Home Novel Cinta Salwa Maisara
Salwa Maisara
Putri Iman Nasuha
29/5/2014 23:45:35
119,143
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Bab 8

Salwa Maisara sudah pun turun dari teksi yang menghantar dia ke Resort Shangri-La Tanjung Aru Kota Kinabalu. Mereka berpisah dengan suaminya di Lapangan Antara bangsa Kota Kinabalu. Mereka sempat bertukar nombor telefon. Sebenarnya dia tidak mahu pun memberikan nombor telefonnya kepada suaminya itu. Geram dadanya masih belum dapat diredakan sejak dari Kuala Lumpur tadi.

“Sebut nombor telefon awak Salwa,” kata lelaki itu dengan menyebut namanya sambil bersedia dengan telefonnya yang agak besar itu. Dia menjelingnya. Malas dia mahu menyebut nombor telefonnya.

“Buat apa?” soalnya berdolak-dalik.

“Laa, nanti ada apa-apa abang call la.” Jawabnya. Ya Allah sakitnya hatinya mendengar kata-kata itu. Dia jeling lagi lelaki yang agak mirip dengan Remy Ishak itu. Jangan tidak berdegup jantungnya. Kalau berbunyi macam dentingan jam antik di rumah neneknya bunyi jantungnya. Ah, apakah makna debaran ini?

“Kenapa pula renung abang macam tu?” dia mengelip-ngelipkan matanya. Seolah-olah termasuk habuk ke dalam matanya ini.

“Tak de. Takde! Mata masuk habuk!” katanya mengusir serba-salah kerana ditanya spontan oleh suaminya.

“Nombor awak, bagi nombor awak kat saya!” pintanya lagi seperti terdesak. Dia terpaksa menyebut nombor telefonnya. Susah dia kalau berlama-lama di sisi lelaki ini.

“Awak balik rumah dulu ya.” Kata lelaki itu mengarahnya. Dia angguk namun mukanya agak masam, semasam buah lemon hijau.

Wajah lelaki itu pula semakin bertambah-tambah serinya sejak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ini. Sakit hati pun ada, nak menangis pun ada. Sukar dia hendak menerangkan perasaan seorang isteri yang tidak dihargai ini. Malah baginya, lebih baik dia diceraikan sahaja selepas lafaz nikah tadi. Sayu hatinya.

“Ya.” Katanya mengangkat begnya. Longlai langkahnya. Dia tidak menyangka setelah status hidupnya berubah, begini pula nasibnya. Memang nasib tidak baiklah! Bisiknya agak sedih.

“Nak balik mana lepas ni?” soal lelaki itu. Bertambah sakit hatinya mendengar soalan itu. Dia tidak mahu kawan serumahnya hairan dengan kehadirannya yang tiba-tiba setelah mengesahkan yang dia akan balik hujung minggu depan. Sebak dia seketika. Namun dia tidak perlu hamburkan semua sebaknya kepada lelaki yang tidak ada perasaan itu.

“Saya nak balik rumahlah! Balik mana lagi?” katanya terpaksa membohongi lelaki itu. bulat mata lelaki itu memandangnya. Takkan dia tidak percaya?

“Abang?” soalnya. Dia jenis yang agak penyibuk juga.

“Abang akan ke pejabat dulu, tengok apa yang berlaku sebenarnya,” kata suaminya itu. Dia angguk. Sebenarnya dia bimbang keselamatan lelaki itu. takkan malam-malam ini hendak pergi ke pejabat? Sepatutnya tunggulah esok.

“Salwa tak perlu bimbang, ada orang abang akan tunggu di pejabat nanti,” bagaikan gugur jantungnya. Lelaki ini bagaikan ada sixth sense pula. terkejut dia.akhirnya dia angguk dan tidak mahu memanjangkan lagi soalannya dan apa-apa anggapannya. Dia sudah mengangkat tangan kepada pemandu teksi tadi dan akan mengakhiri pertemuan mereka pada hari ini.

“Nanti kalau abang ada masa abang call awak,” katanya. Dia angguk. Tidak ada gunanya pertemuan jika begini.

“Ikut awak aje!” jawabnya.

“Berikan abang masa,” katanya lagi. Salwa Maisara tidak ada pilihan, dia mengangguk. Hendak bertekak dengan lelaki ini pun tidak ada gunanya. Akhirnya dia mahu sahaja masuk ke perut teksi, sakit kepalanya sudah memberat hingga ke matanya.

“Kalau perlu,” jawabnya sebelum masuk ke dalam teksi. Pemandu teksi tidak pula terus bergerak. Mungkin menunggu lelaki itu bercakap.

“Ya kalau perlu nanti kita jumpa,” kata lelaki itu. dia angguk. Dia mengarahkan pemandu teksi berbangsa Cina itu terus sahaja bergerak ke destinasi yang sudah dia sebutkan. Ketika dia sudah sandarkan tubuhnya di kerusi sederhana empuk teksi itu, air matanya meluncur bagaikan air yang gugur di tikungan rumah neneknya di kampung. Alangkah sakitnya diperlakukan seperti ini. namun dia memang tidak ada pilihan.

“Itu lu punya boy friend ka amoi?” soal lelaki Cina itu. dia buka matanya sambil memicit kepalanya yang semakin sakit itu. ‘Boy friend?’

“Hmmm,” dia malas mahu berterus-terang.

“Tak balik sama amoi?” soal lelaki seusia ayahnya itu.

“Tak!” katanya menolak sangkaan lelaki itu. Masam mukanya mendengar tuduhan itu. Dan, tangan lelaki itu pun tidak disalam dan diciumnya tadi. Dia memang sudah lupa akibat marahkan lelaki itu dalam diam. Ah, dalam diam ada api!

“Dia kerja mana?” soal pemandu itu lagi. Salwa Maisara geleng-geleng. Dia malas mahu melayani lelaki Cina yang agak penyibuk itu. Mungkin itu satu caranya untuk menarik pelanggannya. Tetapi dia malas mahu bercakap. Sudahlah kepenatan dengan persediaan perkahwinannya. Sekarang terburu-buru pula balik semula ke Kota Kinabalu tanpa ada rehat yang cukup.

“Ntah, di satu syarikat swasta!” jawabnya dengan wajah yang masam.

“Oh... oh begitu!” kata lelaki itu lagi. Lega dia kalau tidak menanyakan soalan yang agak menyakitkan hatinya. Mendengar lagu-lagu Cina yang berkumandang, dia terus memejamkan matanya. Biarlah lelaki Cina itu dengan dunianya, dia sudah malas mahu menjawab pertanyaannya. Dia mahu tidur seketika.

“Amoi, sudah sampai,” kata pemandu teksi itu. Sebaik membayar tambang teksi dia terus ke bahagian pendaftaran masuk ke Resort Shangri-La Tanjung Aru itu.

***

“Eh, kat manalah anak aku ni? Tak datang-datang agak ke KK?” soalnya dengan perasaan yang sangat susah hati. Dia melihat jam di dinding rumahnya. Sudah jam 12.30 pagi rupannya. Namun anaknya Salwa Maisara mahu pun menantunya tidak ada memberikan khabar kepada mereka. Entah mereka sudah kepenatan atau apa, atau sudah tidur?

“Zue, marilah kita tidur. Apa pula Zue asyik-asyik nak menelefon Salwa tu. Tahulah, mereka kan sudah suami isteri, apa lagi yang kita nak susahkan hati?” kata suaminya Encik Abdul Malik. Kadang-kadang lelaki itu tertidur di lihatnya tetapi masih juga mahu bercakap.

“Anak kita bang, tak pun hubungi kita! Entah apa sudah jadi kat dia!” kata Puan Zuriah kepada suaminya yang sudah mahu tidur. Suaminya menyengih.

“Awak ni macam tak faham-faham. Mereka kan baru kahwin.” Kata suaminya.dia diam. Tetapi dia pelik. Anak gadisnya itu sampai di mana-mana pasti akan menelefonnya. Kenapa baru sahaja bersading petang tadi dia sudah tukar tingkah? Eh, tak percaya dia. selepas itu tangannya sibuk pula menulis mesej untuk anaknya. Dia mahu tahu di manakah anaknya dan menantunya itu sekarang. Dia hairan kalau-kalau anaknya itu menyimpang ke tempat lain. Eh, kenapa pula sangka macam tu? Bukankah anaknya sdah kahwin? Pastilah anaknya itu dengan suaminya kan? Dia geleng kepala. Hairan dengan prasangkanya sendiri.

Akhirnya dia tutup telefon dan mahu mengambil wudhuk. Dia mahu solat hajat dan mendoakan keselamatan anak-anaknya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha