Segala
persiapan pernikahannya dengan gadis yang dipilih maminya nampaknya berjalan
lancar. Segalanya diuruskan maminya. Dia langsung tidak ambil peduli. Pernikahan ini hanya dibuat di kediaman
mereka dan yang hadir pun hanya saudara mara serta kenalan terdekat dan pekerja
di Firhad Holdings.
Ramai
yang mula berbisik dan tertanya-tanya sebaik mendapat kad jemputan
masing-masing. Pelik mungkin bila melihat nama pengantin perempuannya bukan
Emelda. Banyak spekulasi yang mula timbul namun tidak sedikit pun diendahkan.
Kepalanya sudah cukup sarat dengan pelbagai masalah dan dia sudah tidak kisah
apa sekali pun yang orang di sekelilingnya mahu perkatakan. Dia tidak mahu
peduli. Pandai-pandailah maminya memberi alasan.
Bakal
isterinya juga tidak pernah dia temui. Maminya sendiri tidak pernah menyuruhnya
menemui bakal isterinya itu. Mungkin mengikut kehendaknya yang tidak mahu tahu
siapa calon isterinya. Dalam hati timbul juga rasa marah kerana gadis itu
sanggup menerima rancangan maminya dan dia yakin semuanya kerana duit. Entah
berapa ganjaran yang telah diberikan pada si gadis yang bakal menjadi isterinya
nanti. Rasa marahnya bukan hanya untuk gadis yang bakal menjadi isterinya tapi
juga pada maminya dan juga Emelda. Selama hampir dua minggu ini dia langsung
tidak mempedulikan Emelda. Segala panggilan dan sms dari gadis itu langsung
tidak diendahkan. Dia kecewa dengan sikap Emelda yang lebih mementingkan
kerjayanya dari dirinya hingga adakalanya dia jadi bertanya sendiri, benarkah
Emelda menyintainya? Kalau ikut rasa marahnya tidak ingin lagi dia menemui
gadis yang mengecewakannya ini namun dia perlu juga bersetuju untuk bertemu
apatah lagi dia perlu menyampaikan berita pernikahannya yang akan berlangsung
empat hari lagi.
"Lagi
empat hari I akan bernikah dengan calon yang telah mami pilih.."ujarnya
tenang. Matanya tidak lepas dari memandang raut wajah kekasihnya itu.
Emelda
hanya diam sahaja. Sehabisnya dia cuba mengawal riak wajahnya. Dia tidak mahu
Darius mengesan akan kelainan perasaannya sebaik berita itu disampaikan. Dia
yang memberi cadangan dan seharusnya dia menerimanya dengan tangan terbuka.
"You
tak ada nak ucap apa-apa ke...?" Dengan sinis Darius melontarkan
pertanyaan. Sejak Datin Aida menyampaikan berita tentang calon isterinya, dia
benar-benar gelisah. Jauh di sudut hatinya, dia cukup bengang dengan kedua-dua
wanita yang disayanginya ini.
"Jangan
la muram macam ni sayang. Semua ni hanya untuk sementara saja. Walaupun you dah
kahwin dengan perempuan tu, hubungan kita masih akan berjalan seperti
biasa.."pujuk Emelda meskipun jauh di sudut hatinya terlalu berat untuk
dia melepaskan Darius ke dalam pelukan gadis lain namun apakan dayanya kerana
lamaran Darius datang ketika namanya sedang meniti puncak kejayaan. Tidak
mungkin dia mahu melepaskan impiannya ini hanya untuk memenuhi kehendak Datin
Aida.
"I
sebenarnya tertanya-tanya betul ke you cintakan I? Entahlah. Apa yang sedang
berlaku sekarang ni buatkan I semakin keliru. Keliru dengan perasaan you yang
kononnya cintakan I tapi tindakan you menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya siapa
I dalam hati you..?" Di pertemuan ini dia mahu Emelda tahu betapa dia
kecewa dengan sikap dan keputusan kekasihnya itu. Dia juga mahu Emelda sedar
yang gadis itu sebenarnya sudah lama membiarkannya berjalan sendirian dalam
perhubungan mereka hingga dia sudah tidak nampak lagi akan kepentingannya dalam
hidup Emelda.
“Sayang,
I tahu you kecewa dengan sikap I selama ini tapi percayalah I memang sayangkan
you. I minta maaf andai selama ini you rasa I dah abaikan you….”
"I
cintakan you Mel. I hanya nak you jadi isteri I. Sejujurnya I cukup kecewa bila
you sanggup cadangkan I bernikah dengan orang lain hanya untuk memenuhi
permintaan mami I..."
"Sayang,
I benar-benar mintak maaf. I dah tak ada pilihan. Desakan mami you buat I
semakin buntu. Semuanya hanya untuk sementara lagipun hubungan kita takkan
terjejas dengan pernikahan itu.."
Darius
ketawa kecil. Emelda terlalu yakin.
"You
tak takut kalau-kalau I akan jatuh cinta dengan gadis tersebut? Hmmm..."
Sengaja dia menguji. Dia ingin lihat sejauh mana keyakinan Emelda.
"I
yakin hundred percent. I tau dalam
hati you hanya ada I dan you takkan mengkhianati cinta kita.."sahut Emelda
dengan yakin. Dia pasti hati Darius tidak akan mudah berubah.
"You
terlalu yakin Mel tapi I nak ingatkan you, andai tiba-tiba ditakdirkan I jatuh
cinta dengan dia jangan sesekali you salahkan I. I cuma lakukan apa yang telah
you mulakan..."
Dengan rasa kecewa dia pergi meninggalkan Emelda
keseorangan. Jeritan Emelda memanggil namanya juga tidak dipedulikan. Saat ini
hatinya seakan tawar setawarnya. Jauh di sudut hati dia sebenarnya berharap
agar Emelda menghalang pernikahannya nanti tapi pendirian Emelda semakin
mengecewakannya. Nampaknya Emelda seperti tidak terkesan langsung dengan berita
pernikahannya dan itulah yang membuatkan dia semakin kecewa. Kini dia pasrah
andai memang ini takdirnya.