Hari pertama di Italia
Pasticceria Café – Seperti orang dungu kalau tak kena gaya. Jajaran
gadis-gadis cantik, hebat bergaya setia menanti.
Sufie melangkah tenang. Mata-mata
yang memandang kehairanan.
“Ada hati nak rampas Corrado. Mimpi
agaknya.” Seorang gadis bersuara deras.
Terus juga Sufie melangkah, hatinya
berdetik. “Kamu semua boleh hina aku seberapa banyak yang kamu mampu. Tapi tak
akan pernah, aku hina diri sendiri. Mungkin aku tak sempurna di mata kamu. Tapi
di mata Allah. InsyaAllah aku sempurna, sama seperti kamu semua. “ Sufie
berpaling. Seorang gadis berwajah bundar dengan alis lentik sedang merenung
geram.
“Subhanallah. Cantik gadis tu.
YaAllah. Cantikkanlah hatinya, sebagaimana kau telah cantikkan wajahnya.” Sufie
menguntum senyum, namun dijeling gadis itu. Sufie kembali melangkah.
“Hati milik Allah. Bukan boleh
paksa-paksa. Nanti bila dah kenal oklah tu. Yang penting aku tak benci orang.
Itu lebih dari cukup.” Sufie berhenti di tepi bangku bila melihat seorang
gadis.
Seorang gadis berjalan menghampiri.
Masih dia ingat wajah itu. Gadis itulah yang berlari kelmarin bersama beg
plastik berisi makanan yang sungguh enak. Makanan Itali pertama dirasai.
Mulanya dia agak mual, namun sdikit demi sedikit, mual itu bertukar enak.
Sehingga menjilat jari.
Senyum riang gadis itu, semakin
mengusap hati. Sufie membalas senyuman.
“Hai, kak. Ingat lagi kat saya tak?”
Wajah comel itu menyapa.
“Alhamdullilah, masih ingat. Rozita
bukan?”
“Kak tahu nama saya? Saya sendiri
tak tahu nama kakak.” Kembang hidung gadis itu. Gembira kerana merasakan
dirinya popular.
“Panggil saja Kak Sufie.”
“Kak Sufie ambil part timekan?”
“Ya.”
“Kak Sufie kerja kat mana?”
“Kat hospital ni juga.”
“Nurse ke?”
“Cikgu. Bertugas di sekolah dalam
hospital.”
“Wah! Hebatlah. Saya dulu pun nak
jadi cikgu. Tapi tulah terlebih bijak pula. Last-last Jadi krew kat
sini.” Rozita ketawa. Mengundang pandangan gadis-gadis di sekitar.
“ InsayALLAH. Dengan izinNya. Mana
tahu nanti Rozita jadi cikgu pulak” Sufie senyum kecil. “Kenapa tak dibuka lagi
kafe?”
“Itu lah pasal. Selalunya pukul
tujuh pagi semua krew dah boleh masuk. Sebab pukul sembilan kafe nak buka. Tapi
hari ini lambat pula.”
Sufie melihat jam tangannya. Sedikit
berkerut.
“Baru pukul tujuh lebih. Tapi dah
ramai customer yang tunggu. Mesti sedap pastri kat kafe ni.”
“Memang betul tu Kak Sufie. Tapi
yang paling betul, dia orang duk tunggu Corrado. Saya pun tergila-gilakan dia.
Hensemmm.” Rozita pejam mata dan senyum meleret.
Bunyi derap kaki kedengaran. Seorang
lelaki bertubuh dempak kelihatan. Bila mendekat, barulah Sufie perasan yang
misainya sedang terbuai-buai disisir angin.
“Alamak! Serigala jadian dah mari.
Cepat Kak Sufie kita kena tunggu kat depan pintu kafe. Kalau tak nayalah
jawabnya.”
Belum sempat Sufie bertanya kenapa.
Pantas tangannya ditarik oleh Rozita. Agak payah Sufie mengikut rentaknya.
Gadis itu terlalu lincah.
Lelaki dempak itu merenung Sufie
bila sahaja sampai di pintu kafe. Lima orang krew yang sedang berdiri diam
tanpa kata. Sufie bijak membaca keadaan, serta- merta dia tahu yang lelaki itu
adalah seorang yang tegas.
“Pekerja baru?” Lelaki itu bernada
tegas.
“Ya! Saya Sufie encik….” Belum
sempat diteruskan ayat, sudah dipintas oleh Arturo.
“Saya tak berminat dengan nama awak.
Kita lihat berapa jam awak mampu bertahan, sejam, seminit atau sesaat. Selepas itu
baru awak beritahu nama.” Sinis nada Arturo.
Tersentak Sufie. Hari pertama sahaja
sudah setegas ini, bagaimana pula hari seterusnya. Namun hatinya pandai
memujuk.
“Semalan aku mampu bertahan, kenapa
tak hari ni? Aku tak akan sekali-kali benarkan diri aku jatuh hanya kerana
sikap orang lain.” Sufie senyum. Arturo mengangkat kening. Dia merasakan Sufie
sedang mempersenda-sendakannya. Wajah beruang kutub dia menjelma. Krew lain
yang sudah masak dengan ekspresi wajah Arturo kecut perut.
“Saya tak suka krew yang biadap.
Kalau nak kerja lama, jangan berani persendakan saya. FAHAM!”
Arturo mengeraskan suara. Namum masih kelihatan sopan di mata para pelanggan. Memang
lelaki yang pandai menukar topeng. Bab berlakon watak baik dialah aktornya.
Tapi di belakang pelanggan mulalah dia
menyalak macam serigala jadian terlihat bulan.
Sebaik pintu dibuka, semua krew
bergegas ke bahagian masing-masing, hanya Sufie yang tercegat. Walaupun shellter
sudah dinaikkan, Arturo masih perlu mengunci pintu dari dalam dan mengangtung
tanda ‘close’ pada cermin kaca. Menandakan yang kafe itu masih belum
beroperasi.
Hati Arturo kembali membara, bila
melihat Sufie terpaku.
“Kafe ini tak perlukan patung
pameran. Kamu nak kerja atau tidak?” Arturo meradang.
“Ini hari pertama. Saya perlu tunjuk
ajar untuk hari pertama.” Sufie bernada lembut.
“Dah takde mulut nak tanya. Takkan
nak orang mari jemput buat kerja. Wah… Wah… kamu ini dah macam anak raja sekali
aku tengok.” Arturo tidak mahu mangalah.
“Kak Sufie tolong saya saja lah.”
Rozita muncul sejurus itu.
“Jangan lupa, salin baju tu. Kita
bukan nak buat dinner event sampai nak kena pakai baju macam kelawar.
Kafe ini tak perlukan mascot pun.”
“Mari Kak Sufie. Kita pilih
uniform.”
Mereka berdua bergerak menuju ke
bilik persalinan. Setibanya di situ, Rozita menuju ke sebuah almari kayu. Bila
saja dibuka, kelihatan susunan topi koki, baju double breasted dan
seluar. Di rak paling bawah pula ada uniform berwarna biru tua dengan belang
putih.
“Kak Sufie pakai saiz apa?” Rozita
membelek-belek uniform itu.
“Saiz M” Sufie senyum tenang.
“Kak Sufie jangan layan sangat Chef
Arturo. Dia tu bukan betul sangat. Habis orang nak dilazerkan. Macam dialah
yang paling bagus. Huh….” Rozita bernada meluat.
“Tak apalah. Kak Sufie tak ambil
hati pun.”
“Baguslah kalau macam tu.” Rozita
senyum lalu menarik keluar sehelai uniformbersaiz M. Senyum terukir di
bibir.
“Kak Sufie pergi salin baju kat
belakang. Ada bilik persalinan kat sebelah bilik air.”
Sufie mencapai uniform itu dan
bergerak ke belakang. Bila sudah disalin dia muncul semula.
“Wah. Sesuai dengan Kak Sufie.”
“Alhamdullilah. Dengan izin ALLAH
juga.”
“Jom Kak Sufie. Nanti tak pasal-pasal
kena marah. Kita kena kejar masa, semua pastri kena siap dibakar sebelum pukul
sembilan pagi. Hari ni mesti terkejar-kejar, semuanya sebab kafe buka lewat.”
Mereka bergegas ke dapur. Bau
tepung, mentega, vanilla, kekacang yang dipanggang mengitari suasana sibuk itu.
Para krew sedang sibuk di bahagian masing-masing. Arturo masuk sejurus itu.
“Ancorastorditi !” Masih
tercegat!
“Maaf.” Rozita terkejut, mujurlah
dipekup mulut, kalau tidak tentulah perkataan yang bukan-bukan bakal keluar.
“Rozita, ajar budak baru ini, cara serve
customers. Saya tak mahu perkara yang bukan-bukan berlaku. tutto deve
essere perfetto.”‘Semua mesti sempurna.’
“Baik Chef.” Rozita menghayun
langkah, diikuti Sufie. Pagi hari yang tidak dijangka sama sekali oleh gadis
albino itu.
Seorang lelaki keluar dari dapur, melihat
pada susuk tubuh dan wajahnya serta merta Sufie tahu yang budak itu juga sebaya
Rozita. Dia menatang sebuah dulang berisi sfogliatelle. Sambil
itu sempat ditenung jarum jam yang sedang berdetik, kemudian ia menjerit kecil
dengan wajah semakin cemas.
“Mampus! Dah pukul lapan, matilah
kalau tak sempat siapkan tempahan tat buah tu pagi ni.”
Budak lelaki tu makin pantas
berjalan, sehingga tidak menyedari bajunya tersangkut pada bucu rak pameran
makanan. Apa lagi habis bertaburan sfogliatelle. Bunyi bising dulang yang jatuh
menyebabkan Arturo berlari pantas ke ruang utama. Tiba sahaja terus dia
menjerit marah. Menyebabkan para krew memanjangkan leher masing-masing, cuba
mengambil tahu.
“I bancarotta. Che vogliono
risparmiare” ‘Bankrup aku. Siapa mahu ganti’ Lelaki berbadan dempak itu
masih marah-marah. Sufie geli hati bila melihat misainya yang beralun-alun. Dia
agak pelik, kenapalah misai itu tidak dipotong saja.
“Saya potong gaji kamu. Cepat bersih
dan sambung kerja. Jangan nak naikkan darah saya pagi-pagi hari.”
Budak lelaki itu tunduk dan mula
merendahkan badan, mengutip satu persatu sfogliatelle. Hati Sufei
tersentuh. Ringan kaki dihayun. Dia meluru dan turut mengutip sfogliatelle
. Kepingan pastri yang nipis dan rangup berderai di lantai. Sufie mengarahkan
budak lelaki itu mendapatkan penyapu. Pantas budak itu bangun dan hilang.
Sebaik dia muncul, sfogliatelle
sudah habis dikutip oleh Sufie. Kesemua sfogliatelleitu diletakkan
kembali dalam dulang. Tanpa dipaksa, Sufie mencapai penyapu dan menyapu sisa-sisa
yang bertaburan. Ketekunannya menyebabkan dia hampir terlupa yang Arturo masih
tercegat di situ dengan wajah merah marah.
“Kamu ketua chef disini ke?” Arturo
bernada tinggi. Muka beruangnya mencemik marah.
Sufie tersentak dan berpaling
pantas. “Tidak tuan.”
“Jadi kenapa kamu pandai-pandai
tolong dia. Saya tak suruh pun. Kamu ini memang jenis gila kuasa,” tuduh
Arturo.
“Menolong orang tak perlu kena
suruh. Itu memang tanggunjawab setiap insan.” Sufie bernada lembut dan tenang.
“Kamu nak mengajar saya? Kamu ingat,
kamu siapa?” Arturo berang.
“Maaf. Saya tak berniat nak ajar
tuan. Itu Cuma pendapat saya saja.” Sufie masih tenang. Tidak terkesan langsung
dengan kemarahan Arturo.
“Last warning. Jangan suka
persendakan saya, nanti saya pecat awak. TAHU!” Arturo mengangkat jari
telunjuk, tanda memberi amaran.
“Lagi satu. Jangan panggil saya tuan.
Tapi Chef.” Arturo berlalu pergi. Dia merengus marah. Para krew yang memerhati,
kembali melakukan kerja mereka semula.
“Maaf sebab saya Kak Sufie kena
marah.” Budak lelaki itu berkata dalam. Matanya layu.
“Tak apalah. Bila kita bantu orang,
nanti ALLAH akan bantu dan merahmati kita. Bila kita kasihani mereka yang
berada di bumi, nanti kita pasti akan dikasihi yang berada di langit. Sudahlah
perkara kecil saja.” Sufie senyum.”
“Saya dengar Rozita panggil Akak,
Kak Sufie. Boleh ke saya panggil Kak Sufie?” Budak lelaki itu bertanya girang.
“Boleh! Nama adik siapa?”
“Panggil Boy pun ok.” Budak itu
menyebut bangga. “Nama betul Adam. Nama Inggeris Boy.”
Sufie senyum lagi. “Adam tu lagi
manis. Sama dengan nama Nabi. Tapi Kak Sufie akan panggil Boy, walaupun Kak Sufie
lebih suka nama Adam. Tapi, bila Boy teringin nak suruh Kak Sufie panggil Adam
beritahu, ya.”
“Tak mungkinlah. Dari kecil lagi
orang panggil saya Boy. Dah serasi pun. Sambung kerja dulu Kak Sufie. Tempahan
belum siap.”
Cepat-cepat budak lelaki itu ke
dapur. Bunyi bising di luar kafe menarik perhatian Sufie dan Rozita. Dia
berjalan menghampiri Rozita.
“Kenapa riuh semacam tu?”
“Apa lagi. Corrado punya hal la tu.
Hari tu sampai gaduh-gaduh sebab Corrado.”
“La. Sampai macam tu sekali. Playboy
ke Corrado tu?” Sufie sedikit ragu.
“Taklah. Corrado tu pendiam sangat.
Berat mulut. Tapi dengan Kak Sufie banyak mulut pulak dia. Jangan-jangan dia
dah terjatuh hati kot.” Rozita mengusik.
“Issh... Jangan serkap jarang. Nanti
tak pasal-pasal jadi artis pula Kak Sufie. Silap hari bulan kena serang dengan
buah hati Corrado.” Sufie pula mengusik. Tangannya sedang menyalin air di dalam
pasu bunga. Air itu harus ditukar bagi mengelak jentik-jentik.
“Saya berani kerat jari yang dia tu
bujang. Tak caya cuba Kak Sufie tanya.” Rozita memberi cadangan.
“Buat apa nak tanya. Tak mahulah
sibuk-sibuk hal orang lain. Itukan hal peribadi dia.”
“Bukan menyibuk, Cuma ambil tahu.
Kalau bujang, Kak Sufie boleh masuk jarum. Tak ke bestdapat pakwe
hensem. Mata hijau, bibir merah, rambut coklat. Badan sasa. Comfirm
bahagia.” Rozita meluahkan ketakjubannya kepada Sufie.
“Bahagia tu bila kita selalu rasa
bersyukur. Sikit, banyak, sakit, sihat, senang, susah. Semua keadaan bila kita
bersyukur, maka bahagia akan singgah. Bahagia ialah bila kita kaya hati dan
besar hati.” Lembut sufie berbicara. Rozita terlopong sekejap.
“Tak sangka yek, Kak Sufie pakar
motivasilah.” Rozita ketawa laju.
“Bukan pakar motivasi. Cuma
berkongsi inspirasi dengan si come lote, Rozita.” Sufie pula ketawa kecil,
hampir tidak didengari.
“Masuk akal juga apa yang Kak Sufie
kata tu.”
“Dahlah, kita sambung kerja, dah
dekat pukul sembilan ni.”
Semakin pantas mereka berkerja.
Namun Sufie tidak sepantas Rozita. Ada sesuatu yang tidak kena dengan matanya.
Namun diabaikan sahaja.
Kerusi meja diturunkan, alas meja
dihampar. Mana yang berdebu, digilap. Bunga-bunga mawar yang layu turut
diganti.
Makin menghampiri pukul sembilan
pagi, semakin berdebar para krew. Detik masa ibarat pembunuh upahan yang
menyelinap dalam gelap, memerhati tajam dan menikam tanpa sedar. Tahu-tahu
sahaja sudah terguling tanpa nyawa. Sudah beberapa kali Boy keluar bersama
kotak-kotak comel. Bilangannya hampir mencecah lima ratus kotak. Sufie agak
teruja.
“Pastri apa kat dalam kotak tu? Comellah kotak-kotak
tu.” Sufie teruja.
“Tat buah. Paling laku dan paling
terkenal kat area KL.”
“Banyaknya. Ada feast ke?”
“Pihak hospital tempah. Ada jamuan
pagi ni. Tu yang Boy kelam-kabut semacam.” Rozita kembali ketawa.
Pintu kafe diketuk. Corrado
tercegat. Arturo datang. Tidak sukar untuk dia kesan kedatangan anaknya itu.
Bila telinga dia menangkap pekikan dan sorakan gembira gadis-gadis di luar
kafe, itu bermakna Corrado sudah sampai.
“ Sempre in ritardo” ‘Selalu
lambat’ Arturo membebel. Wajahnya mencuka. Corrado masih tersenyum. Senyuman
yang hambar.
“Berbeza senyuman dia pagi ni. Tak
macam kelmarin.” Sufie gumam kecil, namun didengari Rozita.
“Macam tulah dia hari-hari. Sebab tu
saya kata, dengan Kak Sufie bukan main meriah dia senyum, macam kekasih pulak
saya tengok.” Rozita mencuit bahu Sufie.
“Dahlah. Mari kita sambung kerja.”
Corrado melangkah, terus dia ke
dapur. Masih sempat dia senyum kepada
Sufie. Rozita naik cemburu. Manakan tidak. Tak pernah-pernah Corrado senyum
kepada sesiapa, alih-alih pagi ini disenyumnya kepada Sufie. Arturo masih membebel. Dia juga ikut ke dapur.
Tepat pukul sembilan pagi pintu kafe dibuka. Seperti jualan murah sedang
berlangsung, gadis-gadis itu berebut masuk.
Seperti biasa meja-meja di ruang
utama dipenuhi gadis-gadis sekelip mata. Yang lelaki lebih senang berada di
bahagian luar sambil menikmati air pancut dan keindahan bunga-bunga yang sedang
mekar. Rozita pula ke kaunter mengambil buku catatan, kemudian menghampiri
Sufie.
“Kak Sufie ikut saya. Kita belajar
ambil pesanan. Mula-mula mesti pening, sebab nama makanan pelik-pelik. Tapi tak
payah risau, saya ajar.”
Sufie mengangguk tanda faham. Mereka
menghampiri meja pertama. Ah! Hatinya berdegup sejurus itu bila melihat
pelanggan meja itu. Gadis yang telah menyindirnya tadi.
“Selamat pagi. Saya Rozita. Boleh
saya ambil pesanan cik.” Rozita mengukir senyuman.
“Tiba-tiba rasa tak berselera pula.
Kenapa agaknya, ya?” Gadis itu berwajah tawar.
“Mahu cuba kek keju lemon, menu
terbaru kafe kami.” Rozita memberi cadangan. Disuakan sehelai kertas bersaiz A4
yang terpampang gambar kek keju lemon.
“Hati aku dah masam, lagi kau nak
aku telan kek masam tu?” Gadis itu mencemik. Ditenung Sufie dengan geram.
“Kalau macam tu, cubalah belek-belek
menu. Pasti ada yang berkenan.” Rozita berhemah.
“Aku nak tat buah. Tapi sekeping
saja. Kau pergi ambil.” Gadis itu menunding jari kepada Sufie.
“Minum cik?” Rozita bertanya. Geram
hatinya makin menjadi-jadi, namun kerana kerja disabarkan juga hati. “Nasib
baik aku tengah kerja, kalau tak jadi tepunglah kau kena uli.”
“Tak payah. Kalau aku nak minum aku
panggil.” Gadis itu bernada sombong.
Sufie terus ke rak pameran. Diambil
sekeping tat buah yang begitu menyelerakan kemudian kembali. Ketika meletakkan
piring, tat itu bergerak lalu tersentuh jarinya menyebabkan gadis itu menjerit
nyaring.
“Apa kau buat ni? Nak racun aku ke.”
Seisi kafe memandang ke arah mereka. Rozita cuba menenagkan keadaan, namun
tidak berjaya.
“Maaf cik. Dia krew baru. Nanti saya
ganti dengan yang lain.”
“GANTI! Apa kau ingat aku tiada kerja
lain, selain duk menunggu macam orang bodoh.” Gadis itu menyinga. Sekali lagi
Arturo keluar, diikuti Corrado. Di sudut meja lelaki bercermin mata sedang
memerhati. Ternyata masih ada seorang lelaki yang berada di ruang utama kafe.
“Kenapa cik? Boleh saya bantu.”
Arturo senyum manis. Lembut tutur katanya, berbeza dengan sifat sebenar.
Pertanyaan Arturo diabaikan . Gadis
itu sebaliknya meluahkan rasa kepada Corrado.
“Budak balar tu nak racun saya
Corrado. Dia sentuh tat kesukaan saya dengan jari. Saya bukan benci dia. Tapi
saya berhak dilayan secara terhormat sebab saya pelanggan. Dahlah tu dia maki
saya pula. Kata saya perempuan murah. Mentang-mentanglah dia pakai baju kurung
pagi tadi.” Gadis itu bersuara manja. Ditenung Corrado, cuba meraih simpati.
Namun Corrado hanya membisu.
“Kamu! Cepat minta maaf. Kamu tahu
siapa cik ini? Berani kamu hina dia, cakap yang bukan-bukan. Sekarang minta
maaf atau kamu saya pecat.” Arturo kembali berang. Tidak dia sangka Sufie
sebiadap itu.
“Tak mengapa lah chef. Saya maafkan dia.
Saya tak sampai hati kalau dia kena buang, nanti keluarga dia nak makan apa.
Kasihan orang miskin. Tentu dia nak sangat kerja kat kafe terkenal macam Italian
Pasticceria Cafe.”
Kembang hidung Arturo dipuji. Lubang hidung dia terbuka luas. Agak-agaknya, bola ping pong pun lepas masuk.
Gadis itu kemudian memandang
Corrado. “Demi awak Corrado, saya maafkan dia. Saya ikhlas. Boleh saya tukar
tat baru. Saya takutlah nak makan.” Gadis itu senyum sinis kepada Sufie.
Hati Sufie berlari kencang. “YaALLAH.
Engkau benar-benar mahu mengujiku. Aku buntu, tidak mampu berfikir sekarang.
Bantulah aku melawan nafsuku disaat ini. Aku tidak mahu bertindak di luar
kehendakMu.” Sufie menjadi malu. Ya, malu. Dia sedang diperhatikan saat itu.
Ada yang simpati, tidak kurang yang turut senyum gembira. Dia sendiri tidak
pasti kenapakah gadis itu seakan-akan benci kepadanya.
“Maaf cik Miera. Saya sendiri yang
akan tukar.” Corrado senyum dan Miera terpana dengan senyuman tersebut,
walaupun senyuman itu tidak seikhlas senyuman Corrado kepada Sufie.
“Ah... Terima kasih Corrado. Awak
bersusah payah kerana saya.” Makin menggoda lenggok Miera. Manja dia saja dah
serupa kucing siam gatal yang lapar jantan.
Sufie masih diam. Dia memerhati
Corrado. Lelaki itu menggambil piring dan berlalu, namun berpatah semula.
Diambil tat buah itu lalu dikunyah sambil menutup mata, dia mengunyah penuh
nikmat. Habis sahaja dikunyah dia senyum meleret kepada Sufie.
“Boleh tak awak sentuh beberapa tat
buah lagi untuk saya. Air jari awak menjadikan tat buah ini makin sedaplah
Sufie.” Corrado kemudian berlalu.
Rozita tersengih dan berkata
perlahan. “Yes… Padan muka kau. Kau ingat, kau lawa boleh jual minyak kat sini.”
Miera mendengus marah. Tidak
disangka Corrado sanggup membela, sekaligus memalukan dia di khalayak ramai.
Merasakan bedak compaknya tidak lagi mampu melindungi muka tebalnya dia berlalu. Itu pun selepas dia mengancam Sufie.
Sufie masih kelu. Hari yang tidak diduganya. Arturo kembali membebel, malah
lebih tinggi nadanya kali ini. Tidak dia sangka Corrado sanggup memalukan Miera
sebegitu.