Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 31

Azeem yang sedang dikuasai api kemarahan masih tercegat di hujung tangga. Hatinya makin terguris bila terpandangkan senyuman yang terpamer di wajah Dian. Senyuman yang sebegitu terlalu sukar dipamerkan kepadanya, tapi rupa-rupanya bukan saja mudah sebaliknya sangat murah untuk dihadiahkan kepada lelaki lain. Hatinya semakin bergerutu, kerana dia benci diperlakukan begitu. Serentak kakinya pantas menuruni anak tangga. Kesabarannya sudah tiada dan dia mahu memberikan perempuan itu pengajaran yang sewajarnya.

Bunyi tapak kaki yang dihentak kasar menyedarkan Dian daripada kenangan indah bersama ummi dan Abang Razif sebentar tadi. Kereta hitam milik Azeem yang dipakir di luar telah memberitahu tentang keberadaannya di rumah. Dian hairan kerana Abang Azeem pulang lebih awal daripada yang sepatutnya, tapi dia gembira kerana ada berita yang ingin disampaikan. Mungkin sudah tiba masa untuk dia menceritakan kebenaran, tentang siapa dirinya kepada Abang Azeem.

“Abang Azeem dah balik?” soalnya kepada Azeem yang semakin menghampiri kerana dia sudah bertekad untuk menceritakan segala-galanya.

“Memang aku dah balik. Dah tu kenapa? Ini kan rumah aku, takkan nak balik pun aku kena report pada kau dulu?” jawapnya kasar. Dian dapat melihat mata Azeem yang mencerlung marah padanya. Perwatakan Azeem yang dulu kembali lagi, kasar dan sinis. Serta-merta dia terkedu.

“Kenapa? Kau tak suka aku balik? Aku tahu, kau dah jumpa mangsa baru kan? Siapa lelaki malang tu? Malang sebab dia hanya dapat sisa aku.” tuturnya sinis. Tanpa berfikir panjang dia akhirnya bertindak menuduh Dian. Jawapan yang langsung tak dijangka itu terus mematikan kuntum senyum yang bersisa di wajah Dian. Dian pantas menghela nafas panjang bila tuduhan yang dilemparkan turut sama mengguris hatinya. Dia sedar Abang Azeem bertindak keterlaluan, kerana dia telah dihukum tanpa melalui sebarang perbicaraan.

Dalam kepayahan dia cuba untuk bangun. Dia perlu segara membuat penjelasan, tak mahu terus-terusan dipersalahkan.

“Bagi sini telefon tu!” arah Azeem. Dian lantas terpaku. Permintaan Abang Azeem terasa sukar untuk dipenuhi kerana dia sangat sayangkan telefon bimbitnya itu.

“Abang Azeem nak buat apa dengan telifon Dian?” soalnya, sambil menggenggam erat telefon di tangan. Terlebih dahulu dia mahu mengetahui rasional tindakan Abang Azeem berbuat begitu.

“Aku dah cakap bagi tu, bagi je lah! Apa tak puas kau bermadu kasih di luar, sampai kena sambung dalam telefon lagi. Aku dah kata bagi, bagilah!” pekiknya marah sambil bertindak untuk merampas telefon yang berada dalam genggaman Dian, tapi Dian tetap bertegas tak mahu melepaskannya. Itu telifon bimbit kesayangannya, hadiah pemberian ummi. Dia tak rela melepaskannya pergi kerana dia takut Abang Azeem akan melakukan sesuatu terhadapnya nanti.

“Abang Azeem jangan…tolonglah jangan, Dian sayang sangat dengan telefon ni.” rayunya minta belas ihsan bila Abang Azeem dilihat sudah mula menggunakan kekerasan. Serentak dia menepis tangan Azeem kerana tiada asasnya dia diperlakukan begitu.

“Kenapa? Kau takut? Kau takut aku tahu apa yang kau buat kat luar sana dengan jantan tu? Kau jangan ingat kau dapat perbodohkan aku selama-lamanya. Biar aku tengok sendiri siapa dia lelaki tak guna tu.” balasnya sambil mendengus kasar.

“Baik kau bagi aku telifon kau tu sekarang.” tuturnya lagi, memberikan amaran sambil mencekak pinggang setelah dia semakin pasti Dian telah berlaku curang padanya, namun tak lama sebelum mereka bergelut semula bila Dian tetap tak mahu menurut arahannya.

“Abang Azeem tunggu. Bagilah Dian peluang untuk jelaskannya dulu.” rayu Dian sambil bermatian-matian mempertahankan hadiah pemberian ummi itu kerana terlalu banyak kenangan antara mereka berdua yang disimpan di situ.

Tindakan Dian yang bermati-matian mempertahankan telifon berkenaan membuatkan Azeem rasa lebih tercabar. Segala kata-kata yang diucapkan Dian kedengaran pura-pura dan palsu belaka. Dengan pantas dia merampas telefon yang masih kemas berada di dalam genggaman tangan Dian lalu menghampaskannya ke lantai tanpa mengesahkannya terlebih dahulu. Hancur berderai telefon tersebut diperlakukan begitu, tak kurang juga hati si pemiliknya.

“Apa yang Abang Azeem dah buat ni…” tutur Dian sayu sebelum meluru untuk mendapatkan pecahan-pecahan telefon berkenaan. Airmatanya sudah mula berlinangan, namun belumpun sempat dicapai, tangannya disentap kasar oleh Azeem.

“Kau tak jawap lagi soalan aku tadi. Siapa lelaki tu? Siapa dia?” soal Azeem marah kerana fikirannya masih terbayangkan wajah lelaki yang berdampingan bersama Dian.

“Abang Azeem kenal dia. Dia…” belumpun sempat Dian menerangkan keadaan sebenar, satu tamparan hinggap di pipinya. Serta-merta bucu bibirnya terasa perit dan sakit. Wajah Abang Azeem ditatap tak berkelip sebelum akhirnya dia jadi tawar hati. Dia sudah tak ingin menerangkan kebenaran lagi kerana dia sudah tak mahu ambil kisah dengan perkara yang bakal terjadi, sebaliknya hanya satu keluhan mampu untuk dilepaskan demi  menyatakan kekesalan hati.

“Kau nak cakap apa ni ha? Kau nak cakap yang aku kenal dia pula sekarang? Kalau nak menipupun fikirlah alasan lain. Kau memang tak pernah nak insaf kan? Itu balasan pada perempuan yang tak guna macam kau!” gerutunya semula, tapi dia masih belum habis lagi.

“Kau ingat aku tak tahu siapa dia? Dia kekasih kau kan? Ni, anak dalam perut kau ni entah anak siapa pun aku dah tak tahu. Kau jangan ingat kau akan dapat perbodohkan aku.” tambahnya lagi sambil menatap wajah Dian dengan penuh kebencian. Dia benci diperlakukan begitu. Dayus hidupnya kerana membiarkan hak diri dicerobohi.

Dian hanya mampu diam. Dia sudah mengangkat bendera putih, tak mahu mempertahankan diri lagi. Dia mengaku kalah akhirnya. Biarlah apa yang Abang Azeem mahu katakan dia sudah tak mahu ambil peduli. Nafasnya ditarik dalam-dalam untuk menenangkan gelodak yang semakin kuat terasa. Dalam pada itu, dia seperti dapat merasa ada aliran yang baru menuruni bahagian bucu bibir. Perlahan-lahan tangannya mendarat di situ sebelum matanya terpaku pada cairan merah yang turut hadir bersama, beserta kekecewaan yang semakin menyebungi jiwa.

“Kenapa kau diam? Mengaku jelah. Aku dah nampak semuanya. Kau main dengan jantan tu kat belakang aku kan? Selama ni aku ingat kau berbeza, tapi rupanya kau pun sama macam perempuan murahan lain yang banyak ada kat luar sana. Mudah diangkut ke sana sini, hanya dengan ni.” tuturnya sambil menunjukkan simbol wang di jari.

“Tapi kau tahu, kau lebih teruk…sebab kau hipokrit. Sia-sia aku kesiankan kau selama ni.” semburnya, tetap tak mahu berhenti.

“Bila aku fikir-fikir balik, aku sepatutnya kena ucapkan terima kasih pada kau. Sebab apa? Sebab kau dah buktikan pada aku yang kau tak layak, langsung tak layak untuk dikasihani, walaupun sekelumit.” tambah Azeem lagi. Sengaja mahu menyakiti hati Dian kerana hatinya sendiri sudah tak ketentuan. Benci, marah, kecewa, sengsara semuanya ada dan akhirnya bersatu menjadi bom jangka yang meletus juga akhirnya menghancurkan harapan berkeluarga yang baru saja dibina.

Dian mula panas hati. Tindakan Azeem yang mencurigai kesucian dirinya langsung tak dapat diterima. Lebih menyakitkan bila anak yang dikandung turut mula dipertikaikan kebenaranya, lantas dia mula rasa tercabar.

“Ini anak abang dan abang sendiri sepatutnya lebih tahu tentang itu, sebab abang suami Dian, tapi tolonglah jangan caci dia. Dia seorang lelaki yang baik. Dian pasti sangat siapa yang jadi isterinya nanti akan bahagia.” balas Dian kecewa. Kekecewaan terbesar seorang isteri, bila anak yang dikandungi dicurigai olah suami sendiri.

“Dia abang Dian. Abang yang Allah dah kurniakan pada seorang adik yang hina macam Dian. Abang Azeem tak ada hak nak kata buruk tentang dia.” tambah Dian tegas. Azeem yang mendengarnya semakin sakit hati. Wajahnya mencuka. Luka dihatinya kini makin parah bila Dian bertindak berani untuk membela lelaki asing itu di hadapannya.

“Ooo…sekarang ni kau dah pandai melawan cakap aku kan? Kalau dulu kau senyap, semua yang aku buat kau terima, tapi sekarang kau dah berani melawan? Apa yang lelaki tu dah ajar kau ha? Apa yang dia cakap? Dia suruh kau minta cerai dengan aku, lepastu ikut dia?”

“Banyak sangat ke harta dia sampai kau tak sabar-sabar nak bersama dengan dia? Kali ni berapa banyak yang kau minta? Berapa yang dia sanggup bayar?” tutur Azeem memperlekehkan Dian sambil menghadiahkan Dian dengan pandangan menghina.

“Ikut suka hati kaulah, sekarang aku dah tak nak ambil kisah dah. Kau jangan bimbang, kalau kau tak minta pun aku memang dah sedia nak bagi. Tak guna aku simpan perempuan kotor macam kau ni sebagai isteri.” tuturnya lagi. Hatinya semakin hitam dibutai bisikan syaitan yang sedang gembira bertepuk tangan meraikannya kejayaan yang dicapai bila seorang lagi umat Nabi Muhammad berjaya disesatkan.

Dian hanya mampu membisu. Dia tahu, dia tak sepatutnya membalas kata-kata Abang Azeem sebentar tadi. Lagi dijawap, lagi panjang ceritanya kerana Abang Azeem sedang dikuasai api kemarahan saat ini. Serentak, dia menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan sebelum wajah suaminya itu ditatap.

“Selama tempoh kita bersama, Dian sentiasa ingatkan diri supaya kurang menerima, sebaliknya lebihkan memberi…tapi nampaknya semua tu masih tak mencukupi, sebab Abang Azeem tetap sangsi.” tuturnya perlahan menzahirkan kekesalan setelah sedar segala usahanya selama ini ternyata sia-sia kerana Abang Azeem langsung tak pernah cuba memahaminya.

“Kalau itu apa yang hati abang kata, abang ikutlah. Dian dah tak nak cakap apa-apa. Itu hak abang, dan Dian akan terima semuanya.” balas Dian perlahan, namun Azeem tetap menjeling marah padanya.

“Kalau Abang Azeem dah sudah, Dian nak minta izin untuk masuk.” tambahnya lagi. Serentak kakinya melangkah untuk meninggalkan Azeem yang dilihat semakin hilang pedoman tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran. Azeem rasa makin tercabar bila diperlakukan begitu.

“Aku tak habis cakap lagi!” bentaknya, sebelum mencapai tangan Dian kasar kerana dia masih belum puas menyakiti wanita dihadapannya itu sambil sebelah tangannya diangkat tinggi untuk memberi pengajaran semula.

“Ya-Allah...Azeem!” teriak satu suara yang datang dari arah pintu utama, kuat sehingga bergema di segenap ruang rumah. Azeem tersentak dan dengan pantas dia tersedar kerana hanya opah yang mampu membuatkan dia berperasaan begitu.

“Apa yang Azeem dah buat ni? Opah tak pernah ajar Azeem jadi kurang ajar macam ni!” tutur opah marah sebelum bergegas mendapatkan keduanya.

“Ya-Allah, Azeem. Kenapa berkasar dengan isteri? Opah dah didik Azeem dengan ilmu agama yang sepatutnya, tapi opah tak sangka Azeem sanggup buat perangai macam ni!” tambah opah lagi. Segera wajah Dian diteliti sebelum darah yang masih mengalir di bucu bibir itu dikesat dengan sapu tangan.

“Azeem memang dah melampau!” marahnya semula sambil menjeling tajam ke arah cucunya itu. Hati Azeem masih terkejut, sebelum akhirnya berganti dengan rasa takut. Dia tak sangka opah akan datang pada ketika dia sedang menjalankan aktivitinya itu, aktiviti menyakiti hati Dian.

“Opah belalah dia. Belalah…opah nak tahu apa yang dia dah buat kat belakang kita? Dia keluar dengan lelaki lain masa Azeem tak ada opah. Dia ada hubungan dengan lelaki lain.” adu Azeem membela diri.

“Tu anak yang ada dalam perut dia tu, entah anak siapa pun kita tak tahu. Dia memang bukan perempuan baik. Opah tu yang tak kenal siapa dia sebenarnya.” tambahnya pula dalam ushanya menghalalkan segala perlakuannya sebentar tadi. Selebihnya dia sakit hati bila melihat opah lebih rela menyebelahi Dian dan bukan dia, cucu kandungnya sendiri.

“Azeem sudah! Bawa mengucap, ingat Allah. Jangan cakap sesuatu yang akan buat Azeem menyesal nanti.” nasihat opah pada cucu tunggalnya itu sebelum mendakap tubuh Dian pula.

Dia kasihankan Dian yang tetap membatu dalam keadaan bisu dan dia tak rela Azeem berkelakuan seperti itu. Daripada tutur kata dan budi bahasa Dian, dia tahu Azeem telah tersalah sangka kerana dia sudah hidup lama. Sekilas ikan di air pun, dia sudah tahu jantan atau betinanya, inikan pula sudah hampir setahun mengenali Dian. Cucu menantunya itu menepati segala ciri-ciri yang dicarinya sebagai isteri Azeem. Taat pada perintah agama dan lembut dalam berbicara, tapi entak kenapa Azeem mula buat hal semula.

“Opah belalah dia. Belalah. Lagipun semua ni jadi sebab opah. Opah yang nak sangat waris kan? Opah jagalah dia, Azeem langsung dah tak nak ambil tahu tentang semua ni…tapi Azeem dah ingatkan, opah jangan menyesal pulak nanti.” balasnya sebelum berlalu pergi.

Mungkin kerana terlalu terkilan atau kerana tak pernah menaruh perasaan, tindakan dan kata-kata Azeem itu langsung tak memberi kesan. Empangan matanya sudah kering dan tandus untuk dibazirkan kepada orang lain kerana di hatinya hanya ada ummi, sampai dah tak ada ruang baginya untuk memikirkan masalah sendiri.

 

Azeem masih menyumpah seranah Dian semahu hati dan sekali lagi stereng kereta dihentak dengan tangan. Dia benci diperlakukan begitu. Betullah apa yang disangkakannya dulu, Dian memang seorang perempuan murahan dan dia bermata duitan.

“Tak guna punya perempuan. Kau cuma berlagak baik selama ni. Rupa-rupanya kau pun sama macam perempuan loteng yang ada berlambak kat luar sana. Logiklah kenapa Aida boleh pungut kau kat club tu.” tuturnya pada diri sendiri. Tiba-tiba dia teringatkan Aida dan dengan pantas telefonnya dicapai.

“Hello, you kat mana?” soalnya ingin mengetahui lokasi isteriya itu.

“Ok, kejap lagi I sampai. I dah dekat dah dah ni. You siaplah, kita keluar pergi tempat biasa. I nak release tansion malam ni.” tuturnya lagi sebelum talian dimatikan.

Dia tak rela tindakan Dian terus-terusan membuatkannya tertekan. Hidupnya masih panjang. Walaupun Dian tiada, dia masih ada Aida yang sedia menemaninya sepanjang masa.

 

Keadaan kelab malam yang sesak menyukarkan pergerakannya. Mujurlah layanan yang diterima eklusif, kalau tak pasti sukar untuk mereka mendapat tempat. Azeem sedar, ketagihan memang sesuatu perkara yang mampu  membinasakan. Aida lupa lagi kerana janjinya untuk berhenti minum seperti sukar untuk dipenuhi. Sesampainya di situ, tangannya mencapai botol minuman keras sebelum meneguknya puas. Azeem tak dapat nak berbuat apa kerana sudah penat dia menasihati.

“Sayang, you dah janji nak berhenti kan, tapi kenapa you minum lagi?” tutur Azeem kecewa. Perlakuan Aida betul-betul membuatkan dia tak senang hati.

“Please, hari ni je. I janji, esok I berhenti. Honey please.” rayu Aida sambil merangkul lengan Azeem manja.

“Betul you janji, ini kali yang terakhir dan lepas ni you akan berhenti?” soalnya inginkan kepastian. Aida mengangguk-anggukkan kepalanya yakin, tapi di dalam hati, dia tak dapat nak merelakan. Dihadapan Azeem dia mungkin mampu bertahan tapi bila Azeem tiada, godaan itu takkan dapat dipinggirkannya.

“Ok, I janji.” balasnya sambil mengangkat telapak tangan. Serentak dia meneguk kembali air tersebut rakus, tanpa memikirkan pandangan Azeem yang jelas tak senang hati melihatnya. Nikmatnya hanya dia yang rasa. Dia selesa hidup begitu, tanpa tekanan, sentiasa bebas dan mengujakan. Hidup dikelilingi muzik dan minuman tak lupa teman-teman yang saling berkongsi minat dan keinginan. Ketagihan pada minuman keras dan hiburan malam tak mudah untuk diketepi kerana dia sudah mula terjebak sejak di awal usia remaja.

“You guys dah sampai? Ok good. Jomlah cepat. Muzik tengah best tu.” tutur Linda yang muncul tiba-tiba di sebalik pintu.

“Honey, come.” ucap Aida sebelum menarik tangan Azeem untuk mengikutnya.

“I nak duduk dulu. Kalau you nak pergi, you pergilah. Sekejap lagi I datang.” balasnya.

“Ok, suit yourself. I tunggu you kat luar.” balasnya sambil mendapatkan Linda yang sudah mula berpesta.

Azeem hanya mampu memerhati mereka pergi sebelum dia tersedar. Walaupun Aida bebas seperti itu, dia tak berpura-pura, tak seperti Dian yang dilihat hanya pandai berlakon baik sahaja. Dia masih boleh tahan dengan sikap Aida yang kaki minum, tapi dia memang tak boleh tahan dengan sikap Dian yang kaki jantan, kerana dia paling benci diperkotak-katikkan. 

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.