Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 14

KERETAtelah diparkirkan elok beberapa minit yang lalu. Namun dia hanya duduk terpaku. Berat hati hendak melangkah ke luar. Matanya hala ke hadapan, memandang sekitar garaj yang boleh memuatkan beberapa biji kereta. Mindanya masih ligat bergerak. Terus memikirkan apa yang berlaku pagi tadi.

Selepas Thaqif meninggalkan Gerai Yong Hanifa sambil mengheret lengan Yasmin, dia terasa kakinya bagaikan tak mampu menampung berat badannya. Sudahnya, dia tak ke mana-mana. Sejam masanya dihabiskan di tempat yang sama.

Kata-kata Thaqif asyik berulang-alik ke kepalanya. Puas diusir, tetap juga tak mahu meninggalkannya.

“Kenapa hati aku rasa kosong ya?” tanya Shana perlahan, pada diri sendiri.

Sepatutnya, dia tak perlu merasakan apa-apa kerana dia sudah bersedia. Lambat-laun memang inilah yang bakal terjadi. Malah, dia seharusnya berlapang dada kerana tak perlu membazirkan masanya mengejar Thaqif. Kini, dia sudah bebas daripada janji yang dibuat.

Soal rancangan yang tak berjaya, itu bukan persoalan utama. Paling penting, kata sudah pun dikota.

“Tapi kenapa aku rasa macam sedih sangat?”

Usai mengucapkan soalan itu, dia menarik nafas panjang-panjang sebelum melepaskan perlahan. Kemudian kerusi kereta direbahkan sedikit dan kepalanya dilabuhkan santai. Belum ada hati mahu masuk ke dalam rumah walau cuaca di luar masih berbahang.

“Taraf kita tak sama. Macam enggang dan pipit Shana...”

Dalam banyak yang Thaqif katakan, sebaris ayat itu menimbulkan kesan yang sangat dalam bagi dirinya.

Ya... antara dia dan Thaqif, bezanya bagai langit dan bumi! Gigih mana pun menyamakan jarak, tak akan mungkin dapat duduk dan berdiri sama tinggi.

Bukan dari segi rupa paras. Bukan dari segi harta benda. Bukan dari segi pelajaran. Jauh sekali soal nama dan kedudukan. Yang membezakan dia dan lelaki itu, masa lalu yang telah jauh ditinggalkan. Masa lalu Thaqif diyakini putih bersih kerana itu yang dilihat sepanjang mengenali lelaki itu. Warna itu juga yang dimomokkan padanya apabila berkaitan dengan Thaqif.

Sedangkan masa lalunya, hitam!

Dia bukan pembunuh, tapi dia merasakan dia pernah membunuh.

Dia tak pernah gila, tapi dia pernah dianggap gila oleh ramai orang hanya gara-gara cinta tak kesampaian.

Dia masih waras, namun dia seperti hilang kewarasan bila sanggup mengejar suami orang yang jelas-jelas tak menyimpan rasa padanya. Malah, tergamak mahu memusnahkan sebuah ikatan perkahwinan yang sangat bahagia.

Tapi ketika itu, dia dibutakan realiti hidup!

Itulah yang membezakan dia dan Thaqif. Meskipun lain yang Thaqif maksudkan, tetap juga dia terasa. Jika ditakdirkan sejarah silamnya diketahui Thaqif, di mana hendak disorokkan muka? Hidupnya dulu benar-benar teruk.

“Maaf, Thaqif. Saya tak niat nak gula-gulakan hidup awak. Saya sekadar membantu apa yang boleh saya bantu walau itu menampakkan sisi hitam saya.”

Tak ada balasan kerana Thaqif tak ada di situ. Yang ada hanya ruang keretanya yang tak besar mana.

“Tapi terima kasih, Thaqif. Dalam masa beberapa bulan ni, hidup saya yang sunyi terisi dengan adanya awak.”

Lambat-lambat, sekuntum senyum terbit juga di bibirnya. Dalam masa yang singkat, banyak kenangan yang sempat dilakar dengan Thaqif. Mengenangkan betapa galaknya dia memburu Thaqif, jujurnya dia sangat malu. Kalau orang lain yang melihat, tentu dirinya bakal dilabelkan sebagai gedik.

“Kelakar...”

Akhirnya dia mematikan enjin kereta. Mencapai beg tangan yang diletakkan di bawah, kemudian dia keluar dari kereta. Lantas, langkah diayun selaju mungkin.

“Eh... Naim! Bila sampai?” tanya Shana saat melihat Naim duduk bersandar di sofa. Lelaki itu hanya sendiri. Kenapa dia tak nampak kereta Naim?

“Shana,” sapa Naim ceria. Gembira bila yang dinantikan akhirnya muncul juga. “Dah setengah jam Naim sampai.”

Dahi Shana berkerut. Namun dilabuhkan juga punggung di hadapan Naim.

“Naim nak jumpa Shana ke?”

Naim angguk dalam senyuman. Melihat Shana yang tak berubah, masih menawan seperti empat tahun lalu, hatinya berdebar-debar dalam diam. Tak malu diakui, dia pernah jatuh cinta pandang pertama pada gadis itu. Hanya cintanya makin sirna saat Shana jauh daripada pandangannya. Kini, selepas lama masa berlalu. Cinta itu kembali menggebu-gebu.

Dia tahu dia seperti sedang menjilat ludah sendiri. Namun soal hati di dalam, memang tak mudah untuk dikawal. Datang dan pergi, begitu-begitu saja.

“Ada apa?”

“Nak kena ada apa-apa ke baru Naim boleh jumpa dengan Shana?”

“Tak adalah macam tu. Cuma Shana pelik bila angin tak ada ribut tak ada, Naim tiba-tiba muncul. Tak bagi tahu Shana apa-apa pun. Kalau tahu, tak adalah Shana nak rasa terkejut sangat,” balas Shana tenang. Ada senyuman manis di ulas bibirnya. Selepas memaafkan Naim, rasa marah dan bencinya pada lelaki itu hilang begitu saja. Benar kata mamanya, marah dan benci itu api yang tak akan membawanya ke mana-mana. Hanya membuatkan dia hanyut dengan rasa dendam dan sakit hati.

Lantaran itu, kini dia boleh duduk di ruang yang sama dengan Naim. Malah, lelaki itu sejak muncul kembali sudah agak rajin menghubunginya. Kadang-kadang sekadar bertanya khabar. Ada masa-masanya, mahu meminta pendapatnya untuk satu-satu perkara seandainya mengalami kebuntuan.

“Saja nak buat surprise kat Shana.”

Surprise sangat!” Bibir Shana mencebik sedikit, mengejek usikan Naim padanya.

Perlahan ketawa meletus di bibir Naim. Berterusan memandang Shana, kesalnya datang menderu-deru. Tak sepatutnya dia melukakan hati dan perasaan Shana kerana dia tahu betapa sayangnya Shana padanya. Malah, dia juga sayangkan gadis itu. Tapi apa hendak dikata bila yang terjadi sudah pun terjadi.

Kalaulah dia tahu sudahnya jadi begini, dia bersumpah untuk tak menghampakan Shana yang selama ini sentiasa melayannya dengan baik.

“Naim datang sorang aje ke?”

Naim angguk, tanda mengiakan pertanyaan Shana. Tak perlu bersuara pun dia yakin Shana mengerti erti anggukkannya itu.

“Kenapa tak bawa isteri dan anak-anak Naim ke sini? Boleh juga kenal-kenal. Mana tahu terlanggar bahu, senang nak kenal.”

Hati Naim rasa bergetar. Sejak muncul kembali di hadapan Shana, inilah pertama kali Shana menyebut tentang isterinya. Padahal, itulah soalan yang paling tak mahu didengar. Kalau boleh mahu dihindari sampai bila-bila.

Tapi soalnya, sampai bila dia boleh mengelak?

“Shana teringin nak tengok rupa anak Naim. Nak pastikan ikut muka Naim atau isteri.”

Naim terasa air liur yang ditelan bagaikan pepasir halus. Shana nampak begitu teruja untuk berkenalan dengan ahli keluarganya. Sedangkan dia, kalau boleh tak mahu Shana tahu kerana rasa ingin tahu Shana itu akan membuatkan langkahnya sukar. Dia tak muncul dalam kehidupan gadis itu semata-mata mahu mendekatkan Shana dengan keluarganya.

“Nantilah...” jawab Naim malas.

“Bila?” Mata Shana bersinar. Membayangkan anak-anak Naim yang tentu saja comel, dia rasa teruja. Mahu dicubit-cubit pipi si kecil sehingga puas.

“Tunggu mereka datang KL dulu.”

“Maksud Naim?”

“Naim sorang aje yang ada kat sini. Yang lain-lain di Sarawak.” Acuh tak acuh saja cara Naim menjawab. Dia memandang gelasnya yang masih berbaki separuh. Itu air keduanya selepas yang pertama dihabiskan dengan sekali teguk. Cuaca yang agak terik di luar membuatkan tekaknya haus. Mujur saja Puan Sri Ratna tak bertanya banyak saat melihat dia muncul. Manis saja senyuman mama Shana itu. Tanda betapa kehadirannya di rumah mewah mereka dialu-alukan.

Papa Shana bagaimana?

Naim ketap bibir. Ini kali kedua dia datang dan setakat ini dia masih belum bertemu dengan Tan Sri Zaidi. Bagaimana penerimaan orang tua itu, dia tak tahu. Tak juga mahu membayangkan sesuatu yang masih belum pasti. Namun Tan Sri Zaidi yang dikenali, memang seorang yang tegas.

Batu kalau hari-hari dititiskan air boleh retak, apalagi hati seorang manusia, desis hati kecil Naim, yakin.

“Kenapa mereka kat sana dan Naim kat sini?”

Namun belum pun sempat Naim membalas pertanyaan Shana, kelihatan Tan Sri Zaidi memasuki pintu rumah. Terus Naim yang duduk, berdiri tegak saat melihat langkah yang kian mendekat. Hatinya terasa seperti hendak pecah kerana menahan debaran. Hanya, dia berusaha untuk berlagak setenang mungkin.

“Uncle...” sapa Naim.

Tangan yang dihulur Naim, Tan Sri Zaidi hanya pandang. Tak ada hati mahu menyambut. Ketika diberitahu Puan Sri Ratna, Naim datang mencari Shana tempoh hari, dia hanya diam. Namun hatinya di dalam bagaikan dilanggar geroda. Kini, saat Naim benar-benar wujud di hadapannya, dia rasa mahu memarahi bekas tunang Shana itu. Mahu dijeritkan pada Naim, yang lelaki itu sudah menghancurkan hati dan hidup anaknya.

Mujur saja dia sedar yang dia tuan rumah. Macam mana jengkelnya pada Naim pun, dia tak patut melayan tetamu dengan kasar.

“Jangan selalu sangat datang ke sini,” kata Tan Sri Zaidi tegas.

Merah padam muka Naim kerana menahan malu. Sudahlah tangannya tak bersambut, sekarang ini ditegur selamba oleh ayah Shana itu.

“Papa...” tegur Shana. Segan bila papanya melayan Naim begitu.

“Kenapa? Tak puas hati papa tegur bekas tunang Shana?” Nada suara Tan Sri Zaidi sinis.

“Bukan, Shana tak maksud macam tu?”

“Dah tu?”

Terus terkunci mulut Shana. Hubungannya dengan Tan Sri Zaidi masih belum pulih. Jika berterusan mempersoalkan tindakan papanya itu, tak mustahil kalau api kemarahan yang belum padam makin marak jadinya. Biarlah dia malu pada Naim, asalkan papanya puas. Lebih daripada itu, yang disakiti Naim suatu ketika dulu bukan hanya dirinya, malah seisi keluarganya turut terkena tempias.

Jika dia dan mamanya boleh menerima kemaafan Naim, tak bermakna papanya juga akan melakukan hal yang sama.

“Shana yang ajak Naim datang sini?”

“Shana...”

“Sudah-sudahlah tu kejar suami orang, Shana!” potong Tan Sri Zaidi pantas. Rupa serba salah dan bersalah Shana menyakitkannya. Tanda betapa setelah lama masa berlalu, Shana masih gagal membuang Naim daripada kehidupan anaknya itu.

Malas menunggu, pantas dia berlalu. Tak sanggup terus berhadapan dengan Shana dan Naim. Apa yang mahu dikata telah diungkap. Dia sedar betapa air muka Shana berubah dengan kata-katanya. Namun dia benar-benar memaksudkan apa yang dikata. Anaknya itu sepatutnya belajar daripada kesilapan. Bukannya terus membiarkan diri dijajah kesalahan yang sama.

“Hari dah lewat, rasanya tak manis kalau Naim terus di sini,” kata Shana perlahan. Dia menghalau Naim secara halus. Kalau dengan cara tak berhubungan dengan Naim mampu mengembalikan papanya dalam hidupnya sekali lagi, dia rela kehilangan Naim. Lelaki itu bukannya ada sebarang erti dalam hidupnya lagi.

“Shana...”

“Rasanya lepas ni Naim tak perlu datang sini lagi. Papa tak suka kalau Shana berhubung dengan Naim. Shana tak nak buat papa marah,” ujar Shana berterus terang.

“Takkanlah sampai macam tu sekali Shana?” Naim mula gelabah.

“Pergilah! Kita tetap kawan sampai bila-bila walau masing-masing buat hal sendiri.”

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.