Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
12,606
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Raisha melancarkan perang senyap. Dia lebih banyak membisu. Tidak lagi rancak berbual. Hanya aku yang beria-ia berlakon di depan Shida bahawa kami berdua baik-baik belaka. Takut ada ribut bertiup mengatakan kami bergaduh. Nanti akan ada yang ambil kesempatan mengapi-apikan keadaan. Terutamanya Serina.


"Rai..."


Raisha berjalan tidak menoleh belakang lagi. Tanpa kata, Raisha masuk ke dalam kereta. Belum sempat mengejar, kereta Raisha meluncur pergi meninggalkan aku sendirian di ruangan parking. Lima minit berdiri, tiada tanda-tanda Raisha akan berpatah balik. Dia nekad meninggalkan aku.


Tunduk kepala bila merasakan ada gegaran pada beg tote. Mata tertancap pada skrin telefon. Ada mesej baru diterima daripada Raisha.


+ Sorry...Aku balik dulu. Kau tunggu situ.


Panjang keluhan aku. Terpaksa lupakan hal Raisha terlebih dahulu. Sekarang aku perlu cari cara untuk pulang. Sedang mata melilau sekeliling ada sesuatu yang menggamit. Tidak jauh dari sini, aku nampak Hilman keluar dari dewan. Cepat saja aku pusingkan badan, membelakangi dia. Mengelak bertembung empat mata.


Belum sempat buka langkah, terasa bahu dicuit lembut dari belakanh.  Sejurus menoleh, pandangan aku bertaut dengan seseorang. Spontan mata sedikit meluas. Terkejut.


"Baheera?"


Kelip-kelip pandang dia.


"Rai minta saya hantar awak balik."


Laju aku menggeleng kepala. Aku lebih sanggup tumpang Hilman daripada satu kereta dengan Raid dan Serina.


"Saya boleh tumpang teman lelaki saya." Bohongku. Sepasang iris pura-pura pusing mencari Hilman kembali. Dalam hati sempat berdoa semoga Hilman sendirian supaya mudah aku mengelakkan diri dari menerima pelawaan Raid.


Sayang seribu kali sayang, berjarak tiga meter dari sini aku menemukan Hilman sedang bergelak ketawa dengan seorang perempuan. Perempuan itu memaut lengan Hilman erat, tindak balasnya, Hilman mencuit dagunya sebelum kelibat dua orang manusia itu hilang di dalam perut kereta.


"Teman lelaki awak nampak tak kisahkan awak. Siap boleh curang lagi."


Mengetap sepasang bibirku mendengar ayat Raid. Kedengaran menyindir pun ya. Terpaksalah aku pusingkan badan, berdepan dengan dia kembali.


"Curang tu pilihan dia. Sekali pun curang, saya tak kisah. Dan saya tak cemburu." Luahku sebal. Perasaan itu sudah pun mati sejak bertahun-tahun dahulu


"Tapi awak nampak kecewa."


Nampak gayanya, Raid seperti mahu memanjangkan perbualan. Ini tidak sepatutnya terjadi. Takut kepala aku akan tumbuh tanduk. Nekad nak rampas Raid daripada Serina. Biar perempuan itu meroyan. Dendam lama aku pun terlunas.


"Lebih baik tuan balik. Tunang tuan mesti dah lama tunggu tuan dalam kereta." Sengaja aku tekankan perkataan tunang. Nanti apa kata Serina bila nampak kami berdua-dua di sini. Takut aku dituduh cuba menggoda tunang dia pula.


"Saya akan balik selepas hantar awak." Raid berpeluk tubuh memandang aku.


"Jawapan saya masih sama. Saya akan pulang sendiri." Aku tetap dengan pendirian untuk menolak sekeras-kerasnya tawaran dia.


"Tuan boleh bohong pada Rai yang tuan telah selamat hantar saya pulang. Rai tak akan tahu." Kataku lagi.


"Seumur hidup saya tak pernah berbohong." Potong Raid dengan muka serius.


"Bohong sunat tak salah, tuan."


Bibir atas dan bawah Raid terpisah. Sebelum Raid bersuara, aku lebih dahulu mencantas.


"Tuan pusing, balik. Saya yakin tunang tuan akan cemburu melihat kita. Nanti timbul cerita saya ni langau yang sibuk kacau masa tuan bersama tunang tuan." Dua kali menyebut perkataan tunang, hati mula rasa membengkak. Jika Raid tiada apa kaitan dengan Serina, aku akan turuti saja perintahnya tanpa prejudis.


"Tunang saya dah balik."


Oh! Kesunyianlah sekarang? Apa Raid punya niat mahu curang juga?


"Saya cuma jalankan amanah Rai. Dia suruh saya hantar awak balik. Kalau tak, jangan harap saya nak tumpangkan perempuan lain selain Serina."


Entah kenapa aku merasa terpukul dengan ayat dia. Cemburu mula berleluasa bila dengar nama Serina meniti dari mulut dia. Ayat Raid itu kedengaran terpaksa. Macam ada konspirasi antara mereka adik beradik sampaikan Raid setuju untuk hantar aku pulang.


"Saya akan balik dengan tuan." Aku akur. Gaya Raid, aku yakin dia akan pastikan aku pulang dengan dia dengan apa cara sekalipun.


"Tapi dengan syarat."


Tak jadi dia nak mengorak langkah. Berkerut dahi dia. Malah seraut wajah serius dia mempersembahkan padaku.


"Pastikan cermin kereta tuan gelap. Orang luar tak boleh nampak. Saya tak nak cerita tuan curang berleluasa dan sampai ke telinga Serina."


Tajam dia merenung aku. Tidak menjangka agaknya aku akan meletakkan syarat.


"Kereta saya bukan kereta orang kenamaan. Tapi kereta saya masih mampu halimunankan manusia." Usai berkata, Raid berjalan ke kereta di sebelah kami. Muka serius dia bertambah serius. Marah agaknya dengan permintaan aku yang bukan-bukan. Itu semua demi mengagalkan niat Raid menumpangkan aku pulang.


Aku tarik nafas dalam-dalam sambil menggenggam erat beg. Aku panjatkan doa semoga tidak terserempak dengan sesiapa termasuk Serina. Demi mengelak semua fitnah, Raid hanya perlu memandu terus ke rumah. Semuanya dijamin aman.


"Awak kenal Serina?"


Dia, aku kerling. Kemudian fokus aku pada jalan raya semula. Hati belum terbuka nak pandang muka tunangan orang. Tidak sihat untuk mata dan hatiku.


"Kawan satu kelas. Kenal-kenal macam tu je." Jawab aku acuh tak acuh.


"Jadi awak pura-pura tak kenal saya?"


Salah soalan Raid. Soalan itu sepatutnya dituju pada diri dia.


"Kita pernah berjumpa sebelum ni." Kata Raid lagi.


Raid sepatutnya diam dan fokus pada pemanduannya. Bukannya memulakan sesi perkenalan. Aku tak berminat.


"Saya yang saman awak langgar lampu merah."


Ya! Raid yang saman aku minggu lepas kerana melanggar undang-undang jalan raya. Walaupun puas dipujuk rayu, Raid tetap menyerahkan surat cintanya padaku. Melayang tiga ratus ringgit.


"Maaf tuan! Saya tak suka kenang perkara yang sudah lepas. Benda dah basi. Berkulat. Tak elok untuk saya. Takut nanti saya jatuh sakit." Potongku sedikit keras.


Sepi setelah itu. Tiada lagi suara Raid. Keamanan aku tergugat bila mana kereta dia memberi isyarat ke kiri lalu memasuki stesen minyak. Semakin tidak betah duduk lama-lama dalam kereta dengan dia. Bukan aku tak tahu, dia pantang nampak peluang. Semua dia kaut. Dah nama pun lelaki.


"Tuan sengaja mendedahkan kita pada umum? Kalau ada yang terserempak kita bersama, macam mana?" Tanpa berlengah aku hamburkan soalan. Sesekali dia, aku kerling dengan muka tak puas hati.


"Apa yang awak takutkan sangat? Yang kena serang, saya. Sebab saya tunang Serina. Bukannya awak." Selar Raid bersahaja.


Dinding bibir digigit. Aku diam seribu bahasa. Ekor mata nampak dia menjeling aku sebelum kereta berhenti berhampiran pam minyak. Terdengar handbrake ditarik, tali pinggang dilepaskan dan sepi lagi.


Kesepian berlarutan sehingga lima minit. Tiada tanda-tanda Raid akan turun. Hal tersebut membuatkan aku menoleh. Raid sedang buangkan pandangan ke luar tingkap. Aku terdorong melakukan hal yang sama.


Besar bukaan mata melihat kereta sebelah. Bukan kereta yang menjadi perhatian. Tetapi pasangan kekasih yang baru meloloskan diri ke dalam kereta setelah selesai berbelanja di kios pam minyak. Jelas terpancar kegembiraan di wajah mereka. Nampak bahagia sampai lupa mereka sebenarnya menjadi perhatian semua. Termasuk aku dan Raid.


"Itu Serina." Sebut aku. Ketika itu aku nampak Serina dengan manjanya melentokkan kepala di bahu si jejaka tinggi lampai. Sejurus itu kereta mereka meluncur pergi.


"Serina dah ikut jejak langkah teman lelaki saya. Dia curang. Nasib kita sama, tuan."


Cepat aku menekup mulut. Sedar yang aku sudah mengguris hati Raid tanpa sedar. Sesaat kemudian barulah Raid turun kereta. Dahi ditepuk berkali-kali.


"Bodoh kau, Heera!" Omel aku perlahan. Sepatutnya aku tidak masuk campur urusan mereka.


Tiada suara dari sebelah. Raid berubah menjadi pendiam selepas kejadian bertembung dengan Serina di stesen minyak tadi. Muka serius hanya mampu aku jeling. Kesudahannya, aku pun ikut diam. Itu lebih baik.


"Tuan tahu rumah saya?" Seingat aku, Raid tidak bertanya langsung. Tahu-tahu saja, kereta Raid sudah memasuki lorong taman perumahan aku.


"Saya tahu awak tak akan bagi kerjasama. Awal-awal Rai dah bagi alamat rumah awak."


Raid semakin handal menyakit hati aku. Sepanjang hayat, aku lah orang yang terpaling senang diajak untuk bekerjasama. Cuma dengan Raid aku belum jumpa keserasian itu lagi. Atau mungkin kami tidak akan serasi langsung.


"Pasal Serina..."


Aku teguk liur. Cuba menahan segala rasa yang bercampur-baur setiap kali Raid menyebut nama Serina. Tak tahu kenapa ada terselit sedikit rasa cemburu. Cemburu mengenangkan Serina sentiasa bertuah soal cinta.


"Tolong rahsiakan apa yang awak nampak tadi. Saya tak nak perkara tu sampai ke pengetahuan keluarga saya."


Benar kata Raisha. Abangnya tidak sesuai bersama dengan Serina. Raid masih mampu terima setelah nampak dengan kepala mata sendiri kecurangan Serina.


"Terima kasih tumpangkan saya." Sengaja aku tidak merespon perihal tunangan Raid. Hati sudah bengkak teruk. Tunggu masa pecah saja.


"Assalamualaikum."


Cepat-cepat aku turun lalu melangkah masuk tanpa menoleh. Takut terpandang raut wajah kecewa milik Raid. Lebih menakutkan jika muka aku akan lahirkan rasa simpati. Lelaki sangat elergik dengan simpati. Lebih-lebih lagi simpati dari seorang perempuan. Automatik ego mencanak naik. Nanti mulalah marah-marah macam lembu jantan!


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.