Home Novel Cinta Cinta Sang Pilot
Bab 8

Bab 8

“Anak mak sudah sampai?” aku mendengar suara emak di talian. Aku gembira mendengarsuara emak. Sepatutnya suami yang menghubungi sama ada aku sudah smpai atau belum. Namun, tidak ada reaksi daripada lelaki itu. Kami memang langsung putus hubungan.

“Alhamdulillah mak, sudah petang tadi,” suaraku serak akibat banyak menangis. Aku sangat sedih dengan nasib yang menimpaku.

Baru sahaja Amri memutuskan pertunangan kami, aku serasa mahu meraung. Apa tidaknya, dia memberitahu ibu bapaku yang aku sedang mengandungkan anaknya. Kemudian dia memberitahu yang aku sendiri memutuskan pertunangan kami.

Ya Allah bagaimana aku harus menghadapi keadaan itu. Ibu bapaku pula tidak mengendahkan pengakuanku. Amri cuba mencerobohi diriku di rumah sewaku. Nasib baik kawan baikku cepat datang, jika tidak, aku sudah hilang maruah oleh tunangan sendiri.

Akhirnya aku terpaksa memutuskan pertunangan kami. Seminggu selepas itu Amri pula mengadu kepada emakku mengenai tingkahnya. Dua hari kemudian, ibu bapa Amri mengembalikan hantaran yang telah dihantar dulu. Seminggu kemudian, keluarga mak long iaitu ibu bapa Nukman Faris pula datang kononnya hendak menutup aib keluarga kami. Alangkah sendunya!

“Syukur juga nak, masalah kita sudah selesai. Jadi, Nukman melayan Tasya dengan baik?” soalan apakah yang sedang emak tanyakan? Bagaimana aku harus menjawabnya?

“Baik saja mak. Mak pun nampak kan? Dia memang lelaki yang baik kan mak?” soalku semula.

“Bersyukurlah kalau sudah menikah dengan abang sepupu kau tu, mak memang syukur sangat,” terkejut aku mendengar ungkapan emak. Rupanya selama ini dia tidak begitu menyukai aku bertunang dengan Amri. Tetapi emak tidak pernah melahirkan rasa tidak sukanya itu. Dia menerima dengan gembira. Ah, lagi-lagi Amri!

“Kalau ada Amri datang merayu semula, jangan nak layan-layan ya Tasya. Emaknya datang membatalkan pertunangan. Jangan sesekali nak layan dia semula! Mereka dah malukan kita. Kad kahwin da diedarkan tapi mereka putuskan pertunangan,” aku ketawa kecil. Lelaki pertama yang kucintai akhirnya memalukan diriku sendiri. Bagaimana aku harus mempercayai lelaki itu semula?

“Ya mak, saya tahu jaga diri,” kataku. Takkan aku hendak melayan lelaki lain sedangkan aku sudah menikah dengan sepupuku. Walaupun pernikahan kami hanya di atas kertas tetapi aku tetap sudah bernikah dengan sah. Bukannya aku bernikah di Thailand atau di kawasan lain tanpa pengetahuan keluarga. Kami menikah dengan restu keluarga kedua belah pihak. Itu aku bersyukur sangat.

“Baguslah kalau Natasya sedar diri. Mak tak suka dengan keluarga Amri tu! Mengada sangat!” kata emak meluahkan perasaannya. Memang lah keluarga Amri agak sombong sedikit sebab mereka keluarga berada di kampung itu. Tetapi aku bertunang dengannya bukan kerana aku gilakan harta. Aku bersetuju bertunang dengannya kerana dulu kami saling jatuh cinta. Dia adalah senior kami di sekolah menengah dahulu. Di situlah perkenalan kami.

“Jangan bermusuhan dengan keluarganya mak. Mereka tak salah. Sabar sajalah. Cerita saya dengan Amri sudah jadi sejarah,” aku tidak mahu berdendam dengan sesiapa.

“Mak kasihankan anak mak. Nasib baik ada anak sedara mak yang sudi jadi suami kamu Tasya,” bergenang air mataku tanpa kusedari.

Kecewa amat sebenarnya. Kecewa dengan perbuatan bekas tunangku yang tidak berperikemanusiaan. Malah sanggup memfitnahku telah ditebuk tupai. Alangkah ngerinya. Bagaimana aku hendak membersihkan namaku? Pernikahan kami ini tidak dapat membersihkan namaku. Ia hanya menutup aib keluargaku.

“Ya mak. Sayakan sudah ada suami, buat apa nak layan dia mak,” jawabku jujur. Aku tahu kehidupanku selepas ini masih sama seperti biasa.

“Syukurlah. Emak pun gembira kalau anak mak gembira.” Kata emak. Aku mengangguk lesu. ‘Aku tak gembira sebenarnya mak,’

“Ya mak, apa yang penting emak dan mak long pun gembira.” Kataku. Emak ketawa di hujung talian. Mereka memang suka sangat jika mereka berbesan. Perancangan Allah kita sukar menjangka.

“Baiklah mak, saya nak tanya abang Nukman dulu sama ada dia dah sampai ke rumahnya atau belum,” aku hendak meminta diri dulu. Sebenarnya aku tidak tahu pun nombor telefon Nukman Faris. Dia sendiripun tidak mendapatkan nombor telefonku, takkan aku pula yang hendak terhegeh-hegeh mendapatkannya! Huh, malunya!

“Layan suami Tasya baik-baik. Banyak pahalanya tu nak,” pesan emak lagi. Aduhai, bagaimana aku hendak melayani suamiku, jika hanya tiga hari bersama sebilik dan menjalani hidup lain-lain?

“Ya mak, terima kasih atas pesanan mak,” jawabku. Aku sebak sebenarnya memikirkan nasibku. Orang lain mempunyai suami dan berfungsi sebagai suami yang bertanggungjawab kepada isterinya tetapi aku lain pula kedudukannya. Aku hanya ada suami untuk tiga hari lamanya. Selebihnya hanya sah di atas kertas! Macam wayang betul ceritaku ini!

***

Aku menelaah buku-buku pelajaranku. Aku akan menduduki peperiksaan akhir semester tidak lama lagi. Televisyen sengaja aku hidupkan. Aku tidak mahu terlalu rasa sunyi. Kawan serumahku alias kawan baikku Shamira belum balik lagi dari kampungnya. Mungkin dia akan balik pada hari esok waktu pagi. Dia terus ke sekolah dihantar oleh tunangnya. Nampaknya aku terpaksa tidur sendirian pada malam ini.

Tetapi pada malam ini aku tidak dapat menumpukan sepenuh perhatianku kepada pelajaranku. Mataku pun tidak mahu lelap. Aku masih teringat kejadian Amri memasuki rumahku ketika aku sendirian di rumah sewaku ini.

“Amri! Apa kau buat di bilik aku ni?” soalku apabila Amri sudah di sisiku. Aku menolak dia dengan kuat. Namun dia sudah bersedia dengan seranganku. Dia hanya ketawa terbahak-bahak. Tengah malam dia ketawa terbahak-bahak, memang lelaki yang sudah dua tahun menjadi tunanganku ini sudah gila!

“Aku nakkan kau! Kitakan tak lama lagi nak kahwin, jadi tak apalah kan,” aku terketar-ketar. Mata Amri sudah merah macam mata buaya dan bersedia menyerang mangsa. Alangkah takutnya aku!

“Jangan apa-apakan aku Amri, jangan apa-apakan aku! Tak sangka kau jadi tamak begini!” kataku merayu. Air mataku bercucuran ke pipi. Amri semakin kuat menindih tubuhku. Dia mengelus-ngelus tanganku.

“Jangan Amri! Jangan buat aku begini!” kataku memohon lagi. Aku tidak mahu kejadian yang tidak diingin berlaku sebelum kami menikah sebulan lagi.

“Kau terlalu jual mahal Tasya. Aku kat depan ni pun kau tak nampak! Jadi sebelum kita sah menjadi suami isteri bulan depan, kita buat dulu apa yang patut!” kata Amri mengesat bibirnya yang ternganga. Aku terus menangis. Dia sekali lagi menindih tubuhku dan mengucup tanganku.

“Jangan buat begini! Aku tak suka Amri! Tunggulah kita nikah bulan depan!” pujuk sambil terketar-ketar. Namun dia tidak pedulikan rayuanku. Dia sudah menarik baju tidurku yang agak nipis dan jarang itu. Menyesal pula aku memakai baju tidur yang agak seksi dan menampakkan tubuhku. Amri seperti sudah dirasuk syaitan.

“Aku tak sabar nak rasa daging manis! Sudah lama aku mengintai kau! Tapi kau jual mahal!” kata Amri berterus-terang kepadaku.

Tidak pernah kusangka dia akan bercakap begitu dan mengotakan kata-katanya. Selama ini dia nampak baik dan alim. Bulat mataku. Aku mencari-cari kain untuk menutupi tubuhku. Namun semuanya sudah tidak ada di atas katilku. Air mata dan ketakutanku sudah tidak dapat kubendung.

Aku hanya menyebut nama Tuhan pada saat terdesak begitu. Amri terus agresif mengasak tubuhku dan aku seperti bertarung dengan maut saat ini. Aku sedaya upaya mempertahankan kehormatanku.

“Tasya! Tasya! Buka pintu ni! Apa yang kau buat bising-bising dalam bilik ni Tasya?” terbuntang mataku mendengar suara Shamira. Penyelamat sudah datang. Aku bersyukur kepada tuhan. Aku tidak menyangka pada waktu tengah malam begini bantuan Allah datang kepadaku.

Aku cepat-cepat membuka pintu dan memeluk Shamira. Pada masa itu separuh bajuku sedikit terkoyak akibat tarikan Amri. Aku tidak menyangka tunang yang kusangka begitu baik dan bakal menjadi pelindungku hendak berbuat sesuatu yang tidak baik kepadaku.

“Tolong aku Mira! Tolong aku!” pintaku. Shamira terpinga-pinga memandang aku. Amri pula sudah tercegat di depan pintu.

“Keluar! Keluar! Kau lelaki tak guna! Lelaki tak guna!” kata Shamira. Aku terus masuk ke dalam bilik Shamira dan mengambil kain yang ada. Separuh bajuku sudah terkoyak.

“Kita buat aduan ke balai polis ya Tasya?” aku menggeleng. Jika diketahui oleh semua orang yang Amri mencerobohi rumahku, aku dan keluargaku yang akan malu. Ah, aku tidak mahu. Biarlah aku mendiamkan hal ini.

Aku membenarkan Amri keluar dari rumahku secara baik. Aku tidak mahu membuat laporan polis tetapi aku memohon agar pertunangan kami diputuskan. Cincin tunang aku kembalikan.

Telefon bimbitku yang berbunyi menerbangkan semua ingatanku tiga bulan yang lalu. Buku pelajaranku pun sudah terbiar di atas meja. Aku cepat-cepat menekan butang hijau.

“Assalamualaikum Tasya,” Shamira terus memberikan salam. Aku menjawab.

“Kau tak balik Mira?” soalku segera. Shamira ketawa.

“Kau di mana ni?” soalku. Aku tidak dengar orang mengetuk pintu.

“Kau takutkan? Cepat buka pintu,” kata Shamira. Aku terus berdiri dan menekan punat merah.

“Syukurlah kau balik, aku bimbang pula kejadian menimpa aku hari tu,” kataku yang sudah kegembiraan kerana teman sekerjaku sudah pulang. Kami berpelukan dan aku membawanya duduk di sofa comel kami di rumah kecil kami itu. Pasu bunga palsu aku ketepikan ke tepi meja.

“Aku mesti pulang. Aku bimbang kan kau sorang-sorang di rumah ni. Ayah aku pun bimbang juga. Jadi urusan kau sudah selesai?” soalnya melihat tubuhku dari atas ke bawah. Aku hairan.

“Kenapa kau tengok aku macam tu?” aku bertambah hairan.

“Tak ada yang berubah,” jawabku cepat-cepat. Shamira ketawa. Aku turut ketawa kecil. Malam semakin tua. Kata orang tua-tua, tak baik ketawa kuat-kuat kalau tengah malam.

“Kau dah nikah?” aku angguk.

“Kau kan tahu. Mak ayah kau pun hadir. Kau saja yang tak sudi,” kataku pura-pura merajuk kepada kawan baikku itu. kami sama-sama sejak di bangku sekolah menengah dan sama-sama di universiti. Kemudian, mengajar di sekolah yang berlainan tetapi menyewa di rumah yang sama.

“Alaa, janganlah merajuk, aku ada kelaskan dua hari tu, sampai malam pula. Nanti kau salin nota-nota yang aku dah salin tu,” kata Shamira menyambung pelajarannya denganku mengenai Psikologi Pendidikan. Aku memeluk Shamira semula.

“Aku tak merajuk. Jangan bimbang. Terima kasih kerana prihatinkan aku,” kataku. Kalau tidak aku akan tidur sorang-sorang malam ini.

“Sepupu kau layan kau dengan baik?” soalnya. Aku angguk. Terbayang wajah tampan Nukman Faris yang melayan aku dengan baik selama tiga hari.

“Dia kan orang baik-baik, mestilah dia akan layan aku dengan baik,” kataku menutupi kekurangan suamiku di atas kertas itu. Shamira senyum.

“Mesti dia sayangkan kau kan?” aku angkat bahu. Tidak tahu bagaimana hendak membuka cerita mengenai suamiku itu. Mestilah kami sama-sama masih terkejut. Tetapi untuk dia jatuh cinta kepadaku, mungkin itu bukan satu idea yang baik.

“Dia tak cakap, mungkin dia sayang aku sebab aku sepupu dia. Mak dan mak long adalah dua bersaudara yang sangat baik. Hubungan mereka erat. Jadi kami pun tak nak gaduh-gaduh, kami teruskan saja pernikahan kami ni!” Kataku dengan panjang lebar. Aku tidak mahu bersembunyi dengan kawan baikku sendiri. Shamira mungkin memahami apa yang aku alami.

“Dia tak tahu kau tak mengandung? Kau tak cerita kat dia yang kau kena fitnah?” aku menggeleng. Mati-mati Nukman Faris menyangka aku mengandung dan siap memberikan aku salinan kad pengenalannya jika aku bersalin tanpa dia di sisinya. Ah, bagaimana aku hendak menerangkan mengenai kandunganku yang tidak ada?

“Mati-mati dia ingat aku mengandung!” Shamira ketawa.

“Tak baik kau tak berterus-terang kat dia. Mungkin kalau kau berterus-terang kat dia besar harapan dia akan jatuh cinta kat kau!” aku garu kepala yang tidak gatal. Aku tidak mahu hal itu terjadi.

“Jatuh cinta itu soal lain. Masalah aku sudah selesai, itu masalah lain!” kataku. Shamira angguk.

Tetapi aku sedar, lama-lama dia akan faham. Nukman Faris tidak akan pernah mencari aku apatah lagi datang ke rumah tempatku bertugas ini selepas ini. Aku tahu Nukman Faris sudah melepaskan tanggungjawabnya terhadapku. Kami sudah berjanji dan aku bersetuju. Haha, memang sakit tetapi aku tidak boleh buat apa-apa. Bersyukurlah sebab sudah terlepas dari siksa fitnah orang kampungku.

“Sepupu kau orang baik-baik. Satu hari dia akan datang kepada kau dan menyedari cintanya ada untukmu,” syahdu kurasa. Tidak kusangka Shamira akn berkata begitu kepadaku. Apakah dia melihat sedalam itu cinta Nukman Faris kepadaku? Ah, aku tidak tahu sama ada kata-kata itu kata-kata keramat atau kata-kata yang menyakitkan hatiku?

“Entahlah Mira, aku tak pandai nak cakap. Kau tahulah kan, kami kahwin macam sangat ekspress. Dia cuti aje terus mak dia bawa menikah di kampung aku. Tapi kami dah jumpa seminggu sebelum tu,” kataku. Shamira angguk. Mungkin dia kasihan kepadaku.

“Jangan sakitkan kepala kau Tasya. Masalah kau sudah selesai. Kau harus fokus impian kau selepas ini. Kita sama-sama nak cari ilmu. Kita buat apa yang patut lepas ni. Aku pun tidak mahu kau sedih-sedih lepas ni. Sudahlah kau fikir-fikirkan si Amri tu. Dia sudah dengan dunia barunya,” kata Shamira. Aku peluk Shamira.

“Ya terima kasih. Aku yakin aku boleh buat yang terbaik selepas ini,” kataku yakin dengan kata-katanya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha