Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
12,609
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Lama aku memerhati tingkah Hilman. Daripada memerhati, aku sempat menilai. Hasil penilaian tersebut, aku menemukan sesuatu yang sangat menarik perhatianku. 


“Awak bergaduh dengan siapa Hilman?” Ada peta lautan biru di pinggir bibirnya. Peta lautan tersebut telah merebak ke kawasan mata kanannya pula. 


“Oh, ni?” Hilman sentuh perlahan bibirnya. Senyuman tipis terlebih dahulu memberi jawapan. 


“Saya pun cedera, Heera. Tapi tak seteruk awak.”


Ada rasa curiga dengan jawapan Hilman. Rasa curiga itu semakin sukar dibendung bila Hilman seperti cuba mengelak pandangan mata. Bahkan ada getaran jauh di dalam matanya.


“Saya syak, yang langgar mulut dan mata awak tu manusia...Manusia yang pandai hayunkan buku lima ke muka orang. Tak begitu Hilman?”


Sepi. Hilman tidak mengeya atau menidakkan. Sebelum ketawa dia meletus. Semakin aku penasaran jadinya.


“Siapa punya angkara?” Desak aku bila ketawa Hilman itu lain benar bunyi. Kedengaran janggal.


“Papa saya? Atau abang Mus?” Boleh jadi ada adegan bergusti ketika Hilman ingin merempuh masuk ke sini tadi.


“Macam mana keadaan awak hari ni? Dah makan?”


Tak guna mendesak. Hilman sememangnya pakar dalam mengelak. Terlalu jaguh. Sampaikan mengelak lori, aku pula menjadi mangsanya. Sepatutnya dia layak diberi anugerah.


“Esok saya dah boleh keluar.” Enggan panjangkan lagi hal tersebut. Mendesak hanya menjemput kemarahan dia. Perkara itu tidak sepatutnya terjadi.


“Lega hati saya.” 


Hati Hilman mungkin lega, tetapi aku tidak. Hujung mata naik mengerling Tuan Azman dan abang Mus yang berdiri tidak jauh dari sini. Memerhati kami berdua tanpa sedikit pun mengalihkan pandangan.


“Esok saya jemput awak, Heera.” Bukan main lebar senyuman Hilman. Sarat dengan harapan yang menggunung tingginya. 


“Terima kasih Hilman.”


Ucapan aku menambahkan lagi suntikan vitamin. Lihatlah, semakin mekar senyuman dia.


“Saya masih ada abang dan orang tua, mereka boleh jemput saya pulang. Lagipun, tak manis kalau kita selalu keluar.” Cara paling berhemah aku menolak. Penolakkan aku melegakan hati abang Mus. Dari jauh aku nampak segala kerisauan terpampang di wajah abang Mus telah dibawa pergi.


Rasa kecewa Hilman disembunyi dengan senyuman tipis.


“Waktu melawat dah tamat Hilman.” Tak ada niat ingin mengusir. Tetapi aku faham sangat dengan isyarat mata abang Mus.


“Awak perlukan rehat secukupnya.” Sehabis daya aku memujuk dengan cara paling sopan. Supaya tiada yang terasa hati.


“Saya minta maaf Heera. Saya tak sengaja.” Mata Hilman turun pada tangan aku yang berbalut.


“Benda nak jadi Hilman. Dan saya tak salahkan sesiapa.” Sudah tertulis begini jadinya. Aku hanya perlu redha dengan ketentuan.


Perbualan kami terganggu dengan kemunculan pengawal keselamatan wanita yang datang memberi peringatan buat pelawat. Barulah Hilman angkat punggung.


“Kita boleh jumpa lagi?”


Permintaan Hilman sulit untuk aku tunaikan. Apalagi, abang Mus sudah geleng kepala dari jauh.


“Hati-hati pulang Hilman.” Titipku. Sengaja membiarkan soalan Hilman tergantung sepi.


Abang Mus mengedip mata. Memuji tindakan aku dalam diam. Ekor mata dia mengiringi langkah Hilman yang nampak sedikit goyah. Awan mendung mengekori rapat sebelum susuk tubuh itu menghilang dari pandangan.


“Heera masih sayangkan dia?”


Soalan abang Mus tersangatlah random. Tersangatlah juga tidak kena masanya.


“Mana Raid?” Sejak kemunculan Hilman, lelaki itu hilang tanpa dapat dikesan.


“Dia kerja.”


Turun naik kepala aku. Ada rasa sedih bila Raid pulang tanpa maklum. Menghilang begitu saja. Demi mengusir segala rasa tidak sihat itu, aku rebahkan badan. Selimut ditarik sehingga ke paras hidung. Mata dipejam rapat secara paksa.


“Kita belum habis bincang lagi Heera.”


“Heera nak tidur.” Aku belum ada hati nak berbincang. Hati aku dirobek gara-gara Raid.


Terdengar abang Mus hela nafas berat. 


“Sleep tight.” Kepala aku diusap.


“Esok-esok kita boleh bincang Mus.” Suara Tuan Azman menyelamatkan keadaan sebagai. Demi mengelak tercetusnya perang mulut antara aku dan abang Mus.



PAGI ini, separuh semangat aku hilang. Entah mengapa jiwa terasa kosong. Gara-gara kekosongan itulah aku mengeluh entah ke berapa kali. Dan keluhan aku sampai ke pendengaran abang Mus yang sibuk mengemas barang-barang untuk discharge.


“Apa yang tak kena?” Abang Mus kerling aku. Tangan masih lincah buat kerja.


“Banyak.” Sepatahku jawab.


“Biar Heera tolong.” Duduk saja tak mampu kembalikan roh aku yang melayang entah ke mana. Ada baiknya sibukkan diri.


“No. Just stay.”


Bantuan aku ditolak mentah-mentah. Kata abang Mus, tangan belum elok sepenuhnya. Mental pun masih koyak. Semangat lagilah, hilangnya serupa orang putus cinta. Tersangatlah tidak munasabah senarai alasan yang dikemukan.


“Tentang Hilman…” Ayat aku terhenti. Tangan kiri sibuk capai semua barang-barang peribadi untuk disumbat ke dalam beg tangan.


“Dia punca Heera jadi tak siuman? I see…”


Pergerakkan aku terhenti gara-gara rumusan abang Mus yang sedikit tersasar.


“Heera masih belum putuskan hubungan dengan dia?”


“Heera dengan dia dah tak ada apa-apa.” Tak tahu berapa kali aku perlu ulang jawapan yang sama. Mungkin aku perlu pertimbangkan mahu mengadakan sidang media. Biar satu dunia tahu bahawa aku bukan lagi kekasih Hilman.


“Tapi Heera bagi dia harapan.”


Berkerut teruk dahi aku. Apa abang Mus fikir harapan itu mampu beli di mana-mana dan begitu senang diserahkan kepada sesiapa pun.


“Keluar dengan dia…Masih layan dia…Itu sama maksud Heera sedang beri dia harapan.”


Itu semua hanya kebetulan. Dan kemunculan Hilman itu setelah lama kami tidak berhubung. Mana tahu kemunculan dia pula diwaktu-waktu yang salah. Sudahlah salah, diakhir pertemuan pasti akan terjadinya kecelakaan. Hairan aku dibuatnya.


“Sorry.” Kali ini aku akui, silapnya datang dari aku sendiri. Sepatutnya aku bantah sekeras-kerasnya semua yang berkaitan dengan Hilman.


“Abang cukup tak berkenan dengan dia.”


Ya. Itu merupakan penyebab utama aku tarik diri menjadi kekasih Hilman. Beradab bukan hanya dengan kekasih saja. Lelaki itu perlu mendalami ilmu beradab dengan orang lebih tua juga demi keharmonian bersama.


“Tak tahu mana Heera kutip budak tu…Tengok sekarang apa dah jadi?”


Abang Mus sedang menyerah awan hitam kepada aku. Awan yang sarat dengan guruh dan titisan air hujan. Sesekali sambaran guruh tersebut tepat mengenai hati. Sakitnya tak terkata. Pedih dan menusuk ya.


“Heera jamin kejadian ni tak akan berulang lagi.” Akan aku karang ayat-ayat perpisahan buat Hilman. Ayat yang mampu menyedarkan lelaki itu bahawa dunia ini nyata. Tidak semuanya indah belaka.


“Heera akan jauhkan diri dari dia.” Aku janji ke dua menyusul, demi meraih secebis kepercayaan.


“Heera akan ranapkan semua harapan Hilman, biar lebur. Biar tidak bercambah.”


Barulah abang Mus memberi reaksi puas hati dengan semua janji-janji aku.


“Jangan janji kosong je.”


“Ya.” Aku patuh tanpa sebarang pemberontakkan. Cukuplah satu ketika dahulu aku lancar bantahan gara-gara Hilman. Perkara tersebut tidak boleh berulang lagi.


“Dah siap?”


Kepala terangguk-angguk beberapa kali. Tak sabar nak pulang ke rumah. Rehat puas-puas dan kembali bertugas. Terlalu lama aku meninggalkan mereka semua. Ada rasa rindu ingin melayani karenah anak-anak muridku. Lebih-lebih lagi pelajar bernama Raid. Pelajar sementara yang sulit diurus.


Setibanya di rumah, telefon aku tidak henti-henti menjerit. Awalnya, aku biarkan saja. Tidak mahu diganggu. Apalagi jika si pemanggil itu Hilman. Memang aku akan sekat terus nombor dia sebagai langkah awal menjauhkan diri.


Lima minit berlalu membuatkan aku akhirnya mengalah. Telefon yang berada di hujung katil diraih. Tertera nombor tidak dikenali. Ada juga notifikasi whatsapp dari nombor tersebut. Belum sempat mesej tersebut dibaca, sekali lagi telefon aku berbunyi. Panggilan dari nombor yang sedang menjadi tanda tanya.


“Ya?” Soalku sejurus telefon melekap di telinga.


“Ada apa?” Aku tidak menunggu lama untuk bertanya. Gaya si pemanggil seolah-olah ada perkara yang sangat penting ingin disampaikan.


Agak lama aku mendengar setiap bait-bait bicaranya di hujung talian. Lama-kelamaan, bicaranya menimbulkan kerutan yang cukup dalam. Cukup membuatkan aku tertanya-tanya.


“Sekejap…Sekejap…” Sebelum cerita jadi berbelit, aku mencelah.


“Awak cakap apa tadi?” Aku mohon dia ulang semula ayat-ayat sebentar tadi. Supaya aku lebih faham apa kemahuannya.


Termenung panjang aku bila penerangan secara berulang disampaikan. Satu per satu. Lebih teliti. Lebih mudah difahami.


“Tolong batalkan semua permohonan tu.”


“Tapi…” Suara pemanggil kaget dengan permintaan aku.


"Arahan saya, tolong batalkan segala tuntutan insurans kecederaan mahupun kemalangan melibatkan diri saya." Ulang aku cukup tegas. 


"Alhamdulillah saya masih hidup. Tak ada kecederaan serius. Otak pun bebas dari segala gegaran. Dan saya sihat walafiat." Tekanku tanpa peduli siapa penerimaan si pemanggil. 


"Sekali lagi saya ulang. Tolong batalkan semuanya sebelum saya buat laporan polis." 


Terkoncoh-koncoh si pemanggil meminta maaf sebelum menamatkan panggilan. Tanpa berlengah, aku dail nombor seseorang yang ada potensi menjadi mangsa tuduhan.


"Saya perlukan penjelasan Hilman."


Aku telah melanggar perjanjian di antara abang Mus. Aku kembali berhubung dengan Hilman. 


"Siapa yang buat tuntutan insurans kecederaan kekal tanpa pengetahuan saya?" Sejurus panggilan bersambut suara aku separa menjerit.


"Tolong jelaskan sebelum saya buat laporan polis. Perkara ni bukan main-main Hilman. Ni perkara serius." Aku bersuara tanpa memberi peluang Hilman bela diri.


Aku diperdengarkan suara Hilman yang tidak keruan. Suara dia kedengaran seperti orang tertangkap orang buat salah.


"Tolong jujur." Kataku sebelum aku memilih untuk diam. Mendengar dengan teliti apa kata Hilman.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.