“BERAPA kali nak
cakap ni? Saya tak kenal awak! Tolonglah... tolong berhenti ganggu hidup saya
macam ni. Saya tak suka,” kata Thaqif sambil menggenggam erat telefon bimbit
berjenama iPhone yang melekap di telinganya. Tidak ada angin, tidak ada ribut.
Tiba-tiba saja dia diganggu seorang perempuan yang tidak dikenali sejak empat minggu lalu. Rusuh hari-harinya kerana gangguan itu.
Pantang bangun tidur, perempuan itu akan menghubunginya.
Sebelum tidur pun, telefon juga. Belum lagi masa makan tengah hari. Kalau tidak
dilarang, mahu setiap jam perempuan itu mencarinya.
“Saya kenal
abang!” jawab Shana tenang. Entah macam manalah raut Thaqif saat ini agaknya.
“Saya tak kenal awak!”
“Saya kenal abang!”
“Tolonglah...” Kata-kata Thaqif mati begitu saja. Hilang
diksi untuk meneruskan bicara. Memanglah dia tidak bercakap dalam nada yang
tinggi, tapi takkanlah perempuan itu tidak merasakan betapa saat ini dia sedang
tertekan. Atau, dia perlu marah-marah semata-mata mahu mengenyahkan
perempuan itu daripada hidupnya?
Tapi... seumur hidupnya, mana dia pernah melayan perempuan
dengan kasar. Keganasan, memang sangat-sangat dia benci!
“Tolong apa abang?” tanya Shana. Suaranya tak terlalu
lembut, tak juga terlalu kasar.
“Berhenti cari saya. Boleh?”
“Saya boleh tolong abang apa saja. Termasuk angkat almari
kat rumah abang. Buang sampah kat rumah abang. Bersihkan halaman rumah abang.
Bersihkan kolam renang kat rumah abang. Tapi tolong yang satu tu memang tak
bolehlah. Minta maaf ya, bang?”
Keluhan Thaqif kedengaran. Cuba berfikir. Manalah tahu ada
antara kawan-kawannya yang sengaja mahu menggula-gulakannya. Tak ada. Suara itu
terlalu asing di telinganya. Entah dari planet mana agaknya perempuan itu
datang?
“Siapa awak sebenarnya ni?”
“Shana Melati. Kan dah bagi tahu hari tu lagi? Abang lupa
ya? Sampai hati tak ingatkan saya. Padahal, hari-hari saya ingatkan abang.
Kadang-kadang, saya makan tak kenyang. Tidur tak lena dan mandi pun tak basah.
Semuanya sebab abang tau...”
“Itu saya dah tahu, Cik Melati.”
“Jadi... kenapa abang tanya lagi?”
Cik Melati? Shana ketawa kecil. Nama itu terasa janggal di
telinganya. Bahkan, dia sering terlupa yang di belakang nama Shana itu wujud
satu nama lain. Nama yang suatu ketika dulu sangat dibenci kerana sering
menjadi bahan ejekan kawan-kawan di sekolah. Malah, selalu buat dia berfikir
mahu ke Jabatan Pendaftaran Negara. Kemudian angkat sumpah untuk membuang nama
yang sangat kekampungan itu. Mujur saja papanya melarang. Tak cukup dengan itu,
siap mengugut akan memotong elaun bulanannya. Tak ada pilihan lain, terus saja
dia menggalas nama itu.
Tapi itu dulu. Ketika otaknya masih belum dapat berfikir
dengan matang. Seiring masa berlalu, dia sudah tak peduli. Bukannya teruk mana
pun nama Melati itu. Bukan juga semua orang ada nama tradisional begitu pada
zaman serba moden ini. Bahkan, namanya kini telah tergolong dalam kalangan
nama-nama yang unik.
Dan mendengar nama itu disebut Thaqif seketika tadi, dia
rasa seronok. Kedengaran lembut saja sebaris nama itu di telinganya.
“Apa yang kelakar sangat tu?”
“Abang tahu tak, abang orang pertama dalam dunia ni yang
panggil saya dengan nama Melati.”
Kali ini lebih panjang keluhan yang muntah daripada bibir
Thaqif. Ikutkan hati mahu saja dihentikan perbualan tak penting ini. Tapi apa
gunanya? Nanti-nanti Shana akan menghubunginya lagi. Sedangkan kalau boleh, dia
mahu tamatkan segala-galanya hari ini juga. Biar esok-esok dia dapat kembali
menjalani hidup seperti biasa.
“Awak nak apa ni daripada saya?”
“Saya nak abanglah. Nak apa lagi?”
“Hah?” Tinggi sedikit nada suara Thaqif. Hari ini, Shana
nampak lebih berani daripada hari-hari sebelum ini.
“Abang takut ya?” Shana sudah ketawa-ketawa. Kalaulah orang
tahu dia bercakap begini dengan seorang lelaki, tentu dia sudah dilabelkan
sebagai perempuan gedik.
Bibir, Thaqif gigit kuat-kuat. Sebal mendengar pertanyaan
itu. Lebih menyakitkan hati bunyi ketawa di hujung talian sana. Nampak benar
Shana sengaja mahu mengenakannya. Dia lelaki, tak mungkin boleh takut dengan
perempuan. Hanya dia tak sudi melayan hal remeh-temeh. Apalagi, melayan orang yang tak berkaitan dalam
hidupnya.
“Awak hantu ke sampai saya nak rasa takut bagai?”
“Abang takut dengan hantu ke?”
Thaqif menarik nafas panjang-panjang, kemudian dilepaskan
perlahan-lahan. Dalam diam, dia cuba mengumpulkan sabar yang semakin bertabur.
Dalam suara yang lunak, Shana bagaikan tahu cara untuk menaikkan kemarahannya.
“Takkanlah muka lawa macam abang ni takut dengan hantu kot?
Kelakar pula saya rasa.”
Lawa? Dia kata aku lawa? Sungguh Thaqif tak dapat menerima
kata-kata itu. Baginya, lawa itu hanya merujuk kepada perempuan. Tak rela
dirinya dikatakan lawa. Lagipun, bila masanya Shana pernah melihat dia?
“Tapi abang jangan bimbang. Kalau saya hantu, saya akan jadi
hantu yang paling cantik dalam dunia ni.”
Sekali lagi suara di sana kedengaran menyapa telinga Thaqif.
Tak mengilai seperti puntianak. Hanya sesedap telinga mendengar. Kalau imannya
lemah, tentu dia sudah tergoda. Atau kalau lelaki lain, awal-awal lagi sudah
disambut kemunculan Shana dengan berlapang dada. Cumanya, dia bukanlah selemah
itu. Perempuan dan perkahwinan, tak ada langsung dalam perancangannya.
Setidak-tidaknya, bukan dalam masa terdekat ini.
“Dalam dunia ni, kita tak patut takut dengan hantu. Kita
hanya boleh takut dengan ALLAH aje.”
Nasihat yang Shana beri, terasa seakan-akan menampar pipi
Thaqif. “Awak merepek apa ni?” tanya Thaqif geram.
“Mana ada saya merepek. Saya cakap benda yang betul. Lagipun
abang tentu lebih tahu daripada saya. Hari-hari saya nampak abang pergi masjid
kalau abang tak ada apa-apa kerja di luar.”
“Awak intip saya?”
Thaqif menghempas tubuhnya di atas tilam empuk. Dadanya rasa
berdebar-debar. Mendengar kata-kata Shana kali ini, dia yakin setiap langkahnya
diintip. Tapi kalau benar, kenapa dia tak pernah sedar selama ini? Atau... dia
yang hanya memandang sehala, langsung tidak berpaling ke kiri dan ke kanan
ketika berjalan?
Tapi anehnya, Shana. Lelaki mengintip perempuan, dia memang
selalu dengar. Perempuan mengintip lelaki, ini pertama kali dia tahu. Dan lebih
memalukan lagi, lelaki itu dia. Aduhai...
“Abang ni, tak baik tau berprasangka pada saya.” Nadanya
seperti berjauh hati, namun tanpa pengetahuan Thaqif, dia tersenyum lebar.
Tidak ada satu pun kata-kata Thaqif yang membuatkan dia
berasa kecil hati. Kalau ada yang perlu merasakan perasaan itu, Thaqiflah
orangnya. Kalau dia di tempat lelaki itu, tentu awal-awal lagi dia sudah memaki
hamun.
Mujur Thaqif bukan jenis lelaki begitu. Kalau tak, ke manalah
aku nak sorokkan muka yang dah pernah malu berkali-kali ni?
Ah... sudahlah Shana! Yang berlalu, biarkan saja berlalu.
Tekadnya hanya satu, dia tidak mahu mengingatkan hal-hal yang sedih, walaupun
tak mungkin kerana dia dan kesedihan bagaikan sudah diikat mati.
Setidak-tidaknya, bukan sekarang. Biarkan masa dan keadaan saja yang menjadi
penentu. Paling tidak pun, biarlah sehingga tugas yang diamanahkan padanya
usai.
“Saya tak prasangka. Kalau awak tahu setiap hari saya pergi
masjid, itu bermakna awak intip saya. Betul kan?”
“Kalau saya kata saya ternampak. Macam mana?”
“Setiap hari?”
“Kalau ya?”
Sinis gelakkan Thaqif memecahkan suasana bilik yang tadinya
sunyi. Jika jarum jatuh tentu jelas kedengaran. Kepalanya kemudian menggeleng
walaupun dia tahu Shana tak mampu melihat. Dia bukannya budak-budak yang mudah
diperdaya. Dia lelaki dewasa yang setiap hari belajar daripada pengalaman.
Bukan juga anak remaja yang baru hendak mengenal hidup.
“Kenapa abang ketawa?” Shana ingin tahu. Bukannya dia tak
mendengar bunyi ketawa Thaqif yang lain macam itu.
“Awak tahu tak yang awak ni kelakar?” sinis juga suara yang
kedengaran.
Kenapa sukar benar hendak memahamkan perempuan itu?
“Adakah abang sedang memuji saya?”
“Awak rasa?”
“Abang rasa?”
“Awak rasa?” Sekali lagi Thaqif membalikkan soalan Shana
dengan soalan juga. Kalau masing-masing membalas pertanyaan dengan pertanyaan,
bila segala-galanya akan selesai? Dia sudah berada di tahap bosan. Matanya
sudah mengantuk. Melayan Shana berkata-kata memang tidak ada untungnya. Kalau
esok dia tertidur di pejabat, memang Shana bakal mendapat habuan kemarahannya.
“Terima kasihlah kalau abang memang berniat puji saya. Kalau
tak puji pun saya anggap abang puji saya. Abang nak kata saya perasan pun saya
terima aje. Bukannya selalu orang kata saya ni perasan.”
Tak malu gila aku ni, desis hati kecil Shana.
Selambanya suara Shana, buat Thaqif jadi terkelu lidah.
Seumur hidupnya, belum pernah lagi dia bertemu perempuan seperti itu. Rata-rata
yang dilihat, perempuan yang bila berhadapan dengannya, selalu menjaga tingkah
laku. Bercakap dalam nada suara yang perlahan, malah ada kalanya langsung tak
kedengaran. Terpaksa disuruh ulang sekali lagi. Tak cukup dengan itu, asyik mempamerkan
muka merah padam. Berjalan juga tunduk seperti mencari duit syiling yang
hilang.
Tapi perempuan bernama Shana Melati itu?
Harapkan nama saja sedap. Indah dengan gabungan moden dan
tradisional. Tapi rasa malu seperti tak ada dalam diri.
Anak siapa dia ni? Tanya hati kecil Thaqif berkali-kali.
Bukan baru hari ini, tapi sejak hampir empat minggu lalu.
“Jangan kacau saya lagi!” Tegas Thaqif selepas sunyi
beberapa detik. Dia mahu menamatkan perbualan ini.
“Kalau saya nak kacau juga?”
Menyirap darah Thaqif dengan balasan kata daripada Shana.
“Saya tukar nombor lain!”
“Okey, abang boleh tukar nombor lain tapi saya akan call abang guna nombor baru tu nanti.
Jangan tak jawab pula tau.”
“Awak tak akan dapat nombor baru saya tu.”
“Kalau nombor sekarang ni saya boleh dapat dengan mudah,
tentu tak susah juga saya dapat nombor tu nanti. Pendek kata, abang tak akan
boleh lari daripada saya kecuali kalau saya yang nak abang lari.” Tenang saja
Shana bersuara. Dia mengatakan apa yang sebenarnya. Kalau Thaqif menggunakan
nombor telefon Afrika pun, dia memang akan mendapatkan nombor itu dengan mudah.
Tak perlu lelaki itu membuang masa semata-mata tak mahu dijejakinya.
“Abang tak payahlah buat kerja sia-sia tu.”
Thaqif kepal tangan kirinya. Degilnya Shana buat dia geram.
Keyakinan Shana menyakitkan jiwanya. Kalau dia perempuan, memang dijerit
kuat-kuat. Biar isi dunia tahu betapa dia tidak suka diganggu begini.
“Habis tu awak nak apa ni?”
“Abang jumpa dengan saya esok!”
“Kalau saya tak nak!”
Buatnya Shana perempuan gila, macam mana?
Bergoyang-goyang tubuh Thaqif. Ngeri membayangkan dia akan
bertemu empat mata dengan Shana yang entah siapa-siapa. Memanglah suara Shana
kedengaran sedap di telinganya. Tapi suara itu belum menjamin yang akal Shana
cukup sihat. Orang yang waras tidak akan mengejar lelaki yang tak dikenali.
“Abang ingat saya orang gila eh?”
Liur, Thaqif telan berkali-kali. Matanya memandang ke kiri
dan ke kanan. Tak ada. Yang ada di dalam biliknya, hanya dia semata-mata. Kalau
pun Shana ada di ruang yang sama, tak mungkin boleh mendengar suara hatinya.
Tapi macam mana Shana seperti tahu apa yang ada dalam fikirannya?
“Saya tak nak jumpa awak!” Sekali lagi Thaqif menyuarakan
keputusannya.
Siapa Shana mahu menentukan hidupnya?
“Tak apa tapi abang jangan marah kalau lepas ni saya akan
ganggu abang lebih kerap lagi.”
“Awak...”
“Esok saya jumpa abang dekat Restoran Murni Discovery pukul
1.00 tengah hari.”
“Kalau saya tak pergi?”
“Saya datang pejabat abang.”
“Awak jangan melampau ya?”
Shana ketawa lagi. “Bye,
abang sayang...” potong Shana pantas. Tidak mahu mendengar bantahan
daripada Thaqif.
Terus Thaqif campak telefon bimbitnya di atas katil usai. Ikuatkan
hati memang dia tak sudi. Tapi mengenangkan itu saja jalan yang ada untuk
menghentikan kekarutan yang sedang melanda hidupnya, dia akur. Biarlah
segala-galanya berakhir apabila mereka bertemu empat mata. Selepas itu dia
tentu tidak akan menerima panggilan daripada Shana lagi.
“Tapi kalau dia masih degil?”
Kepala yang tiba-tiba saja terasa berdenyut-denyut, Thaqif
picit dengan tangan kanan. Lama-lama diganggu Shana, tak mustahil dia yang
sihat bakal dihinggapi penyakit. Kalau sakit biasa masih boleh diterima, kalau
sakit kronik, memang diburu perempuan yang satu itu hingga ke lubang cacing.
Biar sama-sama dapat penyakit kronik.
“Abang sayang?”
Serta-merta
Thaqif terasa tekaknya mual. Tak malu, desis hati kecilnya.