Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
7,073
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

SELURUH tubuh merasa kebas. Tidak mampu digerakkan. Sedikit pergerakkan menyakitkan seluruh tubuhnya. Terasa ada tulang-tulang yang retak memerlukan penyambungan semula.


Dada syiling menjadi tatapan Hawa sejak beberapa jam yang lalu. Puas memujuk diri untuk lelapkan mata supaya dapat pulihkan semula tenaganya yang hilang. Namun mata dia enggan memberi kerjasama. Mata dia tidak mahu mengatup. Masih mahu melihat dunia.


“Kenapa kau degil, Hawa?”


Leteran Dila tiada kesudahannya. Berdendang tanpa henti sejak dari tadi.


“Nasib baik kau tak kena paksa layan nafsu dia orang lagi.”


Ya. Dila benar. Dia bersyukur kerana tidak dipaksa melayani nafsu mereka seperti tempoh hari gara-gara keputusan nekad yang dia ambil tanpa berfikir panjang.


“Banyakkan bersabar Hawa…Jangan buat keputusan melulu. Semua yang ada dekat sini nak bebas sama macam kau.”


Hawa tahu niat niat mereka semua. Cumanya, kesabaran dia sudah mengering. Terlalu nipis kesabaran dia sehingga sanggup buat keputusan gila dengan melarikan diri.


“Tolong sayang nyawa kau, Hawa. Nyawa bukan boleh dibeli dekat mana-mana kedai runcit.” Mengendur suara Dila. Marah-marah pun, tak berguna. Benda sudah pun terjadi.


Tangan Dila jatuh pada lengan Hawa lalu diusap perlahan. Simpati melihat keadaan Hawa yang lemah. Dua kali usap, dia terdengar suara orang mendesis. Automatik dia berhenti mengusap. Mata terus naik mencari tubuh yang terbaring kaku di depan mata.


Wajarlah Hawa merasakan sakit apabila disentuh. Dia dikerjakan separuh mati ketika tertangkap mahu menyeberangi sungai yang menjadi sempadan antara Thailand dan Mynmar. Pipi dia bengkak. Tulang pipi dan tubuh dia lebam-lebam. Sakitnya sampaikan dia tak mampu nak gerakkan diri.  


Mujur kemunculan Sean secara tiba-tiba mengubah sasaran mereka. Sean dikerjakan di depan matanya sendiri. Sayu hati Hawa melihat Sean terbaring merengkok di atas tanah menahan setiap sepak terajang mereka. Tiada suara erangan mahupun jeritan kesakitan daripadanya.


Hampir-hampir saja Hawa menjerit bagi menghalang mereka terus-terusan memukul Sean. Ketika itu muncul beberapa orang lelaki berpakaian askar menghampiri mereka lalu membisikkan sesuatu pada salah seorang dari mereka yang sedang mendera Sean yang sudah nyawa-nyawa ikan itu.


Dengan satu arahan saja, mereka semua berhenti. Tubuh Sean yang lemah diheret kembali ke markas. Termasuk dirinya yang terbaring kaku meratapi nasib. Jauh di relung hati, dia berdoa semoga dapat membebaskan diri satu hari nanti. Hanya itu harapan dia ada ketika ini.


Mulai hari ini, Hawa akan tanam benih-benih kesabaran. Biar merebak semua kesabaran dia di seluruh tubuh. Dia akan sabar menanti hari keramat tersebut. Dan dia percaya, berkat kesabaran dan doa pasti akan membuahkan hasil. Akan dia rangka rancangan serapi yang mungkin supaya tidak tertangkap buat kali kedua.


Perlahan-lahan Hawa menoleh.


“Sean macam mana?”


Sangkaan Hawa sentiasa meleset. Dia fikir Sean itu memang mahu melarikan diri sama persis dirinya. Siapa sangka rupanya kemunculan sean demi menyelamatkan diri dia dikerjakan mereka semua. Sean rela tubuhnya disakiti bagi pihak dia.


“Nasib baik dia sedar kau hilang. Kalau tak, aku rasa kau dah mati sekarang ni.”


Dila masih belum puas berleter. Sengaja nak menjemput rasa serba-salah dalam diri Hawa kerana menyusahkan banyak pihak. Lebih-lebih lagi Sean. Mujur Sean masih mahu berbual-bual dengan dia. Risau juga sekiranya lelaki itu segaja mengunci mulut.


Tidak hanya Hawa yang risau, Sean juga begitu. Baru tadi Paan bertanyakan keadaan Hawa bagi pihak lelaki itu. Dan apa mampu Dila katakan, mereka berdua itu saling memikirkan antara satu sama lain.


“Dia okey…Masih boleh bercakap. Masih sedar dia ada dekat mana.”


Sindiran Dila disambut dengan senyuman tipis. Tak hairan dengan kemarahan Dila yang belum surut. Asalkan tahu keadaan Sean, itu sudah memadai untuk dia menarik nafas lega. Nanti dia sendiri akan berjumpa dengan Sean untuk meminta maaf.


Perlahan-lahan mata Hawa mengatup. Baru sekarang dia rasa mengantuk. Terima kasih pada leteran Dila yang menjadi dodoian dia. Buat kali pertamanya dia lupakan dunia buat seketika. Dia hanya mahu mimpi yang indah-indah.


 


PINTU ditutup dengan penuh berhati-hati. Baru saja dia pusingkan badan, ada bayang yang sudah menanti. Hampir-hampir dia menjerit jika bayang tersebut tidak memberi isyarat supaya menyuruh dia diam.


“Dia macam mana?” Separuh berbisik suara Sean. Mata menjeling sekilas pintu yang menempatkan Hawa. Kemudian mata dia meliar sekeliling.


“Macam tu lah.”


Jawapan Dila tak berapa memuaskan. Sean memerlukan jawapan yang jelas supaya usaha dia ke sini berbaloi.


“Kau buat apa dekat sini? Kalau dia orang nampak, mati kau!” Dila jegil mata. Dengan keadaan Sean begini, Dila yakin nyawa Sean bakal melayang jika dibelasah oleh mereka semua sekali lagi.


“Hawa buat apa?” Leteran Dila diabaikan.


“Dia tidur.” Jawab Dila pendek.


Ada kelegaan pada wajah Sean.


“Kau tak pernah rapat dengan mana-mana perempuan dekat sini.” Mengecil sepasang mata Dila.


Beberapa hari memerhatikan Sean, dia perasan lelaki ini hanya berminat bersembang dengan Hawa. Sedangkan bukan Hawa saja penghuni perempuan. Ada ramai lagi.


“Bagi dia.” Apa pun soalan dilontarkan Dila, dia mengelak. Satu tiub kecil bewarna putih dihulurkan.


“Sapu dekat luka-luka dia. Tak elok biarkan luka dia tanpa dirawat.” Kejadian Hawa ditampar berkali-kali datang menyapa.


Tadi puas Sean merayu kepada salah seorang dari pengawal memberikan ubat kepadanya. Awalnya pengawal tersebut enggan. Setelah meminta maaf dan bermati-matian merayu, barulah kemahuan dia dipenuhi.


“Luka kau?” Mata Dila menilik seluruh tubuh Sean. Pandangan dia terhenti pada wajah Sean. Luka lama belum pun pulih, Sean sudah menempah peta baru di wajah.


“Aku dah biasa.” Dia lebih risaukan keadaan Hawa yang belum biasakan diri di sini.


“Aku syak kau suka Hawa.” Dila membuat rumusan daripada tindak-tanduk Sean.


Sean pandang Dila lama sebelum dia buka mulut.


“Aku nak dia sihat semula. Aku nak tengok dia senyum.” Itu permintaan dia. Sejak hari pertama jejak kaki di sini, belum pernah dia melihat senyuman Hawa.


“Memang tak salah…Kau sukakan Hawa.” Tiub kecil di tangan Sean dirampas lalu masuk semula ke dalam bilik Hawa.


Perlahan-lahan Sean mengukir senyuman tipis. Dia tahu apa yang akan mengembirakan hati Hawa. Dia akan buat Hawa gembira tak kira apa cara sekali pun. Itu janji dia.


Cepat-cepat Sean angkat kaki sebelum kedatangan dia disedari mereka semua. Lagipun dia sudah berjanji untuk turun makan bersama Paan setelah selesai memberi ubat kepada Dila.


“Aku rasa, aku dah jatuh cinta Sean.”


Suapan Sean terhenti. Mata naik mencari Paan. Ada senyuman di wajahnya.


“Dengan siapa? Dila?” Sean menebak. Dia meneruskan suapan yang tergendala gara-gara luahan hati Paan secara tiba-tiba itu.


Ada ketawa halus yang menyusul. Ketawa yang berjaya membuatkan Sean menjeling Paan. Makanan Paan pun belum terusik. Wajah bersinar Paan menggambarkan lelaki itu sedang angau.


Bagi Sean, angau Paan itu tidak kena tempatnya. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk jatuh cinta. Itu hanya akan merumitkan keadaan.


“Kau rasa dia akan suka aku?”


Sean tiada jawapan untuk soalan Paan. Sepatutnya soalan itu diajukan kepada empunya badan terus. Biar semua soalan pelik-pelik Paan terjawab.


“Tapi aku rasa dia tak berminat dengan mana-mana lelaki. Cara dia pandang semua tak lebih daripada seorang kawan.” Paan berhujah dari penilaian mata dia. Setiap gerak-gerinya menarik perhatian jiwa lelakinya.


“Tapi hati dia kau boleh nampak?” Soal Sean setelah selesai makan. Barulah dia berikan perhatian kepada Paan.


“Orang perempuan ni pandai sorokkan hati dia orang. Kau kena berani luahkan. Kalau tak…Sampai bila-bila dia tak akan tahu.” Cawan terisi air kosong dibawa rapat ke bibir. Dia perlu cepat. Sebentar nanti orang-orang sindiket akan datang untuk mengarah mereka semua bekerja semula.


Paan angkat muka. Tanpa sedar dia tersenyum. Separuh hatinya yang hilang tadi sudah kembali bersama harapan baru.


“Kau tak rasa Hawa tu lain dari yang lain? Hati aku tertarik sejak nampak dia.”


Hampir tersembur air di dalam mulut Sean. Cawan plastik dihempas kuat atas meja. Bunyi yang terhasil berjaya meraih mata lain. Sesaat memandang, mereka semua mula buat hal masing-masing. Hanya Sean yang belum mengalihkan pandangan. Tajam dia merenung Paan.


“Aku ingat kau suka Dila.” Kata Sean dengan muka berkerut teruk. Tidak menjangkakan langsung hati Paan tertarik pada Hawa.


“Aku suka Hawa.” Tanpa segan silu Paan mengaku.


Cawan digenggam kuat. Mujur bukan cawan kaca. Jika tidak, Sean bakal melukakan telapak tangannya pula.


“Hati kau yakin suka dia? Bukan orang lain?" Sean belum puas hati.


Paan rapatkan badan ke meja. Muka dia juga serius.


“Aku memang suka Hawa. Aku tahu apa hati aku nak.” Bisik Paan.


“Jadi kau akan mati, Paan!”


Tergamam Paan mendengar respon Sean. Dua ke tiga kali dia meneguk liur sendiri. Terasa payau.

Previous: Bab 4
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.