Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 59

Kepala yang terasa semakin berat sedikit sebanyak mengganggu konsentrasinya. Sebelum balik, dia singgah ke kedai Uncle Ah Sing untuk membeli ubat-ubatan yang diperlukan. Dia mahu segera pulang dan merehatkan diri sambil berharap demam yang menghinggapinya itu akan cepat pergi, tak mahu terlalu lama mendera diri.

Sudah berhari-hari keadaan itu berlarutan sedang selera makannya juga mula menjadi berkurangan. Setiap kali makan dia hanya mampu menghabiskan sebahagian kecilnya saja, lebih banyak yang dibazirkan. Nak minum air pun tak selesa sebab airpun dah mula rasa macam ubat, pahit sampai dia mula putus asa, sedang langkahan kakinya juga sudah rasa longlai dan kurang bertenaga.

“Assalamualaina wa’ala ibadillahhissolihin…” tutur Dian dalam senyuman tadkala daun pintu dibuka, lega yang akhirnya dia sampai juga. Syukur kerana Allah mempermudahkan urusannya. Hajatnya hanya satu, makan ubat dan berehat supaya demamnya tak menjadi lebih melarat.

Azeem yang masih terbaring ditengah bilik mula panik. Dia segera bangkit sambil kepalanya ligat mencari jalan penyelamat. Perasaan takut dan terkejut menyelubungi diri. Tujuan asalnya hanya mahu menghantar geran hakmilik kedai yang sudah didaftarkan atas nama Dian, tapi tak disangka dia boleh terlena pula.

“Kenapalah sampai boleh tertidur, tapi kenapa dia balik awal sangat hari ni?” bisiknya setelah meneliti jam yang dipakai. Tak henti-henti dia menyalahkan dirinya sendiri sambil kepalanya memikirkan cara untuk menyembunyikan diri. Serentak dia terpandang baju yang bergantungan di dinding dan dengan pantas dia menyembunyikan dirinya ke situ. Betul-betul tak ubah macam nyamuk, hanya tahu menyorok. Dalam hati dia tak henti berdoa agar kehadirannya tidak dapat dikesan Dian.

“Ummi, Dian dah balik ni.” tuturnya sebelum melabuhkan punggungnya di hadapan meja. Potret gambar ummi sempat dicapai dan didakap mesra kerana dia tetap dapat merasa bahagia.

“Ummi, badan Dian rasa tak sihat. Dian rasa macam dah deman…” adunya perlahan.

“Dulu masa ummi ada, kalau Dian sakit, ummi yang selalu jaga Dian kan? Dian rindu sangat dengan ummi.” tuturnya perlahan. Hatinya mula jadi tak keruan kerana fikirannya mula dibebani ingatan dan kenangan pada ummi yang sentiasa berterusan. Satu persatu diulang tayang tanpa perlu dipaksa sehinggakan dia mula jadi sebak semula.

“Tapi ummi janganlah risau. Dian kan dah besar. Dian boleh jaga diri Dian sendiri. Dian kuat, Dian boleh, sebab Dian kan anak ummi.”

“Ummi tunggu Dian kat sana ya. Dian dah tak sabar nak jumpa dengan ummi. Dian sayang ummi.” tuturnya lagi dan tanpa dipaksa airmata yang sentiasa menjadi pemujuk diri akhirnya tumpah lagi. Segera dia mengesatnya dengan hujung baju kerana di tak mahu terlalu murung. Dia sedar kini yang hidupnya terlalu sunyi tanpa kehadiran ummi.

Tekaknya mula digeletek lagi dan akibatnya dia mula terbatuk-batuk tanpa henti, serentak dia teringatkan ubat-ubatan yang telah dibelinya tadi.

“Kejap ya ummi, Dian ambil air nak makan ubat.” tuturnya lagi sebelum berhati-hati menuju ke dapur.

Azeem turut terkesan mendengarnya. Kasih sayang yang dipamer Dian membuat dia malu, bahkan hatinya terasa sakit seperti dihiris sembilu. Kini barulah dia sedar betapa dalam cinta Dian terhadap ummi. Dia sudah tak tertahan kerana kesedihan Dian turut sama dapat dirasakan.

Dia perlu segera beredar dari situ kerana dia takut kalau berlama-lama lagi dia takkan dapat menahan diri. Serentak dia melangkah menuju ke arah pintu. Tanpa disedari dalam usahanya itu, kakinya tersampuk pada lipatan alas tidur yang terdapat berhampiran sebelum dia jatuh tersembam ke lantai.

“Argh!” tuturnya menahan sakit sebelum tangannya ditelangkupkan ke mulut, namun segalanya tanpak sia-sia kerana Dian telah terlebih dahulu mendengarnya.

“Siapa? Siapa tu!” tuturnya kuat. Terkejut bercampur dengan takut. Mana mungkin ada penghuni lain yang telah memasuki ruang persendiriannya itu. Serentak dengan itu juga, gelas kaca yang berada di dalam genggaman terlepas dan tercampak ke lantai. Dalam kekalutan dia pantas bertindak untuk mendapatkan tongkat yang ditinggaklan di atas meja.

“Siapa tu!” jeritnya lagi. Kali ini lebih kuat dan berani, tapi keadaan tetap senyap dan sunyi. Dia telah bertekat untuk berusaha mempertahankan diri, biarlah apapun yang bakal terjadi. Menyerah diri? Tidak sekali, selagi Allah tidak memberi. Serentak hatinya berdoa agar maruah diri dipelihara sepanjang masa.

Tongkat yang berada di tangan dilibaskan ke kiri dan ke kanan untuk memastikan keselamatan setelah sedar bahaya yang menanti sambil di dalam hati hanya Allah yang mengetahui betapa bergemuruh perasaannya ketika ini.

“Kalau awak nak selamat, baik awak keluar dari sini cepat!” perintahnya sambil tangan masih lagi menghayun tongkat sekuat hati, namun tetap tiada balasan. Perasaan takut sebentar tadi mula diganti dengan perasaan marah yang sudah semakin meluap-luap. Hatinya sakit dan benci akibat rasa tak puas hati.

“Keluar, cepat keluar dari sini!” marahnya lagi. Langkahan kaki kini sudah mula jadi semakin berani tanpa langsung memikirkan keselamatan diri lagi. Apa yang dia tahu dia perlu segera mengusir penceroboh berkenaan atau keluar untuk mendapatkan bantuan kerana selagi dia berada di situ, dia pasti takkan dapat memperoleh ketenangan. Dalam pada dia sibuk memikirkan cara untuk mempertahankan diri, tanpa disedari dia semakin menghampiri kumpulan kaca yang sudah berderaian tadi.

Azeem yang masih memerhati terkejut. Dia mula bimbangkan keselamatan Dian. Serentak dia bingkas bangun dan meluru untuk mendapatkan Dian.

“Dian hati-hati. Kaca!” tuturnya. Mahu tak mahu dia tetap perlu memunculkan diri juga. Sudah tak ada maknanya dia bermain sembunyi-sembunyi seperti itu kerana keselamatan Dian adalah yang paling utama. Hatinya? Akan difikirkan kemudian.

Dian terpaku dan langkahnya segera berhenti saat suara yang menyapa gegendang telinga berjaya dianalisa.

“Argh.” bisik Azeem perlahan sambil mengetap giginya kuat kerana demi Dian, kakinya sendiri yang perlu menjadi gantian.

“Abang Azeem?” duga Dian di dalam hati, sebelum dia terasa tubuhnya diangkat ke udara oleh penceroboh yang sudah diketahui gerangannya itu. Semuanya berlaku terlalu pantas, sampai dia dah tak sempat nak buat apa-apa.

“Biar abang bersihkannya dulu.” tutur Azeem lembut selesai dia meletakkan Dian di kawasan yang lebih selamat sedang mulut Dian tetap juga bisu dan terkunci rapat.

Azeem meliar mencari perkakasan yang diperlukan sebelum matanya tertangkap batang penyapu yang ada terletak di sebelah pintu. Dia perlu menyelesaikan tugasan itu dengan kadar segera kerana Dian pasti takkan selesa bila dia ada bersama. Bunyi kaca yang berlaga akhirnya berjaya menyedarkan Dian yang masih terkesima.

“Ini mesti kerja Abang Razif!” bisiknya marah. Marah kerana ketenangannya diganggu-gugat lelaki itu. Lelaki yang sudah tak mahu ditemuinya lagi selagi bumi tak berganti. Lelaki yang langsung tak mahu diingati walaupun di dalam mimpi. Serentak amarahnya menerpa, merah mukanya menahan rasa sebelum dia segera merapatkan dirinya ke bahagian dinding sambil tangannya memeluk kedua-dua belah lutut.

Azeem yang baru selesai membersih simpati melihatnya. Dia perasan perubahan air muka Dian yang kelihatan tegang, tapi kakinya seperti ditarik-tarik untuk mendapatkan Dian semula. Mungkin inilah peluangnya untuk mempengaruhi Dian, kerana dah tak ada guna berahsia lagi. Dia juga mahu menyatakan hasrat dan pendiriannya tentang penyakit yang Dian hadapi setelah Haikal gagal melaksanakannya.

Perlahan-lahan dia duduk berteleku di hadapan Dian sambil matanya tak henti mengamati sepasang mata isterinya itu. Sebelah tangannya dimain-mainkan di hadapan mata Dian kerana dia perlu segera memastikan, tapi Dian tetap tak memberikan tindak balas seperti yang diharapkan. Hatinya masih belum puas, tanpa sedar dia merapati Dian lagi sehinggalah mukanya betul-betul menghampiri wajah isterinya itu.

Dalam penglihatan yang sangat terbatas Dian dapat melihat tindakan  Azeem. Serentak dengan itu tubuh Azeem ditolak untuk menjauhinya. Cukuplah dengan apa yang telah terjadi, dia sudah tak mahu menambahnya lagi. Walaupun dia pernah menyayangi, namun itu tak bermakna selama-lamanya dia perlu menghambakan diri kerana tak terlintas di fikirannya untuk bersama kembali.

Azeem tersenyum gembira. Hatinya ceria dan bahagia kerana mendapat jawapan yang diinginkannya. Peluang Dian ternyata masih ada dan segala usahanya seperti tidak sia-sia. Dian benar-benar masih belum hilang penglihatan sepenuhnya.

“Abang Azeem, tolonglah. Tolonglah Dian, sekali ni Dian minta. Tolonglah pergi…”

“Kenapa abang Azeem datang sini? Semuanya kan dah selesai. Tolonglah jangan muncul dalam hidup Dian lagi. Tolonglah, Dian pun nak hidup.” tuturnya merayu sebelum menekup kedua-dua belah tangannya kuat ke telinga disusuli dengan esakan halus yang penuh dengan kesayuan. Azeem terdiam. Dia sedar tanpa sengaja dia telah menyakiti hati Dian semula.

“Dian, Abang Azeem minta maaf. A..abang Azeem bukan nak apa-apakan Dian.” balasnya yang sudah mula hilang arah kerana kelakuannya sebentar tadi nyata telah membuatkan luka Dian jadi makin parah. Serentak tangannya berkira-kira mahu menyentuh tubuh itu tapi tak berani untuk diteruskan, bimbang keadaan Dian jadi makin tak keruan.

“Abang Azeem cuma nak pastikan yang Dian masih boleh nampak. Sumpah, abang tak ada niat lain. Dian masih boleh nampak Abang Azeem kan? Dian masih boleh sembuh? Dian cakaplah, abang Azeem nak tahu keadaan Dian.” tuturnya lagi. Dia segara mahu mendengar penjelasan Dian kerana dia ingin segala-galanya dipulihkan.

“Kenapa Abang Azeem nak tahu sangat tentang hal mata Dian? Ini masalah Dian. Biar Dian yang uruskan. Abang Azeem pergi balik! Dian tak nak Abang Azeem ada dekat sini.” balas Dian tegas. Dia tak suka perihal matanya itu diambil peduli oleh Abang Azeem. Itu hidupnya, dan dia mahu menguruskannya sendiri.

“Dian, tolong jangan buat Abang Azeem macam ni. Dian ikut abang ya. Kita ke hospital.” tuturnya sebelum pantas mencapai pergelangan tangan Dian dan menarik Dian untuk mengikutnya.

“Dian tak nak. Ini soal hidup Dian. Tolonglah jangan nak paksa-paksa Dian lagi, Dian tak suka. Ini urusan Dian, hak Dian, tanggungjawap Dian, biarlah Dian tentukan sendiri. Abang Azeem tak payah nak masuk campur. Abang Azeem pergilah balik. Tempat abang bukan kat sini!” balasnya marah sambil meronta-ronta minta dilepaskan, tapi Azeem tak mudah mahu mengalah. Semakin kuat Dian meronta, semakin kejap pula genggaman tangannya.

“Dian, please. Tolonglah jangan buat Abang Azeem rasa lebih bersalah. Dian ikut Abang Azeem. Kita ke hospital!” balas Azeem tegas, tetap berusaha kerana dia tak mahu menangguhkannya. Tubuh Dian diarahkan untuk membuntutinya. Dian makin rasa marah bila mengetahui permintaannya langsung tak diambil endah.

“Kenapa Abang Azeem selalu layan Dian macam ni? Kenapa semua benda mesti nak kena ikut cara abang? Apa yang Dian nak langsung tak penting kan? Abang Azeem memang teruk!” tutur Dian dalam tangisan. Serentak dengan itu Azeem tersedar. Sekarang barulah dia tahu betapa tersiksanya hidup isterinya itu selama ini.

“Dian, Abang Azeem minta maaf. Abang tak sengaja.” tuturnya sebelum melonggarkan cengkaman di tangan Dian.

“Abang Azeem memang selalu macam ni. Tak habis-habis nak memaksa. Apa yang Dian nak Abang Azeem tak pernah nak tanya. Abang ingat Dian ni apa? Barang? Bila nak abang pegang, dah tak nak abang buang?” tuturnya menyatakan kekesalan hati sambil ditemani air mata yang tak mahu berhenti.

“Dian jangan cakap macam ni. Abang tahu abang salah. Dian boleh marah abang sebanyak mana yang Dian nak, tapi tolonglah jangan kejam pada diri sendiri.” balas Azeem yang juga telah terdera emosinya.

“Kejam? Abang Azeem kata Dian kejam? Siapa yang kejam pada siapa sebenarnya?”

“Satu isi dunia boleh tuduh Dian kejam, tapi bukan abang.” tuturnya sebelum menarik tangannya daripada genggaman Azeem. Azeem yang mendengar rasa kecil hati setelah menyedari kebenaran kata-kata si isteri. Dia mula hilang bicara, serentak suasana panas sebentar tadi berubah dingin dengan sendirinya.

“Kenapa Abang Azeem diam? Tak betul apa yang Dian cakap? Dian dah tak nak jumpa dengan abang dah, tapi kenapa abang datang lagi? Ini tempat istimewa Dian dengan ummi.”

“Ini tempat kami, tapi Abang Azeem dah rosakkan kenangan Dian dengan ummi dekat sini. Abang Azeem memang kejam. Dian nak Abang Azeem keluar dari sini. Pergi, pergi balik!” arahnya sebelum menyapu air mata dan menolak tubuh Azeem yang berada rapat dengannya. Esakan dan tangisnya jadi makin ketara kerana hatinya betul-betul rasa derita. Hati Azeem remuk tadkala mendengar pengakuan itu. Namun dia hanya mampu membisu, diam dan kaku.

“Dian kata pergi, pergilah…” ulangnya lagi sambil menolak tubuh Azeem ke arah pintu pula, serentak Azeem tersedar semula. Wajah Dian yang berlinangan air mata turut sama mendera hatinya.

“Dian tolonglah jangan buat Abang Azeem macam ni!” balasnya sedikit kasar kerana dia sudah mula hilang sabar sebelum kedua-dua belah tangan Dian diraih semula. Dia cuma mahu menebus kesalahan atas dosa-dosa yang pernah dilakukan tapi nampaknya niatnya itu langsung tak mendapat perhatian.

“Pergi…pergi balik tempat abang.” tegasnya semula, sambil berusaha untuk menolak tubuh Azeem lagi. Dia mahu Azeem segera angkat kaki dari situ kerana kepalanya sudah mula rasa berpusing dan pening. Tubuhnya makin tak selesa, langkahan kaki makin berat dan dia dapat merasakan dirinya semakin hilang semangat. Apa yang dia mahukan hanya rehat, tetapi kenapalah itupun susah sangat. Rintihnya sendiri.

“Dian tolong, tolonglah dengar cakap Abang Azeem. Tolong beri abang peluang untuk tebus segala kesalahan abang pada Dian, pada ummi. Abang Azeem janji, abang takkan ganggu hidup Dian lagi lepas ni.” balas Azeem sebelum menarik Dian rapat padanya. Dian mula rasa sakit hati dan benci. Kedegilan Azeem betul-betul mencabar kesabarannya.

“Dian kata tak nak, taknaklah! Kenapa susah sangat nak bercakap dengan Abang Azeem ni? Bahagian mana yang abang tak faham? Kan Dian dah cakap, ini hidup Dian, biarlah Dian buat pilihan sendiri. Kenapa Abang Azeem nak sibuk-sibuk? Baik abang pergi sebelum Dian betul-betul hilang sabar.” ugutnya pula setelah kata-katanya tadi seperti dipandang mudah oleh Azeem.

“Abang Azeem faham semuanya dan tak ada satu bahagian pun yang abang terlepas…”

“Ok, takpa. Kalau Dian tak nak ikut Abang Azeem takpa, abang dah tak nak paksa dah, tapi abang takkan tinggalkan Dian sorang-sorang dalam keadaan macam ni. Dian isteri abang jadi biar abang yang temankan Dian. Lagipun bukan jauh sangat kalau nak ulang-alik dari sini ke tempat kerja.” tuturnya sebelum memboloskan diri ke dalam rumah semula. Kepedihan yang terasa mula menunjukkan aksi malah lantai yang dipijak sudah terasa licin di bahagian tapak kaki. Serentak dia duduk sambil meneliti luka yang terjadi. Dian yang mendengar semakin sakit hati. Dia tak suka hidup begitu lagi, bersyarat dan perlu sentiasa mematuhi janji.

“Abang Azeem tak payah nak susah-susah sebab selama ni Dian tak pernah harapkan apa-apa daripada Abang Azeem. Dian tak perlukan abang dulu, Dianpun tak perlukan Abang Azeem sekarang dan sampai bila-bila Dian tetap tak perlukan Abang Azeem.”

“Dian taknak ikut Abang Azeem balik dan Dian tak suka abang ada dekat sini. Tolonglah jangan paksa Dian buat pilihan lagi. Dian dah muak, muak tahu tak?”

“Baik Abang Azeem balik sebelum Dian laporkan pada polis!” tegasnya sambil menuju ke arah pintu, tetap juga mengarahkan Azeem untuk pergi daripada situ setelah kering air matanya akibat bahang yang memanaskan seluruh anggota.

“Reportlah, Abang Azeem tak kisah. Biarlah polis datang sini, lepastu senang Abang Azeem terangkan semuanya. Bila dia tanya nanti, abang cakaplah pada dia yang Dian ni isteri abang. Dian lari daripada rumah lepastu Dian tak nak ikut abang balik.”

“Eloklah tu, lagi mudah kerja abang. Silap haribulan dia yang akan escort kita balik sampai depan rumah.” balasnya acuh tak acuh sebelum kembali memeriksa kecederaan di kaki, tak sedar jawapannya menyemarakkan bara yang telah terbakar sejak tadi di hati. Dian mendengus marah kerana dia betul-betul rasa tak puas hati dengan jawapan yang diberi.

“Abang Azeem memang teruk. Langsung tak pernah nak berubah. Ini yang Abang Azeem nak kan sebenarnya? Ini yang Abang Azeem nak baru Abang Azeem puas hati?”

“Abang Azeem boleh ambil apa yang Abang Azeem nak, lepastu pergi dari sini dan jangan pernah sesekali datang lagi, sebab Dian dah tak nak jumpa dengan Abang Azeem sampai bila-bila!” balas Dian marah sambil tangannya merungkai kasar butang baju kemeja yang dipakainya itu. Amarahnya sudah mencapai tahap gila sampai berombak-ombak dada menahan rasa, sedang pertimbangannya sudah hilang entah ke mana. Azeem yang melihatn terkejut, panas mukanya tadkala melihat gelagat Dian yang langsung tak dapat dijangka. Sepanas halilintar membelah langit yang kelabu bila sudah sampai waktu, begitulah kepanasan yang dirasainya waktu itu.

“Dian jangan!” tuturnya sebelum pantas mendapatkan tangan Dian untuk menghalangnya.

“Dian jangan Dian, jangan. Abang Azeem akan pergi, tapi tolonglah jangan buat macam ni. Abang janji abang pergi.” tuturnya lagi menginsafi keterlanjuran kata-katanya sebentar tadi. Perubahan diri Dian begitu ketara sampai dia tak dapat untuk meramalkan tindakannya. Kalaupun dia mahu, bukanlah dengan cara sebegitu.

“Kenapa Dian berubah jadi macam ni? Mana perginya Dian yang Abang Azeem kenal dulu?” tambahnya kesal setelah sedar dia seharusnya segera berundur daripada situ kerana Dian yang berada di hadapannya itu adalah Dian yang baru. Paling dikesali Dian hanya mengenalinya sebagai lelaki yang mahukan kehendaknya dipenuhi, bukan sebagai seorang suami yang minta dikasihi.

“Dian mana yang abang maksudkan? Dian yang mana? Dian yang sentiasa menurut dan melutut pada Abang Azeem dulu?”

“Oh, Dian yang tu, tapi tolonglah jangan cari, sebab dia dah lama mati.” tuturnya pasti.

“Dia dah mati pada hari ummi pergi.” tambahnya. Kenangan pada ummi kembali lagi dan hatinya mula terasa mati. Tanpa dipaksa, air matanya bergenangan semula. Serentak tubuhnya semakin rasa melayang-layang di awangan tanda kekuatan yang semakin-lama semakin berkurangan, malah batuknya mula menjadi-jadi, mendera dada dan telinga.

Wajah Azeem berubah. Dia sudah mati bicara tadkala terpandangkan titisan air mata jernih yang mengalir di kedua-dua belah pipi Dian. Ingin di disentuh wajah itu, tapi dia sedar seandainya ia berlaku, tindakannya itu pasti akan membuat hati Dian makin terluka.

Memang sukar untuk dia meninggalkan Dian, tapi permintaan isterinya itu tetap harus diutamakan. Perlahan-lahan genggaman tangannya dilepaskan kerana dia sudah mendapatkan jawapan. Mungkin bukan rezekinya mahu membawa Dian mendapatkan rawatan, tapi dia yakin Razif pasti mampu untuk menjayakan.

“Kalau itu yang Dian nak, Abang Azeem akan ikut. Abang Azeem minta maaf, Dian rehatlah. Abang pergi dulu, assalammualaikum.” ucapnya sayu sebelum meninggalkan Dian di situ.

Previous: Bab 58
Next: Bab 60

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.