“Lelaki
impian?” Dahi Leya sudah mula berkerut. Entah apa yang merasuk Erina hingga
bertanyakan soalan yang tidak pernah singgah di otaknya.
“Kau dah gatal
nak menikah ke?”
Erina mula
menjegilkan mata bila pertanyaannya tidak mendapat balasan, malah Leya
menyoalnya kembali.
Hisy, payah
sungguh si Leya ni kalau bercakap bab-bab lelaki. Bukan tak ada yang nak dekat,
cuma Leya sahaja yang langsung tidak menghiraukan lelaki-lelaki yang mahu
berkawan dengannya.
“Jawab ajelah.
Payahlah kau ni. Takkan kau tak ada ciri-ciri lelaki yang kau suka?”
“Malas nak
fikir. Penting ke?” Sahut Leya acuh tak acuh.
Erina mula
mencebik. Nampak sangat Leya tidak pernah ambil port tentang hal-hal lelaki. Sadis sungguh, sedangkan kalau ditanya
kepada teman-teman lain, mudah saja dia mendapat jawapan.
“Menyesal aku
tanya. Kalau aku kan Leya, aku suka lelaki yang handsome, romantic, yang memahami aku dan yang penting berkaca
mata…” Dengan penuh teruja, Erina menyatakan ciri-ciri lelaki idamannya. Leya
yang pada mulanya hanya berkerut dahi mendengar tetapi apabila melihat Erina
yang sedang memejamkan mata seperti sedang membayangkan lelaki idamannya
membuat Leya tidak dapat menahan rasa ingin ketawa. Meremang bulu romanya bila
melihat Erina dengan wajah begitu.
“Hampeh punya member. Aku bukan main baik
lagi duk membayangkan prince charming
aku, boleh pulak kau bantai gelak sampai bergegar tahi telinga aku…”
“Sorry, Rin. Aku tak tahan sangat, serius
rasa meremang bulu roma aku tengok muka gatal kau. Menakutkan…”
Erina terus
menampar lengan Leya yang masih belum berhenti ketawa. Geram sungguh apabila
dipermainkan sahabatnya.
“At least aku ada juga ciri-ciri lelaki
yang aku suka tak macam kau, hati daun
kering…”
Leya hanya
tayang sengih. Muncung Erina rasanya kalau diikat boleh buat sangkut baju.
Entah apalah yang seronoknya bercakap tentang lelaki idaman. Dalam umur yang
masih mentah macam ni, dah layak ke memasang impian tentang ciri-ciri lelaki
idaman?
“Rin, kau
sedar tak kita ni baru tujuh belas tahun? Tak sesuai kot. Apa kata kita discuss tentang pelajaran. SPM dah dekat
ni. Takut nanti kantoi aje. Kau tak apalah kalau kantoi pun sebab kau memang
dah simpan angan-angan nak menikah muda, tapi aku ni tak nak weh.…”
“Cis, kau
ingat aku dah merenyam sangat nak menikah? Amboi, kau kalau mengutuk aku memang
tak agak….”
Terukir
senyuman di bibir Leya tatkala mengimbau kenangan di ketika itu. Dalam tidak
sedar, sudah enam tahun ia berlalu. Kenangan indahnya punya sahabat yang
sanggup bersamanya tak kira dalam apapun keadaan. Betapa bertuahnya dia kerana
mengenali seorang yang bernama Erina. Seorang sahabat yang amat dihargai dalam
hidupnya. Insan yang paling dekat di hati selain uminya.
Setiap kali
mengimbau kenangan antara dia dan Erina, pasti bibirnya akan mengukir senyuman.
Bukan sedikit kenangan yang mereka ciptakan bersama tapi saat ini, semua
kenangan itu bagaikan sedang menghiris hatinya. Sungguh dia tidak menduga walau
sedikit pun yang akhirnya hatinya dilukai oleh sahabatnya sendiri. Insan yang
paling dia percaya.
Leya memandang
tasik yang beriak tenang di depannya. Meskipun matahari sudah mula memancar
terik, namun dia tidak peduli. Peritnya cahaya mentari tidak mampu menandingi
keperitan luka di hatinya. Bukan dia tidak perasan akan pandangan serta
jelingan orang sekelilingnya bila memandang dia yang dibaluti pakaian pengantin
duduk sendirian di situ. Mungkin pelik bagi pandangan mereka, namun dia sudah
tidak mahu mempedulikan semua itu. Biarlah orang sekelilingnya memandangnya
pelik. Walau dilabel kurang siuman pun dia sudah tidak peduli lagi. Di saat
ini, dia hanya ingin mencari sedikit kedamaian untuk meredakan sedikit keperitan
luka di hatinya.
Bukan mudah
untuk dia berdepan dengan sebuah hakikat yang begitu melukakan. Dia berharap
semuanya hanya sebuah mimpi yang akan hilang apabila dia terjaga dari lena
namun kenyataannya semuanya adalah realiti, sebuah hakikat yang perlu dia
terima. Kesakitan dan kepedihan yang dirasainya juga adalah benar, bukan juga
mimpi.
Hari yang
sepatutnya menjadi hari bahagia buat dia. Hari yang seharusnya dia diraikan.
Hari yang sepatutnya melakar sejarah baru dalam hidupnya, namun sebaliknya
melakar kenangan pahit dan melukakan.
Kerana sudah tidak sanggup lagi untuk berdepan dengan sebuah
hakikat yang benar-benar melukakan itu, dia terus meninggalkan majlis yang
sedang berlangsung di rumahnya dan membawa diri hingga ke sini. Tidak mungkin untuk
dia terus berpura-pura kuat dan menyaksikan lelaki yang dicintainya melafazkan
akad untuk sahabatnya sendiri. Apa yang sedang berlaku terlalu menyakitkan.
Kesakitannya terasa berganda kerana yang mengkhianatinya bukan orang lain, tapi
sahabat dan kekasihnya sendiri. Berkali-kali dia bertanya pada diri sendiri,
kesalahan apakah yang telah dilakukan hingga mereka sanggup mengkhianatinya.