Home Novel Cinta Terus Mencintaimu
Terus Mencintaimu
Rose Eliza
3/2/2017 13:43:12
19,888
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

GOOD job, Iris! Ini yang buatkan saya sayang nak lepaskan awak,” puji Dato Rashid berserta senyuman bangga.

Iris hanya tersenyum. Wajah teruja Dato Rashid ditatap seketika. Teruja tatkala diberitahu tentang kejayaan mendapat projek beberapa hari yang lepas.

“Awak dah beri keuntungan pada syarikat. Saya terhutang budi dengan awak, Iris,” suara Dato Rashid lagi.

“Saya hanya lakukan sedaya yang mampu, dato,” suara Iris masih tersenyum.

“Saya kagum dengan awak, Iris. Awak seorang yang bijak. Tak sia-sia saya jumpa awak dulu. Awak, anugerah yang Allah berikan pada saya dan syarikat,” jelas Dato Rashid. Peristiwa lama meniti di minda.

Iris tidak membalas. Dia turut berasa bersyukur kerana bertemu dengan Dato Rashid. Lelaki tua itu banyak membantunya sejak dari dulu lagi.

So, bila awak nak bercuti?” tanya Dato Rashid tatkala teringat permohonan cuti Iris beberapa hari yang lepas.

“Belum tahu lagi, dato. Mungkin lepas projek ni,” balas Iris, ramah.

Dato Rashid mengangguk. Dia bingkas bangun dari duduk lalu melangkah menuju ke sofa. Iris yang melihat turut sama bangun.

“Iris masih mencari?” tanya Dato Rashid sambil melabuhkan duduk.

Kisah hidup Iris sudah lama diketahuinya. Gadis itu seorang yang tabah menghadapi ujian. Tidak pernah sekali dia mendengar rungutan daripada Iris. Segala yang berlaku terhadap Iris, tidak lepas dari pengetahuannya.

Rasa terhutang budi dengan apa yang telah Iris lakukan terhadap syarikatnya. Dulu, syarikatnya tidak dikenali dan hampir tutup. Dengan bantuan Iris, syarikatnya dapat dibangunkan semula sehingga dikenali.

“Masih!” balas Iris, sepatah.

“Dah lama, Iris.”

“In shaa Allah, usaha Iris takkan sia-sia. Iris yakin dengan Allah.”

Dato Rashid mengangguk perlahan. Wajah Iris di hadapan ditatap mesra.

“Kalau Iris perlukan apa-apa, jangan lupa beritahu pada uncle. In shaa Allah, uncle akan bantu,” suara Dato Rashid selepas itu.

Berubah sudah kata ganti diri. Iris sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Jika anak lelakinya masih hidup, sudah lama dijodohkan dengan Iris. Sungguh, dia berkenan dengan Iris. Seorang gadis yang baik dan bijak.

Namun, itu semua hanya angan-angan semata-mata. Dia tidak menyalahkan takdir. Semua itu sudah ketentuan Allah buat dia dan isteri. Pemergian anak tunggalnya akibat penyakit leukimia meninggalkan kesan yang mendalam terhadap mereka berdua. Jika anaknya masih hidup, pasti seusia Iris.

Uncle!”

Iris memanggil. Sejak dari tadi dia memerhatikan Dato Rashid yang seakan termenung. Apa yang sedang dimenungkan oleh Dato Rashid?

“Haaa….” Dato Rashid tersentak.

Uncle teringatkan Idzham?” Iris menduga.

Dato Rashid menanggalkan cermin mata. Dia meraup wajah sambil melepaskan keluhan berat. Perlahan-lahan kepala mengangguk kecil.

Iris hanya memandang. Idzham Shah! Anak tunggal kepada Dato Rashid dan Datin Arniza yang meninggal dunia akibat penyakit leukimia. Ketika itu, usia Idzham masih 15 tahun. Rasa simpati terhadap pasangan itu menujah ke hati.

Uncle rindukan arwah,” ujar Dato Rashid, perlahan.

Iris hanya mendengar. Wajah Idzham ketika ini menyapa mata. Wajah yang dilihat di dalam sebuah album gambar. Datin Arniza sendiri yang menunjukkan album tersebut kepadanya tidak lama dulu.

“Kalau arwah masih hidup, tentu arwah seusia dengan Iris. Boleh uncle padankan dengan Iris. Mana tahukan Iris ada jodoh dengan arwah dan jadi menantu uncle,” luah Dato Rashid lalu ketawa kecil.

Uncle….”

Really miss him, Iris!” pintas Dato Rashid, lemah.

Iris membisu. Wajah lesu Dato Rashid dipandang. Rasa rindu terhadap ayah dan ibunya menujah ke hati. Apa khabar mereka sekarang? Selepas peristiwa itu, dia tidak mengetahui di mana ayah dan ibunya berada. Hanya doa yang mampu diberikan agar mereka berdua sihat dan selamat walau di mana mereka berada.

“Jom kita lunch! Dah masuk tengah hari,” suara Dato Rashid, tiba-tiba.

Iris sedikit tersentak.

“Kita makan kat tempat biasa,” beritahu Dato Rashid lagi.

“Baiklah! Iris ambil beg tangan sekejap,” balas Iris bingkas bangun lalu beredar dari situ. Senyuman diberikan kepada Dato Rashid.

Dato Rashid mengangguk. Nafas dihela ringan. Jauh di sudut hati, dia mendoakan kebahagiaan Iris. Semoga Iris berjumpa dengan seorang lelaki yang dapat menerima gadis itu seadanya.



“JANGAN lupa meeting kita minggu depan, Hanif,” beritahu Aidil.

Hanif yang baru hendak menyuap nasi menghentikan tingkah laku. Meeting? Meeting apa yang dimaksudkan oleh Aidil itu? Adakah dia tertinggal sesuatu?

“Kau dengar ke tidak ni?” Aidil masih bersuara.

“Sekejap! Meeting apa yang kau maksudkan ni?” Hanif bertanya seakan orang bodoh.

“Kau ni, kenapa? Aku dah banyak kali remind kau tentang meeting ni.”

Hanif mengerahkan otak supaya berfikir.

Meeting tu penting untuk syarikat kita. Kalau kita gagal lagi, habis!”

Hanif masih lagi berfikir akan mesyuarat yang dimaksudkan oleh Aidil itu.

“Maksud kau, projek Tan Sri Kamal?”

“Haaa.. ingat pun kau.”

“Penting ke?”

“Bro! Memang penting. Kita kena dapatkan projek tu.”

Hanif mengangguk faham. Hampir dia terlupa dengan projek Tan Sri Kamal. Memang penting bagi syarikatnya kerana sudah lama dia berhajat untuk bekerjasama dengan Tan Sri Kamal.

“Aku harap kita dapat projek tu,” ujar Aidil berserta nafas ringan.

Hanif sekadar mengangguk. Dia turut mengharapkan perkara yang sama. Matanya tertumpu ke arah seorang gadis dan lelaki berusia tidak jauh dari meja mereka duduki. Wajah gadis itu diamati seketika.

“Aku dah siapkan proposal. Nanti aku bagi pada kau,” beritahu Aidil. Wajah Hanif ditatap menanti tindak balas daripada sahabatnya itu.

Hanif tidak membalas. Matanya masih tertumpu ke arah pasangan yang dilihatnya sebentar tadi. Bukankah perempuan itu perempuan yang telah memalukannya kelmarin?

“Hanif!”

Aidil menegur. Apa yang sedang difikirkan oleh Hanif ketika ini? Tingkah laku Hanif diperhatikan. Seperti ada sesuatu yang sedang dilihat oleh Hanif.

“Aku ke wash room sekejap!” ujar Hanif bingkas bangun dari duduk.

“Hanif!” Aidil memanggil.

Hanif tidak mengendahkan panggilan Aidil. Dia melangkah menuju ke wash room. Senyuman sinis meniti di bibir. Otaknya sedang ligat berfikir.

“Kau tak akan terlepas, perempuan!” Hanif mengepal tangan.

Langkah dituju ke arah wash room. Dia memandang kiri dan kanan. Melihat orang sekeliling di kawasan itu. Tanpa berlengah, dihampiri gadis itu lalu menarik kasar tubuhnya.

Iris yang baru hendak melangkah masuk ke dalam wash room tersentak tatkala tubuhnya ditarik kasar oleh seseorang. Pantas, dihalakan mata ke arah gerangan yang menarik.

“Hai, sayang!” Hanif menegur dalam nada perlahan.

Iris sedikit terkejut. Lelaki yang menarik tubuhnya tadi ditatap sambil otaknya dikerah berfikir. Seakan pernah melihat wajah itu sebelum ini.

“Masih ingat dengan aku lagi?”

Iris masih berfikir. Diamati wajah di hadapannya itu buat seketika.

“Dah ingat?” Hanif bertanya buat kali yang kedua.

Of course! Mana boleh lupa dengan mamat ‘lembik’ macam kau ni.” Selamba Iris berkata. Ditekankan perkataan ‘lembik’. Senyuman mengejek meniti di bibir.

“Apa kau cakap?” Hanif mengepal tangan.

Iris sekadar tersenyum. Ada baiknya dia tidak membalas. Dia yakin pemuda itu bertemu dengannya sekadar untuk membalas dendam atas kes yang lepas.

“Kau nak apa? Nak balas dendam?” Iris memberanikan diri bertanya.

“Berlagak betul kau, perempuan.”

So? Bagi masalah pada kau ke kalau aku berlagak?”

Hanif mengeratkan lagi genggaman di tangan. Wajah Iris di hadapan dipandang tajam. Kurang ajar! Rengus Hanif dalam hati.

“Tentu kau tak dapat tidur malam, kan? Iyalah, asyik teringatkan kes hari tu. Tentu kau rasa malu, kan?” Iris bersuara. Sengaja memanaskan hati pemuda itu.

“Apa kau cakap? Malu? Aku rasa malu? No way! Aku bagi peluang pada kau saja.” Hanif membalas. Tidak mahu mengalah.

Iris yang mendengar ketawa sinis. Lelaki itu tidak mahu mengalah. Berlagak! Cebik Iris dalam hati.

“Kebenaran sungguh menyakitkan,” ujar Iris kemudian masih sinis.

Semakin panas hati Hanif mendengarnya. Perempuan di hadapannya itu bukan calang-calang orang. Ikutkan hatinya yang panas, mahu ditampar wajah sinis itu.

Iris yang melihat pemuda itu seakan berfikir cuba untuk melepaskan diri. Namun, tingkah lakunya hanya sia-sia. Pemuda itu berjaya menghalangnya beredar dari situ. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.

“Kau nak apa dengan aku?” bengang Iris.

“Cantik juga kau bila marah.” Hanif memuji. Sekadar melihat reaksi gadis itu.

“Lepaslah!” Iris meronta tatkala lengannya dicengkam oleh Hanif.

Hanif tidak mengendahkan rontaan Iris. Semakin kuat cengkamannya ke lengan gadis itu. Rasa sakit di hati sukar untuk dibendung. Dia perlu membalas dendam terhadap Iris.

“Lepaslah!” Iris menekan suara. Lelaki itu masih tidak mahu melepaskan lengannya.

“Kira bagus aku tak malukan kau di khalayak ramai. Kalau tidak….” Hanif mematikan ayat.

“Aku peduli apa. Kau ingat aku takut?” lontar Iris, berani.

Hanif yang mendengar menguatkan lagi cengkaman di lengan Iris. Berkerut wajah gadis itu dilihatnya. Puas hatinya itu.

“Kau…”

“Iris!” tegur Dato Rashid, tiba-tiba.

Hanif yang mendengar segera melepaskan cengkaman. Dikemaskan penampilan lalu tersenyum ke arah Dato Rashid.

“Iris? Are you okey?” Dato Rashid bertanya. Berkerut wajahnya melihat Iris bersama dengan seorang pemuda. Siapa pemuda itu?

“Okey! Iris okey!” balas Iris sedikit bergetar. Senyuman diberikan kepada Dato Rashid.

Dato Rashid mengangguk. Dia menghampiri Iris bersama dengan seorang pemuda. Wajah pemuda itu diamati. Seperti mengenali pemuda tersebut.

Uncle dah nak balik office ke?”

“A’ah. Lama uncle tunggu Iris kat meja, itu yang uncle ke sini.”

Iris masih tersenyum. Sedaya upaya dia mengawal riak di wajah agar Dato Rashid tidak dapat membaca riaknya itu.

So? Shall we?” tanya Dato Rashid sambil memandang wajah Iris.

Sure!” jawab Iris, perlahan.

Dato Rashid tidak membalas. Dia melangkah keluar dari ruangan itu. Otaknya masih lagi berfikir mengenai pemuda yang dipandangnya sebentar tadi.

Iris yang melihat turut memulakan langkah. Belum sempat dia menjauh, Hanif menarik tubuhnya ke dinding. Tersentak dia dengan tindakan pemuda itu.

“Jangan ingat kau akan terlepas, perempuan. One day, kau pula yang akan kenal siapa aku yang sebenarnya,” kata Hanif seraya menghampiri tubuh Iris. Didekatkan wajahnya ke wajah Iris.

Iris yang melihat menjauhkan wajahnya dari wajah Hanif. Berdebar jantungnya ketika ini. Berdoa agar lelaki itu tidak berbuat perkara yang tidak senonoh terhadapnya.

Hanif yang melihat ketawa sinis. Ditatap wajah Iris buat seketika. Setelah itu, dia segera beredar dari situ. Puas hatinya. Apa yang pasti, dia akan membalas segala perbuatan gadis itu yang telah memalukannya kelmarin.

Iris memandang pemergian Hanif. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.

“Sinar mata dia penuh dengan kebencian,” suara Iris berserta senyuman sinis.

Tanpa menunggu, dia melangkah pergi dari kawasan itu. Dia tersenyum buat seketika tatkala mengingati perbuatan lelaki tadi.

“Aku bukan lemah seperti yang kau fikirkan,” ujar Iris masih tersenyum.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.