“Maafkan
aku, Leya. Kau pukullah aku. Aku sanggup tapi tolong maafkan aku…”
Esakan
dan rayuan Erina membawa Leya kembali dalam realiti. Dia masih tergamam dengan
sebuah hakikat yang baru terbongkar.
“Kenapa,
Rin? Kau sahabat aku. Sanggup kau tikam aku dari belakang. Apa dosa aku pada
kau Rin?”Berkali-kali dia menidakkan kebenaran yang sudah tersingkap namun
akhirnya dia kecewa sendiri. Hatinya sakit kerana semuanya adalah kenyataan.
Sahabatnya berselingkuh dengan lelaki yang dicintai. Lelaki yang akan menjadi
suaminya dalam beberapa jam nanti. Oh Tuhan, dugaan apakah ini?
“Sejak
bila Rin?” Dalam sendu dia melontarkan pertanyaan. Dia ingin tahu bilakah
semuanya bermula sedangkan selama ini, keduanya seperti biasa pada pandangannya.
Terlalu pandai mereka berlakon hingga dia sendiri tidak menyedarinya.
“Kami
mula rapat tiga bulan lalu. Sejak aku menjadi orang perantaraan untuk kau dan
dia. Aku tak tahu bila ia bermula tapi sejak tiga bulan lalu kami sering
bersama”
Leya
meraup wajahnya. Keputusannya untuk tidak mahu mengadakan apa-apa pertemuan
hingga hari diijabkan ternyata telah memberi ruang untuk Erina dan Fahim
menjadi rapat. Diakah yang memulakan segalanya?
“Dia
tunang aku. Lelaki yang aku cintai dan
aku percayakan kau sebagai sahabat aku. Kenapa dalam ramai-ramai lelaki kat
Malaysia ni dia yang harus buntingkan kau? Kenapa kau dan Fahim sanggup
mengkhianati aku?” Betapa sukarnya untuk dia mempercayai semua ini. Bakal
suaminya membuntingkan sahabatnya. Ya Allah, mengapa di saat aku hampir menjadi
isterinya, Kau hamparkan kenyataan ini padaku?
“Aku
tak sedar, Leya. Sumpah aku tak sedar perasaan aku pada Fahim berubah menjadi
cinta. Aku… aku cintakan Fahim, Leya”
“Hingga
sanggup serahkan diri pada lelaki yang bukan halal untuk kau?” Pedih hatinya
saat mendengar pengakuan Erina.
Erina
menundukkan wajah. Betapa dia malu dengan Leya. Betapa rapuh imannya hingga
dengan mudah menyerahkan tubuhnya untuk diratah oleh lelaki yang bukan
suaminya. Hanya sekali mereka tersasar dan dia sendiri tidak menduga
keterlajuran yang pertama kali itu akhirnya membenihkan hasil dalam kantung
rahimnya.
Mengingatkan
itu, dia menjadi jijik dengan diri sendiri. Terasa jahatnya dia kerana tega
mengkhianati sahabat sendiri. Rasa bersalahnya terhadap Leya bukan sedikit dan
kerana itulah dia membuat keputusan untuk ke Perth.
Dia
bangun menghampiri Leya lalu dia melutut depan sahabatnya itu. Dia tahu terlalu
sukar untuk dia mendapatkan sebuah kemaafan. Melihat Leya yang langsung tidak
memandangnya membuatkan hatinya semakin sayu.
“
Tolong jangan benci aku, Leya. Aku tak mahu kehilangan kau. Maafkan aku, Leya.
Aku sanggup terima apa sekalipun hukuman kau tapi tolong jangan benci dan buang
aku dari hidup kau….”
“Kau
dah mengkhianati aku, Rin” Tangisannya sudah tidak mampu lagi ditahan.
Keperitannya bagaikan sedang menikamnya bertubi-tubi. Ya Allah, berikan aku
sedikit kekuatan.
************************
Fahim
yang sedang bersila cuba untuk mententeramkan gemuruhnya. Berdebar jantungnya.
Saat ini adalah saat terindah hidupnya. Saat yang dinanti-nantikan. Hanya
beberapa detik sahaja lagi insan yang dicintainya akan menjadi suri dalam
hidupnya. Inilah yang diimpikan selama ini. Menjadikan Leya Aulia sebagai
isterinya yang sah.
“Boleh
kita mulakan?” soal Ustaz Ahmad yang akan menikahkan Fahim dan Leya.
Fahim
menarik nafas lalu melepaskan. Dia memandang Ustaz Ahmad lalu menganggukkan
kepala. Bibirnya menguntum senyum.
“Aku
nikahkan di kau Fahim Iskandar bin Mansur dengan Leya Aulia binti Arsyad
berwakil walikan aku dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai…”
“Aku
terima nikahnya…”
“Tunggu!”
Lafaz
akad terhenti. Semua yang ada turut
terpinga saat jeritan tersebut bergema kuat. Fahim yang mula terasa pelik
mendengar jeritan tersebut turut terkedu apa lagi kerana dia yakin suara yang
menjerit itu kepunyaan Leya lalu dia menoleh ke belakang dan yang semakin
membuatkan dia hampir putus nafas bila terpandangkan wajah Erina di sisi Leya.
Badannya terasa menggeletar. Peluh mula memenuhi dahinya. Dia yakin saat itu,
wajahnya pasti pucat seperti mayat dan andai ada yang menorehnya pasti tidak
akan ada darah yang mengalir keluar. Persoalan demi persoalan semakin
berselirat di benaknya.
Jantungnya
bagaikan mahu tercabut apabila Leya menghampirinya lalu mengajaknya ke satu
sudut yang agak jauh dari tetamu. Melihat wajah gadis yang dicintainya saat
itu, dia mula yakin segala olahan yang telah dia lakukan di belakang gadis itu
telah terbongkar dan anggapannya itu semakin benar apabila melihat Erina turut
berada di situ sedangkan Erina sudah berjanji tidak akan muncul di depannya dan
Leya pada hari bersejarahnya ini.
“Saya
nak awak nikah dengan Rin,” ujar Leya dengan tegas.
“Ap….
Apa awak cakap ni? Mana mungkin saya menikahi Rin sedangkan saya cintakan awak
dan hari ini adalah hari kita, Leya.” Meskipun terkejut dengan permintaan Leya,
namun dia cuba untuk merasionalkan diri dan memujuk gadis itu agar segalanya
berjalan seperti yang dirancang.
Leya
ketawa mendengar kata-kata yang terluah dari bibir Fahim. Ketawa akan kebodohan
diri yang gagal mengesan kecurangan dua insan kesayangannya. Andai Erina ibarat
tangan kanannya, Fahim pula tangan kirinya. Betapa dia memerlukan keduanya.
Betapa dia mempercayai keduanya. Betapa pentingnya mereka dalam hidupnya selain
uminya. Dan kini saat mendengar ucapan cinta dari Fahim bagaikan selumbar yang
menusuk pedih di jiwanya. Betapa parahnya cinta lelaki itu merobek jiwa
gadisnya. Betapa hancurnya kasih bila dikhianati sahabat sendiri.
“
Segalanya dah berakhir, Fahim. Awak perlu bertanggungjawab atas apa yang telah awak
lakukan. Rin lebih memerlukan awak…”
“Tidak!
Saya cintakan awak, Leya. Saya hanya mahu awak menjadi suri hidup saya. Hanya
awak Leya, bukan Rin juga sesiapa pun. Saya mengaku saya berdosa dengan awak
tapi cinta saya untuk awak bukan satu kepuraan, Leya. Apa yang berlaku kerana
khilaf kami. Ia satu kesilapan. Tolong Leya. Saya janji tidak akan
mengulanginya lagi…” Sedaya mungkin Fahim cuba memujuk Leya. Cintanya terhadap
gadis ini terlalu dalam. Apa yang berlaku antara dia dan Erina hanya kesilapan.
Dia alpa dalam kenikmatan dunia yang menjerumuskan dia ke lembah dosa. Dia
tidak menyalahkan Erina semata-mata kerana apa yang berlaku adalah kekhilafan
mereka berdua. Sebulan yang lalu, dia dan Erina mengambil kata putus untuk
tidak bertemu lagi sekaligus merahsiakan segalanya dan kerana itu juga Erina
membawa diri ke Perth.
“Cinta?”
Sekali lagi Leya menghamburkan tawanya. Sudah cukup dia diperbodohkan selama
ini.
“Cintakan
saya tapi sanggup berselingkuh dengan sahabat saya. Itukah makna cinta pada
awak Fahim?”
Tergamam
Fahim mendengarnya. Segala ucapan yang ingin dia katakan bagaikan ternoktah.
Dia tahu kini, apa sekalipun yang dia katakan tidak akan mampu untuk
mengembalikan Leya dalam hidupnya.
“Rin
mengandungkan anak awak,” ujar Leya dengan nafas berat. Wajah Fahim direnung
untuk kali terakhir.
Kaku
Fahim mendengar kenyataan yang baru keluar dari bibir Leya. Apakah dosanya itu
kini sedang menuntut tanggungjawabnya?
“Pergilah
Fahim. Dengan rela hati saya lepaskan awak dari segala janji yang pernah awak
ucapkan. Rin dan baby dalam kandungannya perlukan awak. Awak perlu
bertanggungjawab, Fahim. Mungkin saya bukan jodoh awak. Perkenalan kita mungkin
adalah lorong yang Allah aturkan untuk satukan awak dan Rin. Pergilah kepada
Rin,dia cintakan awak. Kalau awak tak kasihankan dia, kasihankan anak yang
dikandungnya itu. Itu zuriat awak. Anak itu tak bersalah” Meskipun hatinya
parah dilukai, namun dia cuba untuk merasionalkan diri. Dia mahu berpegang pada
Qadak dan Qadar Allah. Fahim bukan jodohnya. Dia harus reda.
Air
mata yang mengalir disapu perlahan. Dia kecewa bukan kerana cintanya tidak
kesampaian tapi kerana dikhianati oleh orang-orang yang disayanginya.
Keakraban
persahabatan antara dia dan Erina bagaikan isi dan kuku. Segalanya mereka
lakukan bersama. Di mana ada dia, di situ juga pasti ada Erina. Persahabatan
yang terjalin sejak di tingkatan empat membuatkan mereka semakin serasi
bersama.
Bagi
Leya, Erina adalah sahabat terbaiknya. Erina yang suka akan aktiviti lasak
sedangkan dia paling malas mahu melibatkan diri dalam aktiviti seperti itu.
Aktiviti yang memenatkan pada perkiraannya. Meredah hutan semata-mata mahu
berkhemah tepi air terjun. Mendaki bukit semata-mata mahu melihat alam dari
tempat tinggi, berkayak, snorkelling entah apa lagi yang pernah dilakukan
sahabatnya itu.
Baginya
kenapa perlu bersusah payah melakukan semua itu sedangkan tanpa melakukan semua
itu, dia masih mampu berkelah tepi air terjun tanpa perlu meredah hutan, boleh
melihat keindahan alam walau hanya berdiri di beranda apartment milik kakak
Erina dan boleh melihat kehidupan laut tanpa perlu melakukan aktiviti
snorkelling. Dan bila itu diluahkan kepada sahabatnya itu, Erina dengan
bersahaja akan mengatakan dia itu gadis yang manja. Anak umi katanya dan dia
hanya ketawa setiap kali mendengarnya.
Meskipun
dia tidak gemarkan aktiviti lasak namun dia gemar mendengar setiap pengalaman
yang dilalui Erina setiap kali sahabatnya itu balik dari menyertai apa-apa
program. Segala apa yang dilakukan dan dilalui akan diceritakan kepadanya dan
secara tidak langsung, dia dapat meneroka alam ini melalui cerita-cerita dan
pengalaman sahabatnya itu.
Fahim
pula dikenali ketika lelaki itu di tahun akhir dan dia pula di tahun dua di
universiti yang sama dan perkenalannya dengan pemuda itu benar-benar memutik
rasa indah di jiwa gadisnya. Kehadiran Fahim benar-benar telah membuatkan
dunianya semakin berwarna-warni. Hubungan cintanya dan Fahim bukan lagi menjadi
rahsia bagi kedua belah pihak. Dia dan Fahim saling mengenali keluarga
masing-masing.
Fahim
cinta pertamanya. Lelaki yang benar-benar menyentuh hati gadisnya. Setelah
Fahim menamatkan pengajiannya, lelaki itu berjanji dengannya yang dia akan
menghalalkan hubungan mereka setelah pengajiannya tamat nanti dan ternyata
Fahim tidak bergurau saat dia melafazkan janji itu. Setelah dua bulan dia tamat
pengajian, Fahim menghantar rombongan untuk menyuntingnya. Baginya saat itu
adalah saat terindah hidupnya meskipun pada mulanya ditentang oleh umi dan
Erina.
Umi
mahu dia bekerja terlebih dahulu sebelum memikul tanggungjawab sebagai isteri.
Erina juga turut bersetuju dengan uminya. Katanya dunia ini luas, masih banyak
yang perlu diselusuri.
Dia
tidak mempedulikan larangan itu kerana di jiwanya saat itu hanya ada Fahim.
Baginya, status isteri masih boleh untuk dia memulakan kerjaya dan membantu umi
yang telah banyak berjasa dalam membesarkannya. Kepayahan umi setelah pemergian
arwah ayah tiga tahun dulu tidak mungkin akan dia lupakan dan akan dia balas
setiap keperihan umi meskipun statusnya telah berubah.
Kini
segalanya tinggal sebagai memori yang melukakan. Dua minggu selepas Fahim dan
Erina dinikahkan, keduanya terus berangkat ke England. Setelah hampir tiga
bulan berlalu, hingga saat ini dia tidak lagi mengetahui apa-apa tentang
mereka. Mungkin mereka sedang berbahagia dalam menanti kelahiran buah cinta
mereka.
Leya
melepaskan keluhan. Dia merenung keindahan yang terbentang. Keindahan ladang
teh yang kehijauan sedikit sebanyak mendamaikan jiwanya yang sedang bercelaru.
Kerana uminya dia akhirnya terdampar di sini. Dia tahu uminya turut bersedih
dengan apa yang terjadi dan dia juga sebolehnya tidak mahu uminya berterusan
risaukan dirinya.
Dia
sudah bertekad untuk melupakan segalanya walau dia tahu mungkin sukar untuknya.
Dia perlu melepaskan segalanya. Segalanya sudah tertulis dalam Takdir-Nya. Dia
perlu reda.
Hari
ini, biarlah menjadi hari terakhir untuk dia mengenang kenangan luka itu kerana
perginya dia dari sini akan ditinggalkan semua kenangan lalu. Berharap agar
semua kenangan lalu pergi dibawa sang bayu dan tidak akan lagi melingkari
hidupnya.
“Aku doakan kalian bahagia selamanya. Kau tetap
sahabat aku, Rin…” Dia melebarkan senyuman. Terasa bebanan yang ditanggung
terlepas dibawa pergi sang bayu. Kini dia reda dan menerima segalanya sebagai
ujian untuknya. Kehidupan perlu diteruskan. Benar kata umi, kemaafan itu
sebenarnya penawar paling indah walaupun terlalu payah untuk diberikan. Dan
hari ini dia dengan seikhlasnya memaafkan Erina dan Fahim.