Seorang gadis kacukan melayu Rusia sedang berdiri tegak di hadapan cermin
kecil menampakkan wajahnya sahaja. Lama gadis itu merenung wajahnya sendiri.
Bebola matanya yang berwarna coklat cair dengan bulu mata yang panjang melentik
menyimpan sejuta kedukaan.
Dia antara gadis yang tercantik di rumah anak
yatim Basyirah. Kecantikannya selalu dicemburui. Sejak dari sebesar tapak
tangan, dia sudah menjadi penghuni tetap di Basyirah.
Peritnya rasa, tapi dia tiada pilihan. Tidak
tahu hendak ke mana lagi. Mujurlah dia dibesarkan di Basyirah. Jika tidak,
entah apa akan jadi pada dirinya.
“Maria! Kat sini rupanya kau. Puas aku cari.”
Maria terperanjat dengan teguran itu. Lantas dia
memusingkan badannya. Maryam sedang berdiri tegak di muka pintu.
“Cepatlah, Maria. Kawan-kawan dah tunggu nak
main bola jaring. Semua dah sedia. Cuma tunggu kau aje. Boleh pulak kau tilik
muka kau tu kat cermin. Dah lawa dah pun. Karang pecah jugak cermin tu,” bebel
Maryam.
Maria tersenyum. Faham benar dengan sikap
Maryam. Walaupun Maryam muda tiga tahun dari Maria, dia nampak matang dan boleh
dijadikan teman baik.
“Maryam ni asyik membebel aje tau. Maria nak
tengok muka sendiri, takkan tak boleh?” Maria tersenyum. “Tadi Maria tengok kat
padang tu tak ada orang. Maria masuklah bilik. Ingat tak jadi nak main.”
“Kau ni Maria, macam tak biasa pula. Ini kan
memang rutin permainan kita setiap hari. Macam baru dua bulan aje kau tinggal
kat Basyirah ni.”
Maria mengambil tuala kecil dan disangkutkan ke
tengkuknya dan berjalan menghampiri Maryam. Pintu bilik ditutup. “Jomlah.”
Mereka beriringan ke padang yang terletak di
belakang kantin Basyirah. Pada waktu petang begini, ramai penghuni Basyirah
melakukan aktiviti di padang dan perlu masuk ke asrama masing-masing tepat jam
7.00 petang kerana mereka semua perlu bersiap sedia untuk ke surau berjemaah
bersama.
Suasana agak meriah dengan sorakan daripada
rakan-rakan yang memberi sokongan kepada mereka yang berlawan. Di hujung sana
sekumpulan lelaki bermain bola sepak. Bersungguh-sungguh mereka bermain. Berlari
dan berebutkan bola.
Di tepi sini pula sekumpulan anak-anak gadis
berlari-lari untuk memasukkan bola ke dalam jaring.
Maria melompat-lompat dan berlari anak. Dia
antara penjaring yang terbanyak kerana tubuhnya yang kecil dan tinggi
memudahkan segala pergerakkannya.
Sekali lagi Maria melompat. Tadi dia sudah
menjaringkan bola dan kali ini Maria mahu melakukan lagi. Tiba-tiba tulung
rusuknya disiku. Dia mengaduh kecil dan terduduk di atas rumput. Bola yang
berada di tangannya tadi melantun entah ke mana.
Permainan terhenti. Sahabat yang lain mula
mengerumun Maria yang memegang bahagian yang sakit.
“Maria, kau okey tak ni?” Maryam menunjukkan
wajah cemasnya. Tangannya memegang bahu Maria.
Maria mengangguk perlahan. Padahal sakit sungguh
rasa tulang rusuknya. Dia tidak tahu siapa yang menyikunya tadi.
Maryam bangun dan berjalan ke arah sekumpulan
perempuan yang sedang tersenyum mengejek.
“Hei Linda, apa masalah kau hah? Aku nampak tadi
kau yang siku Maria, kan? Kau ingat aku ni buta ke? Kau apa hal hah?” jerit
Maryam. Sakit hatinya melihat muka kering Linda.
“Eh Maryam, kau ni apahal? Terjerit-jerit macam
perempuan gila!” tengking Linda pula.
“Kau yang gila! Tak sedar diri! Yang kau sakit
hati sangat dengan Maria tu kenapa?” marah Maryam.
“Eeii.. tak kuasa aku nak sakit hati dengan
budak hingusan macam tu. Kawan kau tu yang tak sedar diri. Dah tau tak reti
main, janganlah main. Lembik!”
“Aku tahu kau memang tak suka pada Maria, kan?
Sebabnya kawan aku tu paling cantik dan lawa kat sini. Kalau nak dibandingkan
dengan kau, bagai langit dengan bumi. HEi, Linda! Biar muka tak lawa, asalkan
jangan perangai macam hantu!” marah Maryam lagi.
“Kau... kau…” Linda mula panas hati.
“Kau apa hah?”
“Maryam! Kau jangan nak kurang ajar okey!” Linda
mula menyinga.
Maryam merenung Linda dengan tajam. Sikit pun
dia tidak takut pada perempuan singa ini. Selepas itu, dia berpaling, mahu
pergi dari situ.
Saat itu juga Linda menarik tangan Maryam
seperti mahu diajak bergaduh.
Maryam terkejut dan hampir terjatuh.
“Lepaskan tangan Maryam,” jerit Maria. Dia
menarik tangan Maryam dari terus dicengkam oleh Linda. Terlerai pegangan itu.
“Kalau awak tak suka saya sekali pun jangan libatkan Maryam dalam hal ini.”
Dalam kelembutan, Maria memberi amaran. Mata
Linda dan Maria bertentang. Yang lain hanya melihat sahaja aksi seterusnya.
Bagaikan seronok pula menyaksikan drama ini.
‘Sekarang kau dah pandai melawan ya budak
hingusan! Jaga kau!’ gerutu Linda dalam hati.
Linda berpaling pula ke arah Maria.
“Hei budak hingusan, belajar sikit untuk homati
orang yang lebih tua dari kau! Jangan sampai tangan kaki aku naik kat muka
kau!” Linda menunjal pipi Maria.
“Saya tak akan hormati orang tua macam ni,”
balas Maria selamba.
“Ooo... hebat kau sekarang ya. Dah pandai nak
melawan cakap aku. Kau tahu tak aku ni siapa?”
“Awak pun sama macam saya, anak yatim piatu.
Cuma bezanya saya ni jenis yang sedar diri pada status diri saya,” jawab Maria.
Ini pertama kali dia berkasar dengan Linda. Selama ini dia takut untuk
bersuara.
Linda menolak-nolak bahu Maria sehingga Maria
berulang-ulang kali terdorong ke belakang.
Maryam tidak ketinggalan membalas perbuatan
Linda itu bagi pihak Maria.
Suasana kecoh dengan suara pekikan kumpulan
perempuan ini. Tiada yang berani bersuara apabila melibatkan Linda kerana Linda
akan melakukan apa sahaja untuk membalas dendam.
Suara pekikan ini menarik perhatian sekumpulan
lelaki yang sedang bermain bola sepak.
“Linda!” Seorang lelaki menolak sedikit bahu
Linda agar menjauhi Maria. Tubuh Maria ditariknya agar tidak terjatuh.
“Kau kenapa? Tak habis-habis nak buat hal kat
sini!” marah lelaki itu yang sedang berdiri di sebelah Maria.
“Eh Syawal, kau jangan nak masuk campur! Ini
bukan masalah kau tapi masalah aku dengan budak tak sedar diri ni!” Linda
menunjukkan jarinya ke arah Maria.
Maria hanya diam.
“Kalau kau tahu Maria ni budak hingusan, yang
kau nak cari gaduh dengan dia kenapa? Dari dulu lagi kau tak suka dia kan?
Maria ni sakitkan hati kau ke? Maria ni menyusahkan hidup kau ke?” marah
Syawal. Dialah yang akan menjadi pelindung Maria sekiranya gadis ini diganggu
oleh Linda dan rakan-rakannya yang lain.
Linda mendengus kasar. Sakit hatinya melihat
sikap Syawal yang sentiasa bersama dengan Maria. “Jaga Maria! Hari ini hari
kau! Tengoklah esok lusa macam mana nanti. Tak akan aman hidup kau!” kata Linda
dengan kasar. Selepas itu, dia terus berlalu pergi diikuti oleh sahabatnya yang
lain.
“Selagi aku hidup, aku tak akan benarkan sesiapa
menyakiti Maria!” laung Syawal sengaja mahu menyakiti hati Linda yang semakin
jauh berjalan. Biar makin panas Linda dibuatnya.
Keadaan kembali tenang semula. Maria memicit
kepalanya. Apalah nasibnya. Beginilah keadaannya di Basyirah. Sepanjang masa
dicemuh dan disakiti.
“Maria, kau okey?” tanya Maryam. Simpati dia
pada Maria dan memegang lembut bahu sahabatnya ini.
“Okey...” jawab Maria perlahan. Matanya
dikalihkan pada Syawal yang masih berdiri di sebelah. Rupanya lelaki ini sedang
merenung dirinya.
“Abang Syawal, terima kasih sebab datang tadi.
Kalau tak, entah apalah akan jadi pada kami,” kata Maria lembut.
Kelembutan inilah yang membuatkan Syawal jatuh
cinta dari dulu lagi. Cuma Maria yang tidak tahu. “Apa yang Abang syawal buat
selama ini ikhlas, Maria. Marilah kita duduk di bangku sana dulu,” ajak Syawal.
“Err... Maria, aku balik asrama dulu ya. Aku nak
mandi. Rasa melekit pula badan aku ni.”
“Nantilah dulu, Maryam. Temanlah Maria dulu.
Nanti kita balik sama-sama.” Maria resah
apabila Maryam mahu meninggalkannya.
Maryam yang mengetahui isi hati Syawal terhadap
sahabat baiknya ini berasa serba salah. Sebenarnya dia tidak mahu mengganggu
perbualan Syawal dan Maria nanti.
“Ala kau ni Maria, manja sangatlah. Kau boraklah
dulu. Abang Syawalkan ada. Dia boleh lindungi kau. Aku ni tak kuat nak berlawan
dengan si Linda tu. Tadi tu eksyen aje.”
Akhirnya Maria mengangguk dan membenarkan Maryam
pergi.
Syawal dan Maria duduk di bangku. Masing-masing
diam. Maria merenung ke hadapan. Teringat pergaduhan kecil tadi dengan Linda.
“Maria tahu tak kenapa Linda tu suka sangat
menyakiti hati Maria?” Soalan pertama yang terpancul di bibir Syawal.
“Entahlah. Maria pun tak tahu. Dari dulu lagi
dia suka sakitkan hati Maria. Maria tak pernah kacau dia pun,” jawab Maria.
Syawal berat hati untuk memberitahu sesuatu tapi
dia perlu lakukannya. Tidak sanggup lagi dia melihat Maria disakiti.
“Sebenarnya Linda tu cemburu pada Maria.”
“Cemburu? Kenapa nak cemburu dengan Maria pula?”
Terkejut Maria. Tidak disangka cemburu adalah punca Linda membencinya. Tapi
kenapa?
“Linda cemburu sebab Maria lebih cantik dari
dia. Bukan sebab tu saja. Dia cemburukan kita berdua.”
“Apa? Cemburukan kita?” Maria merenung
dalam-dalam wajah Syawal mencari jawapan.
Syawal mengangguk. “Kalau Maria nak tahu, Linda
tu sukakan Abang syawal sejak dari kecil. Bila abang tak balas cinta dia dan
bila dia tahu abang rapat dengan Maria, itu yang menyebabkan dia jadi begitu.”
Maria terkejut bukan kepalang. Terlopong dia
dibuatnya. Biar betul! “Kenapa abang Syawal tak terima Linda? Dia bukan tidak
cantik cuma dia tu kasar aje.”
Syawal membalas pandangan Maria. Dia hanya
menyintai Maria. “Abang tak cintakan dia.”
“Tapikan, Abang Syawal boleh cuba untuk
sayangkan Linda?” Maria berterusan menduga hati Syawal.
Syawal tersenyum.
‘Aku hanya menyintai kau Maria. Kau saja yang tak tahu.’ “Tidak mungkin itu
semua akan berlaku Maria. Abang memang sukakan seseorang tetapi bukan Linda.”
Maria tersenyum. “Abang Syawal sukakan
seseorang? Siapa orang tu? Abang Syawal kenalkanlah pada Maria. Mesti bertuah
orang tu kan.”
Syawal sedikit kecewa. Maria tidak menunjukkan
rasa sayang atau cemburu kepadanya langsung. “Nanti ada masa, abang kenalkan
pada Maria ya.”
“Tak sabar Maria nak kenal dengan kakak ipar
Maria tu.” Maria tersenyum lebar menampakkan lesung pipitnya.
“Kakak ipar? Apa maksud Maria?”
Maria bangun dan berdiri mengadap Syawal.
“Mariakan adik abang Syawal. Bila Abang Syawal dah ada teman wanita, maknanya
Maria akan dapat kakak ipar. Tulah maksud Maria.”
Syawal terkedu. Benarlah Maria tidak pernah ada
hati padanya. Direnung lagi wajah kacukan Inggeris itu.
“Kenapa Abang Syawal tengok Maria macam tu? Tak
puas ya tenung muka Maria ni,” usik Maria sambil mengibar-ngibarkan tangannya
di hadapan muka syawal.
Akhirnya Syawal tersenyum. ‘Maria Maria… Maria
tak akan faham hati dan perasan abang ni. Orang yang abang maksudkan tu
Marialah. Mana ada orang lain lagi. Abang sayang Maria.’
“Marilah Maria kita balik ke asrama. Dah nak
pukul 7.00 ni. Kejap lagi dah nak maghrib pula.” Syawal mula berdiri.
Mereka melangkah bersama menuju ke asrama
masing-masing.
Dari jauh mereka diperhatikan oleh seseorang.
Jaga kau Maria! Perempuan tak guna.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Suasana di Vila Istana di serbu dingin pagi. Sejak akhir-akhir ini, hujan
kerap turun pada waktu subuh. Di Vila Istana ini, tinggal satu keluarga
keturunan bangsawan iaitu YAM Tengku Dato Zafrul bersama ahli keluarga yang
lain.
Di ruang makan mewah Vila Istana, kelihatan
pasangan suami isteri baru hendak menikmati sarapan pagi.
“Ezairul mana? Pukul berapa dia balik malam
tadi?” tanya Tengku Dato Zafrul kepada isterinya Tengku Puteri Alyah yang
mengambil tempat duduk di sebelahnya.
“Entahlah. Bonda pun tak tahu pukul berapa dia
balik malam tadi. Takkan tiap-tiap malam bonda nak tunggu dia. Kalau tak pukul
4.00 pagi, memang dia tak baliklah,” jawab Tengku Puteri Alyah.
Tengku Dato Zafrul mengeluh. “Entah apalah nak
jadi pada Ezairul tu. Dia ingat diri dia tu muda lagi ke? Kalau kahwin dah
berderet anak agaknya. Tak habis-habis nakenjoy.”
“Nak buat macam mana bang, bukan kita tak pernah
cuba nak jodohkan si Ezairul tu dengan anak-anak kawan kita. Dia tu yang tak
nak. Memilih. Nak yang cantik aje. Yang tak lawa tak nak,” kata Tengku Puteri
Alyah geram.
“Bonda tahu mana Ezairul tu pergi tiap-tiap
malam?” soal Tengku Dato Zafrul lagi tidak puas hati.
“Kalau tak jumpa kawan dan tak berlumba kereta,
mesti dia ke Kelab Seroja.”
“What? Night club?” Tengku Dato Zafrul melenting. Dia berhenti mengunyah. Sakit
jantungnya saat ini. “Ezairul tu tak tahu ke yang semua orang kenal keluarga
kita? Kalaulah kawan-kawan saya tahu, malu saya. Malu saya Alyah!”
“Bonda dah banyak bagi nasihat pada Ezairul tu,
tapi dia tak pernah dengar. Satu bonda cakap, berpuluh dia jawab,” adu Tengku
Puteri Alyah.
“Bonda rasa, abang kena nasihat Ezairul tu.
Bonda tak berdaya lagi. Perangai dia dulu tak macam ni. Sejak balik dari Londan,
terus berubah perangai. Tengoklah... Dah pukul berapa, tapi tak bangun lagi.
Kejap lagi nak pergi ofis.”
“Timah, tolong ketuk bilik Ezairul. Beritahu dia
saya hendak jumpa dia sekarang!” arah Tengku Dato Zafrul kepada orang gajinya
yang sedang menuang air.
“Baik, Tengku,” jawab Timah penuh hormat dan
segera ke tingkat atas. Dalam hatinya berasa takut. Takut sekiranya Tengku
Ezairul mengamuk lagi.
Good morning bonda,
ayahanda..” sapa Tengku Ezairul. Bau Eau De Toilette yang dipakai oleh Tengku
Ezairul begitu menusuk hidung.
Tengku Ezairul duduk. Timah cepat-cepat
menyenduk nasi goreng dan diberikan kepada Tengku Ezairul.
“Morning...” Serentak suami isteri itu menjawab.
“Ayahanda tak suka Zairul balik lewat setiap
malam. Mana Zairul pergi?” tanya Tengku Dato Zafrul keras. Dia langsung tidak
menoleh pada anak bujangnya itu.
“Zairul jumpa kawan aje. Lepak-lepak tempat
lumba kereta. Kenapa ayahanda?”
“Ayahanda tak suka Zairul ke kelab tu.
Berfoya-foya tak tentu pasal macam orang hilang arah. Ayahanda juga tak suka
Zairul keluar tiap-tiap malam. Ayahanda tak nak marah-marah Zairul seperti
budak-budak kecil sebab Zairul dah besar,” kata Tengku Dato Zafrul.
“Betul kata ayahanda tu Zairul. Zairul bukan
budak kecil lagi. Zairul tahu kan yang kita ni bukan orang sebarangan. Kalau
wartawan tahu tentang sikap Zairul yang suka ke Kelab Seroja, macam mana? Busuk
nama keturunan kita,” sampuk Tengku Puteri Alyah.
Tengku Ezairul meneruskan suapan nasi goreng ke
dalam mulutnya. Tiba-tiba dia rasa kenyang dengan teguran sebegini pagi-pagi.
“Ayahanda, bonda, Zairul cuma tengok orang menyanyi, menari dan berbual dengan
kawan tentang bisnes. Tu aje. Zairul tak minum air haram kat kelab tu.”
“Ada kamu tempah perempuan kat Kelab Seroja tu?”
soal Tengku Dato Zafrul. Dia tidak mahu anaknya terbabit dengan masalah sosial.
Tengku Ezairul ketawa. “Ayahanda, bonda,
perempuan kat Kelab Seroja tuno class lah. Bukantaste
Zairul. Kita kan keturunan bangsawan, mestilah pilih sama taraf juga. Tak pun
cari yang kaya raya.”
“Baguslah kalau macam tu. Ayahanda tak mahu
dengar perkara yang buruk tentang keluarga kita. Ayahanda mahu Zairul tumpukan
perhatian pada syarikat permotoran tu,” pesan Tengku Dato Zafrul lagi.
Tengku Ezairul tersenyum. “Ayahanda jangan risau
tentang syarikat tu. Sekarang Zafrul Group adaplanning baru. Zairul sedang menyiapkan kertas kerja untukimport lagi kereta-kereta
baru dari Jepun dan Korea. Bila selesai semuanya, Zairul akan beritahu
ayahanda,” beritahu Tengku Ezairul penuh bangga.
“Baguslah kalau macam tu. Ayahanda percaya pada
Zairul. Buatlah apa sahaja asal dapat menguntungkan syarikat. Tapi, mestilah
dengan cara yang betul bukan dengan taktik kotor,” nasihat Tengku Dato Zafrul.
“Zairul tahu, ayahanda. Oh ya, Zairul dah lewat
ni. Zairul perdi dululah.”
“Bukan ke hari-hari Zairul memang selalu lewat
ke pejabat?” perli Tengku Puteri Alyah.
Tengku Ezairul bangun sambil tersengih. Kot
hitamnya dicapai dan segera dia mencium pipi Tengku Puteri Alyah.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“HAI sayang,sorry.. I’m late.” Tengku
Ezairul berbisik halus di telinga Shirin penuh romantis. Terus dia duduk di
depan Shirin. Panjang muncung buah hatinya ini.
“Janganlah marah. Cuba senyum sikit. I ada
mesyuarat tadi. Habis lambat sikit.Please
look at me...” rayu Tengku Ezairul lagi dan matanya
merenung ke dalam mata buah hatinya ini yang cantik jelita.
Akhirnya Shirin tersenyum juga dengan pujukan
Tengku Ezairul. “You ni dah tahu naklunch dengan I, habiskanlah cepat-cepatmeeting tu. Selalu buat I tertunggu-tunggu. Tak sukalah macam n.” Sempat
lagi Shirin membebel seraya menjeling manja pada kekasih hatinya ini.
Tengku Ezairul tersenyum dan mencapai tangan
Shirin. Tangan itu dikucup lama. “I love
you Shirin. Maafkan I ya..”
“Hmm... okey. Malam ini jangan lupa bawa I ke
kelab tau sebagai denda you lewat.”
“Okey,my
darling,” jawab Tengku Ezairul dengan penuh rasa
lega apabila Shirin tidak lagi merajuk.
Makanan yang dipesan oleh Shirin sebentar tadi
tiba. Tengku Ezairul pula mengambil pesanan.
Selesai makan, Tengku Ezairul dan Shirin
beriringan keluar dari Restoran Rebung.
Shirin berdiri tegak di hadapan Tengku Ezairul.
“Sayang, boleh tak I nak ikut you ke ofis? I bosanlah tinggal sorang kat rumah.
Bolehlah...” Shirin bermain-main tali leher Tengku Ezairul dengan gaya yang
mengada-ngada.
Tengku Ezairul menggaru dahinya. ‘Nak bawak
Shirin ke Zafrul Group, tempah mautlah aku nanti kalau ayahanda tahu,’ bisik
hati Tengku Ezairul.
“Boleh tak I ikut you?” Tanya Shirin lagi dengan
suara sengaja dimanjakan.
“Err... bukan tak boleh. You tahulah kat sana
ramai mata-mata yang akan tengok kita. Kawan-kawan ayahanda I ramai kat sana.
Tak pasal-pasal mereka tureport pada ayahanda I. I malas nak bertekak pasal hal ni. Kalau youboring sangat, you
pergilah ajak kawan-kawan youshopping,” pujuk Tengku Ezairul.
“You ni kan, bila I nak ke ofis you je mesti
banyak alasan kan? Bukan I nak kacau you buat kerja dan I bukan nak buat benda
tak senonoh dengan you kat situ!” marah Shirin. Dia tidak lagi bermain tali
leher Tengku Ezairul.
Tengku Ezairul serba salah. “Memanglah kita tak
buat benda-benda pelik, tapi tak syoklah kalau orang tengok kita berdua dalam
ofis I. Lagipun ada beberapa jam aje lagi untuk I habis kerja.” Tengku Ezairul
melirik jam di tangannya.
Shirin menarik muka masam. “Kalau macam tu, bagi
I duit. I nak pergishoppingdengan kawan-kawan I.” Shirin sudah menadah tangan.
“You ni...” keluh Tengku Ezairul dan terus
membuka dompetnya. Beberapa not seratus dikeluarkan dan dihulurkan pada Shirin.
“Macam tak ikhlas aje you bagi duit ni. You kan
banyak duit Zairul. Setakat lima ratus ini apalah sangat, kan?” Shirin sudah
tersenyum panjang. Seronok dapat duit belanja dari Tengku Ezairul.
Marcedes jenama Kompressor berhenti betul-betul
di hadapan Tengku Ezairul dan Shirin.
Adli keluar dari kereta dan membuka pintu untuk
majikannya.
“I balik ofis dulu. Malam nanti I ambil you
okey,” pesan Tengku Ezairul.
Shirin tersenyum menggoda pada Tengku Ezairul
sebelum kereta mewah itu berlalu pergi.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Eh,
Linda! Apa yang kau buat ni? Kenapa kau ambil rantai Puan Siti? Kalau dia tahu,
mati kita nanti!” tegur Hani. Linda sedang memasukkan rantai emas tersebut ke
dalam poket seluarnya.
“Kau diam boleh tak? Kau jangan nak hebohkan
pada orang lain apa yang kau nampak ni!” marah Linda.
“Tapi kenapa kau ambil rantai ni? Eh, letaklah
balik rantai tu Linda,” kata Hani.
Linda rasa rimas
apabila Hani menggoncang lengannya. “Kau ni menggelabahlah, Hani. Aku nak kau
tutup mulut kau! Kalau kau pecahkan rahsia ni, siap kau!” Linda memberi amaran
keras dan terus keluar dari pejabat guru besar Basyirah.
Hani mula berasa takut. Tidak sepatutnya dia
menjebakkan dirinya dengan perbuatan Linda. “Aku tak puas hati lagi ni. Kenapa
kau ambil rantai Puan Siti tu? Kau nak buat apa Linda?” soal Hani tidak puas
hati.
“Kau nak tahu sangat ke kenapa aku ambil rantai
ni?” soal Linda selamba dan duduk di tepi kolam ikan.
“Yalah. Kau tahu tak perbuatan kau tu salah.
Kalau kau kena tangkap, maknanya aku akan kena sekali. Silap hari bulan kita
kena keluar dari Basyirah ni.”
“Memang itu pun aku tunggu. Aku nak keluar dari
Basyirah ni. Kau ingat aku suka tinggal dalam Basyirah ni. Terkurung macam
penjara. Nak keluar pun susah apatah lagi nak berjalan-jalan macam orang lain!”
bentak Linda.
Linda ketawa. Tidak lama lagi musuhnya akan
tersungkur. Dia menyeluk poket seluarnya. Rantai emas dikeluarkan dan
ditayangkan di hadapan mata. Terpampang loket bertanda ‘S’.Pagi tadi dia lalui
depan bilik Puan Siti. Pada ketika itu, dia melihat Puan Siti sedang menggosok
loket tersebut dan memasukkan dalam beg kecil.
“Cakaplah Linda, kau nak buat apa dengan rantai
ni?”
“Aku akan letakkan rantai ini dalam almari
Maria. Kemudian mesti kecoh sebab rantai Puan Siti hilang. Pada masa itu, aku
akan cadangkan untuk memeriksa setiap bilik di Basyirah. Aku akan beritahu yang
aku nampak beberapa orang melalui bilik Puan Siti tadi. Secara tak langsung,
mesti mereka percaya,” terang Linda. Rantai itu di masukkan semula ke dalam
poket seluarnya.
Hani terlopong. ‘Berani betul Linda!’
“Kau jangan nak buat gila Linda. Kalau Puan Siti
tahu teruk kau nanti. Tak pasal-pasal aku pun kena sekali! Aku tak nak terlibat
apa-apa. Aku nak balik. Kau buatlah kerja ni sorang-sorang.” Hani bangun.
Linda menyambar kasar tangan Hani. “Kau jangan
nak melarikan diri! Ingat, petang ni kau kena ikut aku! Aku akan masuk dalam bilik Maria dan kau jaga kat
luar.”
“Tapi aku...”
“Hei! Kau jangan nak mengelak. Aku hempuk kau
nanti!” Linda menolak kepala Hani.
Hani tiada pilihan. Dia takut!
“MACAM mana Maria, okey ke?” tanya Puan
Siti.
Maria memandang Puan Siti dan tersenyum manis.
“Setakat ini okey, puan. Cuma nak jahit manik ni susah. Lambat sikit.”
“Tak apa Maria. Saya yakin, Maria boleh buat,”
kata Puan Siti lembut sambil merenung wajah kacukan Inggeris itu. Renungannya
penuh mendalam. Kalaulah gadis ini mengetahui perkara sebenar, apakah akan
terjadi nanti? Gembirakah Maria atau berdukakah Maria?
“Puan, macam mana nak jahit manik di lengan ni?”
tanya Maria.
“Ooo... senang saja ni. Macam ni... Maria letak
satu manik dulu kemudian masukkan jarum dalam lubang kecil ni dan letak lagi
satu per satu manik ni,” ajar Puan Siti.
“Cuba Maria buat dulu.”
“Baik, Puan Siti.”
Maria meneruskan jahitan manik di lengan baju
kebaya itu. Puan Siti sudah beredar melihat hasil anak muridnya yang lain pula.
Bersungguh-sungguh Maria menjahit manik tersebut. Baju kebaya yang dijahitnya
dua tiga hari yang lepas sudah siap. Cuma mahu menyiapkan manik sahaja.
“Maria...”
“Ada apa puan?”
“Maria, awak tolong ke pejabat saya dan ambil
kotak jarum peniti. Jarum peniti tu ada atas meja saya. Pagi tadi saya beli.
Lupa pula nak ambil,” arah Puan Siti.
“Baik, puan.” Maria terus dia keluar dari kelas
jahitan dan ke pejabat Puan Siti.
“CEPATLAH sikit Linda! Aku takut ni.” Hani
bersuara gementar. Matanya melilau-lilau.
“Kejaplah. Kau jagaline kat luar tu! Kalau ada orang datang, kau beritahu aku.” Linda
sedang berusaha memasukkan rantai tersebut dalam almari Maria. Begitu mudah
sekali dia melakukannya kerana almari musuhnya ini tidak berkunci.
Linda keluar dan menghampiri Hani. “Okey dah.
Semua berjalan dengan lancar. Jom blah.”
Linda dan Hani segera berlalu pergi. Dia
terserempak dengan beberapa orang rakan yang lain yang tidak mengesyaki
apa-apa.
“Ingat Hani, biar pecah di perut jangan pecah di
mulut!” Linda memberi amaran.
Hani betul-betul rasa tidak selesa. Kesian
Maria. “Kenapa kau buat si Maria tu macam ni? Kesian dia tau tak. Dia ada
sakitkan hati kau ke Linda?”
Linda diam. Memang dia sakit hati pada Maria.
“Kau jangan cakap banyak Hani. Aku memang tak suka dia dan sampai bila-bila aku
tak akan suka dia!” jawab Linda keras.
“Kau marah sebab Abang Syawal tu rapat dengan
Maria kan?”
“Tahu tak apa!”
Hani hanya menggeleng.
Bersambung….