Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,011
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

SUASANA di rumah pasti sedang ribut gara-gara aku buat keputusan untuk putus tunang semalam. Yang pasti, aku masih tenang. Emosi masih terjaga biarpun terdapat banyak gangguan sejak dari tadi. Mujur saja telefon awal-awal sudah ditukar ke mod silent. Jika tidak, pasti konsentrasi aku sedikit terganggu. Nak mengajar pun tak tenang.


Di akhir-akhir sesi persekolahan barulah aku ada hati nak buka pesanan whatsapp. Berderet-deret mesej masuk kecuali Raid. Tiada satu pun pesanan daripada lelaki itu. Lelaki itu sama tenangnya dengan aku. Seolah-olah tiada kejadian perang di antara kami semalam.


Hujung bibir ternaik tinggi. Patutlah Raid tenang. Rupanya, dia sedang lancarkan operasi dalam diam. Dia sedang gunakan orang-orang sekelilingku demi kepentingannya.


Pergerakkan jari terhenti. Mata tidak berkedip membaca pesanan daripada abang Mus.


- Raid datang tadi.


Kedatangan Raid boleh jadi ada agenda tersembunyi. Ikutkan, boleh saja lelaki itu tunggu aku pulang dari kerja dan bincang. Puas berfikir, hal Raid aku tolak ke tepi dahulu. Mesej kedua aku baca. Membesar sedikit bukaan mata.


- Dia dtg bawa borang nikah. Semua dah lengkap. Hanya tunggu side Heera.


Meledak ketawa halusku. Nampak gayanya, Raid masih tetap mahu teruskan perkahwinan biarpun ada unsur-unsur sabotaj dari pihak perempuan. Aku jadi tertanya-tanya sendiri. Apa benar Raid cintakan aku? Atau sekadar melengkapkan rukun perkahwinan tanpa sebarang rasa cinta?


​Enggan kusutkan kepala, mesej abang Mus dibaca sekerat jalan. Malah dibiarkan sepi tanpa dibalas. Sebaliknya, aku buka aplikasi perbankan. Sejak dari semalam aku tekad untuk kembalikan wang Raisha setelah mengambil keputusan drastik. Kurang lapan minit, transaksi berjaya. Aku screenshoot gambar resit sebagai bukti dan hantar pada Raisha.


Satu beban ditanggung selama ini selesai. Tak mahu terikat dengan mana-mana kontrak di alam maya lagi. Aku mahu jalani hidup dengan tenang. Tanpa sebarang masalah.


Tak jadi nak letak telefon bila nama Raid pula naik di notifikasi. Tanpa berlengah, aku buka mesej dari dia. Dan aku akan berikan dua garis biru. Biar lelaki itu tahu aku marah besar dengannya.


- ?


Dahi licin aku mula berombak saat menerima tanda soal daripada lelaki itu.


+ Apa?


Payah whatsapp dengan orang yang malas naik taip. Beginilah kejadiannya.


- 5k untuk apa? Deposit nak masuk syurga?


Melotot aku bila perasaan tersalah hantar gambar resit. Nak padam, sudah dibaca. Nak balas whasapp, buntu nak karang ayat bila dia dengan yakin bercerita perihal syurga. Auto insaf sekejap.


Niat nak bagi dua garis biru terbantut bila mesej kedua menyusul. Mesej dari Raid lagi.


- Siapkan dokumen cepat, kita pergi syurga sama-sama.


Bibir mencebik. Siapa nak pergi dengan dia?


+ Sorry, salah sent.


Kurang sesaat aku terima jawapan balas yang agak menyebalkan hati.


- Your welcome...From heaven.


Ya. Tersangatlah lari tajuk. Syurga konon. Tak mahu sama-sama sesat, maka abaikan. Dia hilang ingatan agaknya aku ada minta putus semalam.


Sepulangnya aku, ada yang bersambut. Sangkaku Raid sudah pulang. Mana tahu lelaki itu rupanya setia menunggu. Elok saja kereta milik dia ada di laman rumah. Sengaja aku parkir kereta di luar dan berjalan kaki masuk ke dalam rumah.


Sebaik saja masuk dan beri salam, ada dua kepala menoleh serentak kecuali Raid. Lelaki itu tenang hirup air tanpa terkesan sedikit pun dengan kehadiranku.


"Lambat balik?" Tegur papa. Lebih tepat, nak letakkan kesalahan padaku sebab biarkan Raid menunggu terlalu lama.


"Hari ni awal satu jam. Sepatutnya ada kelas tambahan, tapi last minute cancel." Salah Raid tak maklum ketibaan dia di rumah.


"Naik dulu...Solat, lepas tu turun. Kita makan sama-sama." Abang Mus bersuara selaku penyelamat.


Tanpa berlengah, aku meninggalkan mereka bertiga. Cukup dua langkah, suara abang Mus berbunyi lagi. Menjemput sedikit rasa protes.


"Jangan lama-lama. Turun sepantas yang boleh."


Yalah. Elok naik pakai tangga, nanti turun aku terbang ke bawah. Macam Cik Ponti. Jangan terkejut pula nanti. Dan, jangan tak sambut.


Tepat tujuh belas minit, aku sampai ke meja makan. Semuanya sudah terhidang. Masing-masing dah ambil tempat duduk.


"Duduklah." Tegur papa bila aku masih tercegat di hujung meja.


Dengan berat hati, aku duduk depan Raid. Ekor mata perasan diri sedang diperhatikan. Mengekori setiap gerak-geri aku tanpa culas.


Sesi makan tengahari berjalan dengan lancar. Aku layan dia bak raja. Nasi dan lauk aku ambilkan. Habis saja, aku tambah biarpun tuan punya badan kata kenyang. Kataku, bukan selalu. Dan tak elok tolak rezeki. Hasil tazkirah tak berapa nak menjadi, Raid akur. Dua ke tiga kali aku terima jelingan dia. Abaikan saja. Marah Raid bukan lama mana, sejam atau dua jam eloklah nanti.


"Awak sibuk?"


Aku yang sibuk basuh pinggan menoleh kanan. Raid meletakkan dulang berisi cawan untuk dibasuh.


"Ya. Saya sibuk basuh semua ni. Awak pun nampak kan?"


"Dah siap, boleh kita bincang?"


Aku ketawa perlahan. Sejak bila Raid pandai minta izin? Selalunya dia main terjah saja. Semuanya dilanggar asalkan kemahuan dia tercapai.


"Bincang apa?" Nak tahu juga topik perbincangan tersebut. Senang aku nak karang ayat siap-siap. Senang aku nak bina perisai sebagai langkah awal jika dia nak lancarkan serangan psikologi.


"Tentang kita."


"Semalam kita dah bincang."


"Kita bincang secara matang, Heera."


"Oh! Semalam saya tak matanglah?" Soalku sambil mencuci cawan yang terakhir tanpa menoleh. Takut terpandang muka bersahaja dia, aku jadi tidak matang seperti dia katakan. Lebih menakutkan cawa di tangan terbang.


"Semalam emosi awak cedera. Sayalah pelakunya. Sebab tu awak jadi tak matang."


Kerja aku selesai. Tuala tergantung di kabinet dicapai. Tangan dilap separa kering. Siap, aku pandang dia. Sempat bibir melarik senyuman tipis. Tanda emosi aku tidak mengalami calar-balar.


"Okey. Kita bincang secara matang. Selesaikan semuanya. Selepas tu, terpulang. Nak teruskan atau berhenti sampai sini." Akhirnya aku akur.


Raid senyum paksa. Tak suka agaknya bila isu putus diketengahkan. Biarpun terpaksa, dia mengerdip mata sekali. Tanda setuju.


"Jom." Aku terlebih dahulu mengetuai perbarisan. Menuju ke laman rumah. Tempat bebas dari segala fitnah.


"Saya minta maaf, Heera."


"Raya ada lagi tiga bulan Raid. Awal sangat awak minta maaf."


"Saya tahu."


Jadi? Kenapa Raid tiba-tiba minta maaf? Kami berdua belum mula sesi perbincangan lagi.


"Tentang Tuan Azurazi."


Aku betulkan duduk. 


"Awak kenal dia?" Tanya Raid.


"Tak." 


"Tolong jujur Heera."


"Okey, saya baru kenal dia."


"Sebab saya...Awak kenal dia?" Tebak dia.


"Ya."


Raid mengeluh panjang.


"Sorry."


Aku garit kening. Pening bila Raid tak sudah-sudah minta maaf. Lagaknya tak ubah seperti seorang pesalah.


"Apa dia suruh awak buat?" 


Kini aku pula disoal. 


"Tak ada apa." Soalan Raid mudah untuk aku jawab.


Dia picing mata. Kurang percaya dengan jawapan aku.


"Betul. Dia cuma cakap, ikut saja arahan. Awak akan selamat. Kerja awak pun terjamin. Tu saja." 


Aku tak bohong. Berapa hari yang lepas, aku ditahan oleh sekumpulan lelaki. Di antara mereka ada Tuan Azurazi bersama. Pertemuan secara rahsia tersebut tidak boleh sampai ke pengetahuan Raid.


Aku nampak Raid mengepal sepuluh jarinya. Sekejap cuma sebelum dia bereaksi tenang bila perasan raut wajah aku sedikit berubah.


"Nanti saya jumpa dia. Hentikan semua ni. Saya tak nak diserap masuk unit pasukan elit."


Kening aku hampir bercantum. Tak faham.


"Nak diserap unit pasukan elit, ada beberapa ujian yang akan saya tempuhi. Dan saya tak tahu apa ujian tu. Tapi sekarang, saya sedar. Awak salah satu daripada ujian untuk saya dapat tiket sertai pasukan tu."


"Tapi...Tuan...Azu..."


"Ujian tu rahsia Heera. Tak ada siapa perlu tahu. Dan tak ada sesiapa tahu kecuali orang dalam."


"Sekejap...Rai...Serina..."


"Dia orang pun mangsa. Sama macam awak. Saya puncanya...Saya yang awak tak patut percaya." Ada getaran di hujung ayat. 


Raid teguk liur dua kali sebelum dia bersuara lagi.


"Jadi...Semua serangan terhadap saya tu, atas arahan Tuan Azurazi? Bukan Rai? Bukan Serina atau Hilman?"


Ada getaran di mata dia sebelum kepala diangguk sekali.


Respon dia buatkan aku buang pandangan seketika ke jalan raya. Rasa tertipu. Rasa diperbodohkan demi kejayaan orang lain. Rasa ditindas pun ada. 


"Kenapa awak tak terus terang pada saya, Raid?" Aku pandang dia semula. 


"Sorry." 


Bukan itu aku nak dengar. Aku mahukan penjelasan.


"Awak sepatutnya terus terang. Awak buat saya syak semua orang. Awak buat saya hidup tak tenang. Siang malam fikirkan siapa pelaku sebenar."


"Sorry."


Aku merengus. Apa saja keluar dari mulut aku, hanya sepatah dibalas. 


Agak lama aku diamkan diri. Lebih selesa pandang laman rumah. Sesekali lirikan aku singgah pada Raid yang tenang menekur lantai. Bermain dengan sepuluh jarinya.


"Awak seronok buat saya macam ni?"


"Tak, Heera."


"Jadi, apa awak nak saya buat? Maki atau marah-marah awak? Panggil abang Mus berlawan dengan awak? Dan halau awak keluar sekarang?"


"Kalau itu mampu melegakan awak, saya terima."


Salah pemikiran Raid. Aku bukan sejenis yang buat keputusan melulu. 


Tanpa kata, aku hela nafas panjang. Bohonglah aku tak marah. Tapi perkara sudah terjadi. Marah pun tak guna.


"Saya harap awak tak batalkan majlis kita."


Tinggi sangat harapan Raid. Batalkan majlis merupakan perkara pertama aku fikir. Besar kemungkinan selepas kahwin pun dia akan rahsiakan semua hal. 


"Mungkin dalam berapa hari ni, akan ada yang ekori awak. Tapi jangan risau, dia orang hanya jalankan kerja. Nak siasat latar belakang bakal isteri saya sebelum sah menjadi isteri. Tak perlu takut, buat macam biasa."


Payah nak jadi bini anggota. Ada banyak sangat rintangan.


"Saya balik dulu, Heera." Raid bangkit bersama senyuman tipis.


"Saya tunggu jawapan awak. Assalammualaikum."


Aku hanya mampu menghantar pemergian dia tanpa kata. Kereta dia dah hilang dari pandangan, tapi aku masih kaku di situ. Masih memikirkan apa perlu aku selepas ini.

Previous: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.