HANIF meneliti fail di hadapan. Dengusan kecil terlepas daripada bibir tatkala laporan yang dibaca tidak kena pada pemerhatiannya. Laporan yang disediakan oleh pekerjanya tidak memuaskan. Lantas, fail ditutup lalu dicampak ke tepi. Dilonggarkan tali leher sekadar meredakan pernafasan yang tidak stabil.
Hanif bingkas bangun dari duduk. Dia menghampiri jendela lalu menatap pemandangan yang terbentang di hadapan mata. Ingatannya mengimbas semula pertemuan kelmarin. Pertemuan di antara Encik Qamarul dan Haidar. Kata-kata Haidar begitu menyakitkan hati. Ikutkan hati, mahu ditumbuk Haidar ketika itu juga.
Kenapa Haidar masih mengungkit kisah lama? Sedaya upaya dia mahu melupakan kisah tersebut tetapi abangnya sengaja membangkitkan kisah itu. Mustahil dia akan melupakan peristiwa tersebut. Sehingga ke hari, peristiwa itu masih segar di ingatan. Masih terpahat kemas di hati.
Maka dari itu, dia tidak sependapat dengan Haidar. Dia tahu, Haidar cuba untuk berbaik dengannya tetapi dia menolak keras kebaikan Haidar. Apa yang pasti, selama-lamanya dia tidak akan melupakan peristiwa tersebut.
“Hanif!” tegur Aidil, tiba-tiba dari arah muka pintu bilik.
Hanif tersentak. Dia menghalakan mata ke arah Aidil yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik. Berkerut wajah itu dilihatnya.
“Kau free tak?” tanya Aidil sambil menghampiri Hanif.
“Free? Kenapa?” Hanif bertanya berserta kerutan di dahi.
“Aku nak ajak kau ke satu tempat.”
“Ke mana?”
“Shah Alam!”
“Shah Alam? Ada apa kat Shah Alam tu?” Hanif masih lagi bertanya. Dia melabuhkan duduk di kerusi lalu memandang Aidil di hadapan.
“Ada pameran. Aku pasti kau mesti sukakan pameran ni,” balas Aidil sedikit teruja.
“Sejak bila pulak kau suka melawat pameran?” Hanif berkerut dahi. Pelik dengan kawannya itu. Belum pernah lagi Aidil mengajaknya ke tempat seperti itu.
“Sejak kelmarin,” Aidil membalas berserta senyuman penuh makna.
Hanif memandang wajah tersenyum Aidil. Seperti ada yang disembunyikan oleh kawan baiknya itu.
“Nak tak?” Aidil bertanya.
“Aku terbau sesuatu,” jawab Hanif sambil mengangkat kening.
“So?” Aidil tersengih.
“Okey!” balas Hanif, sepatah.
Aidil tersenyum. Wajah Hanif dipandang seketika. Sejak semalam dia merancang. Berharap Hanif suka dengan perancangannya nanti.
“SO, macam mana dengan kerja kau?” soal Zakry Alif ingin tahu.
“Alhamdulillah. Company aku dapat 2 3 projek,” jawab Iris Eryna berserta senyuman di bibir. Air minuman diteguk perlahan.
“Alhamdulillah. Kaya la kau tahun ni. Bonus!”
Iris tidak membalas. Dia tersenyum seketika.
“Bolehlah belanja aku melancong.”
“Tak ada masalah. Bila kau nak pergi?”
“Bila kau free?”
“Bila-bila saja.”
Zakry ketawa kecil. Wajah Iris ditatap seketika. Gadis itu kelihatan manis bertudung. Sejak dari dulu lagi dia mengagumi Iris. Seorang gadis yang tabah.
Namun, setabah mana Iris, ada sesuatu yang sehingga ke hari ini tidak mungkin akan dilupakan oleh sesiapa yang terlibat. Baik Iris mahupun dia. Kenangan yang begitu menyakitkan.
“Kau menungkan apa?” tegur Iris tatkala menyedari kebisuan Zakry.
“Haa…” Zakry sedikit tersentak.
“Kau menungkan apa? Boleh aku tahu.”
“Menungkan kau.”
“Aku? Kenapa dengan aku?”
Zakry sekadar tersenyum. Wajah Iris di hadapan ditatap seketika.
“Zakry!” Iris memanggil.
“Aku terkenang kisah lama kita,” ujar Zakry penuh cermat.
Iris tidak membalas. Kata-kata Zakry meniti di minda.
“Aku minta maaf kalau aku….”
“It’s okey. Aku tak kesah,” pintas Iris lalu tersenyum.
Zakry membisu. Diperhatikan wajah Iris dalam diam. Walaupun wajah itu kelihatan tenang namun di sebalik ketenangan itu tersembunyi kelukaan di hati. Hanya dia sahaja yang tahu kisah hidup Iris.
“Jom! Aku nak ajak kau ke satu tempat,” ajak Iris bingkas bangun.
“Ke mana?” soal Zakry berserta kerutan di dahi.
“Adalah!” balas Iris sambil tersenyum.
Dia melangkah menuju ke kaunter. Setelah membuat pembayaran, dibawa langkah keluar dari restoran itu.
Zakry mengekori dari belakang. Ke mana Iris hendak pergi? Diperhatikan langkah gadis itu buat seketika.
“Kau nak ajak aku ke mana?” tanya Zakry kemudian.
Iris sekadar tersenyum. Otaknya sedang memikirkan satu tempat. Sudah lama dia ingin mengajak Zakry ke tempat itu.
“Woi!!!” Marah seseorang dengan tiba-tiba.
Zakry yang sedang leka berfikir terkejut. Dia menghalakan mata ke arah yang bersuara. Pantas, dia membawa langkah menghampiri Iris.
“Tak guna!” marah Hanif sedikit lantang.
“Kenapa?” Zakry bertanya setibanya di sisi Iris.
Iris menjungkitkan bahu sambil berpeluk tubuh. Wajah tegang pemuda di hadapannya itu ditatap tanpa perasaan.
“Apasal kau langgar aku?” marah Hanif lagi. Tajam matanya ke wajah Iris.
“Aku yang langgar kau atau kau yang langgar aku?” Sinis Iris bertanya. Dibalas tatapan tajam Hanif itu.
“Hey minah! Kau buat lawak ke apa?” Hanif pula bertanya dalam nada sinis.
“Apa kes, Iris?” Zakry masih bertanya. Tidak faham dengan apa yang sedang berlaku.
“Dahlah Nif. Jom kita pergi,” suara Aidil yang sejak dari tadi membisu dan mendengar. Gelengan kecil diberikan kepada Hanif.
Iris tersenyum sinis. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Tidak diendahkan pandangan tajam pemuda yang dilanggarnya sebentar tadi.
“Buang masa!” rengus Iris, deras.
Belum sempat Iris menjauh, Hanif sudah pun merentap kasar lengannya sehingga membuatkan tubuhnya terdorong ke belakang.
“Apa masalah kau ni?” marah Iris berserta dengusan kasar.
“Kau ingat aku nak lepaskan kau macam tu saja ke? Aku nak kau minta maaf dengan aku,” kata Hanif sambil menekan suara.
Iris meronta minta dilepaskan. Tajam matanya ke wajah Hanif. Pemuda itu cuba untuk bermain api dengannya. Kurang ajar! Rengus Iris dalam hati.
“Jangan ingat aku akan lepaskan kau.”
Iris yang mendengar tersenyum sinis. Tanpa berlengah, tangan Hanif ditarik lalu memulasnya ke belakang. Dicengkam tangan Hanif sekuat yang mampu.
“Ouch!” adu Hanif, perlahan.
“Sakit?” Iris bertanya dalam nada mengejek.
Hanif menahan kesakitan. Cengkaman gadis itu kuat di tangannya. Berpasang-pasang mata sedang memandang ke arahnya. Dia menahan malu ketika ini.
“Jangan cuba nak bermain api dengan aku. Kau belum kenal siapa aku yang sebenarnya,” sambung Iris bernada amaran.
Setelah itu, dilepaskan cengkaman dan menolak kasar tubuh Hanif lalu beredar dari situ. Senyuman mengejek meniti di bibir.
Zakry yang melihat mengekori Iris daripada belakang. Sempat dia mengerling ke wajah pemuda itu. Tegang! Pasti pemuda itu sedang menahan rasa malu.
“Kau okey?” tanya Aidil, prihatin.
Hanif mendengus kasar. Tanpa membalas, dia beredar dari situ. Dikepalkan tangan menahan kemarahan. Rasa malu menumpang di hati.
“Tak guna!” rengus Hanif, keras.
Aidil hanya memandang. Kepala menggeleng kecil melihat sikap Hanif. Kawannya itu tidak pernah berubah. Cepat melenting dan naik angin jika berasa tergugat.
“Aku harap suatu hari nanti kau akan berubah, Hanif,” doa Aidil buat Hanif.
“KURANG ajar!” marah Hanif seraya menumbuk cermin. Habis retak cermin tersebut dibuatkan oleh Hanif. Tidak diendahkan kesakitan di tangan akibat tumbukan tersebut.
“Kurang ajar! Jangan ingat kau akan terlepas daripada aku. Sampai mati aku akan cari kau, perempuan!”
Hanif masih lagi melepaskan kemarahan. Wajah gadis bertudung siang tadi menyapa mata. Senyuman mengejek gadis itu menambahkan lagi tahap kemarahannya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia mengejar perempuan itu.
Tetapi, disabarkan hati supaya tidak berbuat begitu. Berpasang-pasang mata yang melihat membuatkan dia berasa malu. Semakin panas hatinya tatkala mengingati peristiwa itu.
“Aku akan cari kau, perempuan. Ini janji aku!” sambung Hanif lagi. Dikepalkan tangan menahan kemarahan.
Seminit kemudian, dia membawa langkah keluar dari bilik air menuju ke katil lalu naik ke atasnya. Tubuh disandarkan ke kepala katil. Otaknya ligat berfikir.
“Kau tak akan terlepas, perempuan.” Hanif masih lagi meluahkan kemarahan di hati.
Belum pernah ada lagi sesiapa yang berani memalukan dia di khalayak ramai seperti yang berlaku siang tadi. Hanya dia sahaja yang berani berbuat begitu kepada orang lain.
Deringan telefon mengganggu ketenangan Hanif. Lantas, telefon bimbit dicapai dari atas meja lalu menatap nama di skrin.
“Hurm… ada apa?” tanya Hanif sebaik sahaja talian bersambut.
“Kau okey?” tanya Aidil menolak pertanyaan Hanif.
“Apa maksud kau dengan pertanyaan tu?”
“Maksud?”
“Kau pun nak mengejek aku, kan?”
Aidil berkerut dahi. Apa maksud Hanif?
“Perempuan tak guna! Memang nak kena ajar perempuan tu!”
“Itulah maksud pertanyaan aku tadi. Kau okey ke tidak?”
Hanif mendengus kasar.
“Kau marah sebab aku, kau jumpa dengan perempuan tu dan kau dimalukan di khalayak ramai, betul kan?” sambung Aidil lagi.
Peristiwa petang tadi terimbas di fikiran. Niatnya untuk membawa Hanif ke pameran perumahan terpaksa dibatalkan disebabkan pertemuan itu. Hanif dimalukan di khalayak ramai. Rasa kelakar tatkala mengingatinya.
“Kau tak okey lagi, Hanif?” Aidil menduga. Telinganya disapa dengan dengusan kasar Hanif.
“Selagi aku tak balas dendam pada perempuan tu, selagi tu aku tak okey.” Hanif mengepal tangan. Wajah perempuan itu menyapa mata ketika ini.
“Hanif… Hanif… Sampai bila kau nak jadi macam ni?”
“Kau jangan nak cari pasal dengan aku, Aidil.”
“Aku bukan nak cari pasal dengan kau, Nif. Aku sekadar nak nasihatkan kau saja. Sampai bila kau nak jadi macam ni?”
“Kau pun sama dengn Haidar. Dahlah! Aku nak tidur!” balas Hanif lalu mematikan talian. Malas mendengar bebelan Aidil lagi.
Aidil tersentak. Kepala menggeleng kecil dengan tingkah laku Hanif. Seperti kebudak-budakan dirasakannya.
“AAMIIN Ya Rabbal’Alamin.”
Iris meraup wajah. Dia bingkas bangun lalu melipat sejadah. Telekung ditanggal lalu menyidaikannya di ampaian. Nafas dihela ringan. Dihampiri jendela lalu membuang pandang di situ. Langit malam cantik dihiasi dengan bulan dan bintang. Dia tersenyum buat seketika.
Setelah itu, dibawa langkah menuju ke meja kerja. Dia perlu menyiapkan proposal untuk mesyuarat minggu hadapan. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur atas rezeki yang diberikan oleh Allah. Selama dia bekerja di syarikat itu, jarang sekali proposalnya ditolak.
Ketukan di pintu mematikan tingkah laku Iris yang baru hendak melabuhkan duduk. Dia menghalakan mata ke arah pintu bilik. Wajah Puan Hanum menyapa mata.
“Ada apa, mak?” tanya Iris kemudian.
“Mak ada buatkan air untuk Iris,” jawab Puan Hanum berserta segelas minuman.
“Mak, Iris boleh ambil sendiri nanti. Kan Iris dah pesan dengan mak hari tu. Mak dah lupa?” Iris menegur. Kepala menggeleng kecil.
Puan Hanum tidak membalas. Gelas minuman diletakkan di atas meja. Kemudian, dilabuhkan duduk berhadapan dengan Iris.
“Kan dah lewat malam? Kenapa tak tidur lagi?”
“Mak tak mengantuk lagi, Iris.”
Iris tersenyum. Dia duduk di kerusi lalu menatap wajah Puan Hanum. Semakin dimamah usia wanita itu.
“Esok mak nak keluar beli barang-barang dapur. Dah nak habis kat rumah ni,” beritahu Puan Hanum, ramah.
“Sekejap! Iris bagi duit,” kata Iris bingkas bangun dari duduk.
“Tak apa, Iris. Mak ada duit.”
Iris mematikan tingkah laku. Dia melabuhkan duduk semula di kerusi.
“Duit yang Iris bagi pada mak bulan lepas pun mak belum guna lagi.”
“Itu duit mak. Untuk simpanan. Iris ikhlas baginya.”
“Mak banyak susahkan Iris. Mak….”
“Mak… Kan Iris dah pesan dulu. Iris ikhlas!”
Puan Hanum sekadar tersenyum. Wajah Iris ditatap kasih. Rasa bersalah kerana banyak menyusahkan Iris selama ini. Walaupun Iris bukan anak kandungnya, dia tetap menganggap Iris seperti anaknya sendiri.
Iris turut sama tersenyum. Dia membalas tatapan Puan Hanum. Wanita yang telah diangkat seperti ibu kandungnya sendiri. Sejak dari usia remaja sehingga ke sedewasa ini, Puan Hanum banyak berkorban untuknya. Maka dari itu, tidak ada salahnya jika dia menyenangkan wanita tua itu.
“Iris ingat nak balik kampung. Dah lama Iris tak ke sana,” beritahu Iris selepas itu.
“Bila?” Puan Hanum bertanya.
“Lepas projek siap.”
Puan Hanum mengangguk perlahan.
“Mak pergilah tidur. Dah lewat ni,” suruh Iris, lembut.
“Baiklah! Iris pun jangan tidur lewat,” pesan Puan Hanum bingkas bangun dari duduk. Dia melangkah keluar dari bilik itu.
Iris hanya memandang. Nafas ditarik dan dilepaskan ringan. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi sambil otaknya ligat berfikir. Peristiwa siang tadi meniti di tubir mata. Disebabkan lelaki itu, dia terpaksa membatalkan niatnya untuk mengajak Zakry ke sebuah butik milik salah seorang isteri kepada clientnya.
“Boleh tahan!” sebut Iris, tiba-tiba.
Laptop di hadapan ditatap seketika. Wajah pemuda siang tadi menyapa mata. Senyuman sinis meniti di bibir.
“Sinar mata dia penuh dengan kebencian,” sambung Iris lagi.
Seminit kemudian, dia meneruskan kerjanya yang tertangguh. Namun, tingkah lakunya terhenti tatkala peristiwa lama menerjah ke kotak fikiran.
“Dah lama! Kenapa aku masih ingatkannya?” keluh Iris, sendirian.