“Lelaki
gila!” kataku sebaik sahaja aku turun dari kereta dan terkenangkan tindakannya
yang gila dan tidak berperikemanusiaan itu. Mahu sahaja aku menghamburkan
tangisku di situ di hadapannya, namun aku tidak mahu menjatuhkan maruahku
sendiri di depannya, aku menahan semua keinginanku. Sudahlah maruahku
diinjak-injak sesuka hati oleh lelaki itu. Sekarang, apa yang sudah jadi, habis
madu sepah dibuang!
Lelaki
itu sudah berubah sejak dia memperlakukan aku, ah, tidak mampu sudah aku hendak
mengatakannya. Lelaki itu memang sudah hilang pertimbangan dengan melakukan
sesuatu yang tidak wajar terhadapku! Kalau boleh selepas ini aku tidak mahu
pandang wajah lelaki gila ini!
Sejak
semalam Nukman Faris menghantar aku semula ke rumah sewaku. Shamira pun berasa
hairan dengan kedatanganku dengan wajah yang kusut. Namun Shamira tidak pula
mahu masuk campur urusanku. Dia tahu aku dan Nukman Faris dipaksa bernikah
kerana kes yang berlaku antara aku dan Amri.
Aku
tidak kisah kalau aku tidak dibawa ke rumahnya. Aku lagi suka. Cuma aku takut
jika esok malam ibu bapa kami akan datang ke rumahnya dan aku tidak ada di
situ. Apa yang dia akan jawab kepada ibu bapaku? Ah, aku akan beritahu emakku
sendiri agar mereka tidak datang ke rumah jahanam itu!
“Apa hal tiba-tiba ubah fikiran?
Kata nak tinggal dua minggu di rumah suami?” soal Shamira kehairanan. Wajahku
kelat tetapi aku lindungi dengan senyuman. Aku pandang muka Shamira yang agak
tenang itu dan kami berpelukan seketika. air mataku menitis beberapa titik
cepat-cepat aku seka. Aku diam. Shamira mencari mataku. Aku tahu mataku merah.
Mencari alasan yang tidak menyakiti hati sesiapa.
“Nukman ada urusan. Kebetulan
telefon aku habis caj, itulah yang menyebabkan aku balik ke sini. Nak cajkan
telefon aku semula,” kataku perlahan sambil mencucukkan telefon Nokiaku pinkku
dengan chargernya.
“Elok lah kau balik, esok kita kena
pergi awal ke Perak,” kata Shamira memberitahu perubahan tempat kuliah kami. Aku
terkejut. Baru sahaja tadi Nukman Faris mereka-reka cerita kepada mamanya. Aku
tidak mahu ambil tahu tadi sebab aku tengah bengang dan sakit hati.
“Ya? Bila masa Doktor Mahani
beritahu kau?” soalku. Doktor Mahani adalah pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak
yang sangat prihatin dan sangat kami hormati. Shamira sudah geleng kepala
memandang aku.
“Aku telefon kau balik-balik, naik
kebas tangan aku tekan tau! Kau tutup pula telefon kau! Kau berbulan madu
dengan suami kau kan tetapi janganlah sampai tutup telefon!” kata Shamira
memperli aku. Aku ketawa. Ketawa yang dibuat-buat. Memang telefon aku habis
bateri dan aku tidak dapat menghubungi sesiapa. Aku geleng kepala. Aku tidak
berniat hendak menutup telefonku. Aku sendiri berasa susah hendak menghubungi
kawan-kawan dan ibu bapaku. Aku tidak berani meminjam telefon suamiku.
“Jadi, kita tidur dan makan di situ?
Kita diberikan penginapan atau tinggal di hotel bajet?” soalku. Shamira
buntangkan matanya. Kami sudah duduk di sofa di ruang tamu di depan televisyen.
Rancangan kegemaran aku sedang ditayangkan, Running Man. Memang kebetulan yang
baik. Jika di rumah Nukman Faris belum tentu aku dapat menonton rancangan
kegemaran aku ini. Apatah lagi selepas perbuatannya yang tidak dapat aku maafkan sampai bila-bila. Aku
tidak mungkin tenang dengan apa yang sudah dilakukannya terhadap diriku ini.
“Kita diberikan pengangkutan dan
penginapan selama tiga hari dua malam. Tak payah nak gunakan duit kau nak
tinggal di hotel bajet, membazir! Kemudian dihantar semula ke KL, jika nak.
Tapi aku rasa elok kita bawa kereta sendiri. Senang kita hendak bergerak,” kata
Shamira. Shamira memang suka memandu. Aku pula suka menumpangnya. Aku sekadar
mengangguk dan cuba bertenang. Aku gembira jika dia mahu menggunakan keretaku
ke Perak nanti.
“Ok juga tu!” kataku yang agak
gembira dengan berita yang baru aku terima itu. tetapi bagaimana aku hendak
memberitahu Nukman Faris mengenai perubahan tempat kuliahku ini? Ah, aku
bingung. Sejak dari rumah mamanya tadi, dia tidak banyak bercakap. Apa yang
harus aku cakap lagi diriku ini sudah hilang maruah di depannya. Kalau aku
dibunuhnya terus lagi bagus!
Alih-alih
dia sudah hantar aku ke rumah sewaku ini setelah aku memaksanya. Nasib baik
kawan baikku ini ada di rumah, kalau tidak hendak ke mana aku? Kebetulan
kunciku tertinggal pula di rumahnya.
“Kau kena minta kebenaran suami kau
dulu, nanti dia cari kau esok di sini, apa yang akan kau jawab?” pesankah atau
nasihat tu? Soalku dalam hati. Aku angguk. Shamira tidak harus dilibatkan dalam
masalah kami. Biarlah dia tidak tahu. Aku lebih suka kalau aku tidak muncul di
depannya lagi selepas ini. Benci aku benci kepada wajah kacak yang sudah
bertukar menjadi wajah singa itu.
“Ya esok aku akan maklumkan kepada
dia.” Kataku perlahan. Aku mengeluarkan jeruk yang aku beli di Tesco hari itu. Wajah
menggila Nukman Faris terbayang pula di mataku. Aku mahu padam kesakitan itu
dan aku tidak mahu mengingatinya semula.
“Tak baik tau makan jeruk-jeruk ni,
kau mengandung ya? Dah tiga bulan lebih kau kahwin, mungkin dah ada tanda-tanda
positif!” kata Shamira sudah mula menjadi penasihat. Wajahku kelat. Aku benci
menyebut perkataan mengandung. Mahu sahaja aku menghamburkan semua kesakitan hatiku
kepada kawan baikku itu. Disebabkan aku dituduh mengandunglah aku terpaksa
menikah dengan sepupuku sendiri. Namun aku menggeleng. Aku belum sedia
melakukannya.
“Tak nak makan sudah, err, aku makan
bukan sebab aku mengandung! Memang aku suka makan makanan ni!” tangan Shamira
tetap mengambil jeruk-jeruk itu. Aku jeling wajah yang sudah tersengih-sengih
memakan makanan masam itu.
“Tak baik untuk orang mengandung,”
aku kaku. Itulah hal yang menyebabkan Nukman Faris menghantar aku ke sini. Dia
marah jika selama ini aku mendakwa diriku mengandung, rupanya aku tidak mengandung
pun! Jika tidak, aku tidak akan tahu di mana tempat kuliahku yang sebenar. Bukan
setakat marah tetapi aku sudah dirogolnya. Eh, kejap. Adakah istilah untuk
rogol isteri? Aduhai!
“Ya aku tahu! Aku bukannya
mengandung pun!” kataku perlahan. Wajah kesedihan terpacak di mukaku.
“Syukurlah kalau tak mengandung! Kau
dah periksa kandungan kau?” soal Shamira bagaikan agak terkejut. Aku angguk.
“Sudah! Negatif!” jawabku. Wajahku
masam semasam makanan jeruk yang sedang kuhadap itu. Shamira mengangguk.
“Kau dah siapkan tugasan pengiraan
tu, susah tau!” kata Shamira. Aku angguk. Aku suka kalau bab-bab pengiraan. Ia
berkaitan dengan statistik. Shamira pula banyak bergantung kepada aku kalau
bab-bab pengiraan.
“Aku nak tengok,” katanya. Aku diam.
Pandanganku ke arah televisyen. Pelakon kesayanganku sedang ditayangkan
wajahnya. Aku sangat minat dengan Kang Gary. Shamira tidak boleh ganggu aku
kalau mata aku sudah tertumpu kepada artis Korea itu.
“Boleh tak ni?” soal Shamira tidak
berputus asa. Aku angguk. Kebetulan aku sudah siapkan kerja itu minggu lalu
sebelum aku pergi ke rumah Nukman Faris. Namun aku benci mengingati nama itu.
aku mahu lenyapkan diriku selama ini. Kalau lah boleh!
“Boleh, tunggu kejap. Aku masih
penat ni! Kalau tak pun esoklah kat hostel di Perak tu aku tunjukkan pada kau!”
Kataku. Aku mengingati di mana aku menyimpan kerja yang sudah aku siapkan itu.
“Tak nak!” kata Shamira.
“Eh, mengada!” aku sudah masak
dengan sikap keras kepala Shamira. Mahu tidak mahu aku terpaksa menunjukkan
jawapanku pada malam ini juga.
“Engkau ni memang kalau tengok Kang
Gary!” kata Shamira pula, aku tahu dia tidak sabar hendak menyiapkan kerjanya.
Aku pula belum sempat menukar pakaian selepas dihantar Nukman Faris tadi. Ah,
pakaian ini banyak sialnya. Aku harus menukar pakaian ini dan tidak akan
mengenakannya lagi selepas ini.
“Kejap, aku tukar baju!” kataku yang
tiba-tiba masuk ke bilik dan menukar pakaianku ini. Aku melihat ke leherku.
Alamak! Kurang asam punya Nukman! Dia meninggalkan tanda di leherku. Sakitnya
hatiku. Aku terpaksa keluar semula dengan tudung di kepala.
“Aku suka Kang Gary! Dia handsome!
Nanti aku berikan kau tengok jawapan aku!” mataku tidak lepas dari memandang
televisyen sebelum aku menukar pakaianku yang sudah puas digomoli oleh lelaki
gila itu tadi. Aku tahu sekarang dia sudah puas hati telah mendapatkan tubuhku
tadi. Aku mahu menangis namun aku tidak jadi. Shamira pasti akan hairan jika
aku menangis tiba-tiba. Aku harus menghadapinya dengan penuh ketabahan walaupun
hatiku luka tak berdarah!
Shamira
terus mendiamkan diri melihat aku mendiamkan diri. Dia mesti faham akan artis
Korea kesayanganku. Jangan dia tidak tahu.
“Oklah kalau macam tu! Aku ke dapur
kejap. Aku nak buatkan kau air, nak air sejuk atau panas?” soal Shamira. Dia tahu kegemaranku jika dia
hendak meminta sesuatu daripadaku.
“Aku nak air suam dan minuman panas.
Aku tengah tak de mood ni!” bulat mata Shamira mendengar percakapanku. Selepas
peristiwa berdarah itu aku belum minum apa-apa. Lelaki gila itu hendak bawa aku
singgah minum pun aku tolak. Aku suruh dia minum sendirian di mana-mana
restoran mewah yang dia suka dan aku tunggu di dalam kereta. Akhirnya dia tidak
jadi minum di mana-mana. Padan mukanya!
Aku
benci pandang mukanya!
“Ada masalah dengan Nukman ke?
Kenapa tiba-tiba datang?” aku tersentak. Aku tidak mahu Shamira menghidu ada
perbalahan antara aku dan suamiku itu. Aku geleng. Kepedihan biarlah aku simpan
sendirian. Kata emak, masalah suami isteri tidak boleh dijaja-jaja dengan orang
lain. Maka, selagi aku isterinya dan dia suamiku, aku harus menyimpan
apa-apapun masalah rumahtanggaku dengan suamiku itu.
“Mana ada, aku ok aje. Dia memang
ada hal, itulah dia hantar aku ke sini!” kataku agak kalut. Aku bimbang Shamira
akan menghidu sesuatu dari ketidaktenanganku.
“Oklah, tunggu kejap,” kata Shamira.
Dua minit kemudian, Shamira sudah membawa minuman yang aku inginkan. Air suam
memang minuman kegemaran aku.
“Err, Mira esok kita gerak awal tau!
Lepas subuh memang kita dah siap sudah! Nanti lambat pula kita tiba di Perak,”
kataku mahu keluar awal-awal dari rumah sewaku ini. Biar padan muka Nukman
Faris. Aku akan tidur di situ dua hari lamanya.
“Eh, buat apa awal?” soal Shamira.
Aku pula kerutkan dahi.
“Kenapa pula?” soalku.
“Kita start kelas jam 10.30 pagi.
Tak perlu gerak awal macam tu! Doktor Mahani faham akan situasi kita,” aku
diam. Apa yang harus aku katakan lagi?
“Mesti kita awal sikit Mira. Aku tak suka kelam kabut tiba di
sana. Kalau lambat nanti banyak kereta dan kita tak dapat parking pula nanti.
Kau nak ke kalau tak de parking?” soalku kepada Shamira. Shamira geleng.
Kata-kataku mengena di hatinya.
“Aku ikut kau ajelah Tasya!” kata
Shamira.
“Jangan lambat pula. Lepas Subuh
kita terus gerak!” kataku memberikan arahan. Shamira angguk. Aku meneruskan
sahaja tontonanku. Sebenarnya aku masih memendam perasaanku akibat perbuatan
suami sendiri. Mataku khusyuk pada televisyen tetapi hatiku masih mengingati
perbuatan-perbuatan Nukman Faris yang ak tidak rela dia lakukan kepadaku. Dia
memberitahu dia menyayangi aku sejak dulu tetapi dalam masa yang sama dia
memperalatkan aku. Ah, aku tidak akan sama sekali mempercayai kata-katanya! Aku
tahu dia hanya berbohong. Sampai mati pun tidak akan lupakan kesakitan hatiku
ini!
***
Nukman
Faris tidak bercakap apa-apa denganku sepanjang perjalanan kami tadi. Mukanya
kelat. Aku tidak tahu apa yang ada di dalam fikirannya. Aku tidak tahu di mana
maruahnya sebagai suami sekarang ini. Namun dia hanya selamba sahaja
menghadapiku.
Mukaku
masam mengalahkan mangga muda yang baru dipetik. Kalau boleh aku tidak mahu
mengikutnya ke mana-mana dengan keretanya ini. Mahu sahaja aku menaiki teksi
sahaja. Aku benci dengan perbuatannya. Aku benci dia!
Apa
yang hendak aku katakan? Aku sudah
cakap, semua perkara sudah selesai dalam hidupku. Dia boleh sahaja menceraikan
aku jika dia mahu. Sekarang sudah tidak ada halangan lagi. Sekarang sudah tidak
ada perkara yang dia hendak bimbangkan lagi.
Sudah
terbukti melalui pengesahan doktor peribadinya yang aku tidak mengandung. Apa
yang lagi yang hendak difikirkannya, sepatutnya dia bersyukur dan cepat-cepat
menceraikan aku. Masalah kami akan selesai. Masalahnya dengan Rozaila
kekasihnya juga akan selesai. Tidak perlu banyak lagi dia hendak memikirkan itu
dan ini.
Namun,
apabila terkenangkan ibu bapa kami, aku terkaku. Kaku kerana aku berasa akan
melalui jalan yang lebih sukar pula. Entah mengapa sukar tetapi jalanku yang
kuhadapi sekarang semakin sukar. Aku tidak percaya kalau masalahku ini akan
selesai dengan segera.
***
Selama
tiga hari kami berkuliah di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Memang
menyeronokkan. Kami dapat berkenalan dengan rakan-rakan dari semua negeri. Selama
ini hanya pensyarah kami sahaja yang turun ke tempat kami. Kali ini semua
pelajar sarjana turun ke universiti untuk mencedok ilmu bersama dengan
pensyarah. Namun, sekali-sekala ingatanku tetap singgah kepada Nukman Faris.
Telefon sengaja aku matikan. Aku tidak mahu dia mencari aku selama tiga hari
ini. Aku tidak mahu menyusahkan dia.
Aku
mahu bersendirian di sini tanpa gangguan sesiapa. Emak pun ada menelefon aku.
Aku meminta emak merahsiakan di mana aku berada buat masa ini. Aku tidak mahu
Nukman Faris menghantar dan menjemput aku sejauh ini setiap hari. Ah, ia juga
kerana kebetulan-kebetulan yang berlaku kepada kami. Aku mengambil keputusan
untuk menjauhkan diri daripada lelaki itu.
“Kau ni ok ke tak ok? Kau demam?
Macam panas badan kau ni! Kau rindukan suami ke? Agak lama juga kita di sini,
takkan tak rindu!” bisik Shamira tiba-tiba. Aku terus angkat bahu. Aku tidak
mungkin rindukan lelaki itu. Aku hanya mahu dia membuat keputusan yang tepat
dan cepat. Aku tidak mahu dia berdalih-dalih lagi setelah mengetahui aku tidak mengandung
akibat perbuatan Amri tempoh hari. Apatah lagi selepas dia merogol aku. Ah,
kesalku bertimbun-timbun.
“Tak, aku sedang fokus apa yang
Doktor Azman cakapkan tu! Kalau kita dah tahu apa yang nak dibuat senanglah
kita nanti,” kataku memberikan petua kepada Shamira. Shamira mengangguk. Ah,
sebenarnya aku sentiasa terkenangkan lelaki itu. Wajah kacak itu bagaikan
sentiasa menapak di mataku saat aku berkuliah, ketika hendak tidur dan di
mana-mana sahaja. Namun, aku tahu kisah kami sudah berakhir. Walau apapun
terjadi aku mahu lelaki itu ceraikan aku!
“Tapi mata kau tak menunjukkan kau
dengar apa yang pensyarah kita tu cakap! Kau macam pandang arah lain! Macam
tembus dinding dewan kuliah ni! Mungkinkah kau rindukan suami kau ni?” kata
Shamira. Aku pandang Shamira. Dia bergurau atau dia bersungguh-sungguh atas
pemerhatiannya kepadaku? Aku diam terus. Aku bagaikan tertembak di medan
perang. Hanya kedengaran suara hembusan nafas. Entahlah fikiranku menerawang
entah ke mana. Sakit aku diperlakukan oleh Nukman Faris masih terasa. Memang
sakit. Aku tidak pernah diperlakukan begitu sebelum ini. Lelaki itu memang
kejam. Malah, dia memang kejam daripada manusia-manusia yang kejam sebelum ini!
Sakit hatiku mengenang si cicak kobeng itu!
“Taklah, aku dengar dan ambil
perhatian sangat akan apa yang Prof Madya Doktor Azman cakap tu! Buat apa aku
nak main-main? Nanti kalau aku tak lulus, kan susah!” Shamira sengih mendengar
jawapanku.
“Kau mesti lulus punya, jangan
risau. Aku kan ada.” Kata Shamira. Aku angguk. Hilang kesedihanku mengenai Nukman
Faris yang kemungkinan hendak menceraikan aku. Aku pun berasa amat sayang
hendak bercerai tetapi aku kasihan melihat kekasih Nukman Faris yang
bersungguh-sungguh hendak menikah dengan lelaki itu malah dia seperti sudah
bersedia hendak menjadi isteri yang solehah kepada Nukman. Aku harus memahami
keadaan itu.
“Doktor Azman kata, kita ni ada
peluang nanti,” kata Shamira menggamit tanganku yang kaku di atas kertas.
“Peluang apa?” soalku. Aku tidak
mendengar apa yang pensyarah kami itu katakan.
“Kita ada peluang naik pangkat dan
menjawat jawatan tinggi dalam pendidikan,” kata Shamira. Apakah aku harus
gembira mendengar perkhabaran itu? Err, dalam situasi begini aku tidak mahu
mendengar perkhabaran begitu. Persoalan kahwin atau ceraiku dengan Nukman Faris
pun belum selesai. Itulah yang menyebabkan aku bertambah bingung. Apa yang
dituturkan oleh pensyarah seperti tidak masuk di mindaku. Aduhai, kalau begini
bingungnya aku, aku harus memakan kismis minda untuk melegakan tekanan yang
menimpa akalku ketika ini.
“Oh bagus juga tu! Aku harap kau ada
peluang naik pangkat sebab kau masih muda dan masih bujang,” kataku kepada
Shamira. Dewan sudah gamat apabila mendengar Doktor Azman membuat lawak di
depan dewan kuliah.
“Kau tu apa kurangnya. Aku ni agak
kurang lagi,” berkerut dahiku. Shamira ini pula sering mengganggu apabila aku
sedang memikirkan nasibku selepas ini.
“Apahal pula kau kurang?” soalku
hairan.
“Aku tak de suami,” jawab Shamira.
Aku ketuk kepalanya dengan pen biruku. Dia memang tidak sempat mengelak. Sakit
sungguh hatiku. Terkenang Nukman Faris yang bakal menceraikan aku. Siapakah
yang lebih baik antara aku dan Shamira? Aku rasa, baiklah aku tidak bernikah
dengan sesiapa kalau kebahagiaan itu bukan milikku selamanya.
“Banyak lagi lelaki yang nakkan kau!
Kalau kau nak Nukman, aku boleh pinangkan kau untuk Nukman!” kataku berseloroh.
Sedihnya aku. Sedih kerana dia mahu mendapatkan haknya dengan cara yang amat
menjijikanku. Sampai mati aku tidak akan lupa!
“Gila! Aku belum teringin lagi suami
orang!” kata Shamira mencubit lenganku.
“Mana tau kau nak bermadu dengan
aku!” aku terasa gelisah pula saat Nukman Faris ingin memadukan aku dengan
kekasihnya. Siapakah yang mahu dimadukan? Aku rela diceraikan daripada bermadu
dengan kekasihnya yang tidak cukup kain itu. Ah, biarlah aku pergi selagi kami
belum mempunyai perasaan sesama kami. Tetapi, pengakuannya menyayangi aku,
adakah lelaki itu bermimpi atau sekadar menyedapkan hatiku? Argh! Aku tidak
akan percaya kata-kata itu!
“Jangan cakap yang bukan-bukan Tasya.
Aku belum kemaruk nak kahwin lagi!” kata Shamira. Aku diam kemudiannya.
Terbayang wajah kacak itu sekali lagi. Namun cepat-cepat aku padamkan perasaan
kagum itu. Aku gantikan dengan perasaan benci yang tidak terhingga. Ah,
sepatutnya aku tidak mahu membencinya. Kalaupun dia bukan suamiku, tetapi dia
sepupuku! Tetapi sepupu apa kalau sudah memperlakukan aku macam binatang!
Dia
sudah mati dari hidupku! Dia memang sudah mati dari hatiku! Sudah mati!