Home Novel Cinta Dia Pemilik Cintaku
Dia Pemilik Cintaku
Andayu
11/10/2024 21:52:41
24,018
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Haura merebahkan badannya di atas tilam. Lega dapat merehatkan badannya. Dia memerhati sekeliling bilik yang didiaminya ketika ini. Inilah kali pertama dia menginap di dalam Hotel Primula. Biliknya agak cantik dan bersih. 

Dia bangkit daripada pembaringan. Beg tangannya dicapai. Telefon bimbit diambil dan dihidupkan kembali. Sebaik sahaja telefonnya diaktifkan semula panggilan daripada Nazrul masuk. Dia mengeluh. Dengan berat hati dia menekan butang jawab. 

"Hello. Fat!"

Haura diam.

"Fat tak nak cakap tak apa. Tapi Fat dengar dulu apa yang Naz nak cakap ni?"

Air mata yang kering kembali mengalir semula setelah mendengar suara Nazrul. Dia masih sayangkan lelaki itu. Bertahun mereka menyulam kasih. Tidak mungkin dia akan melupakan kasih antara mereka dengan sekelip mata.

"Fat apa yang berlaku salah faham aje."

"Mata Fat tak buta Naz!"

"Syaza yang perangkap Naz?"

"Untuk apa Naz? Kenapa dia nak buat begitu? Naz dah kenal dia ke? Macam mana Syaza tahu Naz tinggal di situ?" Bertalu-talu soalan diajukan oleh Haura.

"Kawan sekolah aje Fat. Naz jumpa dia balik pun sebab dia kawan Fat," jelas Nazrul ingin membetulkan keadaan.

"Kawan sampai ajak masuk rumah?"

"Bukan! Syaza datang nak bincang sesuatu."

"Bincang apa? Tak ada tempat lain ke nak berbincang selain di rumah?"

"Kami dah terlanjur," Nazrul tersasul.

Haura menutup mulutnya. Terkejut mendengar apa yang Nazrul katakan. "Apa?"

"Tapi Naz tak sedar malam tu. Syaza yang goda Naz. Dia..."

"Dia apa Naz?"

"Ada orang cuba ambil kesempatan dekat Syaza masa dekat kelab. Kebetulan Naz ada dekat situ. Takkan Naz nak biarkan itu berlaku. Naz cuba tolong Syaza," jelas Narul tentang perkara sebenar.

"Dan akhirnya Naz yang mengambil kesempatan itu."

"Tak. Bukan macam tu Fat?"

"Fat tak nak dengar lagi apa-apa alasan. Fat malas fikir dah," ujar Haura dengan sebak. 

"Fat kena dengar dulu. Naz tak salah. Please bagi peluang untuk Naz perbetulkan keadaan."

"Nak betulkan apa lagi? Naz dah terlanjur dengan dia. Takkan Naz nak lepas tangan macam tu aje!"

"Naz cintakan Fat. Jom jumpa. Kita dah janji nak jumpa kan. Tapi Naz tertidur lepas balik kerja. Phone habis bateri sebab itu Fat call tak dapat."

"Tiada apa lagi yang perlu dibincangkan. Untuk apa kita jumpa? Bertangungjawablah atas apa yang Naz dah buat dekat Syaza. Hubungan kita sampai sini aje," ujar Haura sambil menahan tangisannya. Dia perlu kuat menghadapi kenyataan bahawa Nazrul tidak ditakdirkan untuknya. 

"Maafkan Fat. Selepas apa dah berlaku. Fat tak dapat terima Naz lagi. Jangan cari Fat lagi. Kita dah tiada apa-apa hubungan," jelas Haura sambil menahan sebak di dada. "Beritahu family Naz. Wedding kita batal," ujar Haura lalu mematikan talian telefon.

Haura menangis sepuas hatinya. Hatinya sedih tak mampu diluahkan dengan kata-kata. Sukar untuknya menerima ujian ini. Terasa dunia gelap seketika apabila memikirkan perasaan ibu bapanya apabila majlis perkahwinan puteri mereka dibatalkan pada saat-saat akhir. Dia mendail nombor telefon Amelia, sahabat baiknya.


"SAYANG. Phone bunyi," tegur Firman apabila mendengar telefon milik isterinya berbunyi.

Amelia segera mengambil telefon lalu melihat nama pemanggil. Dia berasa hairan melihat nama Haura yang tertera pada skrin telefon.

"Biy!"

"Hmm..." Firman mengeyeh matanya yang berasa mengantuk. "Kenapa?"

"Haura call. I jawab dulu. Mungkin ada hal penting yang nak dicakapkan."

Firman angguk. 

Amelia menjawab panggilan Haura. Dia merasakan Haura berada dalam kesusahan apabila menghubunginya tanpa mengira waktu. "Haura?" Panggil Amelia perlahan.

Suara Haura tidak kedengaran. Hanya suara tangisan yang menjawab panggilannya.

"What's happen Haura?" Soal Amelia lalu duduk di atas kerusi.

"I need you now, Mel. Aku tak tahu nak luahkan dekat siapa lagi. Aku tak tahu macam mana nak explain dekat family aku," ujar Haura sambil menangis.

"Tell me slowly Haura."

"Majlis dah dekat Mel. Apa aku nak jawab nanti. Majlis tinggal beberapa hari sahaja lagi?"

"Relax Haura," Amelia cuba menenangkan Haura. "I tahu you sedih. Cuba bertenang dulu."

"Aku tengah cuba lah ni!" Marah Haura.

Amelia sabar menghadapi kemarahan Haura. Dia mengerti Haura tengah sedih. "Okey. Sorry sebab tak ada disisi you sekarang. InsyaAllah ada masa I balik," jelas Amelia dengan tenang. "I jumpa you kat rumah ibu nanti. Now tell me what's happen. Baru I boleh tolong apa yang patut."

"Nazrul curang? Dia kena tangkap khalwat dengan perempuan lain," jelas Haura. "Aku tak tahu nak cakap apa? Apa yang aku perlu buat?" Omel Haura sambil menangis tersedu-sedu.

"Listen to me, Haura. Firstly stop crying! Masalah takkan selesai dengan menangis!"

Haura diam. 

"Kedua pergi bersihkan diri. Dah mandi belum?" Soal Amelia. Dia tahu Haura akan lupa segalanya apabila sedih. 

"Belum."

"Ketiga solat. Dah solat maghrib, Isyak?"

"Belum."

"Kan dah terbabas. Siapa yang berdosa. Siapa yang rugi?"

"Okey."

"Now go."

"Ke mana?"

"Mandi, solat. Lepas dah qadha semua solat fardhu. Jangan lupa solat sunat istikharah," pesan Amelia. "InsyaAllah akan ada jawapan selepas solat nanti. Allah takkan menguji hamba-Nya diluar kemampuannya. I yakin you mampu hadapi masalah ini."

"Okey. Terima kasih Mel."

"Sama-sama."

"Aku nak mandi dulu."

"Sekarang ada kat mana?"

"Hotel."

"Bila balik rumah ibu?"

"Esok?"

"Pergilah berehat dulu. InsyaAllah Mel akan ke Terengganu nanti."

"Okey Mel. Maaf ganggu tengah-tengah malam. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam," jawab Amelia lalu mematikan talian telefon. 

Amelia mengeluh berat. Haura adalah sahabatnya sejak kecil lagi. Sejak kecil Haura selalu meluahkan segala masalah yang dihadapinya sehingga mereka menginjak dewasa. Kini mereka membawa haluan masing-masing setelah dia berkahwin. Kini dia menetap di Johor Bahru bersama suaminya.


HAURA memandu kereta keluar daripada kawasan Hotel Primula setelah selesai mendaftar keluar. Dia ingin pulang ke rumah ibu bapanya yang berada di kawasan Kuala Nerus. Sejak menjadi guru di Sekolah Seri Nilam. Dia jarang pulang ke rumah ibu bapanya. Dia memilih untuk menyewa kerana jarak rumah sewa dengan tempat kerja lebih dekat. Dia pernah membuat permohononan tukar sekolah tetapi masih dalam proses lagi.

Kepalanya berasa pening. Namun dia gagahkan diri memandu kereta sehingga tiba di kawasan kampung. Setiba di persimpangan jalan jambu tiga matanya kelam. Dia pitam. Dia terus menekan brek secara mengejut menyebabkan kepalanya terhentak pada stereng kereta.

Pon!!! 

Hon keretenya berbunyi. Dia tertekan secara tidak sengaja. Haura berusaha menguatkan dirinya melawan rasa sakit. Dia membuka pintu lalu keluar dari kereta. Dia ingin memastikan apa yang telah dilanggarnya.

"Encik okey ke?" Soal Haura apabila melihat seorang lelaki terjatuh bersama sebuah basikal.

Fateh bangkit dari tempat duduknya. Dia menganggkat basikalnya. "Okey. Luka sikit aje dekat tangan," balas Fateh. 

"Alhamdulillah. Nak saya bawakan ke klinik ke?" Soal Haura apabila melihat tangan Fateh melecet.

"It's okay. Sikit aje ni," ujar Fateh lalu melihat wajah gadis yang melanggarnya. "Awak okey tak?" Soal Fateh apabila melihat wajah Haura kelihatan pucat.

"Saya okey," balas Haura sambil menahan rasa sakit pada kepalanya. "Saya minta maaf. Tak sengaja terlanggar tadi."

"Okey," balas Fateh.

Haura pening. Dia ingin masuk ke dalam kereta. Tiba-tiba dia berasa hendak pitam lagi. Dia tidak dapat mengawal keseimbangan badannya lalu jatuh. Fateh sempat menyambut tubuh Haura daripada jatuh ke atas tanah.

"Awak betul okey ke?" Soal Fateh menginginkan kepastian.

Haura angguk. Dia masuk ke dalam kereta lalu beredar dari situ. Rumahnya berada tidak jauh dari tempat dia kemalangan. Selepas simpang Jalan Jambu 13, rumahnya berada di sebelah kiri berwarna oren.

Dia menekan hon beberapa kali sebaik sahaja tiba di hadapan rumah. Dia melangkah keluar daripada kereta. Kepalanya yang pada awal hanya berasa pening kini semakin sakit. Dia menyentuh dahinya. Dia terkejut melihat darah melekat pada jarinya.

"Assalamualaikum," ucap Haura lalu pengsan.

Haji Khairul tidak sempat menjawab salam terus menyambut tubuh anaknya dari jatuh ke tanah. "Haura?" Panggilnya cemas.

"Ya Allah kenapa ni abang?" Soal Hajah Hamidah dengan cemas apabila melihat anak gadisnya tidak sedarkan diri.

"Tak tahulah. Bawa masuk dulu. Abang panggilkan doktor," ujar Haji Khairul lalu menganggkat tubuh Haura masuk ke dalam rumah. 

"Doktor mana pulak abang nak panggil ni?"

"Anak iman tu. Abang pergi dulu," ujar Haji Khairul setelah meletakkan Haura di dalam biliknya.

Haji Khairul segera menaiki motosikal menuju ke rumah Iman yang terletak pada Jalan Jambu 5 di sebelah kiri jika datang dari rumahnya. Sebaik sahaja tiba di hadapan rumah Iman Shafie dia terus menerpa ke arah Fateh yang sedang berehat di atas pondok kecil di depan rumahnya.

"Assalamualaikum Fateh."

"Waalaikumussalam. Ya pak cik ada apa?" Soal Fateh apabila melihat wajah Haji Khairul kelihatan cemas.

"Tolong anak pak cik?" 

"Kenapa ni Haji?" Soal Iman Shafie yang baru keluar dari rumah.

"Anak aku pengsan Iman!"

"Ya Allah. Kenapa?"

"Tak tahulah. Dia baru aje sampai rumah tiba-tiba pengsan."

"Jom Fateh kita ke rumah Haji."

"Fateh ambilkan peralatan dalam kereta sekejap," kata Fateh lalu menyarung selipar. Dia mengambil beg peralatan perubatannya lalu mengikut Haji Khairul ke rumahnya.


"HAURA dah sedar ke?" Soal Haji Khairul kepada isterinya.

"Belum lagi. Kepala dia luka," jelas Hajah Hamidah.

Fateh masuk ke dalam bilik. Dia senyum melihat gadis dihadapannya. Dia sudah menduga gadis yang melanggarnya tadi selepas melihat kereta yang dipandu oleh gadis itu berada di hadapan rumah.

"Serius ke Fateh?"

"Alhamdulillah tak serius sangat. Saya rawat dulu. Jika luka semakin teruk boleh dapatkan rawatan di klinik atau hospital."

Haji Khairul dah Hajah Hamidah hanya menganggukkan kepalanya. Fateh dengan pantas merawat luka pada dahi Haura. Dia juga memeriksa tekanan darah dan suhu badan Haura. Setelah memastikan keadaan Haura berada dalam keadaan baik dia menyimpan semula peralatan yang digunakan.

"Dia stabil. Bagi dia rehat dulu. InsyaAllah semuanya okey," jelas Fateh.

"Alhamdulillah. Terima kasih Fateh."

"Sama-sama. Saya hanya jalankan tugas aje pak cik," ujar Fateh lalu melangkah keluar dari bilik Haura.

"Jemput duduk dulu," ujar Hajah Hamidah lalu menghidangkan minuman dan makanan ringan untuk dijamu.

"Susah-susah aje mak cik buatkan air."

"Tak susah pun. Jemputlah minum dulu," ujar Hajah Hamidah lalu duduk diatas kerusi.

"Haura okey ke?" Soal Haji Khairul yang merisaukan keadaan anaknya.

"Haura?"

"Anak mak cik yang Fateh rawat tadi nama dia Haura."

"Hmmm... Okey. Tiada masalah. Mungkin dia stress. Saya periksa tekanan darah dia agak tinggi. Saya rasa dia demam. Suhu badan dia pun tinggi."

"Jika tak serius baguslah. Haura jarang sakit," ujar Haji Khairul yang amat mengenali puterinya.

"Luka kat kepala?" 

"Tak teruk pun. Luka sikit aje. Sebenarnya saya dah jumpa dia tadi."

"Dah kenal ke?"

"Tak. Kami excident dekat dengan kedai runcit cikgu tu. Mungkin sebab itu kepala dia luka."

"Ooo..."

"Fateh dah tegur tadi okey tak? Muka dia nampak pucat sangat."

"Kenapa angah tak hantar aje dia balik?"

"Angah naik basikal aje tadi. Mujurlah tak ada luka serius. Tangan aje melecet sikit."

"Takkan tak perasan kepala Haura luka?" Soal Iman Shafie.

"Tak. Terlindung dengan tudung agaknya."

"Terima kasih Fateh sudi tolong pak cik. Berapa nak bayar ni?" Ujar Haji Khairul lalu mengeluarrkan dompetnya.

"Eh tak payahlah. Fateh merawat secara suka rela aje."

"Alhamdulillah. Semoga murah rezeki selalu."

"Amin."

"Banyaknya barang," tegur Iman Shafie apabila melihat banyak barang kering seperti gula dan rempah ratus serta beberapa barang yang lain di dalam rumah. "Haji nak buat kenduri ke?"

"Iya. Kenduri Haura minggu depan."

"Aaalah. Lupa pulak."

"Jangan lupa datang."

"InsyaAllah," balas Iman Shafie. 

Setelah selesai menghabiskan minuman. Iman Shafie dan Fateh meminta diri untuk pulang. Haji Khairul segera memeriksa keadaan Haura setelah tetamu pulang. Hatinya lega apabila mengetahui Haura berada dalam keadaan yang baik. Dia terlalu menyayangi puterinya itu. Maklumlah puteri bongsu yang selalu bermanja dengannya sebelum memasuki alam pekerjaan.

Previous: Bab 9
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu