Home Novel Cinta Sebenarnya Dia Milik Aku
Sebenarnya Dia Milik Aku
4/7/2013 11:04:07
84,530
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Bab 8

HARI kedua di kampung, penggambaran masih dijalankan di pinggir hutan yang sama. Selepas Subuh semua krew dan pelakon harus bersedia untuk meneruskan penggambaran. Laura Jane tidak sempat menemui Mak Ngah

Milah. Dia yakin penggambaran akan berakhir lewat malam. Dan tidak akan punya kesempatan untuk mencungkil rahsia.

Pada hari keempat barulah lokasi penggambaran beralih ke kampung di tepi sungai. Selama beberapa hari di pinggir hutan, hubungan antara hero dan heroin berkembang dan mereka saling menyukai antara satu sama lain. Lalu hero membawa heroin ke kampungnya. Heroin mengubah dirinya menjadi gadis kampung untuk bersembunyi daripada pihak berkuasa.

Hero mulai jatuh hati pada heroin. Hero mempunyai seorang nenek yang sudah tua dan buta pula. Rumah nenek hero di kampung itu kecil dan agak usang. Penggambaran dilakukan berhampiran dengan rumah banglo Pak Ngah Bujang. Rumah itu memang rumah tinggal yang tidak berpenghuni lagi. Rumah itu dijadikan rumah nenek hero. Hero filem itu sebenarnya tinggal di ibu kota dan memiliki rumah yang indah. Tetapi dia sengaja menyatakan pada heroin bahawa dia orang miskin dan tidak berharta. Sekadar menguji hati heroin. Dia ingin tahu siapakah heroin sebenarnya yang masih lagi menjadi suatu misteri.

Laura Jane tercegat di hadapan rumah kecil itu. Dan ingatannya berputar semula kala pertama kali Said membawanya ke rumah Mak Timah. Dia memandang hina pada Mak Timah yang berpakaian lusuh dan buruk. Tiba- tiba Laura Jane tersedu-sedu memandang rumah buruk itu. Segala peristiwa lama bagaikan terulang semula. Dia tidak ingin mengulangi cerita itu biarpun hanya sebagai satu lakonan.

“Cut!!!”jerit Abang Mokhtar.

“Laura! Kenapa dengan you? Siapa suruh you nangistersedu-sedu ni? Sepatutnya you happysebab dapat keluar dari hutan dan mulakan hidup baru di kampung.”

“I...I tak tahu kenapa...dengan I,” kata Laura Jane dengan suara yang serak. Dia menyapu air matanya perlahan-lahan. Wajahnya cemik dan bibir tercebik ke hadapan.

“Apa yang you sedihkan ni?”

Laura Jane tidak menjawab.Malas dia hendak menjawab pertanyaan yang berbaur curiga itu.

“Ben mana?” tanya Abang Mokhtar sambil tercangak- cangak mencari kelibat Ben di antara krewnya ada di situ.

“Dah balik KL semalam,” jawab Miss Kay yang duduk berdekatan dengan Laura Jane. Laura Jane asyik termenung.

“Ooo...patutlah! Sedih sebab Ben tak ada kut?” “Ahhh! Sudahlah Abang Mok! Jangan nak sindir-sindir I

pulak! Karang I balik KL baru you tahu!”Tiba-tiba Laura Jane mengamuk.

“Okey...Laura! Sorry! Kita rehat minum dulu. Oi! Nasi lemak ada lagi ke?” jerit Abang Mokhtar pada anak buah.

“Sorry!Dah habis bang!” jerit anak buah Abang Mokhtar.

Mak Ngah Milah diupah memasak makanan mereka. Wanita itu memang pandai memasak. Setiap hari menunya berbeza. Dan mereka benar-benar puas hati di atas layanan baik Pak Ngah Bujang dan isterinya.

Setelah 10 minit berehat, Abang Mokhtar kembalimenjerit-jerit meminta krew bersedia untuk kembali merakam filem.

Laura Jane letih tidak terkata. Ditambah dengan fikirannya yang asyik melayang mengingati perkara lain, dia kerap kali tersilap aksi dan dialog. Dia sudah mencuba sedaya upaya untuk tidak melakukan kesalahan. Namun dia tetap tersasul juga. Aduh! Dia benar-benar sedang parah. Setiap kali tersilap, rakaman harus diulang semula. Abang Mokhtar mula naik angin.

Kedatangan rombongan orang filem itu tersebar di segenap kampung. Hari itu ramai orang datang melihat Laura Jane berlakon. Semasa di pinggir hutan dahulu ada juga yang datang tetapi tidak seramai waktu penggambaran di dalam kampung. Suasana agak kecoh dengan kehadiran budak-budak. Ada juga yang datang untuk mendapatkan tandatangan Laura Jane.

Penggambaran agak terganggu. Abang Mokhtar terpaksa bersabar. Laura Jane memang mempunyai ramai peminat dan dia tidak boleh berlagak sombong di hadapan para peminatnya.

Laura Jane perasan ada seorang lelaki yang asyik mengambil gambarnya. Dia tahu, berdasarkan kamera yang digunakan, lelaki itu adalah jurugambar profesional. Dia merenung lelaki itu dari jauh, tidak senang dengan kehadirannya. Lelaki itu hanya tersenyum dan enggan berganjak dari lokasi penggambaran.

Jika boleh Laura Jane ingin menghalau lelaki itu pergi tetapi tidak mungkin dia dapat berbuat demikian. Siapakah lelaki itu? Fikir Laura Jane bertalu-talu.

Pada hari berikutnya, lelaki itu tidak muncul lagi. Laura Jane rasa lega. Akhirnya penggambaran berakhir mengikut jadual. Esok pagi mereka akan pulang ke Kuala Lumpur dan penggambaran diteruskan di beberapa lokasi di ibu kota. Sebuah rumah banglo sudah dipilih sebagai rumah hero. Heroin datang ke Kuala Lumpur mengikut hero. Hero dan heroin mengadakan majlis perkahwinan yang meriah.Namun perkahwinan itu tidak direstui oleh ibu hero, seorang wanita berkarisma. Dia juga seorang hakim yang berjaya dan berkaliber.

Petang itu sebelum kembali ke ibu kota, Laura Janebersiar-siar di sekitar kawasan kampung itu. Dia berjalan dengan ditemani Miss Kay ke jeti di pinggiran sungai.Tahun 60-an hingga70-an dahulu jeti kampung itu dijadikan tempat turun naik motobot. Semasa Laura datang ke situ mengikut suaminya Said, pertengahan tahun1995, sudah ada jalan berturap tar hitam walaupun tidak luas. Kini jalan raya di kampung itu sudah diperbesarkan. Kereta pun sentiasa banyak di jalanan. Suasana sudah bertukar bising dan hidup.

Rumah papan sudah tiada, diganti rumah batu yang cantik seni binanya. Kalau pun masih ada sebuah dua rumah papan itu termasuklah rumah ibu mentuanya dengan tanah yang terbiar, ditumbuhi belukar. Dusun kecil di belakang rumah pasti sudah berubah menjadi hutan.

“Nyaman suasana di kampung ni,kan? Segalanya ada. Sekolah, masjid, kedai makan dan kedai runcit,” kata Miss Kay, si jurusolek artis.

Dia jenis lelaki lembut, dua alam. Nama sebenarnya Kamaruddin tetapi lebih suka dipanggil Miss Kay. Raut wajahnya nampak halus, sentiasa dialas solekan. Rambut panjang diwarnakan perang.

Laura Jane hanya mengangguk. Dia memerhati sekeliling kawasan jeti itu. Kemudian matanya ditebar jauh ke tengah kampung. Nampak pokok kelapa yang tinggi menjulang. Ada juga pokok-pokok kelapa yang sudah mati tetapi batangnya masih tegak dengan pucuk dan dahan-dahankelapa yang tunduk ke bawah. Dari jauh kelihatan seperti seekor labah- labah gergasi terapung di udara.

“Kay! I nak ajak you pergi satu tempat!”

Laura Jane menarik tangan Miss Kay lalu terus berjalan laju. Miss Kay terkial-kial mengikut sambilgelak-gelak manja.

“Alaaa...you tarik-tarik I ni nak pegi mana Laura?” “Ikut ajelah!” balas Laura Jane.

Akhirnya mereka tiba jua di kawasan rumah Mak Timah. Memang tidak begitu jauh dari jeti, lebih kurang 10 minit berjalan kaki.

“Eee, semaknya! Rumah siapa ni?” tanya Miss Kay ingin tahu.

Laura Jane terdiam, memerhati sahaja ke arah pintu pagar kayu yang sudah roboh.Dia bergerak beberapa langkah menghala ke rumah bersebelahan dengan rumah MakTimah. Rumah itu kelihatan terang, berjaga rapi. Semoga Mak Yah masih hidup dan masih ada di rumah itu. Dia terus memberi salam. Muncul seorang wanita dari dalam rumah. Sah, wanita itu adalah Mak Yah.

Wajah MakYah kelihatan tua.Rambutnya sudah memutih. Namun tubuhnya nampak masih sihat. Dia berdiri di muka pintu, tercengang-cengang. Beberapa kali dia membetulkan cermin mata yang tersangkut di atas batang hidung yang leper seperti pelepah pokok kelapa.

“Ya, cari siapa?” tanya Mak Yah. Dahinyaberkerut-kerut memandang Laura Jane.

Kemudian dia tersengih menayang gigi palsu.

“Oh! Bintang filem tu rupanya! Hei, budak-budak!Mari! Mari! Bintang filem datang rumah kita,” kata MakYah memanggil cucu-cucunya.

Dari dalam rumah keluar tiga orang remaja lelaki dan dua orang remaja perempuan.

“Laura Jane la nek! Kenapa dia datang rumah kita nek?” Laura Jane kelu tidak terkata. Memang Mak Yah tidak kenal dan cam pada Laura Jane lagi tapi cucu-cucunya kenal benar padanya. Kadang-kadang dia terlupa bahawa dia bukan lagi Nur Laila, sebaliknya dia adalah Laura Jane yang kaya raya, hidup dalam dunia penuh glamor. Rupa paras dan pakaian yang tersalut di badan memang jauh berbeza dengan penampilannya semasa menjadi isteri Said.

Cucu Mak Yah meluru ke arahnya, mengajak dia bergambar. Masing-masing menghulur buku autograf. Hasrat yang terbuku di hati Laura Jane tidak terluah. Mak Yah sudah tua dan mungkin dia sudah tidak ingat lagi. Sesungguhnya dia adalah Nur Laila isteri Said, menantu Mak Timah.Walaubagaimana sekali pun secara zahirnya dia berubah tetapi hati di dalam masih wanita yang sama.

Malam itu, sebahagian daripada krew keluar ke bandar Temerloh untuk berhibur. Ada yang pergi ke pusat snuker ataupun kelab malam.Abang Mokhtar tidak ke mana-mana,melayani Pak Ngah Bujang berbual. Laura Jane keluar dari bilik tidur,terus ke dapur.Kononnya dia kehausan.Mak Ngah Milah ada di dapur, sedang mengemas pinggan mangkuk.

“Mak Ngah, ada air kosong?” Laura Jane menegur, ramah.

Senyum mesra dilempar. Mak Ngah Milah tersengih menyambut senyuman Laura Jane. Sudah agak lama Laura Jane tinggal di rumah itu. Kesombongan yang ditunjukkan hanya perisai, untuk melindungi diri. Sebenarnya dia masih memiliki hati nurani. Apatah lagi Mak Ngah Milah sentiasa mesra melayani para tetamu istimewa itu.

“Ada cik,” kata Mak Ngah Milah sambil menunjuk ke arah sebuah jug besar berisi air kosong.

Laura Jane menuang air ke dalam gelas, dia duduk di salah satu kerusi di ruang dapur yang sederhana luas itu.

Dengan berhati-hati dia cuba memulakan perbualan dengan Mak Ngah Milah.

“Mak ngah sibuk ke? Saya nak tanya sesuatu dengan mak ngah.”

Mak Ngah Milah menoleh, dia tidak sangka malam ini Laura Jane berubah jadi peramah. Selama ini dia jarang berbual dengan sesiapa. Selepas balik dari penggambaran dia terus masuk bilik untuk berehat.

“Nak tanya apa cik?” tanya Mak Ngah Milah sambil mengesat tangan dengan kain lap kemudian duduk di hadapan Laura Jane.

“Saya ada kawan, dia pernah duduk kat kampung ni...

tapi kami dah lama putus hubungan. Saya nak cari dia.” “Kawan? Siapa namanya?”

“Nama dia Laila,” jawab Laura Jane dengan penuh hemat, berhati-hati.

“Laila? Anak siapa?” tanya Mak Ngah Milah lebih lanjut.

“Anak...anak Mak Timah...”

Suaranya tersangkut-sangkut, berbohong. Padahal Nur Laila adalah menantu Mak Timah.

“MakTimah...hmm...” Mak Ngah Milah cuba mengingati sesuatu.

“Ada ramai Mak Timah dalam kampung ni,” katanya setelah agak lama berfikir.

“Tapi Mak Timah yang ada anak perempuan nama Laila tu tak ada kat kampung ni. Mak Timah Jawa, anak lelaki semuanya lima orang. Mak Timah Hitam, tak ada anak langsung. Mak Timah Misi, anak dia perempuan namanya Bibah,Tinah, yang bongsu Intan. Semuanya dah kahwin, ikut suami masing-masing.”

“Mak Ngah yakin ke?”

“Yalah, yakin sangatlah. Mak ngah kenal semua orang kampung ni!”

“Mak ngah kenal dengan Mak Timah yang anaknya nama Said?”

“Kenal! Apa pula tak kenal,” jawab Mak Ngah Milah. Dahinya dikerut hingga berlapis-lapis.

“Tadi kamu kata anaknya nama Laila. Kalau tak silapnya Laila tu menantu dia.”

Laura Jane terdiam.Takkan dia mahu menyatakan Laila itu adalah menantu Mak Timah. Menantu tak guna yang melarikan barang kemas dan duitnya. Dan meninggalkan anak yang baru lahir lebih kurang seminggu. Kemudian apabila pintu hati Laura Jane mulai diketuk rasa kesal, baruterhegeh-hegeh mencari. Laura Jane tidak sanggup untuk menerima hakikat itu. Dia telah melakukan kesilapan paling besar yang tidak dapat dibaiki lagi. Mungkinkah?

“Kat mana Mak Timah tu sekarang? Menantu dia tu...

kawan...kawan saya.”

“Hmm...dah lama dah pindah.Tak pernah dengar khabar berita lagi,” jawab Mak Ngah Milah.

“Cucunya?”

Tiba-tiba Pak Ngah Bujang memanggil Mak Ngah Milah ke ruang depan. Mak Ngah Milah tergesa-gesabangun.Tidak lama kemudian dia masuk semula ke dapur.Kelam-kabut menjerang air.

“Nak kopi pulak dia orang tu. Kering tekak berborak. Cik nak kopi jugak?”

Laura Jane menggeleng.Dia kehilangan kata-katamelihat Mak Ngah Milah sibuk menyediakan minuman.

“Kalau boleh,awak gorengkan mi segera,” ujar Pak Ngah Bujang menjengukkan wajah di muka pintu yang memisahkan ruang luar dan dapur.

“Dah mi goreng pulak. Mujurlah ada Mee Sedap,” balas Mak Ngah Milah seperti merungut tetapi Pak Ngah Bujang tidak langsung berasa hati.

“Alah, bukan selalu Milah. Lagi pun malam ni aje awak sibuk sikit. Haa, malam esok pukul 8.00 awak dah bolehlah masuk dalam kelambu,” balas Pak Ngah Bujang sengaja berlucu.

Laura Jane hanya tersenyum kecil.

Dia bangun meninggalkan ruang dapur apabila melihat Mak Ngah Milah sibuk dengan tugas yang baru diarah oleh suaminya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.