“AKU minta maaf
bagi pihak abang aku, Shana,” pinta Yasmin perlahan. Parau sedikit nada
suaranya. Rasa bersalah menderu-deru masuk ke hatinya. Rancangan supaya Shana
mendekati Thaqif, rancangan dia dan Budriz. Namun yang menerima hukuman atas
rancangan itu hanya Shana sendiri.
Ikutkan, dia seperti tak punya air muka untuk berhadapan
dengan Shana ketika ini. Malu bukan kepalang. Tapi mengenangkan dia dan Budriz
harus bertanggungjawab atas segala-galanya, digagahkan juga kaki bertemu dengan
Shana. Mujur Budriz juga bukan jenis tak bertanggungjawab.
“Aku minta maaf juga, Shana. Tak sangka jadi macam ni pula.”
Rendah nada suara Budriz.
Shana
pandang Yasmin yang sudah tunduk. Kemudian Budriz yang baru saja melepaskan
keluhan.
“Habis tu kau sangka, jadi macam mana Budriz?” tanya Shana
pada Budriz.
Budriz diam. Mendengar cerita Yasmin tentang apa yang
dikatakan Thaqif pada Shana, buat dia rasa segan. Tapi kerana dia lelaki, dia
berusaha untuk mempamerkan air muka tenang. Lagipun, yang bersalah bukan hanya
Thaqif. Sebaliknya, dia dan Yasminlah pesalah yang paling patut dijatuhkan
hukuman. Kerana mementingkan diri sendiri, mereka melibatkan Shana. Kini,
mereka duduk di hadapan Shana demi menagih kemaafan daripada kawan mereka itu.
“Abang aku bukan jenis macam tu sebelum ni.”
“Ya... dengan peminta sedekah pun dia boleh beramah mesra,
apalagi dengan orang macam kita ni,” ujar Yasmin demi membenarkan kata-kata
Budriz. Dia tak mengada-adakan cerita yang tak ada. Yang dikatakan tentang
Thaqif memang kenyataan yang mungkin Shana belum tahu.
“Memanglah, peminta sedekah tu tak gedik,” kata Shana sambil
tergelak kecil.
Demi mendengar gelak itu, Yasmin dan Budriz saling
berpandangan. Tak menjangka mereka akan melihat Shana ketawa. Padahal, sebelum
keluar rumah mereka sudah bersedia menerima apa saja kemarahan daripada Shana.
Kalau dimaki hamun pun akan diterima dengan berlapang dada.
“Korang berdua pun janganlah serius sangat. Aku okeylah. Tak
ada hallah!”
“Takkanlah okey kot?”
“Dah tu kau mendoakan supaya aku tak okey ke Min?”
“Bukanlah macam tu. Tapi teruk benar kata-kata yang abang
aku gunakan pada kau. Siap hina kerja kau lagi.”
“Dia pernah kata muka aku macam arang.”
“Hah?” Mulut Budriz melopong. “Kau biar betul Shana?”
tanyanya tak percaya. Thaqif yang dia kenal bukan jenis begitu. Tapi melihat
pada tampang Shana, mustahil gadis itu mengada-adakan cerita yang tak ada.
Kalau di hadapan Yasmin, Thaqif boleh mengata Shana. Di belakang, tentu lebih
hebat lagi.
“Kau tengok muka aku ni macam penipu ke?”
Dahi Budriz berkerut. Kepalanya, digaru-garu perlahan.
“Takkanlah abang aku jahat benar, Shana?”
“Kau ingat abang kau baik sangat ke?”
Yasmin dan Budriz, masing-masing terdiam. Kelu lidah untuk
membalas kata-katanya, Shana senyum lebar sambil mengusap kening kanan
miliknya. Geli hati melihat air muka mereka yang seperti sukar menelan
kata-katanya. Tentu selama ini yang mereka lihat ada pada Thaqif, hanya warna
putih semata-mata.
“Teruklah muka korang bila serius macam tu. Akhirnya, aku
dapat tengok di mana seirasnya korang berdua,” usik Shana pada Budriz dan
Yasmin.
Untuk kata-kata itu, Yasmin menepuk tangan kiri Shana yang
berlabuh di atas meja. Geram. Dia dan Budriz gagal mendapatkan tidur yang lena
malam tadi gara-gara memikirkan hati Shana yang mungkin terluka kerana
Thaqif. Tapi kini, kawan mereka itu
masih boleh mempamerkan senyuman manis. Tetap gemar mengusik dia dan Budriz
seperti selalu. Seolah-olah, apa yang Thaqif kata langsung tak berkesan di hati
Shana.
Sebetulnya, hati Shana ini diperbuat daripada apa?
Jika diletakkan dia di tempat Shana, mungkin dia sudah
meraung hebat!
“Serius sikit boleh tak Shana?” Budriz menjegilkan mata pada
Shana.
“Tak payahlah serius sangat Budriz. Aku rasa peliklah kalau
kau dan Min buat muka macam tu. Rasa macam aku ada buat salah yang besar
walaupun aku tak tahu apa yang dah aku buat,” akui Shana terus terang.
“Kau tak marah kami berdua?” Yasmin ingin tahu.
“Apa perlunya aku marah kau dan Budriz?”
“Abang aku hina kau,” ujar Yasmin rendah. Malu kembali
datang menerpa.
Lama Shana renung anak mata Yasmin. Dia tahu apa yang Yasmin
dan Budriz rasa. Hanya kerana Budriz lelaki, Budriz tak mempamerkan air muka
sugul. Sedangkan Yasmin memang gagal menyembunyikan rahsia hati.
“Tak apa Min. Aku tak ambil hati sikit pun sebab kalau aku
kat tempat abang kau, mungkin itu juga yang akan aku buat. Atau sebab nama aku
Shana Melati, bukan Syed Thaqif, tindakan aku mungkin jauh lebih kejam.
Misalnya, tak cukup dengan mulut aku akan beraksi dengan tangan dan kaki sekali
semata-mata nak tunjukkan betapa marah dan meluatnya aku pada orang yang aku
tak suka,” luah Shana panjang lebar.
Apa yang dikatakan mungkin kedengaran seperti bergurau, tapi
dia tak main-main. Hanya kata-kata dan ayat yang dipilih, agak santai. Tak mahu
situasi tegang terus menyelubungi mereka bertiga.
Thaqif dan hinaan lelaki itu, tak mungkin dapat memisahkan
persahabatan mereka bertiga. Apalagi, sejak kembali ke tanah air, hanya mereka
berdua saja kawan yang dia ada.
“Tapi aku tetap rasa bersalah, Shana.”
“Jangan, Min! Kalau kau anggap aku kawan, jangan pernah rasa
bersalah. Kita kawan, kan?”
“Ya... sampai mati!” Yasmin capai tangan Shana. Kemudian
digenggam erat-erat.
“Ya... sampai mati!” Itu juga yang dijawab Budriz walaupun
soalan itu tak diajukan padanya.
Hanya dua tahun mereka bertiga berkenalan. Itu pun di bumi
orang. Tak banyak juga yang mereka tahu tentang Shana. Namun tempoh dua tahun
itu membuatkan hubungan mereka rapat. Sayang kalau mereka harus kehilangan
seorang kawan sebaik Shana yang sanggup melakukan apa saja untuk mereka,
walaupun sudahnya hanya membuatkan kawan mereka itu dimalukan Thaqif.
Empat orang kawan mereka tuju demi meminta pertolongan.
Semuanya tak mahu membantu dengan pelbagai alasan. Namun atas tiket
persahabatan, Shana sanggup mencuba. Sungguh... dia tak mahu hilang kawan
sebaik Shana!
“Tapi sorry ya...
aku dah tak dapat tolong korang lagi. Hati abang korang keras macam batu.”
Yasmin dan Budriz ketawa perlahan. Lega bila Shana tak terus
menyalahkan mereka.
“Aku pun tak sangka dia tak cair dengan kau.”
“Kau cair ke dengan aku?” tanya Shana pada Budriz.
Pantas Budriz menggeleng. Shana itu baginya hanya kawan, tak
lebih daripada itu. Lagipun kalau dia ada hati pada Shana, di mana hendak
dicampakkan Zaza?
“Yalah, aku tau aku ni hitam macam arang,” rajuk Shana,
berpura-pura.
Bila Budriz mengetap bibir, ketawanya dan Yasmin bergabung
membingitkan suasana. Namun dalam diam, dia mendoakan supaya Thaqif bertemu
dengan perempuan yang benar-benar Thaqif inginkan dalam hidup. Yang kena dengan
cita rasa lelaki itu. Biar Thaqif bahagia dan seterusnya dapat membuka jalan
untuk Budriz dan Yasmin hidup di sisi pasangan masing-masing.
“Terima kasih sebab tolong kami, Shana walaupun rancangan
kita gagal,” ucap Yasmin tenang.
“Kalau berjaya kan bagus?” Shana, gelak-gelak selepas
berkata begitu.
“Kalau kau betul-betul jadi dengan abang aku, bukan
olok-olok... lagilah aku suka!”
“Gila!”
“Kenapa gila kalau kau dan abang aku sama-sama single and available?” Budriz ikut
mengusik Shana.
“Mimpi ngerilah abang korang sebab hari-hari terpaksa
menghadap aku!”
Sudahnya, ketawa mereka bertiga bergema memecahkan suasana
bisu di Suraya Seafood di Kampung Baru! Benar, mereka bertiga gagal dalam
memastikan rancangan yang dibuat bertemu kejayaan. Namun mereka tak gagal dalam
mempertahankan erti sebuah persahabatan. Mereka masih boleh senyum dan bergelak
ketawa walaupun selepas apa yang berlaku.
MASUK saja ke perpustakaan mini milik keluarga mereka, tempat
Thaqif sedang membaca sebuah buku, Yasmin terus menghulurkan sampul surat
berwarna putih. Tak mahu bertangguh kerana ini yang diamanahkan Shana padanya.
Bimbang kalau lebih lama masa diambil, semakin lupa jadinya kelak.
“Apa ni Min?” tanya Thaqif dengan kerut di dahi.
“Ambil ajelah. Tak payah tanya-tanya,” kata Yasmin bagaikan
mendesak. Sebetulnya dia masih terkilan dengan kata-kata Thaqif pada Shana.
Thaqif capai juga sudahnya. Dibelek-belek seketika sebelum
diletakkan di atas pahanya. Nanti-nanti masih boleh dilihat isinya. Hanya
ketika ini, dia mahu berbual-bual dengan Yasmin. Adiknya dilihat agak dingin
sebaik saja mereka meninggalkan Shana di Gerai Yong Hanifa pagi semalam.
Shana! Apa agaknya yang dibuat gadis itu ketika ini, pada
saat ini?
Pagi tadi, tak seperti pagi-pagi yang lain, Shana tak lagi
menunggunya di tepi lif Menara Semarak. Malah, tak ada satu pun mesej atau
panggilan yang diterima daripada gadis itu. Shana bagaikan hilang ditelan
bumi. Bila dia berpaling ke belakang
sebelum memboloskan diri di dalam lif, tetap juga Shana tak muncul.
Sihat ke Shana?
Menyedari betapa otaknya seperti tak berada pada paksi yang
betul, pantas Thaqif menggeleng-geleng kepala. Apa perlunya dia mengingati
Shana? Apa untungnya jika tahu khabar berita gadis itu?
“Min duduk sekejap boleh?”
“Min ada kerja urgentnak
kena buat,” kata Yasmin beralasan. Masih belum bersedia bertentang mata dengan
Thaqif.
“Duduklah sekejap. Ada benda abang nak cakap pada Min.”
Yasmin menggeleng. Sampai ke detik ini, dia tak percaya
abang yang selalu disanjung sanggup mengeluarkan kata-kata yang tak sepatutnya
pada Shana. Benci macam mana pun, Thaqif harus tahu menjaga air muka orang
lain. Tak rugi jika kejahatan dibalas dengan kebaikan. Bukankah itu yang Thaqif
ajarkan pada dia dan Budriz selama ini? Jadi, bila sampai giliran Thaqif,
kenapa lain yang abangnya buat?
Takkanlah Thaqif itu spesies ketam? Mengajar anak berjalan
lurus sedang jalan sendiri senget-benget!
“Duduklah...” Tangan Yasmin, Thaqif tarik supaya duduk di
sisinya.
Panjang muncung Yasmin bila akhirnya dia terpaksa mengalah.
Mahu berkeras, dia tak sampai hati.
“Min marah abang?” tanya Thaqif lembut. Pada bibirnya, ada
senyuman.
Yasmin geleng, walau bibir hendak mengiakan. Tapi kalau buat
begitu, apa perlunya?
“Pasal Shana?”
Tajam mata Yasmin menombak anak mata Thaqif. Selama ini dia
cukup hormatkan Thaqif. Lantaran itu, dia seperti tak percaya dengan telinga
sendiri. Kalau orang lain yang bercerita, sungguh dia tak akan percaya. “Min
tak rasa apa yang abang buat tu betul. Kalau pun tak suka dia, abang tak perlu
hina dia sampai macam tu sekali. Teruk benar ke kalau kerja di tempat macam
Shana tu kerja, abang?”
Thaqif terus tersenyum. Telahannya nyata tak silap. “Min
sangka abang macam tu ke?”
“Min tak sangka tapi telinga Min sendiri yang dengar.”
Panjang, Thaqif hela nafas. Kemudian dilepaskan perlahan.
Itu yang Yasmin dengar daripada mulutnya. Yang Yasmin tak tahu, sepanjang malam
dia tak tidur kerana dihantui rasa bersalah pada Shana. Dia tak patut berkata
begitu hanya semata-mata mahu menyakitkan hati Shana. Membuatkan gadis itu
benci padanya.
Siapa dia hendak menghina pekerjaan Shana?
Sekurang-kurangnya, gadis itu membuat pekerjaan yang halal.
“Abang tak bermaksud macam tu Min.”
“Tapi itu yang abang katakan pada dia!”
“Abang tahu abang salah dan abang betul-betul rasa bersalah
pada Shana. Tapi hanya itu satu-satunya jalan yang abang ada untuk pastikan dia
tak terus kejar abang. Abang tak ada pilihan lain, Min.”
“Dan... abang bahagia ke sekarang ni lepas buat macam tu?”