Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,000
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Bahang teruk muka aku ketika ini. Belum ada tanda-tanda surut bila seluruh warga tertumpu padaku. Menanti jawapan soalan cepu emas. Soalan yang payah untuk aku berikan jawapan.


“Belum ada lagi?” Bukan main tinggi lagi kening dia terjongket.


“Kalau belum, ramai yang nak isi borang jadi bakal suami. Orang lawa ni ramai peminat”


Semakin galak Raid berkata-kata selaku pengacara program. Lupa banyak mata yang memandang.


“Okey, kita tuntut jawapan tu nanti. Berbalik pada program hari ni.”


Darah yang hampir mengering, lancar kembali. Mula memenuhi segenap tubuh. Aku berdehem perlahan. Cuba berlagak biasa. Buat seperti tiada kejadian disoal siasat tentang status pertunangan.


“Kenalkan…Saya Raid Zubari. Boleh panggil saya Sir Raid.”


Bukan main riuh semua bila Raid perkenalkan diri.


“Saya akan ketuai semua sepanjang program berlangsung. Harap semua pelajar dapat beri kerjasama dengan baik.”


Dari belakang, bukan aku tak nampak mata Raid terarah ke mana. Beberapa kali juga kami pandangan bertemu. Beberapa kali itu juga aku larikan pandangan demi mengelak kejadian menyumpah seranah tunang sendiri.


“Yang belakang tu, jangan nak mengelamun ingatkan tunang.”


Suara Raid lagi. Masih berkisar tentang tunang. Masih cemerlang menjemput kemarahanku yang sedang surut.


“Saya nak semua berpecah satu kumpulan lima orang dalam kiraan sepuluh.”


Belum sampai kiraan lima, mereka semua berjaya membentuk kumpulan hasil daripada larian mengalahkan kambing dipaksa pulang ke kandang. Bertempiaran semuanya.


“Pastikan satu kumpulan seimbang. Ada lelaki dan perempuan. Bukan kumpulan songsang.”


Latihan larian terjadi buat kali kedua. Lebih cergas. Lebih bertenaga demi menyempurnakan ahli jemaah kumpulan seperti diarah.


“Cepat, sebelum saya suruh terjun laut sebab gagal bentuk kumpulan.”


Semakin pantas mereka berlari. Tepat kiraan sepuluh semua diam tidak berkutik. Mata Raid sibuk memerhati setiap ahli kumpulan sebelum berhenti padaku.


“Awak? Mana kumpulan?”


Tercengang aku dengar soalan dia. Tak tahu pula guru pengiring perlu turut serta. Ingatkan aku sekadar menjadi pemerhati bagi memastikan keselamatan dan keperluan semua pelajar mencukupi.


“Partner dengan saya.”


Riuh suara semua pelajar bersorak. Ada yang mengusik. Walhal aku sedang dibuli.


“Pastikan tunang atau teman lelaki cikgu tahu kita berpasangan sebagai kumpulan sepanjang berada di sini. Takut terjadi tragedi berdarah nanti.” Bergema lagi suara Raid melalui pembesar suara.


Raid bersuara sambil mendekat. Baguslah dia ke sini. Biar dia nampak muka aku merah padam. Biar dia tahu, aku sedia bertukar buaya betina yang mahu baham dia hidup-hidup.


Lima saat beradu mata, Raid tebar pandangan ke sekeliling. Sempat aku nampak bibir dia bergerak-gerak. Jari telunjuk turun naik mengira.


“Ada lapan kumpulan, termasuk saya sembilan.”


Tak pernah tahu Raid ada keupayaan mengetuai sesuatu program. Ini pertama kali aku nampak sisi seorang ketua dalam diri dia. Selalunya aku nampak sisi seorang pelajar paling bermasalah dalam dirinya.


“Dalam masa setengah jam saya nak semua cipta bendera melambangkan kumpulan masing-masing. Ikut kreativiti. Cari apa saja bahan di sekitar sebagai hiasaan.”


Para pelajar saling berbisik sesama sendiri. Kecuali aku. Masih beri sepenuh tumpuan pada Raid.


“Lepas siap, pilih seorang atau dua wakil kumpulan. Bentang tema dan segala maksud tersirat. Yang terbaik saya akan bagi hadiah.”


Tawaran Raid mengundang sorakkan semua pelajar. Tetapi tidak bagi aku. Aku akan usulkan cadangan kepada Raid supaya buat ala kadar saja. Supaya hadiah tersebut dapat diserahkan kepada yang lebih layak. 


“Lantik seorang ketua, pergi depan ambil bahan.”


Satu per satu pelajar menurut. Tanpa sedar bibir tersenyum bangga kerana semua beri kerjasama yang cukup baik.


“Awak…”


Hilang senyuman. Berganti dengan muka terkejut bila kena sergah.


“Pergi depan ambil bahan.”


“Eh?"


"Cepat. Saya ketua. Awak kena ikut cakap ketua."


Bersama protes, aku turuti arahan. Sekembalinya aku, Raid sudah duduk beralaskan dahan pokok besar yang ada di persisiran pantai. Mengalahkan tokan dadah gayanya.


"Saya bagi cadangan, awak jadi pelukis pelan."


Beberapa hari saja aku akan menurut arahan. Kemudiannya, aku akan karang ayat berjela panjangnya. Putus tunang pun tak mengapa.


"Macam ni ke?" Tanya aku setelah selesai melukis satu bahagian di tengah-tengah.


"Buruknya." Komen dia. Tak bertapis langsung.


"Kenapa X?" Tanya dia lagi sambil merenung lama kain rentang berwarna putih yang telah dinoda dengan dakwat hitam.


"Tandanya kita tak pernah sehaluan." Kataku bersahaja.


"Awak nampak laut tu Heera? Kalau awak tak kisah, saya nak bagi awak hukuman tangkap ikan guna tangan. Jangan balik selagi tak ada hasil."


"Kejamnya!"


"Kejam untuk kesedaran dimaafkan."


Aku pandang kiri dan kanan. 


"Saya tunang awak, Raid." Dia perlu disedarkan. Layanan harus diberikan selayaknya status tersebut. 


"Saya beri sepenuh perhatian pada awak. Serina pun tak pernah dapat perhatian macam ni."


Aku kerling dia sejenak sebelum meneruskan kerja. Takut tertangkap ada hubungan rahsia di antara kami.


"Kita ada perjanjian Raid. Sebab tu kita terikat. Jadi tunang awak bukan tiket untuk buli saya." Perlahan saja suaraku. Sekadar mengingatkan.


"Kalau buli, saya dah peluk dan cium awak dekat sini."


Terhenti kerja-kerja melukis. Sesaat cuma sebelum aku teruskan kerja. Sehabis baik aku bereaksi biasa biarpun Raid sedang merepek.


"Berapa lama lagi masa tinggal?" Rasanya masa berlalu terlalu lambat.


"Jangan risau, saya orang tepati masa." 


"Baguslah. Lagi bagus kalau awak tepati janji."


"Saya rindu awak, Heera." 


Sipi-sipi suara Raid. Aku teruskan kerja tanpa respon. Sikit lagi kerja aku selesai. Selebihnya aku serah pada dia.


"Saya sedar, saya lebih sayang awak dari Serina."


"Raid!"


"Ya."


"Malu sikit. Nanti orang dengar." Terketap-ketap gigi aku. Mata dibesarkan sedikit sebagai ancaman.


"Semua!" Jerit Raid tiba-tiba.


"Raid...Raid...Awak jangan buat kerja gila." Aku cuak. Keliling aku pandang. Sayangnya, mereka semua tertumpu pada dia.


"Saya nak umum sesuatu."


Aku geleng kepala. Selepas ini, kalau Raid bilang rindu, aku akan balas. Cakap sayang pun aku sanggup.


Ketika pandangan kami bertaut. Bibir aku bergerak-gerak. Aku yakin Raid faham gerakkan bibir aku. 


Bila Raid diam tanpa reaksi, tangan aku segera menulis sesuatu di penjuru kain. Tak besar, tapi cukup jelas. Masih mampu dibaca.


"Ada lagi lima minit...Cepat! Siapa lambat, saya potong markah. Yang tak siap kena denda."


Suasana bertukar riuh. Masing-masing main peranan demi menyiapkan tugasan. Takut kena denda.


Hanya mataku masih terpaku pada Raid. Tahu-tahu saja Raid bertinggung depan mata.


"I love you too..." Suara Raid bak angin lalu.


Dia tersenyum jahat. Sukalah dapat kenakan aku. Lebih suka bila cinta berbalas walaupun ada unsur-unsur terpaksa di pihakku.



MALAM aku tiba agak lewat kerana sibuk pastikan semua pelajar tidak terlepas makan malam. Setelah semua siap dikemas, barulah aku turun padang.


Kata Raid, malam ini mereka semua sepatutnya akan adakan aktiviti night walk. Ikutkan perancangan asal, mereka perlu berjalan hanya berpandukan cahaya malam dan tali panjanh yang menjadi penyambung. Tetapi rancangan terpaksa dirombak demi keselamatan semua dan mengelak kejadian tidak diingini.


Jadi para fasilitator sepakat duduk dan biarkan semua pelajar berada di dalam gelap selama lima belas minit untuk menguji keberanian pelajar.


"Semua duduk. Asingkan, lelaki sebelah kanan...Perempuan sebelah kiri."


Bagus begitu. Takut ada yang salah rumah nanti. Lebih parah, timbul cerita ambil kesempatan.


"Jangan risau...Belakang awak semua ada pakcik-pakcik dan abang-abang polis dah jaga. Ada lebih kurang dua puluh orang. Jadi jangan panik."


Semua tarik nafas lega. Tak terkecuali aku.


"Duduk dalam bulatan sebelum saya matikan sport light selama lima belas minit."


"Pastikan tiada yang bawa telefon, lampu suluh atau apa-apa yang boleh keluarkan cahaya."


"Mana yang ingkar, kita bawa mandi laut malam-malam."


Arahan demi arahan Raid menyusul. Apa mampu aku rumuskan, Raid handal lancarkan ugutan. Bikin semua pelajar diam tidak berkutik langsung. Semua takut.


Bila semua sedia, Raid berikan arahan untuk padamkan lampu. Semua perlu diam tanpa suara. Ada kod yang perlu mereka sebut sekiranya berlaku hal kecemasan.


Bunyi ombak menghempas pantai menyapa. Sesekali terdengar bunyi cengkerik dan burung hantu saling bersahutan.


Dalam diam, aku gosok lengan. Mula fobia bila suasana gelap gelita. Semakin dicelik mata, semakin sesak nafas. Tangan mula meraba kiri dan kanan. 


Rasa fobia mula beransur bila tersentuh sesuatu yang lembut dan hangat.


"Maaf...Saya fobia dalam gelap." Sebut aku sangat perlahan. Berharap orang sebelah memahami.


"Terima kasih." Ucapku bila bahu kami berlaga. Tangan aku mencengkam kuat dia. Tak mahu berenggang.


"Burung emas." Suara Raid berbunyi.


Itu kod rahsia yang Raid katakan sebentar tadi. Tetapi menghairankan. Suara itu begitu dekat denganku.


Kurang sesaat, keadaan gelap gelita bertukar terang. Mata masing-masing mengecil menahan silau. Suara mereka semua berbicara sesama sendiri kedengaran.


Aku toleh kanan. Mahu titip senyuman buat dia kerana berjaya mengurangkan takat fobia aku. 


Terasa berderau darah bila tangan aku masih mencengkam baju Raid. Lutut kami saling berlaga. Secara refleks, aku menjauh. 


"Habis madu, tunang dibuang."


Kelip-kelip aku pandang dia. Tak kena perumpamaan Raid. Aku bukannya ambil kesempatan. Kalau aku terpiat dada dia sekali pun, tak sengaja. Darurat!

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.