Home Novel Cinta TAKKAN KULEPASKAN, EMY RAZIELA
TAKKAN KULEPASKAN, EMY RAZIELA
EMY RUSLI
5/12/2014 23:13:41
40,012
Kategori: Novel
Genre: Cinta

FB:Emy Raziela Novelis
TAKKAN KULEPASKAN sudah berada di pasaran sejak 2013

MARIA mengetuk bilik Puan Siti. Selepas mendengar suara Puan Siti, dia terus masuk ke dalam bilik pengetuanya itu. “Kenapa Puan Siti panggil saya?” tanya Maria lembut sambil merenung wajah pengetua Basyirah.

Puan Siti merenung dalam-dalam seraut wajah milik Maria. Berat hatinya mahu menceritakan perkara yang sebenar. Maria sudah dewasa. Sudah jadi anak dara. Mungkin tidak lama lagi akan menjadi isteri orang. Maria tidak boleh dibohongi lagi. “Maria, ada perkara penting yang saya nak beritahu Maria. Perkara ni sangat penting dan Maria perlu tahu.”

“Perkara apa, puan? Maria tak faham. Ada baiknya kalau puan berterus-terang aje.” Maria membalas pandangan Puan Siti yang duduk di atas sofa sebelahnya.

Puan Siti melarikan bola matanya. Tidak sanggup untuk dia terus menipu gadis sebaik Maria. Apakah Maria boleh terima atau bagaimanakah aksi gadis ini apabila mengetahui segalanya nanti.

Maria sudah tidak sabar lagi. Hatinya dipalu kebimbangan. Berdegup-degup jantungnya seperti akan ada perkara buruk yang akan menjadi santapan telinganya.

“Maria, maafkan saya Maria. Saya tak sepatutnya merahsiakan perkara ini dari Maria tapi saya telah berjanji dengan seseorang untuk tidak menceritakan segalanya kepada Maria. Sudah 25 tahun saya simpan rahsia ini. Maria kena tahu hal yang sebenar.”

“Puan, beritahulah Maria perkara sebenar tu,” pujuk Maria seperti tidak sabar lagi.

Puan Siti menghembus lembut nafasnya dan bangun membelakangkan Maria. “Sebenarnya...” Puan Siti tidak dapat meneruskan kata-katanya.

“Sebenarnya ibu Maria masih hidup. Dia belum meninggal…” Akhirnya terluah jua rahsia selama 25 tahun.

Maria terkedu. Berpusing seketika dunianya. Tiada kata yang lahir dari bibirnya. Hanya nafas halus yang melalui rongga hidungnya. ‘Tidak mungkin! Tidak mungkin!’ jerit hatinya. ‘Ibunya sudah meninggal sejak dia kecil. Puan Siti mereka cerita. Tidak!’

Puan Siti merenung Maria. Tiada air mata yang mengalir pada wajah lembut itu. Dia meluru ke arah Maria dan memeluk anak itu. Dia menangis di bahu Maria.

“Maafkan saya, Maria. Maafkan saya. Saya tak sepatutnya berbohong. Tapi saya telah berjanji dengan ibu Maria untuk tidak ceritakan segalanya pada Maria. Maafkan saya, Maria.”

Maria tidak membalas pelukan Puan Siti. ‘Ibu masih hidup. Tapi kenapa aku tak pernah tengok ibu ke sini? Aku ini anak tidak sah taraf ke?’ Fikiran Maria jauh menerawang mengenang nasib diri. Tiba-tiba mengalir jua setitik demi setitik di pipinya. Semakin lama semakin laju. l

Puan Siti memerhati wajah duka Maria. Basah pipi gadis yang dipelihara sejak kecil di Basyirah. Melihat menambahkan lagi rasa bersalah di hatinya. Dia menggenggam tangan Maria yang kaku. “Maria... pandang saya. Saya akan terangkan pada Maria perkara yang sebenar,” pujuk Puan Siti.

“Katakan apa yang puan cakap tadi tu bohong!” Maria tidak dapat menerima kenyataan bahawa ibunya masih hidup.

“Tidak Maria! Apa yang saya beritahu tadi adalah benar. Ibu Maria masih hidup. Dia belum mati. Ayah Maria sahaja yang meninggal. Saya terpaksa bohong Maria atas permintaan ibu Maria sendiri.”

“Kenapa nak bohong? Kenapa? Sebab Maria ni bukan anak yang halalkan?” tanya Maria sambil mengesat air matanya. Dadanya berombak-ombak.

Puan Siti mengeleng. “Maria anak sah taraf dari perkahwinan ibu bapa Maria. Cuma ada sebab kenapa Maria di tinggalkan di sini.”

“Kenapa Maria ditinggalkan di sini? Binatang pun sayangkan anak, inikan pula manusia yang ada akal fikiran.”

“Maria…” Hanya itu yang mampu diucapkan Puan Siti.

“Cakaplah... Kenapa Maria di sini? Kenapa Maria tak tinggal bersama ibu Maria? Ibu jenis apa yang sanggup tinggalkan anaknya selama 25 tahun.”

“Jangan cakap macam tu. Ibu Maria tak salah,” pujuk Puan Siti lagi.

“Kalau ibu Maria masih hidup kenapa selama ini dia tidak pernah datang jenguk Maria?” soal Maria lagi

“Ibu Maria tak dapat nak melawat Maria. Ibu Maria sayangkan Maria dan dia pendam saja perasaan rindu itu. Ibu mana yang tak sayangkan anak Maria.”

Maria hanya diam.

“Saya sudah berjanji pada ibu Maria, saya akan bawa Maria berjumpa ibu Maria apabila Maria besar nanti. Sekarang sudah tiba masanya saya bawa Maria jumpa ibu Maria.”

Maria mengetap bibir menahan kepiluan. Terpancar seribu kedukaan di wajahnya. Terpendam segala ribut yang melanda di hati. Maria memejam matanya. Tidak mahu lagi membiarkan air matanya mengalir.

MARIAberjalan mengikuti langkah Puan Siti. Kenapa Puan Siti membawanya ke sini? Dia ingin bertanya tetapi lidahnya kelu. Ada beberapa orang polis mengawal rapi. Dia membaca papan tanda. PENJARA WANITA.

Hati Maria berdegup kencang. Dia berhenti melangkah.

Puan Siti turut berhenti. “Mari Maria... Marilah.” Ajak puan Siti lembut menarik perhatian Maria. Mahu tidak mahu Maria menurut jua.

“Kenapa puan bawa saya ke sini?” tanya Maria masih tidak mengerti.

“Saya mahu bawa Maria jumpa seseorang.” Jawab puan Siti lembut. Segunung simpati pada Maria.

Maria tersenyum kelat mengikut jua. Di luar bilik Maria dapat lihat ramai pelawat sepertinya datang. Mereka hanya bercakap melalui geriji besi. Maria bertambah pelik.

“Maria duduk dulu ya. Saya ke sana sekejap.” Puan Siti terus berlalu pergi.

Maria hanya mengikut saja. Dia memerhati keadaan sekeliling. Maria kelihatan pelik dan bercampur hairan.

Lama Maria termenung di tempat menunggu. Fikirannya tertanya-tanya motif puan Siti membawanya ke sini.

“Maria... Mari sini. Saya nak bawa Maria jumpa seseorang.” Puan Siti sudah berdiri di hadapan Maria.

Maria mengangguk. Tiba-tiba hatinya berdegup kencang. Dikuak rambutnya yang terjuntai di dahi.

Puan Siti memegang erat jari jemari Maria. Dia mahu memberi kekuatan kepada gadis ini.

Di sebalik geriji besi, seorang perempuan yang beruniform putih dengan keadaan yang tidak terurus meninjau-ninjau tidak sabar.

Puan Siti menelan air liur. “Maria, duduklah. Angkat telefon tu. Itu ibu Maria…” Hanya setakat itu yang mampu Puan Siti katakan. Dia tidak mampu berterus-terang lagi.

Maria terduduk di situ. Sekali lagi dunia bahagianya direntap kasar. Dia tidak sanggup melihat wanita itu. Dia tidak sanggup. Ibunya sudah mati!

Puan Siti segera mendapatkan Maria. Dia mendudukkan Maria di atas kerusi. Dia sebak. Hampir menitik air matanya.

‘Kenapa ibu di penjara? Kesalahan apa yang ibu buat sehingga menjadikan tempat keji ini sebagai rumah.’ Maria rasa terhina yang teramat sangat.

Wanita di sebalik geriji besi itu turut menangis apabila pertama kali melihat anaknya di depan mata. Selama ini, hanya gambar yang mengubat kerinduannya.

“Itu ibu Maria. Cakaplah dengan ibu,” pujuk Puan Siti. Dia menyerahkan gagang telefon kepada Maria.

Wanita di dalamnya sudah bersedia dengan gagang telefon di telinganya mengharapkan anak tunggalnya ini akan bercakap dengannya.

Akhirnya Maria menyambut gagang tersebut dan perlahan-lahan memandang wanita di hadapannya itu.

Mata kedua beranak itu bertentang. Kelopak mata Maria sudah bertakung dengan air jernih. Wanita itu juga kelihatan menangis.

“Maria... anak ibu…”

Maria memejamkan matanya. Rindunya dia pada panggilan itu.

“Maria dah besar. Anak ibu sangat cantik,” ucap wanita itu dengan tangisan mula beraja. Perasaan rindunya selama ini sudah terlerai dengan menatap wajah anaknya itu.

Wajah Maria seiras wajah arwah suaminya warga Rusia. Maria mewarisi wajah kacak suaminya. Diperhati setiap inci wajah Maria.

Maria hanya diam. Dia tiada kata-kata untuk diucapkan.

Puan Siti melarikan diri. Tidak sanggup dia mendengar perbualan sedih dua beranak itu.

“Maria, cakaplah nak. Janganlah diam macam ni. Ini ibu Maria. Ibu yang telah melahirkan Maria. Cakaplah nak. Ibu nak dengar suara Maria.” Wanita itu kelihatan kecewa apabila dilihatnya Maria hanya tunduk tidak bercakap.

“Maafkan ibu nak. Janganlah Maria salah sangka. Ibu tak salah Maria. Ibu dianiaya. Percayalah cakap ibu Maria.” Air mata sudah berlinang.

Perlahan-lahan Maria memandang wajah wanita itu. Dengan jelas Maria dapat lihat wajah wanita itu. Maria ralit memerhati dengan hati yang lara. Sekali lagi dia memejam mata. Seumur hidup, ini pertama kali dia melihat wajah ibu kandungnya. Kalau orang lain pasti gembira apabila mengetahui ibu kandung masih hidup tapi tidak baginya. Dia masih tidak boleh menerima kenyataan ini.

Gagang telefon diletak. Maria bangun. Tidak tega lagi dia lama-lama berada di situ. Itu bukan ibunya. Ibu sudah mati. Dia terus berlari keluar. Wajah sedih ibunya bermain di minda. Maria dapat lihat wajah duka wanita itu yang sarat dengan penderitaan.

Vilaistana terang benderang. Tengku Dato Zafrul dan Tengku Puteri Alyah sedang berehat di ruang tamu menonton berita. Keadaan sunyi. Yang kedengaran hanyalah suara pemberita.

Tengku Ezairul turun dari biliknya dan turut menonton televisyen.

“Kamu tak keluar malam ni?” tegur Tengku Puteri Alyah.

Tengku Ezairul memandang wajah bondanya. “Zairul ada hal nak bincang dengan ayahanda.”

Tengku Dato Zafrul terus berpaling memandang Tengku Ezairul. “Apa yang nak kamu bincangkan?”

“Macam ni ayahanda, kereta baru dari Jepun tu dah sampai semalam. Tapi tak banyaklah. Pelanggan kita tak dapat buat pilihan. Semalam ada dua tiga pelanggan tidak jadi ambil sebab kereta yang kita janjikan tu tak ada,” adu Tengku Ezairul dengan rasa kecewa.

“Kamu tahu kenapa syarikat Jepun tu tak dapat bagi banyak?”

“Zairul dah cakap sendiri dengan ketua mereka. Katanya syarikat kita bersaing dengan syarikat di Jerman yang mana mereka juga menjual kereta seperti kita. Ini persaingan yang hebat ayahanda. Zairul takut nanti Zafrul Group tak dapat lagi nak import kereta dari sana.”

Tengku Dato Zafrul termenung seketika memikirkan jalan penyelesaian. “Zairul tahu apa nama syarikat di Jerman tu?”

Tengku Ezairul mengangkat bahunya. “Ayahanda yakin syarikat Jepun tak akan aniaya kita. Ayah kenal pemilik kilang tersebut. Dah lama Zafrul Group bekerjasama dengan kilang tu sejak kamu kecil lagi. Itu Zairul jangan risau. Kalau kilang itu tidak mahu bekerjasama lagi, ayahanda akan masuk campur.”

Kata-kata Tengku Dato Zafrul menyejukkan hati Tengku Ezairul. Dia tahu ayahandanya bijak dalam mengatur strategi perniagaan. Kalau tidak, tentu Tengku Dato Zafrul tidak dapat membuka sebuah lagi syarikat minyak. Dia bersandar di sofa.

Timah pembantu Vila Istana datang menghidangkan buah-buahan dan air limau sanquick.

“Timah, buatkan saya susu panas kosong,” arah Tengku Ezairul.

“Baik Tengku.” Terus Timah ke dapur. Takut dia sekiranya Tengku Ezairul menengking.

“Sekarang ni bonda pula nak cakap.” Tengku Puteri Alyah menyampuk.

“Bonda pun ada cerita. Ingatkan orang lelaki aje ada cerita.” Tengku Ezairul sudah ketawa.

Tengku Puteri Alyah mencebik. “Yalah. Bonda ni tak ada kawan tau tak nak bercerita. Anak-anak semua lelaki. Kalau ada menantu boleh jugak di ajak berborak,” perlinya.

Tengku Ezairul diam. Tengku Puteri Alyah mula menyebut soal menantu. Pastinya ditujukan pada dirinya.

“Apa yang you nak cakap?” soal Tengku Dato Zafrul.

“Macam ni, bonda ingat nak cari seorang lagilah pembantu rumah. Sejak si Shanti tu balik ke Indonesia, Timah tak cukup tangan nak mengemas, nak masak lagi. Apa pendapat you?” tanya Tengku Puteri Alyah pula pada suaminya.

“Ala bonda ni. Manjakan sangat orang gaji tu. Biarlah si Timah tu buat semuanya. Kemas rumah dan masak tukan memang kerja dia,” sampuk Tengku Ezairul pula.

“Kau diam Zairul! Bonda bercakap dengan ayahanda bukan dengan kamu!” marah Tengku Puteri Alyah.

Tengku Ezairul mencebik.

“Ikut suka youlah. Bagus jugak cadangan you tu. Kesian si Timah tu nak kemas sorang-sorang. Kalau ada pembantu sorang lagi, kuranglah beban dia.”

Tengku Puteri Alyah tersenyum mendengar jawapan dari suaminya. Senang berbincang dengan Tengku Dato Zafrul yang akan menyokong apa sahaja. Tidak seperti Tengku Ezairul yang suka membangkang.

“Bukan apa, bonda rasa Timah tu pun dah tak larat nak kemas bilik tidur yang bersepah-sepah kat atas tu. Dah besar pun nak orang kemaskan bilik dia,” perli Tengku Puteri Alyah.

Sekali lagi Tengku Ezairul buat tidak tahu. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Timah datang dan menghulurkan susu panas kepada Tengku Ezairul. Tengku Ezairul meneguk susu tersebut.

Rasanya tidak sesedap yang dibuat gadis di Basyirah. Siapa dia? Kenapa susu yang dia buat begitu sedap dan nikmat? Hati Tengku Ezairul tertanya-tanya.

Saat itu juga telefon bimbit Tengku Ezairul berbunyi. Discreen telefon itu tertera nama Shirin.

Tengku Ezairul melihat sekilas pada kedua orang tuanya yang khusyuk menonton berita. Dia tidak menjawab panggilan itu. Dia takut sekiranya Tengku Puteri Alyah tahu. Mesti teruk Tengku Ezairul kena marah.

Sebaliknya Tengku Ezairul naik ke biliknya untuk menjawab panggilan dari Shirin.

Tengku Puteri Alyah memerhati langkah Tengku Ezairul. ‘Pramugari tulah yang hubungi,’ ngomel Tengku Puteri Alyah di dalam hati.

Puan Siti masih diam. Tidak tahu bagaimana hendak memulakan lagi bicara kali ini yang pasti merentapkan hati Maria. “Maria masih marahkan saya?” Dia memerhati segenap wajah Maria. Ada sedikit wajah Wan Rozita di wajah gadis itu.

“Maria tak ada hak untuk marahkan puan. Kalau puan rasa apa yang puan buat selama ini adalah betul, maka betullah tu,” jawab Maria membalas pandangan Puan Siti di hadapannya ini.

Puan Siti rasa terpukul. Dia cuba tersenyum. Tangan Maria diraih lembut.

“Maafkan saya Maria. Saya tak ada pilihan masa tu,” pujuk Puan Siti lagi tidak putus asa.

Maria menundukkan wajahnya. Kalau boleh dia tidak mahu lagi bercakap tentang ibunya.

“Saya tahu Maria tak boleh terima apa yang berlaku. Saya faham perasaan Maria. Saya juga lahir tanpa melihat wajah ibu saya. Cuma bezanya, Maria dapat melihat ibu Maria ketika Maria sudah besar.”

“Puan, saya rasa saya tak berminat nak cakap soal perempuan di penjara tu.” Maria menarik tangannya.

“Perempuan itu ibu Maria. Nama dia Wan Rozita. Maria kena sayang dan terima dia. Ingat, Syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Walau sejahat mana seorang ibu, kita sebagai anak kena sentiasa berbuat baik supaya dosa kita dengan ibu bapa kita terhapus,” nasihat Puan Siti.

“Saya…” Ayat itu tergantung. Wajah Wan Rozita bermain di fikiran Maria. Setiap kali wajah ibunya terbayang, saat itulah jiwanya terseksa.

“Saya tak salahkan Maria dalam hal ini. Bukan saya tidak mahu ceritakan kenapa ibu Maria berada dalam penjara tapi ibu Maria yang tidak mahu saya ceritakan. Ibu Maria nak cakap sendiri dengan Maria. Dia nak Maria tahu dari mulutnya sendiri.”

“Tidak! Maria tidak akan dengar apa-apa penjelasan lagi. Semuanya sudah terlambat.”

Puan Siti terdiam. Dia yakin, suatu hari nanti hati Maria akan terbuka hatinya bila tahu cerita yang sebenar.

Kenangan berpuluh tahun yang lalu terimbau semula.

Siti, aku nak kau tolong aku. Bila aku dah lahirkan anak aku ni, aku nak kau jaga dia baik-baik seperti anak kau sendiri. Aku yakin anak yang aku kandung ini perempuan. Aku nak kau namakan dia Maria Edani. Aku mahu dia jadi anak yang baik-baik.” Wan Rozita sudah menangis-nangis di dalam penjara.

Siti juga begitu meratapi kesedihan Wan Rozita sahabat baiknya. “Kau jangan risau Rozita. Aku akan sayangkan anak kau. Kau jaga kesihatan kau baik-baik ya. Kau kena makan ikut jadual.”

“Aku tak bunuh Zahid. Betul Siti, aku tak bunuh Zahid. Takkan aku nak bunuh suami aku sendiri. Kau pun tahukan yang aku sayangkan Zahid. Kekasih dia yang bunuh dia. Aku ni dianiaya Siti,” tangis Wan Rozita. Dia terduduk di lantai.

Siti rasa tercekik. Dia turut sama duduk walaupun dari luar. Dia dapat melihat seksa yang sedang ditanggung oleh Wan Rozita.

“Aku percaya pada kau Rozita. Aku tahu kau tak bersalah. Kau tak bunuh Zahid. Aku tahu semua tu. Aku akan dapatkan peguam yang terbaik untuk kau. Kita minta untuk dibicarakan semula.” Siti turut sama menangis apabila melihat perut Wan Rozita yang sudah membesar itu.

“Kes aku dah tak boleh dibicarakan lagi Siti. Aku kena terima hukuman ni sampai mati.”

Tangan mereka sudah bertaut erat melalui palang besi.

“Jangan cakap macam tu Rozita. Insya-ALLAH... kau akan dibebaskan nanti.”

“Ingat pesan aku Siti. Jangan beritahu anak aku yang aku masih hidup. Katakan yang aku sudah mati. Apabila dia sudah besar kau ceritakanlah pada dia dan sekiranya umur aku panjang kau bawalah dia jumpa aku. Tapi kalau aku sudah tiada lagi di dunia ini, kau bawalah dia ke kubur aku.”

Tidak lama kemudian di penjara inilah Wan Rozita selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sangat comel diberi nama Maria Edani.

Puan... puan...” panggil Maria berulang kali. Ada air mata bertakung di tubir mata Puan Siti. Kenapa Puan Siti menangis? Dia rasa bersalah kerana menipu aku ke?

“Oh... Hmm... Maria, ada perkara lagi penting saya nak beritahu Maria.” Puan Siti menyeka air matanya dari keluar.

“Apa dia?”

“Pasal kerja yang Maria cakap tu. Kawan saya dah dapatkan kerja untuk Maria,” beritahu Puan Siti.

“Betul ke puan? Kerja apa? Saya tak kisahlah apa pun, asalkan dapat bekerja.”

Puan Siti tersenyum. Tenang rasa jiwanya melihat senyuman yang terhias di bibir Maria. Biarlah Maria bekerja. Mungkin bila berada di dunia luar, Maria akan menjadi lebih matang dan seterusnya dapat menerima Wan Rozita.

“Kerja sebagai pembantu rumah di rumah orang kaya. Saudara mara golongan bangsawan. Boleh?”

“Boleh. Maria tak kisah.” Maria tersenyum.

“Minggu depan Maria boleh berkerja. Nanti saya mintak orang hantarkan Maria ya.”

Maria mengangguk. Dia sudah tidak sabar mahu bekerja.

“Tapi ingat Maria, jaga diri baik-baik di rumah orang. Saya tahu Maria anak yang baik. Jangan hilangkan kepercayaan majikan kita ya,” pesan Puan Siti.

“Err.. Puan Siti kenal ke majikan Maria tu?”

“Tak kenal. Kawan saya yang beritahu di rumah tu nak pakai pembantu rumah.”

“Ooo… Nanti bila Maria dah kerja, boleh tak Maria balik sini lagi?”

Puan Siti tersenyum. “Mestilah boleh. Inikan rumah Maria. Bila-bila masa Maria boleh datang.”

Mereka berdua berbalas senyum. Maria bangun dan mencapai tangan Puan Siti. Kemudian dia memeluk wanita itu dengan erat.

“Terima kasih banyak-banyak puan sebab tolong Maria dapatkan kerja ni. Walaupun Maria dah kerja sebagai pembantu rumah, Maria tetap nak menjahit,” kata Maria dengan senyuman lebar. Terserlah lesung pipit di kiri kanan pipinya.

“Boleh Maria. Saya yakin Maria boleh lakukan.” Puan Siti memberi kata semangat.

“Maria nak kumpul duit dan nak buka butik. Bolehkan puan?”

“Boleh. Maria pasti boleh.”

“Kalau macam tu Maria balik dululah. Maria nak beritahu Maryam. Mesti dia terkejut.”

Puan Siti hanya mengangguk.

KAU dah fikir masak-masak ke Maria nak kerja sebagai pembantu rumah tu? Aku bukan nak halang niat kau tu, tapi aku tak nak kau menyesal kemudian hari,” kata Maryam.

“Maryam, Maria dah lama sangat nak bekerja. Ini peluang dah datang. Maria tak nak lepaskan begitu aje. Lagipun sampai bila kita nak tinggal kat Basyirah ni. Bila dah bekerja, sekurang-kurangnya kita ada kehidupan sendiri. Lagipun bukan Maria tak biasa buat kerja macam tu.” Maria merenung Maryam dan merenung pula Syawal yang kelihatan muram.

“Tak boleh ke tangguhkan dulu kerja tu. Tahun depan kau mulakanlah kerja.” Maryam cuba memujuk.

Maria ketawa kecil. Tangan Maryam diraih. “Maryam ingat tak janji kita?”

“Janji apa?” Berkerut dahi Maryam.

“Kan kita janji nak buka butik. Sekarang ni Maria nak kerja dan kumpul duit. Bila dah cukup duit, kita buka kedai sama-sama ya,” kata Maria lembut.

Maryam mengeluh. “Kalau itu dah keputusan kau, aku tak boleh nak buat apalah. Tapi ingat, kau kena selalu balik sini.”

“Itu sudah semestinya,” jawab Maria. Selepas itu, dia memeluk Maryam.

Syawal hanya melihat dua sahabat itu berpelukan antara satu sama lain. Tiba-tiba hatinya rasa bimbang untuk melepaskan Maria pergi.

Maria melepaskan pelukan Maryam. Dia merenung Syawal. “Abang Syawal, Maria nak ucapkan banyak-banyak terima kasih pada abang Syawal.”

“Terima kasih untuk apa?” tanya Syawal perlahan. Direnung wajah milik Maria.

Maria tersenyum. Berat juga hatinya meninggalkan orang-orang tersayang di Basyirah. “Sebab abang Syawal dah jaga Maria dengan baik. Maria beruntung sangat sebab ada abang seperti abang Syawal.”

Hati Syawal remuk redam. Benar bagai di kata, Maria tidak mengerti isi hatinya yang sebenar. “Abang sayangkan Maria. Abang... abang cintakan Maria.”

Syawal tunduk. Luahan hatinya sudah diberitahu. Terpulanglah pada Maria untuk menerima atau tidak.

Maria terkejut. Tidak disangka, Syawal yang di anggap seperti abang sendiri mempunyai rasa cinta kepada dirinya.

“Abang bukan saja sayangkan Maria tapi abang dah lama jatuh cinta pada Maria. Abang tak pernah anggap Maria sebagai adik abang tapi lebih dari itu.”

Hati Maria berdegup kencang. Dia tidak dapat menerima luahan cinta Syawal. Padanya Syawal tidak ubah seperti abangnya sendiri. “Maria... Err... Abang Syawal tak sepatutnya jatuh cinta pada Maria. Maria sayangkan Abang Syawal, tapi hanya sebagai seorang abang,” jawab Maria takut-takut.

“Abang tahu Maria tak ada rasa cinta tu pada abang. Tapi sejak abang tahu Maria nak keluar dari Basyirah dan bekerja, abang jadi bimbang. Abang takut Maria lupakan abang.”

“Tak Abang Syawal. Abang Syawal kenalkan Maria macam mana. Di sini Maria dibesarkan. Maria tak mungkin melupakan orang yang Maria sayang,” kata Maria sambil matanya memerhati keadaan sekeliling Basyirah. Tidak lama lagi dia akan meninggalkan Basyirah. Berat hatinya tapi dia perlu lakukan demi kehidupan yang lebih baik.

“Abang nak sunting Maria jadi isteri abang suatu hari nanti. Itu impian abang.”

Sekali lagi Maria terpempan. Syawal nampak bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu Syawal menaruh harapan yang tinggi. Dia cuba mengukirkan senyuman tapi dia tidak berdaya melakukannya. Benar kata Maryam bahawa Syawal sukakan dirinya.

“Oh ya, sebelum Maria lupa. Maria ada hadiah untuk abang Syawal.” Maria mengalihkan topik. Tangannya mencapai beg plastik yang diletak di atas meja.

Syawal hanya memerhati. Dia hampa. Maria kelihatan tidak berminat untuk mendengar luahan hatinya.

Maria menghulurkan bungkusan plastik tersebut. “Ini untuk abang Syawal. Maria jahit khas untuk abang.”

“Apa ni?” Syawal merenung beg plastik tersebut.

“Baju Melayu. Maria jahit khas untuk abang. Nanti abang pakailah bila teringat pada Maria ya,” kata Maria dengan senyuman yang menawan.

Luluhnya hati Syawal. Perasannnya tidak menentu apabila melihat Maria tersenyum. “Abang cintakan Maria. Abang akan tunggu sampai terbuka hati Maria untuk abang.”

Maria serba salah. “Abang Syawal, Maria balik dulu ya. Maria nak kemas baju dan barang-barang. Nanti kita jumpa lagi. Maria akan sentiasa ingat Abang Syawal.”

Selepas itu, Maria terus berlalu pergi meninggalkan Syawal seorang diri.

Syawal meraup mukanya berkali-kali. Kecewa hatinya dengan reaksi Maria. ‘Kenapa Maria tak boleh nak faham hati abang. Kenapa?’

Bersambung...


Previous: BAB 2
Next:

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.