Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
81,692
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

“Along! Nanti dulu. Abah nak cakap sikit dengan kamu.” Tengku Ismail yang bersuara tegas membuatkan langkah laju Tengku Faiq terhenti di muka pintu.

“Duduk sini, along. Abah nak bercakap dengan kamu.” Nada sama dilontarkan oleh Tengku Ismail. Surat khabar yang dibaca dilipat dan diletakkan di atas sofa sebelahnya. Pandangannya tajam menikam bola mata anaknya yang kelihatan tegang.

Tengku Faiq melangkah malas menuju ke ruang tamu di mana abahnya sedang menunggu. Tahu benar dia dengan apa yang bakal didengari sebentar lagi. Tubuhnya dihempaskan di atas sofa lembut itu.

“Apa dia bah? Along nak keluar kejap ni,” jawab Tengku Faiq perlahan sambil meraup wajahnya. Air muka abahnya yang tegang tidak berani dipandang.

“Abah tak pernah ajar anak abah berkasar dengan perempuan macam tu, apatah lagi perempuan itu adalah isteri kamu, Faiq,” bidas Tengku Ismail tegas.

“Abah... along tak faham macam mana abah boleh senang-senang percayakan dia yang terang-terang nak ambil kesempatan. Along kenal dengan dia tak sampai tiga bulan. Lepas tu, abah dah terus nak jadikan dia pengganti Sara. Along akui, along terhutang nyawa dengan dia sebab selamatkan along dengan Auni daripada kemalangan hari tu, tapi itu tak bermaksud dia boleh dipercayai seratus peratus,” balas Tengku Faiq. Apa yang terbuku di benaknya diluahkan kini.

Keluhan kecil dilepaskan oleh Tengku Ismail. Dadanya terasa sesak bila mengenangkan permintaan menantunya untuk merahsiakan hakikat perkahwinan yang terjadi. Anaknya pula menagih penjelasan, namun penjelasan itu hanya layak dijelaskan oleh menantunya. Sedangkan dia hanyalah orang tengah yang cuba menjernihkan keadaan kedua-dua belah pihak.

Dia faham Tengku Faiq masih tidak dapat melupakan arwah isterinya dan memberontak apabila dia nekad mahu menyatukan mereka berdua. Padanya perkahwinan yang terjadi adalah suratan takdir buat anaknya, namun simpatinya melimpah mengenangkan menantunya yang kerap menjadi sasaran anak sulungnya itu melepaskan amukan dan rasa tidak puas hati.

“Abah... kalau ya kita nak balas budi sekali pun bukan ini caranya... bah. Along tak boleh terima dia sebagai isteri, tapi abah yang paksa along! Abah dah tertipu dengan sikap hipokrit dia tu, bah!” Tengku Faiq masih tidak puas hati. Wajah tenang abahnya seolah-olah tidak langsung memihak kepadanya, tetapi lebih memihak kepada Adif.

“Faiq... abah harap sangat kamu dapat kawal emosi kamu. Abah nak tanya kamu ni... Pernah tak kamu duduk berbincang dengan isteri kamu dari hati ke hati? Pernah tak kamu cuba selami hati budi dia? Pernah tak kamu cuba bagi peluang pada dia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri? Pernah ke? Tak pernah, kan? Yang kamu tahu sakitkan hati dia, pukul dia, herdik dia. Abah tak pernah ajar kamu bersikap macam tu, Faiq.

Kamu cakap pada abah, dia hipokrit. Tapi, mata tua abah ni tak sedikit pun nampak dia hipokrit. Kamu yang tak pernah ambil peluang untuk menjernihkan keadaan. Memang abah paksa kamu berkahwin dengan dia, tapi bukan untuk balas budi dia semata-mata. Suatu hari nanti, kamu akan tahu juga. Cuma... abah kesal... anak abah boleh bersikap dayus dengan memukul isteri. Tempat isteri di sisi suami bukan untuk dipukul dan diperlakukan sesuka hati. Tetapi untuk disayangi dan menyayangi. Dekat dengan hati untuk dicintai.”

Kata-kata Tengku Ismail membuatkan Tengku Faiq terlopong. ‘Cis... Kaki mengadu rupanya kau ni.’

“Tak payah kamu nak berkerut-kerut dahi, Faiq. Isteri kamu tu bukan kaki mengadu. Kamu terlupa ya yang kamu ada anak. Auni yang banyak jadi informer abah selama ni. Budak-budak tak pandai menipu, Faiq. Dia cuma cakap apa yang dia dengar dan nampak. Itu baru sikit yang abah tahu, yang abah tak tahu? Sebab tu, abah datang nak tengok kamu. Tapi, abah tak sangka abah ‘disambut’ dengan perangai baran kamu ni. Malu abah pada Adif. Ni nasib baik Auni ada di sekolah. Kalau Auni dengar kamu marah-marah Adif tadi macam mana? Kamu tak fikir pasal emosi anak dan isteri kamu ke, Faiq?” Panjang lebar leteran Tengku Ismail. Kesalan jelas terpancar di wajahnya.

Tengku Faiq pula hanya terkulat-kulat mendengar leteran abahnya. Tidak pernah menyangka anaknya memerhati tingkah lakunya selama ini. Pasti emosi anak kecil itu terganggu.

“Along minta maaf, abah. Along keluar dulu. I really need time for myself right now.Assalamualaikum.” Serentak dengan kata-kata itu, Tengku Faiq melangkah laju menuju ke keretanya dan memecut laju tanpa menunggu lama.

“Faiq... Faiq... Kerasnya hatimu, nak...” bisik Tengku Ismail perlahan. Mata tuanya dihalakan ke arah tangga apabila terasa ada susuk tubuh lain di situ.

“Ya Allah... Adif! Apa dah jadi dengan kamu ni, nak?” jerit Tengku Ismail apabila melihat wajah menantunya yang membengkak itu.

“Ab... Abah...” Serak suara Adif cuba menuturkan kata-kata. Namun tubuhnya terlorot ke lantai apabila dirasakan kesakitan menjalar di keseluruhan badannya. Kepalanya berdenyut pantas. Wajahnya terasa bengkak.

“Sabar ya, Adif. Abah bawa pergi klinik ya?” pujuk Tengku Ismail sambil memangku kepala menantunya. Wajah bengkak dan lebam menantunya dibelek-belek. Sayu hatinya melihat air mata Adif yang menitis menahan sakit.

“Ya Allah... Apa yang dah kau buat ni, Faiq...” Sebak menjalar di tangkai hati tuanya. Perlahan-lahan dia cuba mengendong tubuh langsing menantunya lalu dibawa menuju ke kereta. Tengku Ismail memecut laju keretanya menuju ke klinik setelah pintu rumah dikunci.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.