Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 47

Tugas penantauan diteruskan lagi. Selesai mengiring Dian ke tempat kerja, dia kembali semula untuk mendapatkan keretanya yang ditinggalkan berhampiran dengan kedai makan Mak Andak dan dalam perjalanan pulang fikirannya melayang mengingati perbualannya bersama Udin beberapa hari sebelumnya.

 

Kereta dipakir di bahagian hadapan kedai dan dia masih menanti dengan sabar ketibaan Udin seperti mana yang telah dijanjikan. Dia terlalu ingin tahu tentang perihal Dian selama mereka tinggal berjauhan. Sudah penat dia berteka-teki selama ini dan jawapan pada segala persoalannya itu ada pada Udin, yang bakal ditemuinya sebentar nanti.

“Kenapa Dian boleh buta? Sejak bila? Masih ada peluang untuk dia sembuh? Apa rawatan yang boleh dibuat?”

“Perlu ke kau paksa dia kembali semula biarpun kau tahu dia dah tak perlukan kau lagi? Atau harus ke kau hormat kehendak dia dan membiarkan dia hidup sendiri seperti mana yang dia nak?” bisiknya sendiri sebelum muka diraub berkali-kali menggambarkan kekusutan hati.

Sakit rasanya benak bila soalan yang muncul tak pernah dapat dirungkaikan, berkumpul dan terperuk sepanjang masa. Seboleh-bolehnya dia mahu memberikan yang terbaik pada Dian setelah sekian lama tidak mempunyai kesempatan untuk melaksanakan.

Jika dia bersemuka dan bertanyakan sendiri hal tersebut dengan Dian, pasti Dian akan jadi tak selesa nanti. Paling membimbangkan Dian akan menghilangkan diri lagi dan jika itu terjadi, dia sememangnya akan menyalahkan diri sendiri. Azeem menghela nafas panjang sebelum dia bersandar lesu di situ. Kemunculan Udin yang baru keluar daripada kedai disambut penuh syukur kerana semua persoalan itu bakal terungkai sebentar saja lagi.

“Udin, abang kat sini.” sapanya sambil mengangkat tangan. Udin membalasnya kembali sebelum kedua-duanya memboloskan diri ke dalam perut kereta.

“Dah lama abang tunggu?” soal Udin pula.

“Tak adalah. Abang pun baru sampai. Kita cari tempat duduk dulu. Abang nak minta Udin ceritakan semuanya tentang Kak Dian, terutamanya tentang keadaan matanya tu.” tutur Azeem pula sebelum bergerak keluar dari situ.

“Ok. Tak ada masalah. Kita pergi kedai mamak yang ada dekat blok depan sana. Masa macam ni biasanya dah tak ramai sangat pelanggan. Dari sini abang jalan terus, nanti Udin tunjukkan arahnya.” tutur Udin memberikan cadangan.

“Tak kisahlah sebab abang baru lagi kat sini, tak biasa sangat.” balas Azeem sambil menuju ke tempat yang dicadangkan.

 

Suasana di kedai mamak memang agak tenang, malah keadaan kedai yang luas membolehkan mereka mencari tempat dengan senang. Mereka memilih untuk duduk di kerusi yang berada di bahagian luar kedai, supaya mendapat lebih privisi. Baru saja duduk, mereka telah didatangi oleh seorang pekerja warga asing, lengkap dengan pakaian uniformnya.

“Order sir.” tuturnya sebelum tercegat menantikan pesanan yang bakal dibuat. Salah satu sebab kenapa ramai yang memilih untuk mengunjungi kedai makan tersebut dan kedai-kedai makan yang seumpama dengannya. Faktor masa menunggu yang singkat kerana semuanya dilakukan secara cepat.

“Udin nak minum apa? ” soal Azeem kepada Udin terlebih dahulu.

“Teh o ais pun ok.” balasnya.

“Makan?” tambahnya lagi.

“Tak kot. Udin kenyang lagi. Kalau abang nak makan, abang makanlah.” jawapnya kerana tangki perutnya sudah penuh, dah tak ada tempat untuk dimuatkan lagi.

“Kalau macam tu, teh o ais dua.” pesannya sebelum pelayan tersebut kembali semula ke dapur.

“Ok, sekarang Udin ceritalah apa sebenarnya yang jadi pada Kak Dian? Kenapa dia boleh jadi macam tu? Sejak bila? Seingat abang masa kali terakhir kami jumpa, dia masih ok, tak ada apa-apa masalah. Abang betul-betul terkejut bila jumpa dia semula di KL Sentral minggu lepas. Dia dah tak boleh nampak langsung ke?” soalnya bertalu, sampai tak tahu mana yang perlu ditanyakan dulu kerana dia sangat perlukan penjelasan untuk semuanya itu.

“Ok, ok. Udin akan ceritakan semuanya.”

“Tentang mata Kak Dian tu, kami pun tak tahu banyak sangat sebenarnya. Kak Dian sendiripun macam tak suka nak cerita. Bila Udin tanya cepat je dia ubah topik, tapi Kak Dian ada cakap yang dia kena glaukoma.”

“Udin ada buat carian tentang penyakit tu, dan ambil tahu sikit, rupanya dah lama Kak Dian kena, tapi dia tak sedar agaknya. Tahupun bila dah teruk, itu yang jadi macam ni.” tuturnya menceritakan keadaan. Azeem tekun mendengarnya kerana dia tak mahu terlepas apa-apa.

“Baru beberapa bulan Kak Dian tak dapat tengok. Sebelum tu dia ok lagi, tapi Udin betul-betul hairan sebab Kak Dian macam dah sedia untuk jadi buta.”

“Maksud Udin?” soal Azeem cuba memahami apa yang terjadi.

“Sebenarnya Udin rasa dia dah tahu lama, cuma dia memang taknak bagitahu sesiapa. Buktinya awal-awal lagi dia dah pergi ke pusat orang cacat penglihatan dan terlibat dengan kursus-kursus yang dianjurkan di sana. Bila Udin tanya, Kak Dian kata dia nak tambah ilmu, tapi Udin rasa dia belajar untuk diri dia.”

“Kat situ jugaklah dia jumpa dengan Abang Saiful dengan Kak Ira, tuan punya pusat urutan yang dia kerja sekarang.” tambahnya lagi. Penerangannya terhenti seketika bila mereka didatangi semula oleh pelayan kedai tadi.

“Terima kasih.” ucap Azeem, sempat juga dia menyatakan penghargaan kepada pelayan tersebut.

“Udin ingat lagi, masa mula-mula dia kata yang dia dah tak boleh nampak kami, punyalah terkejut dibuatnya. Bersungguh-sungguh kami pujuk Kak Dian nak bawa dia jumpa dengan doktor untuk periksa, tapi dia tetap tak nak. Dia kata dah tak penting dah semua tu. Abang nak tahu tak sebab apa?” ucap Udin yang sudah mula bermuram durja. Kehidupan Kak Dian langsung tak dapat diduga kerana itulah lumrah dunia.

“Sebab apa?” soal Azeem ingin mengetahui punca Dian sanggup menanggung segala-galanya sendiri.

“Sebab dia kata ummi dia dah tak ada.” balas Udin. Dia tahu Kak Dian sangat menyayangi umminya itu. Dia sangat berterima kasih pada Kak Dian kerana telah mengajarnya makna kasih sayang yang utama, selepas kasih pada Allah dan Rasullullah. Ketaatan dan kepatuhan seorang anak kepada insan yang berkorban masa dan harta untuk membesarkan, kasih yang sebenar, kasih kepada kedua-dua orang tua. Azeem terdiam. Perasaannya terdera dan hatinya derita.

“Ya-Allah, ampunkanlah aku. Ampunkanlah segala dosa-dosa yang telah aku lakukan pada mereka.” bisik Azeem di dalam hati, setelah mengatahui punca segalanya terjadi. Dian hilang keinginan untuk melihat setelah ummi pergi dan yang paling mengguris perasaan, dialah punca perkara itu terjadi. Dia yang telah memisahkan Dian dengan ummi, sampai ummi terpaksa pergi sendiri, tanpa teman dan iringan dari insan-insan yang dikasihi.

“Maksud Udin, Kak Dian masih boleh disembuhkan?” tuturnya setelah kembali mendapat kekuatan. Dia dapat melihat ruang untuknya memberikan sedikit bantuan.

“Mungkin, tapi tak tahulah, sebab hanya Kak Dian yang tahu keadaan diri dia. Kalau kita bawa dia jumpa doktor barulah dapat pastikan, tapi itulah masalah yang paling besar, sebab Kak Dian tak nak. Takkan sampai nak paksa dia pulak. Kami tak sanggup nak buat macam tu, tak nak dia sedih.”

“Hari tu, adalah Udin tanya dengan dia, masa tu Kak Dian kata dia masih boleh nampak, tapi itupun sikit. Kak Dian kata dia masih boleh nampak cahaya, kalau tengok kita depan-depan macam ni memang susahlah sikit. Kalau nak tengok pun kena tengok dekat-dekat.” terangnya lagi. Hati Azeem mula menguntum harap. Harapan agar Dian dapat dipulihkan semula.

“Maksudnya dia masih ada peluang untuk sembuh?” balasnya mahukan kepastian.

“Udin tak berani nak jamin, sebab Udin bukan doktor, tapi daripada apa yang Udin baca, mungkin. Cara rawatan terakhir untuk pesakit glucoma yang kritikal biasanya melalui pembedahan, tapi macam yang Udin cakap tadilah, Udin bukan doktor. Kalau kita nak tahu, kita kena bawa Kak Dian buat pemeriksaan dulu.” balasnya.

“Udin kesian sangat dengan Kak Dian tu. Dah macam-macam perkara jadi pada dia. Dulu masa dia mula sampai sini, masa tu Udin kecik lagi, baru masuk darjah satu, Kak Dian darjah 2. Udin rapat dengan dia sebab dialah yang jaga Udin kat sekolah. Bila balik kami naik bas sama-sama. Kak Dian tu dah macam kakak kandung yang Udin tak pernah ada.”

“Abang tahu tak yang Kak Dian tu pandai sangat masa sekolah. Dia tak masuk kelas tambahan berbayar macam pelajar lain, tapi dia tetap dapat kalahkan semua pelajar setiap kali waktu peperiksaan. Udin pun apa lagi, tumpanglah sekaki, bangga bila setiap kali budak-budak cerita tentang dia.”

“Udin cakap yang itu kakak Udin, kawan-kawan Udin semuanya jelous bila tahu. Seronok betul rasanya masa tu. Ada kakak yang famous kat sekolah, sampai ada yang datang minta tunjuk ajar daripada dia di rumah.” tutur Udin lagi. Azeem yang mendengar hanya mampu tersenyum.

“Perkara yang bagusnya tentang Kak Dian ni, dia tak pernah kata tak, semua yang dia tahu mesti dia akan kongsi tak kisahlah dengan siapa pun. Selagi tak faham, selagi ituah dia cuba untuk ringkaskan cara mengajar sehinggalah anak-anak muridnya tu faham. Agaknya Kak Dian memang dilahirkan untuk jadi professor, tulah sebabnya otaknya bergeliga.” tutur Udin sambil ketawa. Seronoknya punya saudara yang selalu menunjuk dan memandu bila perlu. Terasa diri mendapat semangat yang berganda, berbeza keadaannya bila hidup tunggal dan berseorangan. Azeem turut sama gembira mendengarnya.

“Daripada tadi Udin terfikir nak tanya abang satu soalan ni, tapi macam malu pulak nak tanya, tapi tak best pulak kalau tak tanya.” tuturnya masih teragak-agak.

“Udin nak tanya apa? Udin tanya lah.” balas Azeem setelah mengetahui situasi yang Udin hadapi. Udin belum begitu mesra dan masih cuba untuk menjaga batasannya kerana mereka baru berjumpa.

“Udin nak sangat tahu, kenapa abang biar Kak Dian sorang-sorang macam ni? Abang kata, abang suami dia, tapi kenapa abang tak jaga dia? Lagi satu, kenapa abang takut sangat nak jumpa dengan dia?” soal Udin dengan nada kesal setelah mendapat keizinan. Dia juga mula jadi ingin tahu, kenapa hidup Kak Dian terpinggir begitu. Azeem tertunduk mendengarnya bila menyedari dia telah terlalu banyak melukai hati Dian sepanjang tempoh waktu mereka bersama.

“Abang dah banyak buat salah pada dia, tapi abang betul-betul dah menyesal sekarang.” balas Azeem perlahan.

“Abang tahu, dia mesti dah benci sangat dengan abang.” tambahnya lagi.

“Macam mana abang tahu yang dia dah bencikan abang? Kak Dian bukan jenis orang yang macam tu, marah dan benci orang suka-suka hati. Kalau dia marahpun, sekejap je biasanya. Lepastu nanti dia lupalah. Dia memang jenis yang tak simpan lama, Udin kenal sangat dengan dia. Hati dia baik. Abang boleh tengok sendiri kan? Dalam keadaan macam tu pun dia masih boleh senyum setiap kali.” wajah Dian yang sentiasa dihiasi dengan senyuman terbayang di mata. Serentak dia mengangguk, membenarkan kata-kata Udin itu.

“Kalau abang takut, Udin boleh temankan abang jumpa dengan Kak Dian. Abang nak?” tambahnya lagi serentak Azeem menggelengkan kepala kerana dia masih belum bersedia.

“Tak, tak, tak. Bukan sekarang. Abang tak yakin dia nak jumpa dengan abang. Abang taknak buat dia makin sedih.” pantas Azeem membalas.

“Kalau macam tu takpa, tapi Udin ada rasa ralat sikit sekarang ni.” tuturnya kecewa.

“Kenapa?” soal Azeem pula.

“Minggu lepas, pemilik kedai ada datang. Dia kata kami kena cari tempat baru.” balasnya.

“Tapi kenapa?” soal Azeem lagi.

“Masalah keluarga, biasalah tentang harta. Berebut adik-beradik sebab semua nak jadi pemilik. Mak dengan ayah tengah fikir nak cari kedai baru untuk disewa, tapi tu tak jadi masalah sangat, cuma kesian kat Kak Dian. Maksudnya dia kena pindah keluar nanti. Udin tahu yang dia sayang sangat pada bilik tu sebab kat situlah semua kenangan dia dengan arwah ummi disimpan.” tutur Udin perlahan.

“Udin ingat lagi, masa dia mula tak nampak dulu, mak adalah ajak dia tinggal sekali, tapi macam biasalah, dia berkeras tak nak. Kita risaukan dia tinggal sorang-sorang kat sini, tangga tu kan tinggi, takutlah jadi apa-apa pada dia. Semuanya sebab dia sayang nak tinggalkan bilik tu.”

“Kami tak bagitahu lagi tentang hal kedai pada dia, takut dia sedih. Udin tak sanggup nak cakap, mesti mak lah yang kena bagitahu nanti.” tambahnya lagi sebelum menjamah air yang terhidang, membasahkan tekak yang sudah mula kekeringan. Azeem turut simpati mendengarnya sebelum dia mula dipalit perasaan bimbang. Kepalanya ligat memikirkan jalan bagi masalah yang sedang berlaku kerana sehabis daya dia ingin membantu.

“Udin ada nombor telefon pemilik kedai?” soalnya seketika kemudian setelah mengenalpasti cara terbaik yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Ada rasanya. Abang nak buat apa?” soalnya kehairanan.

“Udin bagi abang. Biar abang tengok apa yang abang boleh buat.” balasnya sebelum mencapai telefon bimbit.

“Iya la, tapi abang nak buat apa?”

“Nantilah abang cuba apa yang termampu.” balasnya ringkas. Udin hanya menurut kerana dia sendiri tak dapat mengagak apa yang Azeem ingin lakukan.

“Satu perkara lagi, boleh Udin tolong tunjukkan pada abang kat mana pusara ummi? Abang nak sangat jenguk ummi. Abang rasa bersalah sebab tak dapat hantar ummi pergi dulu.” tuturnya perlahan dan Udin segera mengangguk membenarkan.

Previous: 46/edit
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.