Home Novel Cinta TAKKAN KULEPASKAN, EMY RAZIELA
TAKKAN KULEPASKAN, EMY RAZIELA
EMY RUSLI
5/12/2014 23:13:41
40,015
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4 & 5

CUBALAH duduk rumah, Zairul. Ini tidak, asal aje bulan keluar dia pun sibuk jugak nak keluar. Apa yang istimewa sangat kat luar malam-malam macam ni? Cuba beritahu bonda. Bonda nak tahu,” tegur Tengku Puteri Alyah.

Tengku Ezairul yang baru hendak keluar terperanjat mendengar teguran sinis bondanya. Terus dia berpaling.

“Bonda nak ikut ke? Jomlah. Tapi bonda jangan ajak balik sudahlah lepas ni.” Selamba sahaja Tengku Ezairul menjawab dan tersenyum.

Masam muka Tengku Puteri Alyah. Tajam pandangannya pada anak bujangnya itu.

“Kamu nikan Zairul kalau bercakap memang tak berlapis. Zairul nak ke kelab lagi? Tiap-tiap malam jadi tetamu tetap. Tidur ajelah kat sana. Habis cerita.”

Berkerut dahi Tengku Ezairul mendengar kata-kata Tengku Puteri Alyah. “Bukannya Zairul nak buat benda yang bukan-bukan. Zairul cuma nak jumpa kawan-kawan. Bosanlah bonda duduk rumah aje. Siang dah mengadap kerja.Waktu macam nilah boleh jumpa kawan-kawan bisnes. Lagi satu kan bonda, kalau kita nak majukan perniagaan kena banyak kenal orang-orang besar.”

“Yalah tu.” Tengku Puteri Alyah mencebik.

“Oh ya, ayahanda mana bonda? Tak balik lagi waktu ni.”

“Ayahanda kamu jumpa Tan Sri Robert. Ada urusan nak diselesaikan tentang Zafrul Holding. Sekejap lagi baliklah.”

Tengku Ezairul sudah siap menyarung kasut. Dibetulkan baju kemejanya.

“Jangan balik lewat, Zairul. Bonda tak laratlah nak bersoal jawab dengan ayahanda kamu nanti,” pesan Tengku Puteri Alyah. Direnung wajah anak sulungnya ini penuh kasih sayang. Kadang-kadang dia geram juga dengan sikap degil dan baran Tengku Ezairul ini.

“Baiklah bonda. Zairul pergi sekejap aje.” Tengku Ezairul mencium pipi Tengku Puteri Alyah.

“Orang suruh kahwin tak nak! Jadi bujang terlajak. Nanti satu hari bonda nak kenalkan Zairul pada anak kawan bonda. Jangan nak tolak-tolak.” Sempat Tengku Puteri Alyah berkata begitu dan menyapu-nyapu habuk di baju Tengku Ezairul.

Tengku Ezairul buat tidak dengar dan terus berjalan ke arah Porsche Cayennenya.

Tengku Puteri Alyah menggeleng.

Sampai sahaja di Kelab Seroja, rakan-rakan Tengku Ezairul terus menyambutnya. Riuh suara mereka. Tengku Ezairul dan rakan-rakannya terus masuk ke dalam kelab. Suasana hiruk pikuk dengan bunyian lagu rancak dengan di sinari lampu-lampu berwarna warni.

Shirin yang melihat Tengku Ezairul berjalan membelakangkannya terus mendapatkan kekasih hatinya dan terus memeluk Tengku Ezairul dari belakang.

Tengku Ezairul tahu, itu Shirin. Dia terus berpaling ke depan.

“I rindu...” Shirin merapatkan bibirnya di telinga Tengku Ezairul. Dia mahu mencium bibir Tengku Ezairul tetapi Tengku Ezairul pantas melarikan wajahnya. Di dalam kelab ini, tiada siapa yang peduli. Masing-masing dengan aksi sendiri.

“I pun rindu pada you,” balas Tengku Ezairul penuh romantis dan memeluk erat pinggang Shirin.

Mereka berjalan ke tempat rakan-rakan Tengku Ezairul.

“Hai Shirin, lama tak nampak you,” sapa Mimi.

“You taulah kerja I kan macam mana. Bukan selalu ada kat Malaysia,” jawab Shirin dengan bangga. “You ada rokok? I nak mintak sebatang.”

“Ada.” Mimi menghulurkan sebatang rokok pada Shirin.

Saat Shirin hendak menyalakan api, Tengku Ezairul terus menyambar rokok tersebut dan ditekan masuk ke dalam bekas rokok. Benci dia melihat Shirin merokok.

Shirin membulatkan matanya. “Kenapa dengan you ni Zairul? You tahukan I memangsmoking.”

“I tak suka you hisap rokok dan I nak you berhenti tabiat buruk ni. I lelaki pun tak pernah hisap rokok!” marah Tengku Ezairul.

“Itu you. I memang hisap rokok sebelum you kenal I lagi. Apa masalahnya?” Shirin berterusan menjawab.

“Masalahnya I tak suka! You jangan nak melawan Shirin!”

“You ni macam semalam baru kenal I kan?”

“Tak kisahlah bila I kenal you. Yang penting I tak suka you merokok. Faham!” Keras suara Tengku Ezairul kali ini.

Shirin membalas tajam renungan Tengku Ezairul. Geram betul dia dengan tindakan kekasihnya ini. Tapi untuk menghisap semula rokok, dia berasa takut. Gerun juga dia dengan Tengku Ezairul.

“Malas nak layan you!” bentak Shirin dan terus bangun.

“You nak ke mana?” jerit Tengku Ezairul apabila Shirin bangun.

Shirin tidak menjawab sebaliknya terus berlalu pergi.

Tengku Ezairul memerhati lenggok Shirin yang sedang berjalan ke arah rakan-rakannya yang turut berada di kelab ini.

“Kenapa dengan Shirin tu?” tanya Zul dan menepuk lembut bahu Tengku Ezairul.

Tengku Ezairul meneguk air Cokenya.

“Biasalah orang perempuan, pantang kena tegur mulalah merajuk. Tapi Shirin tu merajuknya sekejap aje. Nanti aku peluk cium dia, okeylah nanti.”

Zul ketawa kecil. “Pandai ya kau Zairul. Aku kena belajar tip untuk pujuk orang perempuan dari kau.”

Suasana menjadi semakin rancak apabila penyanyi kelab malam mula naik ke pentas. Lagu-lagu rancak dinyanyi. Ramai pelanggan menarik pasangan masing-masing untuk menari.

Tengku Ezairul bangun dan menghampiri Shirin. Dirangkul pinggang Shirin dan ditarik naik ke pentas.

Shirin memeluk Tengku Ezairul dan mereka sama-sama menari penuh keasyikan. Lupa pada dunia yang hanya bersifat sementara.

MARIAbangunlah! Dah tengah hari ni. Dari tadi kau tidur. Tak takut gemuk ke?” jerit Maryam dan menarik-narik kaki sahabatnya itu supaya bangun.

Maria mendengus kecil. ‘Kacau betul Maryam ni. Orang baru nak mimpi kahwin dengan anak raja yang segak. Tengok mana dah lari putera orang ni.’ “Kejaplah. Maria ngantuk ni. Tak puas lagi tidur,” jawab Maria. Matanya terpejam rapat.

“Apa! Ngantuk? Eeii... Kau ni, baju kebaya aku dah siap jahit ke belum? Bangunlah Maria. Tak elok anak dara tidur petang. Nanti tak laku.” Maryam berterusan mengusik.

Sakit jiwa Maria. “Hmm... Dah,” jawab Maria dalam keadaan masih mamai.

Maryam sudah melompat-lompat apabila baju kebayanya sudah siap dijahit. “Dah siap? Eh, bangunlah Maria. Aku nak cuba baju kebaya tu. Bangun ler...” Sekali lagi Maryam menarik kaki Maria.

Maria terkejut dan terpaksa membuka matanya. Dengan rasa bengang dan malas, dia bangun. Dia rasa sangat mengantuk kerana malam tadi tidak tidur menyiapkan jahitannya.

“Cepatlah Maria, ambil baju tu. Lambatlah kau ni.”

Maria mencapai beberapa baju yang telah siap digantung di palang besi almarinya. “Menyesal beritahu Maryam. Tak sabar-sabar.”

Maryam tersengih-sengih mendengar omelan Maria. Dia tahu Maria marah-marah sayang.

“Wah, cantiklah kain ni bila dah jadi baju. Eh, yang tu untuk siapa pula?” tanya Maryam dan matanya menyorot pula pada sehelai baju kurung kedah di tangan kiri Maria.

“Oh, ini Maria jahit untuk Puan Sarah,” jawab Maria dan menyerahkan baju kebaya kepada Maryam. Maryam kelihatan tidak sabar.

“Siap ada labuci lagi kat tangan. Kemas jahitan kau Maria. Bertuah badan siapa dapat kau Maria,” puji Maryam dan mengambil huluran baju dari Maria.

“Bertuah kenapa?”

“Yalah, kaukan pandai menjahit. Nanti raya tak payahlah nak tempah-tempah lagi. Mahal tau nak tempah untuk jahit. Baju anak-anak kau jahit sendiri. Jimat belanja.”

Maria hanya diam.

“Aku nak cuba dulu.” Maryam terus menyarung baju kebaya tersebut ke badannya.

“Cantik Maryam pakai baju ni. Mujurlah Maria ikut ukuran yang betul. Nampak sesuai tak ketat dan tak longgar,” puji Maria sambil membetulkan baju tersebut.

“Mestilah cantik. Inikan Anne Hatthaway yang buat. Ops... Taylor Swift yang buat.”

Maria menjeling.

“Lusa Basyirah adafunction tau. Ada satu syarikat besar nak bagi derma kat Basyirah.” Bersungguh-sungguh Maryam memberitahu sambil menanggalkan baju kebaya tersebut.

Function?Function apa pulak?” soal Maria.

“Syarikat tu pernah masuk TV sebelum ni. Kiranya syarikat besarlah. Aku lupalah apa nama syarikat tu. Tadi Puan Sarah beritahu aku. Puan Sarah juga cakap yang syarikat tu bukan sahaja dermakan duit malah juga turut menderma beberapa mesin jahit yang baru.”

“Ya ke?” Maria melonjak gembira. “Bagus sangatlah kalau Basyirah dapat mesin jahit baru. Yang sedia ada ni dah nazak sangat. Bagusnya syarikat tu.”

“Tulah. Aku pun terkejut juga tadi. Yalah, mana Basyirah mampu nak beli mesin jahit banyak-banyak. Ni dah ada yang nak menyumbang, terima ajelah,” kata Maryam pula.

“Kalau dah ada mesin jahit baru tu, Maria nak jahit baju Melayu lelaki pula.” Maria mula memasang angan-angan.

“Aku setuju tu. Bolehlah kita jahit macam-macam baju lepas ni. Esok pagi, kita kena pergi dewan untuk hias apa yang patut. Puan Sarah cakap yang datang ni bukan sebarangan orang. Pemilik syarikat tu dari golongan bangsawan,” beritahu Maryam.

Maria terkejut bukan kepalang. Golongan bangsawan?

Orang kenamaan telah tiba dan sudah duduk di barisan hadapan di dalam Dewan Teratai. Tengku Ezairul yang duduk di sebelah Tengku Dato Zafrul memerhati keadaan dalam Dewan Teratai. Ini pertama kali dia menjejakkan kaki di rumah anak yatim Basyirah.

Tengku Ezairul dapat lihat ada anak-anak kecil masih berlari di luar sana. Walaupun Basyirah tidak semewah mana, tapi tahap kebersihan anak-anak tersebut boleh dipuji.

Di atas pentas, pengetua Basyirah Puan Siti sedang memberikan ucapan kata-kata aluan. Sebelum sesi menghulurkan sumbangan, para tetamu kehormat dihiburkan dengan persembahan dikir barat oleh anak-anak Basyirah. Bersungguh-sungguh mereka membuat persembahan.

Tengku Ezairul dan lain-lain rasa terhibur.

Maria, tadi aku jumpa mamat hensem giler,” beritahu Maryam bersungguh-sungguh.

Maria hanya. Dia ralit melihat persembahan di atas pentas.

Maryam geram apabila Maria buat tidak tahu lantas dicubit paha Maria.

Maria mengaduh dan memandang Maryam dengan wajah pelik. “Apa ni cubit-cubit? Sakitlah. Maria tengah tengok Adam tu main gendanglah. Kacau betul!”

“Eh, aku nak beritahu kau yang aku jumpa sorang mamat hensem tadi. Putih melepak mamat tu. Bersih aje muka dia,” kata Maryam lagi.

“Dah tu nak suruh Maria buat apa?” tanya Maria sambil memandang Maryam.

“Aku tak suruh kau buat apa-apa. Aku cuma beritahu kau aje. Hah, tu dia. Mamat tu duduk tempat VIP. Tengok tu Maria.” Maryam menunjukkan jarinya ke arah hadapan.

Maria tercari-cari tapi tidak jumpa. “Tak nampak pun. Mana Maryam?”

“Yang rambut pacak-pacak tu. Pakai kot kelabu tu. Hensem... macam pelakon Korea.”

Maria berputus asa. Dia tidak mahu mencari lagi.

“Nampak tak Maria?”

“Tak! Biarlah. Malaslah nak tengok.”

“Eh Maria, aku rasakan lelaki tu anak orang kayalah. Entah-entah dia yang derma pada Basyirah,” teka Maryam.

Maria hanya diam. Dia menempukan sepenuh perhatian ke pentas.

“Terima kasih kepada Yang Teramat Mulia Tengku Dato Zafrul sekeluarga kerana beliau akan memberikan sumbangan terbesar kepada Basyirah hari ini. Maka dengan itu, saya menjemput Yang Teramat Mulia Tengku Dato Zafrul ke pentas untuk memberi sumbangan dengan diiringi Puan Siti dan Encik Fazli. Dengan itu dipersilakan naik ke pentas.”

Kata-kata daripada pengerusi majlis itu disambut dengan tepukan gemuruh.

Tengku Dato Zafrul naik ke pentas. Cek bernilai dua ratus ribu ringgit diserahkan kepada Puan Siti.

Kemudian, Tengku Dato Zafrul diberi peluang untuk memberi ucapan.

“Saya ingin mengucap syukur kepadaAllah SWT kerana memberi peluang kepada saya dan membukakan pintu hati saya sekeluarga untuk memberikan sedikit sumbangan kepada Basyirah. Di sini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada anak saya, Tengku Ezairul yang telah pun menambahkan lagi jumlah sumbangan sebanyak 50 ribu ringgit…”

Mereka bertepuk tangan.

Tengku Ezairul hanya tersenyum. Ada sedikit perasaan malu dalam dirinya.

Selepas Tengku Dato Zafrul duduk, sekali lagi mereka dihiburkan dengan kumpulan nasyid Basyirah.

“Wah, maknanya orang kaya tu bagi derma 250 ribulah ya. Banyaknya!” Maryam seakan terkejut.

“Tulah. Semoga murah rezeki Dato tu dan keluarga dia,” kat Maria pula.

Ayahanda, Zairul nak ke tandas sekejap,” beritahu Tengku Ezairul dan terus bangun. Sebenarnya dia mahu muntah. Tekaknya mula terasa loya.

Dia terus berjalan laju menuju ke tandas yang terletak di hujung dewan.

“Bos, nak ke mana tu?” tanya Adli pengawal peribadi Tengku Ezairul yang duduk di luar.

Tengku Ezairul hanya menunjukkan jarinya pada sign board tandas. Dia tidak dapat bercakap lagi kerana tekaknya sudah loya. Mana nak cari susu panas masa ni.

Maryam, Maria nak pergi tandas.” Maria segera bangun keluar dari dewan Teratai. Dia berlari-lari anak.

Tengku Ezairul keluar dari tandas. Dibersih-bersih kotnya yang sedikit basah terkena air sewaktu berkumur tadi.

Buk!

Tengku Ezairul tertolak ke belakang. Sakit bahunya. Siapa yang langgar tadi?

“Maaf encik, saya tak sengaja..” terus sahaja perempuan berambut perang itu masuk ke tandas tanpa menoleh kepada Tengku Ezairul.

Tengku Ezairul sudah bercekak pinggang. ‘Kurang ajar!’ bentaknya. ‘Sudahlah langgar aku, tunjuk muka pun tak! Ini mesti anak-anak Basyirah. Memang tak ada adab. Kurang ajar! Tahu tak aku ni siapa? Aku yang derma 250 ribu tadi.’

Tengku Ezairul merenung tandas wanita di sebelahnya.Dia tidak sempat melihat perempuan tadi. Yang sempat dia tengok beberapa saat sebelum perempuan itu memasuki tandas ialah rambut perempuan itu perang dan berkulit putih merah. Ada orang putih ke kat sini? Tapi pandai cakap Melayu.

“Bos, kenapa ni bos? Ada yang tak kena ke?” Adli menghampiri Tengku Ezairul apabila dilihatnya dari tadi bosnya ini berdiri di hadapan tandas.

“Kau nampak tak seorang perempuan masuk ke tandas ni tadi?” tanya Tengku Ezairul.

“Perempuan mana bos? Cantik ke tidak perempuan tu bos?” soal Adli dengan lawak jenakanya.

“Kau ni... aku tanya betul-betullah. Perempuan tu baru masuk tandas ni. Tadi dia langgar aku. Aku rasa macam nak cekik leher perempuan tu!” marah Tengku Ezairul.

“Apa? Dia langgar bos? Kurang ajar! Dia tahu tak yang bos ni bukan sebarangan orang. Okey bos, sekarang bos nak saya buat apa pada perempuan tu bila dia keluar nanti?” Adli menunjukkan wajah bengisnya.

Tengku Ezairul mendengus kasar. Lama pula perempuan ni berada dalam tandas. Apalah yang di buatnya.

“Aku nak kau ke kantin sebelah sana dan bawakkan aku susu panas,” arah Tengku Ezairul.

“Bos nak muntah lagi ke? Macam perempuan mengandunglah bos ni.” Adli sudah ketawa dan mula mengikut langkah Tengku Ezairul.

“Kau jangan main-main Adli. Aku patahkan leher kau nanti baru kau tahu. Cepat pergi kantin tu. Bawakkan aku susu panas!” Tengku Ezairul memberi arahan keras.

Adli terus ke kantin.

Maria keluar dari tandas. Dia menoleh kiri kanan mencari-cari orang yang dilanggarnya tadi. Tapi sudah tiada sesiapa di situ. Tadi baru dia dengar orang bercakap-cakap kuat di luar tandas. Dia berjalan ke kantin mahu menjenguk Kak Yati, tauke kantin. Lagipun majlis di Dewan Teratai hampir selesai.

“Hah!” Maria mengejutkan Kak Yati.

“Opocot mak kau kahwin dua... eh kahwin tiga.”

“Siapa kahwin tiga?”

“Kau kahwin dengan anak raja... eh tu dia... Maria!” jerit Kak Yati.

Maria ketawa mengekeh-ngekeh. Lucu dia melihat Kak Yati melatah.

Kak Yati mencubit lengan Maria. “Maria ni, suka sangat usik akak. Kalau ada pisau pada tangan akak, jangan nak terkejutkan akak tau. Nanti ada yang berdarah.”

“Ya, Maria tahu. Dah lama Maria tak kejutkan akak.”

“Oh ya... Maria, tolong akak boleh tak?”

“Tolong apa, kak?”

Kak Yati menunding jarinya pada seorang lelaki yang sedang duduk.

“Tu hah, lelaki tu mintak susu panas untuk bosnya. Maria tolong buatkan susu panas tu ya. Tangan akak kotor ni. Tolong ya, dik.”

“Okey...”

Maria melihat lelaki itu sedang duduk melihat telefon di tangan. Dia mencapai gelas dan membancuh susu panas tersebut. Kemudian dia menghampiri lelaki tersebut yang ralit membacasms.

“Err... encik. Ini air susu yang encik mintak tu.” Maria menghulurkan gelas tersebut.

Adli berdiri. Hampir mahu terkeluar biji matanya yang sememangnya pantang melihat perempuan cantik. ‘Cantiknya dia. Siapa dia? Bidadari dari kayangan atau anak patung.’

Maria mula rasa tidak selesa. Kenapa dengan orang ni? Sakit mental? “Encik... Encik...”

Adli terkejut. Cepat-cepat dia mengambil gelas tersebut. Belum sempat Adli mengucapkan terima kasih, Maria sudah pun pergi. Mata Adli tetap menyorot melihat Maria dari belakang. Menyesalnya dia kerana tidak sempat mengucapkan apa-apa kepada gadis itu.

DI DALAMpacuan empat roda Lexus milik Tengku Ezairul, Adli masih tersenyum-senyum. Dia masih membayangkan wajah gadis cantik itu. Ada tahi lalat kecil di bawah bibir kiri gadis itu.

Aduh, sedapnya suara dia. Halus dan merdu sekali. Hatinya mula tertanya-tanya siapakah gerangan si cantik manis tadi. Gadis itu kelihatan seperti bukan Melayu tulen. Wajahnya lebih kepada kebaratan.

Tengku Ezairul yang duduk di belakang mula berasa pelik. Apa kena Adli ni? Senyum sorang-sorang. Kena sampuk hantu Basyirah ke?

“Woi… apa yang kau senyum tu Adli?” Tengku Ezairul menepuk kuat bahu Adli. Adli terkejut. Mujur dia tidak melanggar kereta di hadapan. Teruk betul bosnya ini. Main tepuk-tepuk pulak.

“Err... tak ada apa-apa bos. Tak ada apa-apa,” jawab Adli gugup.

“Kau jangan nak bohong! Orang gila aje yang akan senyum sorang-sorang. Baik kau cerita. Kalau tak, aku tinggal kau kat lebuh raya ni! Cepat!” Tengku Ezairul mengeraskan suaranya.

“Macam ni bos, tadi masa saya ke kantin ambil susu bos tu, saya jumpa perempuan. Cantik sangat bos. Rasanya ini pertama kali saya jumpa perempuan paling cantik. Kalah artis-artis yangmake up tebal tu. Shirin pun kalah bos.”

“Woi... cakap tu berlapik sikit. Jangan kau nak kutuk-kutuk Shirin pula. Aku belasah kau nanti!” marah Tengku Ezairul sambil matanya melihat ke arah luar.

Sorry bos...” ucap Adli takut-takut. “Tapi betul bos, tadi perempuan tu berdepan dengan saya bos. Dia tak pakaimake up pun tapi... cantik sangat. Muka dia macam Taylor Swift. Betul bos... saya tak tipu.”

Tengku Ezairul senyum mengejek. Mengarut aje Adli ni. Mana ada orang Malaysia muka macam artis Hollywood.

“Siapa yang buat susu untuk aku tadi?” Kali ini Tengku Ezairul kelihatan serius. Air susu yang diminum tadi rasa lain macam. Sedap. Rasa tidak puas minum susu panas itu. Tidak sama seperti Timah dan Jess buat.

“Hah, kalau bos nak tahu perempuan cantik tulah yang buatkan air susu untuk bos.”

Tengku Ezairul terkejut. Berkerut mukanya. Dia seperti berminat untuk mengetahui tentang gadis itu. “Kau tahu siapa nama dia? Dia memang tinggal di Basyirah ke?”

“Itulah masalahnya, bos. Saya tak sempat nak tanya,” jawab Adli sedikit kecewa. “Bos jangan nak kacau daun. Saya tahulah saya ni tak sekacak bos. Saya pun nak juga rasa ada teman wanita.”

“Kalau kau nak, kau ambillah. Aku tak nak. Kau tahukan yang aku tak akan pilih sebarangan perempuan untuk jadikan teman hidup aku ni. Tambah pula kalau perempuan-perempuan di Basyirah tu, yang entah dari mana datangnya.”

“Jangan cakap macam tu bos. Mana tahu suatu hari nanti jodoh bos dengan anak-anak yatim. Macam mana?”

Tengku Ezairul terkejut dengan kata-kata Adli. Sampai ke situ Adli berfikir. “No... no... no… Itu tak mungkin terjadi. Tak ada lagi keturunan kami kahwin dengan orang biasa,” kata Tengku Ezairul dengan angkuh.

“Ikut boslah. Saya nak berangan tentang puteri idaman saya sekejap.” Adli malas lagi hendak bercakap.

“Ikut suka hati kaulah Adli,” jawab Tengku Ezairul tidak mahu mengalah.

Pacuan empat roda itu membelok ke Vila Istana. Kereta besar Bentley Continental masih lagi tiada. Maknanya Tengku Dato Zafrul belum lagi sampai.

MARIAberjalan mengikuti langkah Puan Siti. Kenapa Puan Siti membawanya ke sini? Dia ingin bertanya tetapi lidahnya kelu. Ada beberapa orang polis mengawal rapi. Dia membaca papan tanda. PENJARA WANITA.

Hati Maria berdegup kencang. Dia berhenti melangkah.

Puan Siti turut berhenti. “Mari Maria... Marilah.” Ajak puan Siti lembut menarik perhatian Maria. Mahu tidak mahu Maria menurut jua.

“Kenapa puan bawa saya ke sini?” tanya Maria masih tidak mengerti.

“Saya mahu bawa Maria jumpa seseorang.” Jawab puan Siti lembut. Segunung simpati pada Maria.

Maria tersenyum kelat mengikut jua. Di luar bilik Maria dapat lihat ramai pelawat sepertinya datang. Mereka hanya bercakap melalui geriji besi. Maria bertambah pelik.

“Maria duduk dulu ya. Saya ke sana sekejap.” Puan Siti terus berlalu pergi.

Maria hanya mengikut saja. Dia memerhati keadaan sekeliling. Maria kelihatan pelik dan bercampur hairan.

Lama Maria termenung di tempat menunggu. Fikirannya tertanya-tanya motif puan Siti membawanya ke sini.

“Maria... Mari sini. Saya nak bawa Maria jumpa seseorang.” Puan Siti sudah berdiri di hadapan Maria.

Maria mengangguk. Tiba-tiba hatinya berdegup kencang. Dikuak rambutnya yang terjuntai di dahi.

Puan Siti memegang erat jari jemari Maria. Dia mahu memberi kekuatan kepada gadis ini.

Di sebalik geriji besi, seorang perempuan yang beruniform putih dengan keadaan yang tidak terurus meninjau-ninjau tidak sabar.

Puan Siti menelan air liur. “Maria, duduklah. Angkat telefon tu. Itu ibu Maria…” Hanya setakat itu yang mampu Puan Siti katakan. Dia tidak mampu berterus-terang lagi.

Maria terduduk di situ. Sekali lagi dunia bahagianya direntap kasar. Dia tidak sanggup melihat wanita itu. Dia tidak sanggup. Ibunya sudah mati!

Puan Siti segera mendapatkan Maria. Dia mendudukkan Maria di atas kerusi. Dia sebak. Hampir menitik air matanya.

‘Kenapa ibu di penjara? Kesalahan apa yang ibu buat sehingga menjadikan tempat keji ini sebagai rumah.’ Maria rasa terhina yang teramat sangat.

Wanita di sebalik geriji besi itu turut menangis apabila pertama kali melihat anaknya di depan mata. Selama ini, hanya gambar yang mengubat kerinduannya.

“Itu ibu Maria. Cakaplah dengan ibu,” pujuk Puan Siti. Dia menyerahkan gagang telefon kepada Maria.

Wanita di dalamnya sudah bersedia dengan gagang telefon di telinganya mengharapkan anak tunggalnya ini akan bercakap dengannya.

Akhirnya Maria menyambut gagang tersebut dan perlahan-lahan memandang wanita di hadapannya itu.

Mata kedua beranak itu bertentang. Kelopak mata Maria sudah bertakung dengan air jernih. Wanita itu juga kelihatan menangis.

“Maria... anak ibu…”

Maria memejamkan matanya. Rindunya dia pada panggilan itu.

“Maria dah besar. Anak ibu sangat cantik,” ucap wanita itu dengan tangisan mula beraja. Perasaan rindunya selama ini sudah terlerai dengan menatap wajah anaknya itu.

Wajah Maria seiras wajah arwah suaminya warga Rusia. Maria mewarisi wajah kacak suaminya. Diperhati setiap inci wajah Maria.

Maria hanya diam. Dia tiada kata-kata untuk diucapkan.

Puan Siti melarikan diri. Tidak sanggup dia mendengar perbualan sedih dua beranak itu.

“Maria, cakaplah nak. Janganlah diam macam ni. Ini ibu Maria. Ibu yang telah melahirkan Maria. Cakaplah nak. Ibu nak dengar suara Maria.” Wanita itu kelihatan kecewa apabila dilihatnya Maria hanya tunduk tidak bercakap.

“Maafkan ibu nak. Janganlah Maria salah sangka. Ibu tak salah Maria. Ibu dianiaya. Percayalah cakap ibu Maria.” Air mata sudah berlinang.

Perlahan-lahan Maria memandang wajah wanita itu. Dengan jelas Maria dapat lihat wajah wanita itu. Maria ralit memerhati dengan hati yang lara. Sekali lagi dia memejam mata. Seumur hidup, ini pertama kali dia melihat wajah ibu kandungnya. Kalau orang lain pasti gembira apabila mengetahui ibu kandung masih hidup tapi tidak baginya. Dia masih tidak boleh menerima kenyataan ini.

Gagang telefon diletak. Maria bangun. Tidak tega lagi dia lama-lama berada di situ. Itu bukan ibunya. Ibu sudah mati. Dia terus berlari keluar. Wajah sedih ibunya bermain di minda. Maria dapat lihat wajah duka wanita itu yang sarat dengan penderitaan.

Vilaistana terang benderang. Tengku Dato Zafrul dan Tengku Puteri Alyah sedang berehat di ruang tamu menonton berita. Keadaan sunyi. Yang kedengaran hanyalah suara pemberita.

Tengku Ezairul turun dari biliknya dan turut menonton televisyen.

“Kamu tak keluar malam ni?” tegur Tengku Puteri Alyah.

Tengku Ezairul memandang wajah bondanya. “Zairul ada hal nak bincang dengan ayahanda.”

Tengku Dato Zafrul terus berpaling memandang Tengku Ezairul. “Apa yang nak kamu bincangkan?”

“Macam ni ayahanda, kereta baru dari Jepun tu dah sampai semalam. Tapi tak banyaklah. Pelanggan kita tak dapat buat pilihan. Semalam ada dua tiga pelanggan tidak jadi ambil sebab kereta yang kita janjikan tu tak ada,” adu Tengku Ezairul dengan rasa kecewa.

“Kamu tahu kenapa syarikat Jepun tu tak dapat bagi banyak?”

“Zairul dah cakap sendiri dengan ketua mereka. Katanya syarikat kita bersaing dengan syarikat di Jerman yang mana mereka juga menjual kereta seperti kita. Ini persaingan yang hebat ayahanda. Zairul takut nanti Zafrul Group tak dapat lagi nak import kereta dari sana.”

Tengku Dato Zafrul termenung seketika memikirkan jalan penyelesaian. “Zairul tahu apa nama syarikat di Jerman tu?”

Tengku Ezairul mengangkat bahunya. “Ayahanda yakin syarikat Jepun tak akan aniaya kita. Ayah kenal pemilik kilang tersebut. Dah lama Zafrul Group bekerjasama dengan kilang tu sejak kamu kecil lagi. Itu Zairul jangan risau. Kalau kilang itu tidak mahu bekerjasama lagi, ayahanda akan masuk campur.”

Kata-kata Tengku Dato Zafrul menyejukkan hati Tengku Ezairul. Dia tahu ayahandanya bijak dalam mengatur strategi perniagaan. Kalau tidak, tentu Tengku Dato Zafrul tidak dapat membuka sebuah lagi syarikat minyak. Dia bersandar di sofa.

Timah pembantu Vila Istana datang menghidangkan buah-buahan dan air limau sanquick.

“Timah, buatkan saya susu panas kosong,” arah Tengku Ezairul.

“Baik Tengku.” Terus Timah ke dapur. Takut dia sekiranya Tengku Ezairul menengking.

“Sekarang ni bonda pula nak cakap.” Tengku Puteri Alyah menyampuk.

“Bonda pun ada cerita. Ingatkan orang lelaki aje ada cerita.” Tengku Ezairul sudah ketawa.

Tengku Puteri Alyah mencebik. “Yalah. Bonda ni tak ada kawan tau tak nak bercerita. Anak-anak semua lelaki. Kalau ada menantu boleh jugak di ajak berborak,” perlinya.

Tengku Ezairul diam. Tengku Puteri Alyah mula menyebut soal menantu. Pastinya ditujukan pada dirinya.

“Apa yang you nak cakap?” soal Tengku Dato Zafrul.

“Macam ni, bonda ingat nak cari seorang lagilah pembantu rumah. Sejak si Shanti tu balik ke Indonesia, Timah tak cukup tangan nak mengemas, nak masak lagi. Apa pendapat you?” tanya Tengku Puteri Alyah pula pada suaminya.

“Ala bonda ni. Manjakan sangat orang gaji tu. Biarlah si Timah tu buat semuanya. Kemas rumah dan masak tukan memang kerja dia,” sampuk Tengku Ezairul pula.

“Kau diam Zairul! Bonda bercakap dengan ayahanda bukan dengan kamu!” marah Tengku Puteri Alyah.

Tengku Ezairul mencebik.

“Ikut suka youlah. Bagus jugak cadangan you tu. Kesian si Timah tu nak kemas sorang-sorang. Kalau ada pembantu sorang lagi, kuranglah beban dia.”

Tengku Puteri Alyah tersenyum mendengar jawapan dari suaminya. Senang berbincang dengan Tengku Dato Zafrul yang akan menyokong apa sahaja. Tidak seperti Tengku Ezairul yang suka membangkang.

“Bukan apa, bonda rasa Timah tu pun dah tak larat nak kemas bilik tidur yang bersepah-sepah kat atas tu. Dah besar pun nak orang kemaskan bilik dia,” perli Tengku Puteri Alyah.

Sekali lagi Tengku Ezairul buat tidak tahu. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Timah datang dan menghulurkan susu panas kepada Tengku Ezairul. Tengku Ezairul meneguk susu tersebut.

Rasanya tidak sesedap yang dibuat gadis di Basyirah. Siapa dia? Kenapa susu yang dia buat begitu sedap dan nikmat? Hati Tengku Ezairul tertanya-tanya.

Saat itu juga telefon bimbit Tengku Ezairul berbunyi. Discreen telefon itu tertera nama Shirin.

Tengku Ezairul melihat sekilas pada kedua orang tuanya yang khusyuk menonton berita. Dia tidak menjawab panggilan itu. Dia takut sekiranya Tengku Puteri Alyah tahu. Mesti teruk Tengku Ezairul kena marah.

Sebaliknya Tengku Ezairul naik ke biliknya untuk menjawab panggilan dari Shirin.

Tengku Puteri Alyah memerhati langkah Tengku Ezairul. ‘Pramugari tulah yang hubungi,’ ngomel Tengku Puteri Alyah di dalam hati.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Puan Siti masih diam. Tidak tahu bagaimana hendak memulakan lagi bicara kali ini yang pasti merentapkan hati Maria. “Maria masih marahkan saya?” Dia memerhati segenap wajah Maria. Ada sedikit wajah Wan Rozita di wajah gadis itu.

“Maria tak ada hak untuk marahkan puan. Kalau puan rasa apa yang puan buat selama ini adalah betul, maka betullah tu,” jawab Maria membalas pandangan Puan Siti di hadapannya ini.

Puan Siti rasa terpukul. Dia cuba tersenyum. Tangan Maria diraih lembut.

“Maafkan saya Maria. Saya tak ada pilihan masa tu,” pujuk Puan Siti lagi tidak putus asa.

Maria menundukkan wajahnya. Kalau boleh dia tidak mahu lagi bercakap tentang ibunya.

“Saya tahu Maria tak boleh terima apa yang berlaku. Saya faham perasaan Maria. Saya juga lahir tanpa melihat wajah ibu saya. Cuma bezanya, Maria dapat melihat ibu Maria ketika Maria sudah besar.”

“Puan, saya rasa saya tak berminat nak cakap soal perempuan di penjara tu.” Maria menarik tangannya.

“Perempuan itu ibu Maria. Nama dia Wan Rozita. Maria kena sayang dan terima dia. Ingat, Syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Walau sejahat mana seorang ibu, kita sebagai anak kena sentiasa berbuat baik supaya dosa kita dengan ibu bapa kita terhapus,” nasihat Puan Siti.

“Saya…” Ayat itu tergantung. Wajah Wan Rozita bermain di fikiran Maria. Setiap kali wajah ibunya terbayang, saat itulah jiwanya terseksa.

“Saya tak salahkan Maria dalam hal ini. Bukan saya tidak mahu ceritakan kenapa ibu Maria berada dalam penjara tapi ibu Maria yang tidak mahu saya ceritakan. Ibu Maria nak cakap sendiri dengan Maria. Dia nak Maria tahu dari mulutnya sendiri.”

“Tidak! Maria tidak akan dengar apa-apa penjelasan lagi. Semuanya sudah terlambat.”

Puan Siti terdiam. Dia yakin, suatu hari nanti hati Maria akan terbuka hatinya bila tahu cerita yang sebenar.

Kenangan berpuluh tahun yang lalu terimbau semula.

Siti, aku nak kau tolong aku. Bila aku dah lahirkan anak aku ni, aku nak kau jaga dia baik-baik seperti anak kau sendiri. Aku yakin anak yang aku kandung ini perempuan. Aku nak kau namakan dia Maria Edani. Aku mahu dia jadi anak yang baik-baik.” Wan Rozita sudah menangis-nangis di dalam penjara.

Siti juga begitu meratapi kesedihan Wan Rozita sahabat baiknya. “Kau jangan risau Rozita. Aku akan sayangkan anak kau. Kau jaga kesihatan kau baik-baik ya. Kau kena makan ikut jadual.”

“Aku tak bunuh Zahid. Betul Siti, aku tak bunuh Zahid. Takkan aku nak bunuh suami aku sendiri. Kau pun tahukan yang aku sayangkan Zahid. Kekasih dia yang bunuh dia. Aku ni dianiaya Siti,” tangis Wan Rozita. Dia terduduk di lantai.

Siti rasa tercekik. Dia turut sama duduk walaupun dari luar. Dia dapat melihat seksa yang sedang ditanggung oleh Wan Rozita.

“Aku percaya pada kau Rozita. Aku tahu kau tak bersalah. Kau tak bunuh Zahid. Aku tahu semua tu. Aku akan dapatkan peguam yang terbaik untuk kau. Kita minta untuk dibicarakan semula.” Siti turut sama menangis apabila melihat perut Wan Rozita yang sudah membesar itu.

“Kes aku dah tak boleh dibicarakan lagi Siti. Aku kena terima hukuman ni sampai mati.”

Tangan mereka sudah bertaut erat melalui palang besi.

“Jangan cakap macam tu Rozita. Insya-ALLAH... kau akan dibebaskan nanti.”

“Ingat pesan aku Siti. Jangan beritahu anak aku yang aku masih hidup. Katakan yang aku sudah mati. Apabila dia sudah besar kau ceritakanlah pada dia dan sekiranya umur aku panjang kau bawalah dia jumpa aku. Tapi kalau aku sudah tiada lagi di dunia ini, kau bawalah dia ke kubur aku.”

Tidak lama kemudian di penjara inilah Wan Rozita selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sangat comel diberi nama Maria Edani.

Puan... puan...” panggil Maria berulang kali. Ada air mata bertakung di tubir mata Puan Siti. Kenapa Puan Siti menangis? Dia rasa bersalah kerana menipu aku ke?

“Oh... Hmm... Maria, ada perkara lagi penting saya nak beritahu Maria.” Puan Siti menyeka air matanya dari keluar.

“Apa dia?”

“Pasal kerja yang Maria cakap tu. Kawan saya dah dapatkan kerja untuk Maria,” beritahu Puan Siti.

“Betul ke puan? Kerja apa? Saya tak kisahlah apa pun, asalkan dapat bekerja.”

Puan Siti tersenyum. Tenang rasa jiwanya melihat senyuman yang terhias di bibir Maria. Biarlah Maria bekerja. Mungkin bila berada di dunia luar, Maria akan menjadi lebih matang dan seterusnya dapat menerima Wan Rozita.

“Kerja sebagai pembantu rumah di rumah orang kaya. Saudara mara golongan bangsawan. Boleh?”

“Boleh. Maria tak kisah.” Maria tersenyum.

“Minggu depan Maria boleh berkerja. Nanti saya mintak orang hantarkan Maria ya.”

Maria mengangguk. Dia sudah tidak sabar mahu bekerja.

“Tapi ingat Maria, jaga diri baik-baik di rumah orang. Saya tahu Maria anak yang baik. Jangan hilangkan kepercayaan majikan kita ya,” pesan Puan Siti.

“Err.. Puan Siti kenal ke majikan Maria tu?”

“Tak kenal. Kawan saya yang beritahu di rumah tu nak pakai pembantu rumah.”

“Ooo… Nanti bila Maria dah kerja, boleh tak Maria balik sini lagi?”

Puan Siti tersenyum. “Mestilah boleh. Inikan rumah Maria. Bila-bila masa Maria boleh datang.”

Mereka berdua berbalas senyum. Maria bangun dan mencapai tangan Puan Siti. Kemudian dia memeluk wanita itu dengan erat.

“Terima kasih banyak-banyak puan sebab tolong Maria dapatkan kerja ni. Walaupun Maria dah kerja sebagai pembantu rumah, Maria tetap nak menjahit,” kata Maria dengan senyuman lebar. Terserlah lesung pipit di kiri kanan pipinya.

“Boleh Maria. Saya yakin Maria boleh lakukan.” Puan Siti memberi kata semangat.

“Maria nak kumpul duit dan nak buka butik. Bolehkan puan?”

“Boleh. Maria pasti boleh.”

“Kalau macam tu Maria balik dululah. Maria nak beritahu Maryam. Mesti dia terkejut.”

Puan Siti hanya mengangguk.

Bersambung…..


Previous: BAB 3
Next: Bab 6 & 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.