Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
7,994
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

KEADAAN Hawa hari ini jauh lebih baik daripada semalam. Hanya separuh wajah dia bengkaknya masih belum surut. Masih terasa kembung. Hujung bibirnya sedikit pecah. Lebam-lebam di seluruh tubuh dia juga kian memudar.


Hari ini Hawa memulakan kerjanya semula setelah sekian lama terbaring tanpa menerima sebarang rawatan. Emosinya sendiri yang menjadi pengubat segala kesakitannya yang dia tanggung. Puas diserap semua unsur-unsur positif supaya dapat bertahan lebih lama di sini.  


Hasilnya, Hawa sudah duduk bersama mereka semula. Duduk dia tiada senangnya apabila perasan diri menjadi tumpuan mereka. Ada beberapa pasang mata mencuri-curi pandang ke arah dia. Hanya dia selesa diamkan diri. Tidak beramah mesra seperti selalu.


“Kita makan dulu.” Suara Dila memecah kesunyian. Mengusir semua rasa canggung.


Kerlingan Hawa singgah pada jam tergantung di dinding. Sedang sibuk mencari mangsa, tak perasan waktu makan tengahari sudah pun tiba. Perut pun tak terasa lapar dek masa yang berlalu dengan pantas.


Hawa bangun, mengekori rapat Dila dari belakang. Tak ada selera sebenarnya. Tetapi bila mengenangkan dia bakal sendirian, terus dimatikan niat nak duduk di dalam bilik kerja.


Sampai saja di ruangan makan, meja sudah penuh. Ada dua kekosongan. Satu di sebelah Paan. Satu lagi bersebelahan dengan Sean. Langkah Hawa terbata. Tidak tahu di mana dia perlu duduk.


Nak duduk dekat dengan Sean, dia belum bersedia mahu bersemuka dengan lelaki itu. Belum ada kekuatan mahu memohon maaf dengannya gara-gara kejadian tempoh hari.


Duduk dengan Paan pula seperti ada tembok besar di antara mereka. Paan lebih selesa diamkan diri. Bercakap pun sepatah-patah. Itupun kalau Paan ada hati nak bersembang.


“Kau duduk sebelah Sean…Aku duduk sebelah Paan.” Dila tahu apa ada dalam fikiran Hawa. Jadi dia yang buat keputusan tanpa bertanya.


Tak sempat nak membantah, Dila sudah mengambil tempat bersebelahan dengan Paan. Nak tak nak terpaksa Hawa duduk dengan Sean.


Kepala Hawa tunduk merenung hidangan di depan mata. Benar kata Dila. Menu mereka sudah ada perubahan besar. Begini lebih baik daripada hidangan yang sering meloyakan anak tekak.


Namun selera Hawa mati. Nasi berlaukkan kicap gagal menggamit seleranya. Dia lebih selesa merenung dan menguis nasinya. Terbayangkan ayah dan emak nun jauh di sana. Makanan inilah yang sering menjadi santapan mereka ketika dia masih dibangku sekolah. Ayah dan emak sanggup catu makanan demi melihat anak-anak berjaya.


Balasannya, Hawa sedang mengecewakan mereka. Hawa gagal menjadi orang yang berjaya dan berguna kepada semua seperti mereka impikan. Bayangkan mereka saja Hawa menjadi emosi. Hujung jari dia naik menyeka tubir mata.


“Makanlah Hawa…Nasi tu pun tengah menangis sebab kau tak nak makan dia.”


Tak perlu menoleh. Hawa kenal siapa pemilik suara tersebut.


Paan dan Dila angkat muka serentak. Kemudian tunduk semula. Hanya membiarkan Sean cuba memujuk Hawa.


“Lapar hanya akan melemahkan kau…Kalau kau nak diet pun, tak bagus. Sebab kau dah terlalu kurus. Lelaki tak suka perempuan kurus.”


Hawa tak ada hati nak ketawa dengar lawak Sean. Bagi dia, tak kahwin pun tak mengapa. Dia sudah fikir untuk menghabiskan sisa hidup bersama orang tuanya. Nak berbakti kepada mereka selagi nyawa dikandung badan.


Pinggan sebelah Sean jeling. Kuantitinya masih sama sejak dari tadi. Hanya kedudukan nasi sahaja sudah merata setelah dikuis tanpa henti. Ada yang sudah tertumpah di tepi pinggan.


Sean mengeluh panjang. Dia mengutip sisa-sisa nasi yang jatuh di atas meja lalu disua ke dalam mulut.


“Aku tak suka membazir walaupun sebutir nasi.” Sean bersuara bila ada mata yang merenung dia tak berkedip.


“Orang tua aku ajar supaya hargai masakan orang lain. Sedap atau tak, belakang cerita.” Kata Sean lagi.


Hawa masih pegun. Begitu juga Paan dan Dila.


“Kau nak dengar sesuatu?”


Tak! Hawa tak nak dengar apa-apa. Itu kata hati dia. Tetapi akalnya memberi respon sebaliknya. Kepala diangguk sekali. Kurang daripada sesaat memberi persetujuan, Sean mencari pinggir telinga dia tanpa sempat membina jarak di antara mereka berdua.


“Kita lari!” Bisik Sean serius.


Sisi wajah Sean dicari. Hawa memandang Sean setengah percaya. Baru beberapa hari lepas Sean katakan sudah berputus asa untuk keluar dari sini. Sean akan menghabiskan sisa hidupnya di sini. Sekelip mata Sean berubah. Hawa nampak Sean nekad. Ada kesungguhan di mata lelaki itu.


“Aku nak gembirakan hati kau, Hawa…Kau gembira, aku pun tumpang gembira.”


Sean mengarut!


Itu menyeksa diri namanya. Dan dia tak perlukan simpati sesiapa. Apa yang dia perlukan adalah sedikit pertolongan supaya dapat melarikan diri memandangkan dia tidak tahu selok belok kawasan ini.


“Aku tak main-main, Hawa…Aku dah atur rancangan untuk bawa kau keluar dari sini.” Tiada senyuman di wajah Sean ketika berbalas pandangan dengan Hawa yang nampak terkejut.


“Sean! Kau dah gila?” Dila bersuara perlahan namun keras.


Walaupun suara Sean itu separuh berbisik, dia masih mampu dengar. Jarak kedudukan mereka pun bukanlah jauh sangat. Dan dia yakin Paan juga dengar. Tapi Paan selalu mengambil langkah berdiam diri tanpa mencelah.


“Kalau kau kena tangkap lagi macam mana? Aku rasa kali ni kau akan mati terus sebab selalu buat hal.” Berkerut-kerut muka Dila memberi nasihat. Harap-harap Sean sedar apa yang lelaki itu telah lakukan beberapa hari lepas.


Paan tunduk. Selera dia mati. Sudu digenggam kuat. Hampir saja mencederakan tangan dia sendiri.


“Makan…Kumpul semula tenaga kau yang hilang.” Sean kerling nasi Hawa. Kemudian dia mencari semula wajah bingung gadis itu. Sengaja membiarkan apa yang dikatakan oleh Dila berlalu.


“Aku janji akan bawa kau keluar dari sini.” Tidak henti-henti Sean memberi harapan.


Hati lelaki Sean tersentuh melihat Hawa menangis tempoh hari. Air mata itu menghiris hatinya kerana gagal menghulurkan bantuan. Tiga hari tiga malam dia tidur bertemankan raut wajah sedih milik Hawa. Dan hari ini dia nekad. Hawa perlu dibantu.


“Tak perlu Sean! Aku sendiri akan tolong Hawa.” Paan bersuara setelah sekian lama menjadi pendengar. Egonya tercalar.


Sean ketawa sinis. Luka dia jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan Paan. Jadi, siapa lebih jantan? Dan dia yakin Paan tidak akan mampu untuk pastikan Hawa selamat keluar dari sini.


“Kau tak pernah lari…Jadi kau tak tahu jalan keluar, Paan.” Kata Sean tanpa menoleh. Mata dia masih terpaku pada Hawa. Menagih lampu hijau untuk menjayakan rancangan yang telah dia aturkan dalam masa beberapa hari ini.


Paan mengetap gigi kuat kerana gagal menyangkal kata-kata Sean. Dia belum pernah ada rekod melarikan diri dari sini. Sean sudah pecah rekod. Sudah berkali-kali terlepas menghirup udara luar. Rekod terbaik Sean, lelaki itu pernah hilang selama satu hari sebelum tertangkap semula.


“Kau dengar Hawa? Aku janji akan bawa kau jumpa mak dan ayah kau semula.” Tumpuan Sean berbalik pada Hawa. Menanti jawapan gadis itu setelah menabur segala harapan.


Tanpa sedar, bibir Hawa melukis senyuman biarpun payah. Ada rasa sakit di hujung bibirnya yang pecah. Namun sanggup ditahan rasa sakit itu. Dia perlu memberi senyuman terbaik kepada Sean kerana lelaki itu sanggup menggadai nyawa demi dia.


“Dah janji, kau jangan tarik balik. Buruk siku nanti!”


Sean turut tersenyum.


“Aku bukan orang munafik, Hawa.”


Ada rasa kagum. Sean itu pengetahuannya luas biarpun berbeza agama. Percakapan Sean juga matang. Itu yang membuatkan dia senang dengan Sean.


“Terima kasih, Sean!” Tiada apa yang dapat dia balas melainkan menzahir betapa gembiranya dia. Hanya tuhan saja mampu membalas pertolongan Sean.


“Aku nak makan…Aku lapar.” Bersama senyuman yang belum surut, Hawa menikmati makan tengaharinya. Licin. Penuh berselera.


“Good girl.” Puji Sean bila karakter Hawa itu berubah seratus peratus. Tiada lagi aura kesedihan berlegar-legar di sekitarnya.


Sean kembali pandang depan. Ketika itu pandangan dia bertemu dengan Paan. Tajam sorotan lelaki itu. Dan mata dia turun pada bibir Paan yang sedang bergerak-gerak. Dia cukup faham bahasa senyap yang dilancarkan oleh Paan.


‘Kau jangan bagi Hawa harapan palsu! Dan dia tak akan suka pada kau.’


Lebih kurang beginilah penyampaian bahasa senyap Paan. Dan sedikit pun Sean tidak merasa tergugat. Dia yakin dengan dirinya. Dan dia yakin satu hari nanti Hawa akan membalas jasanya!

Previous: Bab 5
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.