Home Novel Cinta Pemilik Hati Paling Chill
Pemilik Hati Paling Chill
Eina Afrina
14/1/2018 11:37:04
23,911
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 3


“SAKIT betul hati dengan si Badrul tu! Tak payah balik kampung lagi bagus. Buat semak aje,” bebel Syamin ketika masuk ke dalam rumah.

Belum hilang sakit hati ketika di High Power tengah hari tadi, Badrul buat hal lagi ketika Syamin balik kerja. Boleh pula Badrul main hon-hon kereta sepanjang jalan macam orang gila. Kalau boleh satu kampung mahu dicanang kereta barunya itu. Nama saja pelajaran tinggi hingga ke universiti tapi otak singkat bab budi bahasa.

“Kenapa,Sya?” tanya Mak Leha. Di halaman rumah lagi dia sudah mendengar suara Syamin merungut-rungut tidak puas hati.

“Badrul ngok-ngek tulah,” ujar Syamin lalu duduk di kusyen bersama-sama ibunya. Kunci kereta dan beg diletakkan di atas meja.

“Kenapa dengan Badrul?”

“Dia kacau Sya di tempat kerja.”

“Dia kacau macam mana?” Mak Leha ingin kepastian.

“Dia datang workshop lepas tu paksa-paksa Sya ikut dia pergi makan. Sya tak nak, lepas tu dia tarik-tarik tangan Sya,” cerita Syamin dengan jujur.

Mak Leha menyentuh dadanya. Terasa getaran jantungnya berdegup kencang mendengar cerita Syamin. Terbit rasa bersalah kerana dia yang memberitahu Badrul, Syamin bekerja di High Power. Tak sangka begini pula jadinya.  

“Nasib baiklah ada Nazril dengan Udin tolong. Lepas tu masa balik kerja tadi Badrul follow Sya dari belakang sambil bunyikan hon kereta. Macam mana Sya tak marah?” adu Syamin lagi kepada Mak Leha.

“Pagi tadi ibu jumpa Badrul di pasar. Nampak baik aje budak tu. Dah berjaya dia sekarang. Mak dia cakap, Badrul dah jadi pengurus di Kuala Lumpur,” beritahu Mak Leha. Bukan main beria-ia Mak Timah bercerita kepada dia tentang anak kebanggaannya itu. Baru beberapa bulan bekerja di Kuala Lumpur sudah mampu memiliki Honda CRV.

“Siapa? Mak Timah?”

Mak Leha mengangguk.

“Ibu tak payah nak dengar sangat cakap Mak Timah tu. Entah iya entah tidak Si Badrul tu jadi pengurus. Entah-entah…”

“Hisy,tak baik berburuk sangka,” potong Mak Leha.

“Sya ingatkan dah dewasa ni perangai dia berubah. Rupanya sama saja macam dulu-dulu,”keluh Syamin.

“Dahlah tu, pergi mandi. Dah solat ke belum ni?” soal Mak Leha sambil menjeling jam dinding di ruang tamu itu.

“Belum.Ni nak mandilah ni,” jawab Syamin. Bukan setakat mahu mandi, dia mahu sejukkan hati yang sedang panas ni.

“Pergi cepat, nanti terlewat pulak asar,” suruh Mak Leha.

Syamin bangun dan berlalu masuk ke dalam bilik. Selesai mandi dan solat asar, Syamin keluar semula mencari Mak Leha. Syamin melihat Mak Leha tiada di ruang tamu.Kemudian dia melangkah pula ke dapur. Mak Leha juga tidak kelihatan di dapur.Minum petang sudah tersedia di atas meja, tapi kelibat ibunya tidak kelihatan di situ.

“Ibu!”panggil Syamin.

Tiada sahutan daripada Mak Leha. Syamin berasa pelik. Ke mana pulak ibu pergi ni? Dia berjalan pula ke beranda. Dari jauh Syamin melihat Mak Leha sedang menyapu laman. Syamin menggeleng. Ibunya ni memang tak tahu duduk diam.Ada-ada saja kerja yang nak dibuat.

Syamin menyarungkan selipar dan melangkah ke halaman rumah menghampiri Mak Leha yang sedang tekun menyapu. Daun-daun kering yang sentiasa bertaburan takkan pernah habis selagi pohon mangga itu masih tegak berdiri di situ.

“Ibu,sudah-sudahlah tu buat kerja,” tegur Syamin.

Mak Leha menoleh dan tersenyum.

“Ibu nak sapu sikit lagi ni.”

“Sya dah cakap, tebang aje pokok mangga ni.”

“Apa salah pokok mangga ni?” tegah Mak Leha.

“Daunbanyak gugur. Tiap-tiap hari ibu sapu laman ni, esok banyak lagi sampahnya.”

Mak Leha geleng-geleng kepala. Mana mungkin dia mahu tebang pokok mangga itu. Di situlah tempat dia duduk di waktu petang. Di situ juga tempat Syamin dan Hana selalu duduk bersembang-sembang. Kalau sudah ditebang, di mana lagi mahu menenangkan perasaan?

“Kalau laman ni bersih, ibu tak ada kerja pulak nak dibuat,” ujar Mak Leha.

Macam tu pulak? Syamin garu kepala yang tidak gatal.

“Sya buat apa di sini? Pergilah minum teh di dapur tu. Ada lepat pisang sekali ibu buat,” suruh Mak Leha.

“Tahu.Sya dah nampak tadi. Jomlah, kita minum sekali,” ajak Syamin.

Mak Leha meletakkan penyapu. Dia memegang kepala yang tiba-tiba terasa berat. Pandangannya pula tiba-tiba menjadi kabur. 

“Kenapa ni, bu?” Syamin memegang lengan ibunya.

“Pening sikit.”

“Ibu penat ni. Jomlah, masuk dalam rumah,” ujar Syamin sambil memimpin tangan MakLeha berjalan perlahan-lahan menuju ke beranda.

Hanya beberapa langkah lagi sampai ke pintu, dengan tidak disangka-sangka tubuh Mak Leha tiba-tiba rebah membuatkan Syamin terkejut.

“Ibu!”jerit Syamin.

Mak Leha sudah tidak sedarkan diri. Syamin memanggil-manggil ibunya berulang kali tetapi tiada tindak balas daripada Mak Leha. Dalam kepala Syamin hanya terfikirkan hospital. Dia harus segera membawa Mak Leha ke hospital. Syamin terus berlari masuk ke dalam rumah mengambil kunci kereta. Kemudian dia mengangkat tubuh ibunya dengan sekuat tenaga dan meletakkan Mak Leha ke dalam kereta. Dalam keadaan panik Syamin memang mampu melakukan keajaiban. Tubuh MakLeha yang berat itu sudah tidak dirasakan berat lagi.

“Kenapa ni, Sya?”

Tiba-tiba Mak Siti muncul. Kebetulan dia lalu di depan rumah Syamin dan melihat Syamin sedang mengerah kudrat mengangkat Mak Leha ke dalam kereta.

“Ibu pengsan,” beritahu Syamin.

“Pengsan?”Mak Siti terkejut. Cepat-cepat dia turun dari motosikal dan menghampiri Mak Leha yang sudah terbaring di dalam kereta.

“Sya nak bawa ke hospital.”

“Eloklah tu.”

Syamin masuk semula ke dalam rumah. Memakai tudung dan mengambil apa yang perlu untuk dibawa ke hospital sebelum keluar semula dengan tergesa-gesa.

“Hati-hati bawa kereta, Sya?” pesan Mak Siti.

Syamin mengangguk. Dia menghidupkan enjin kereta dan dalam beberapa saat kereta itu berdesup laju meninggalkan Mak Siti. Mak Siti berdoa semoga tiada yang buruk menimpa Mak Leha. Dia kasihan pada Syamin. Nasib baiklah Syamin ni ligat orangnya. Seorang diri pun dia mampu menguruskan semuanya.

 

 

SYAMIN termenung sendirian di luar wad. Menunggu doktor keluar menjelaskan keadaan ibunya. Haziq sudah diberitahu melalui telefon. Abang sulungnya itu kini sedang berada di New Zealand. Mengambil masa beberapa hari untuk pulang ke Malaysia.Najwa, anak yang kedua dalam keluarga, kini sedang outstation ke Korea. Juga tidak dapat pulang secepat mungkin.

Syamin lepaskan keluhan. Ibu jangan risau. Selagi ada Sya, Sya akan sentiasa bersamaibu ke mana saja. Harap ibu kuatkan semangat. Sya masih perlukan ibu. Sya sayangkan ibu sangat-sangat. Syamin merintih di dalam hati. Air matanya mengalir tanpa sedar.

“Sya,” sapa seseorang.

Syamin mengangkat muka memandang empunya suara. Hana berdiri di hadapannya dengan pakaian seragam jururawat.

“Kau buat apa di sini?” soal Hana.

“Ibu aku pengsan. Ada kat dalam tu.” Syamin menunjuk ke arah pintu kecemasan.

“Oh,iya ke?” Hana tersentak.

“Hana,kau tolong tengokkan ibu aku kat dalam tu. Dah lama aku tunggu tak ada khabar berita,” pinta Syamin bersungguh-sungguh. Dia tahu Hana boleh masuk ke dalam memandangkan Hana juga seorang jururawat di hospital ini.

“Okey,biar aku pergi tengok. Kau sabar ya? Tunggu sini.”

Hana terus masuk ke wad kecemasan. Syamin hanya menunggu di luar dengan sabar sambil tidak putus-putus berdoa kepada ALLAH. Beberapa minit menunggu, akhirnya Hana keluar dari pintu kecemasan itu. Syamin bingkas bangun mendapatkan Hana.

“Macam mana ibu aku, Hana?”

“Doktor tengah usaha selamatkan ibu kau. Tekanan darah Mak Leha tinggi sebab tu dia pengsan. Nasib baik kau cepat bawa Mak Leha ke hospital,” ujar Hana.

Syamin geleng-geleng kepala. Dia sudah sedia maklum, Mak Leha ada darah tinggi dan sentiasa bergantung kepada ubat. Mak Leha juga ada masalah jantung, tetapi ibunya itu enggan mempedulikan penyakitnya itu. Mak Leha degil. Masih mahu bekerja melakukan semuanya di rumah walaupun sudah ditegah berkali-kali oleh Syamin.

“Sabarlah,Sya. InsyaALLAH tak ada apa-apa yang serius,” kata Hana sambil memegang bahu Syamin.

“Aku pun berharap macam tu.”

“Sekejap lagi mungkin ibu kau akan dimasukkan ke wad. Kau bolehlah temankan dia. Doktor akan pantau sampai darah ibu kau betul-betul stabil,” tambah Hana lagi.

 

 

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.