Home Novel Cinta Terus Mencintaimu
Terus Mencintaimu
Rose Eliza
3/2/2017 13:43:12
19,889
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

 

IRIS menyandarkan tubuh ke kepala katil. Terasa segar badannya selepas mandi. Jam di dinding dipandang buat seketika. Waktu sudah menghampiri ke angka sembilan malam. Seusai sholat tadi, dia menelefon Zakry. Sekadar berbual-bual bersama dengan kawan baiknya itu.

Sudah lama dia berkawan dengan Zakry. Segala masalah diceritakan kepada pemuda itu.Tidak pernah rasa bosan dan jemu mendengar masalahnya. Bersyukur kerana mempunyai kawan baik seperti Zakry.

Iris memejamkan mata buat seketika. Wajah pemuda yang ditemuinya siang tadi meniti di tubir mata. Seakan pernah melihat serta mengenali wajah itu sebelum ini. Sinar mata pemuda itu menceritakan sesuatu. Malah, rasa sebak turut sama hadirdi hati.

Kenapa? Kenapa dia berperasaan seperti itu. Adakah pemuda itu pernah hadir dalam hidupnya? Sungguh, otaknya tidak mampu untuk berfikir.

Ketukan di pintu mematikan lamunan pendek Iris. Dia menghalakan mata ke arah pintu bilik yang sudah terkuak sedikit. Wajah Puan Hanum menyapa mata.

“Mak tak tidur lagi?” tegur Iris kemudian.

Puan Hanum melangkah menghampiri Iris di katil. Wajah anak angkatnya ditatap kasih.Senyuman meniti di bibir.

“Kan dah lewat ni?” Iris bersuara lagi. Dia membetulkan duduk dan menanti balasandaripada Puan Hanum.

“Mak tak mengantuk lagi, Iris. Mak ada perkara nak bincang dengan Iris,” balas PuanHanum sambil melabuhkan duduk.

Iris berkerut dahi. Perkara apa yang hendak dibincangkan oleh Puan Hanum?

“Mak ingat nak buat kenduri sikit. Kenduri kesyukuran.”

“Kenduri? Bila?”

“Dalam minggu depan. Dah lama kita tak buat kenduri.”

Iris berfikir sejenak. Kepala mengangguk kecil. Mengiyakan kata-kata Puan Hanum. Agak lama mereka tidak mengadakan kenduri kesyukuran.

“Macam mana, Iris?” Puan Hanum bertanya.

“Baiklah, mak. Iris tak ada masalah. Kalau mak perlukan apa-apa, mak beritahu saja pada Iris. In shaa Allah Iris akan bantu,” balas Iris berserta senyuman di bibir.

Puan Hanum turut sama tersenyum. Nafas lega dilepaskan.

“Siang tadi Iris nyaris nak langgar orang,” beritahu Iris, perlahan.

Puan Hanum yang mendengar terkejut. Wajah Iris dipandang meminta penjelasan.

“Alhamdulillah, Iris tak ada apa-apa,” sambung Iris.

Tidak ada rahsia di antaranya dengan Puan Hanum. Segala yang berlaku pasti akan diceritakan kepada wanita itu. Hanya Puan Hanum tempatnya meluahkan segala masalah.

“Ya Allah! Betul ke ni, Iris?” soal Puan Hanum masih terkejut.

Iris sekadar mengangguk.

“Alhamdulillah kalau Iris tak ada apa-apa.”

“Alhamdulillah, mak. Ada orang datang selamatkan Iris.”

“Siapa?”

“Iris tak kenal. Tapi….”

“Tapi apa?”

Iris tidak membalas. Wajah pemuda siang tadi meniti di tubir mata.

“Tapi apa, Iris?” Puan Hanum berminat untuk tahu.

“Tak ada apa-apa mak. Dah lewat ni. Mak pergilah tidur,” suruh Iris, lembut. Senyuman diberikan kepada Puan Hanum.

Puan Hanum menghela nafas ringan. Anggukan diberikan kepada Iris. Pasti ada sebab kenapa Iris tidak mahu menjawab pertanyaannya tadi.

“Mak masuk tidur dulu. Jangan tidur lewat sangat,” pesan Puan Hanum bingkas bangun dari duduk.

“Kalau mak perlukan apa-apa, beritahu pada Iris,” pesan Iris sebelum Puan Hanum beredar dari bilik itu.

Puan Hanum sekadar mengangguk. Dia beredar dari situ menuju ke bilik.

“Kenapa hati aku sebak bila teringatkan pemuda tu?” Iris bersoal sendirian. Dia memejamkan mata buat seketika sambil otaknya memikirkan peristiwa siang tadi.

“Ya Allah! Kenapa aku rasa sebak?” sebut Iris semula lantas membuka mata.

 

 

HAIDAR melangkah menuju ke balkoni. Angin malam menyapa tubuh ketika ini. Terasa tenang dan damai. Malam yang indah dihiasi bintang. Otaknya sedang ligat berfikir. Peristiwa siang tadi meniti di minda. Wajah gadis yang diselamatkannya siang tadi menyapa mata.

Persoalan kenapa gadis itu memandangnya sebegitu sekali masih tidak berjawab. Seperti mengenali gadis itu sebelum ini. Tetapi di mana? Adakah gadis itu pernah kehospital atau pesakitnya dahulu?

Bunyi mesej masuk mematikan lamunan pendek Haidar. Dia membawa langkah masuk ke dalambilik lalu mencapai telefon bimbit dari atas meja. Nama di skrin telefon ditatap. Berkerut dahinya tatkala nombor yang amat dikenali menyapa mata.

“Badrul?”soal Haidar, sendirian.

Lantas, kotak mesej dibuka lalu membaca kiriman mesej tersebut. Kenapa Badrul mengirimkan mesej kepadanya? Jarang sekali Badrul menghubunginya. Adakah kena-mengena dengan apa yang sedang disiasat oleh lelaki itu?

“Masalah?”soal Haidar sendirian.

Masalah apa yang dimaksudkan oleh Badrul itu? Tanpa berlengah, nombor Badrul terus didail dan menanti panggilan dijawab. Pasti ada perkara penting yang ingin disampaikan oleh Badrul.

“Kenapa?” tanya Haidar sebaik sahaja talian bersambung.

“Kau free tak esok?” tanya Badrul menolak pertanyaan Haidar.

“Esok?” Haidar berfikir sejenak.

“Aku ada perkara nak bincang dengan kau,” beritahu Badrul. Nafas dihela ringan.

“Petang esok. Macam mana?”

“Okey! Aku jumpa kau petang esok.”

“Ada masalah ke, Badrul?”

“Ada masalah kecil. Tapi masih boleh dikawal.”

“Masalah apa?” Haidar masih bertanya.

“Esok aku cerita pada kau,” beritahu Badrul lalu mematikan talian.

Haidar sedikit tersentak sambil berkerut dahi. Masalah apa yang dimaksudkan oleh Badrul? Seminit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Nama Hanif tertera diskrin.

“Hmmm…ada apa?”

“Ayahada call kau tak?”

“Ayah? Kenapa?”

“Ayah ada call kau tak?” Hanif mengulangi pertanyaanya tadi. Dia mendengus ringan.

“Tak ada, kenapa?” balas Haidar berserta gelengan di kepala.

“Dah lebih dua minggu kan ayah ke sana? Sepatutnya minggu lepas lagi ayah dah balik,” jelas Hanif bernada tenang.

Haidar mencongak seketika. Ada benarnya kata-kata Hanif. Sudah dua minggu lebih ayah mereka mengerjakan umrah. Ikut perkiraan, ayahnya patut pulang dua hari yang lepas.

“Kau dengar ke tidak ni?” Hanif menekan suara.

“Kau tak cuba call ayah?” Haidar sekadar bertanya walaupun dia tahu jawapannya.

Busy!” balas Hanif acuh tak acuh.

“Itu saja alasan kau. Tak ada alasan lain lagi ke yang kau boleh bagi?”

“Kau jangan nak membebel pulak. Sekarang ni aku tanya pasal ayah, bukan nak dengar bebelan kau tu.” Hanif merengus. Sakit hatinya mendengar sindiran Haidar.

Haidaryang mendengar ketawa. Tanpa membalas, dia mematikan talian. Biarlah Hanif menelefon ayah mereka sendiri. Sekurang-kurangnya, Hanif sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

 

 

KURANG ajar!” bengang Hanif sambil mencampak telefon bimbit ke atas meja. Diraup wajah buat seketika. Haidar sengaja mencabarnya.

“Sengaja nak cari pasal dengan aku Haidar ni,” luah Hanif sambil menggenggam erat tangan. Dengusan kecil terlepas daripada bibir.

Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Telefon bimbit di tangan dipegang erat sambil otaknya ligat berfikir. Kata-kata Aidil meniti di minda. Kata-kata pujian Aidil kepada gadis yang bernama Iris Eryna.

Hanif menghela nafas ringan. Iris Eryna. Hatinya menyebut nama itu. Entah kenapa nama itu menghadirkan rasa benci di hati. Rasa marah yang sukar untuk dijelaskan.Tatkala memandang wajah gadis itu, bertambah tahap kebencian dan kemarahannya.

Kenapa dia berperasaan begitu? Adakah disebabkan kes yang lepas maka dia berperasaan begitu? Sungguh, dia tidak faham kenapa dia berasa begitu terhadap gadis yang bernama Iris Eryna.

“Siapa dia?” soal Hanif sendirian lalu memejamkan mata.

Terimbas wajah Iris di saat ini. Diamati raut wajah gadis itu. Seperti pernah melihat wajah itu sebelum ini. Tetapi, di mana? Dikerahkan otak sambil cuba mengingatinya. Dia yakin akan firasat hatinya. Seakan mengenali Iris sebelum ini.

Bunyi mesej masuk mematikan lamunan pendek Hanif. Lantas, dia membukakan mata lalu mencapai telefon bimbit. Nama yang tertera di skrin telefon dipandang.

“Ayah?” sebut Hanif sambil membetulkan duduk. Kotak mesej dibuka lalu membaca kiriman mesej tersebut.

 

Esok pukul 8.00 malam ditempat biasa.

 

Berkerut dahi Hanif tatkala membaca mesej tersebut. Adakah Encik Qamarul sudah pulang dari mengerjakan umrah? Kenapa Encik Qamarul tidak menghubunginya?

“Haish!!! Buat sakit otak aku fikir. Baik aku tidur,” rengus Hanif sendirian.

Tanpa berlengah, dia bangun dari duduk lalu melangkah ke katil. Ada baiknya dia tidur dari memikirkan tujuan perjumpaan tersebut. Mungkinkah Haidar turut menerima kiriman mesej yang sama? Persoalan yang sedang berlegar di kotak fikiran.

 

 

 

Previous: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.