan Zafran. Suka buat dirinya berasa tidak selamat untuk duduk di samping Zafran.

Namun, Isya percaya bahawa Zafran telah insaf. Malahan, pria itu sudah menjadi bapa budak pun. Mustahil tidak pernah terbit secebis rasa insaf di dasar hati.

Kalau tidak pernah, sah hatinya kering.

Kereta sport itu tiba di plaza tol. Kadar tol dibayar menggunakan SmartTAG. Baki kadar tol yang tinggal  adalah RM 1.50.

“Bila Isya tengok gambar anak Zaf, cantik je dia ... macam mak dia,” puji Isya tentang anak tunggal Zafran yang mewarisi kecantikan Sally. Dia selalu mengikuti perkembangan Zafran sekeluarga melalui Facebook.

Meskipun begitu, air muka puteri tunggalnya itu tetap mewarisi daripada Zafran.

“Sofea? Umur dia baru 5 tahun.”

Serta-merta dahi Isya berkedut. Usia anak Zafran sudah mencecah 5 tahun? Bukankah seharusnya usia Sofea lebih muda daripada Athirah?

Zafran perasan kerutan yang ada pada dahi Isya. Bibirnya tersungging sumbing. Sofea sering digelarkan 'anak luar nikah' oleh teman-temannya.

Pilu hati Zafran bilang kali Sofea mengadu kepadanya soal perkara tersebut. Sofea dinista dengan kata-kata yang keji. Biarpun Zafran dan Sally telah mendirikan rumah tangga, aib mereka sudah tersebar luas.

Kisah lampau mereka berdua telah memperlakukan Sofea sebagai korban.


BOLA kecil yang keras itu melayang di awanan. Mereka mencongak melihat bola berona putih itu. Satu bola memasuki lubang dalam padang golf. Tepukan gemuruh kedengaran.

Orang sekeliling sekadar menyaksikan. Farhad bersorak untuk Tengku Aariz. Nak ambil hati bakal bapa mentua punya fasal. Lantaklah apa mulut orang sekeliling nak mengata.

Kembang hidung Tengku Aariz. Riak wajah yang dipamerkan, cukup menggambarkan bahawa orang tua itu bangga dengan pujian.

Farhad berpura-pura tidak pandai dalam sukan golf. Walhal, dia dan Azad acap kali bermain sukan ini. Melainkan di hadapan Tengku Aariz, dia berlagak dungu.

Pukulan demi pukulan, sudah satu jam mereka bermain. Pantas sangat masa berjalan. Tengku Aariz sendiri masih belum puas menunjukkan taringnya sebagai pemain golf terhandal.

Kayu golf disimpan ke dalam beg sebaik sahaja selesai. Kehijauan rumput-rumput terhampar luas. Manik-manik peluh mula merembes keluar di dahi dua orang itu. Hari yang terik dan melengaskan.

Tengku Aariz dan Farhad menaiki bugi golf sewaktu bergerak pulang. Sebaik-baik kereta golf berjeda di hadapan ruang legar resort, Pak Man sedia tercacak di bahagian luar kereta.

“Terima kasih sebab temankan ayah main golf. Ayah dari dulu ... memang teringin nak anak lelaki. Sebab inilah, boleh temankan ayah.”

Farhad tersenyum. Sejak kematian arwah bapanya, Tengku Aariz umpama pengganti kepada arwah bapanya. Selepas Isya berangkat ke New York, Farhad adalah peneman Tengku Aariz.

Pada awalnya, Tengku Aariz kurang senang kehadirannya yang boleh dikatakan setiap hari jejaka itu menjengah rumah mereka. Farhad betul-betul melaksanakan amanah yang Isya titipkan kepadanya.

Sehingga pada suatu saat, Farhad dimasukkan ke hospital. Wajarlah tiada detik-detak mengenai Farhad. Saat itu, Tengku Aariz sedar mengenai sesuatu perkara.

Pemuda itu benar-benar tulus ikhlas mencintai anak perempuannya.

Hari bersilih ganti, jalinan pertunangan semakin mengukuhkan wasilah mereka. Isya dan Farhad bertunang sekitar 4 tahun yang lalu ketika Isya balik ke Malaysia. Namun, Farhad tidak berkesempatan untuk bertemu Isya baktan kesibukan yang melanda.

Tengku Aariz mengutarakan permintaan kepada Farhad sebaik sahaja anak muda itu selamat menjadi bakal menantunya. “Panggil saya, ayah.”

Detik itu, dengan besar hati Farhad memanggil lelaki separuh abad itu dengan gelaran 'ayah'.

“Bila Isya balik ke sini ya, ayah?” Sora  Farhad menanyakan tarikh kepulangan tunangnya. Sebenarnya berat untuk mulutnya bertanya tapi dah alang-alang Tengku Aariz ada di sebelah, ada bagusnya dia luahkan saja.

“Tempoh hari dia kata, dia nak tangguhkan penerbangan. Bila ayah tanya pasal tiket penerbangan, dia kata nak uruskan sendiri. Entahlah dia tu ... macam berat hati je nak balik ke sini.”

Kata-kata Tengku Aariz menjadikan Farhad gelebah. Berbagai-bagai kebarangkalian muncul. Barangkali Isya sudah berpaling tadah? Sementelahan, para jejaka di sana bermata biru.

Tawa kecil terhambur dari mulut bakal bapa mertuanya, “Janganlah kamu risau ... masakan Isya berani langgar perjanjian kamu berdua tu. Apa nama perjanjian tu? Janji setia? Hahaha!”

Tengku Aariz gelak sakan. Pak Ali yang tengah menyetir itu menungging senyum nipis. Sudah lebih dari 20 tahun dia berbakti kepada Tengku Aariz. Walau dia hanya seorang pemandu peribadi, dia sudah masak dengan usikan pria yang berperwatakan tegas itu.

Pria separuh kurun itu merangkul kemas bahu si pemuda lalu menepuknya, “Insya-Allah ... semuanya akan baik-baik sahaja,” ujar Tengku Aariz mendatar.

Farhad kekal bertenang meskipun sedikit hampa.

Sehari suntuk Farhad menemani Tengku Aariz, tanpa disedari perutnya terkelik. Bergema ke segenap ruang mobil.

“Kamu lapar ke?” Tengku Aariz menyoal.

Farhad menganggukkan kepala tanda lapar.

“Hahaha! Iyalah, kita santap di rumah. Bonda dah masakkan makanan untuk kita.”

Lampu hijau menyala dalam sistem lalu lintas. Pemanduan Pak Ali diteruskan.

Kenderaan melepasi kawasan perumahan, jantung Farhad dan-dan berdegup laju. “Apa ke he pula ni?” gumamnya.

Mobil memasuki pekarangan kediaman nombor 23. Pintu pagar terbuka kemudian tertutup perlahan. Biji mata Farhad berasa curiga terhadap sebuah kereta sport.

Tidak pernah pula dia ternampak kereta sport berwarna biru itu. Waham penyebab timbulnya tuduhan melulu.

Dia dan Tengku Aariz serentak keluar dari perut kereta. Sewaktu tapak kasut menapak menuju ke rumah banglo, mata Farhad masih menyoroti kereta berkenaan.

Bagasi terletak di tepi pintu masuk. Bagasi siapa pula?

“Ayah!”

Jeritan 'ayah' bersipongang. Seorang gadis dari ruang tamu berlari hatta maka memeluk erat badan Tengku Aariz. Tendasnya disandarkan pada dada Tengku Aariz yang bersimbah keringat tadi.

Isya?

“Isya, bila kamu balik?” soal Tengku Aariz sambil memegang kedua-dua pipi anaknya.

“Tadi ... surprise!

Farhad dan Tengku Aariz tergegau. Geliga sungguh otak si Isya ini dalam pembikinan kejutan.

Isya senyum meleret, perlahan-lahan dia mengalihkan pandangan ke arah Farhad. Raut wajahnya kian matang. Ada perubahan berbanding lima tahun sebelumnya.

Gabir menghantui diri mereka berdua. Tiba-tiba berasa canggung. Perasaan canggung menggunung di dada.

Bagaikan baru pertama kali beradu kening.

“Assalamualaikum, Isya.” Mula Farhad, gemuruh.

“Waalaikumussalam,” sambut Isya.

Suara dia masih merdu seperti di dalam panggilan telefon, spontan bisikan kalbu Farhad berirama. Isya dan Farhad memalis ke arah lain.

Lucu apakala melihat telatah mereka yang tersenyum kanyor.

“Hei ... sudahlah. Kamu berdua ni memanglah dah lama tak berjumpa. Tapi selalu berhubung melalui telefon kan? Jadi tak usah tersipu-sipu macam ini,” celoteh Tengku Aariz yang pernah alami darah muda. Meloya bila menyaksikan dua anak muda itu kemalu-maluan.

Apa yang hendak dimalukan? Lambat-bangat mereka bakal menjadi suami dan isteri juga.

Kaki mereka menapak ke ruang tamu. Sesusuk batang tubuh sedang menghirup secawan minuman. Terpegun.

“Zafran,” seru Tengku Aariz garuk.

Tendas itu menoleh.

“Tengku,” balasnya.

“Engkau buat apa kat sini?” tanya Tengku Aariz serius. Sudah lama dua insan itu tidak bertentang mata.

Zafran menelan iler sebelum menjawab, “Saya ... yang hantarkan Isya balik.”

Mencerlung bebola mata Tengku Aariz.

“Ayah, bagi Isya explain dulu.”

“Nak explain apa lagi?” Suara Tengku Aariz meninggi sedikit. Riak mukanya, bengis.

“Saya ...”

“Kau diam!” herdik Tengku Aariz.

Penjelasan Zafran dipotong.


DATANG tak berjemput, pulang tak berhantar. Tiada seorang pun yang berani membantah arahan Tengku Aariz. Zafran sudah lali dengan tohmahan.

Buat tidak peduli sajalah. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Sudah bertahun-tahun Zafran tidak bertemu dengan orang tua Isya. Namun sikap angin-anginan Tengku Aariz terhadapnya masih bersisa. Nak bilang muka dia macam muka pecah rumah, terletak elok sahaja mukanya.

Zafran bingung alang. Kereta sport diparkir di tempat letak kereta. Lampu terang-benderang menyuluhi ke segenap ruang rumah. Semua orang masih belum tidurkah?

Malam semakin melabuhkan tirai. Azan subuh bakal berkumandang satu jam dari sekarang. Setelah diusir oleh Tengku Aariz, dia duduk melepak di restoran mamak santak ke senja. Balik dari restoran, dia singgah solat maghrib dan isyak di masjid.

Tamam solat, secara tidak sengaja dia tertidur di dalam kereta. Celik sahaja mata, jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Hulu dinihari terus dia memandu pulang ke rumah.

Nasib baik, Tuhan masih melanjutkan usianya.

Trang!

Ada sesuatu bunyi pecah kedengaran dari dapur. Bergegas Zafran menuju ke dapur. Ini bukan kali pertama perkara ini berlaku.

“Ya Allah. Mommy!

Pinggan berkecai sejurus terhempas ke lantai. Kaca bersepai dan terserak ke merata tempat. Zafran gesit mengutip serpihan itu sebelum ada salah seorang ahli di dalam rumah ini terpijak kaca.

Mommy buat apa kat dapur waktu-waktu macam ni ...?” soal Zafran merengus-rengus.

Mommy nak sahur ... kan mommy nak puasa hari ni,” terang Datin Wati yang duduk di atas kerusi roda. Dia diserangi penyakit lumpuh, semenjak 3 tahun yang lalu.

Zafran mengangkat muka, mata merenung si ibu yang duduk di atas. Gigi diketap. Pecahan kaca dibuang ke dalam tong sampah.

Lauk semalam yang dibeli di kedai, dikeluarkan dari peti sejuk lalu dipanaskan. Dia bertanak memandangkan nasi semalam sudah basi.

“Ada isteri pun tak guna,” desis Zafran usai menanak nasi dan menghidangkan makanan di atas meja. Rungutan Zafran dapat didengari jelas.

“Zafran ... jaga percakapan kamu tu. Kalau isteri kamu dengar, terasa hati pula dia nanti,” ujar Datin Wati ingin menjaga hati menantunya.

“Buat apa Zaf nak jaga hati dia? Dia sendiri pun tak jaga hati suami dia, mommy tahu tak?”

Zafran menghentak meja. Amarah dia meluap-luap setiap kali mengenangkan perangai isterinya. Dia mengorak langkah ke tingkat atas.

Datin Wati bersahur sendirian.

Zafran memecah pintu bilik. Isterinya sedang terbongkang di atas ranjang. Dasar kaki tuak!

“Sally!”

Pekikan Zafran sedikitpun tidak mengganggu tidur Sally. Sebaliknya dengkuran Sally mengalahkan kaum lelaki. Bila mabuk, sepatah perkataan pun dia tak dengar!

Wake up, Sally!”

“Sanalah! I want to sleep!” pekik Sally kembali. Bantal menekup telinga. Menyerbak bau alkohol.

“Apa nak jadi dengan you ni ha? Mabuk setiap hari. I bagi you duit, untuk jaga mommy I. Tapi sekarang! Mommy I yang jaga you!” jerkah Zafran. Buat masa ini, tangannya masih belum pernah berkasar dengan Sally. Kalau diikutkan hati, memang Sally akan makan penampar daripada dia.

Mommy you tu ... lumpuh je. Tangan dia masih boleh bergerak kan? Huwa ...” Mulut wanita itu menguap luas tanpa ditutup. Lalat pun boleh masuk kalau begitu tingkah lakunya.

I penat kerja kat hospital tu siang dan malam, you suka-suka hati je habiskan duit tu pergi mana? Berjoli ... tapi bila I suruh you jaga mommy? Hampas ....”

Air bening menitis dari tubir mata Zafran. Dia kecewa tatkala melihat keadaan Sally. Sally merupakan amanah daripada Tuhan untuknya.

Tetapi dia sudah lelah untuk menarik Sally keluar dari lembah kemaksiatan.

“Papa ....”

Dihapus laju air matanya. Zafran mengisarkan badan. Senyuman dilukiskan.

“Hai, sayang ... come to papa.

Sofea membuka langkah besar dan merangkul pinggang Zafran.

“Lambatnya papa balik .... Semalam papa janji nak bacakan buku '25 Kisah Nabi & Rasul' untuk Sofea?”

Zafran garu kepala yang terasa gatal.

“Maafkan papa ... papa cari ketenangan sekejap,” kata Zafran sembari mengelus pipi Sofea.

“Malam tadi kan ... mommy balik dengan lelaki lain .... Mulut mommy bau busuk.” Sofea menyepit hidungnya menggunakan dua jari.

Hampa. Dia mengelih lama ke arah Sally yang matanya masih meruyup. I kecewa dengan you, kata hati Zafran. Remuk-redam sekeping hatinya.






























Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh