Datin Abda merenung
awan putih dari balik kaca pesawat. Hatinya berkabut bila
andaian-andaian yang pelbagai merayap masuk ke benak.
“Huhh…”
Dengusan resah dilepaskan. Kemudian pandangannya merayap ke wajah anaknya.
Rijal senyum sinis dan bagi Datin Abda senyuman itu
adalah ejekan yang mempermaikan darjatnya sebagai seorang ibu.
“Perli nampak!”tikam Datin Abda
dengan muncung yang dipanjangkan.
Makin lebar Rijal senyum. Bebola matanya melata pada
wajah mamanya. “ Tak ada apa yang nak diperlikan…
Seingat Rijal mama bukan jenis yang emosi. Kecuali kalau hati mama
resah. Ada yang hendak dikongsikan ke?”
“Aikk..
Bila masa pulak Rijal jadi tukang tilik ni? Siap boleh tahu orang resah ke
tidak. Wanita besi macam mama ni, manalah ada masalah.”
“Berahsia
ke mama?”aju Rijal selepas tersengih.
“Malaslah
mama nak melayan kamu ni. Makin dilayan makin melalut pula.”
Badannya disandar selepas kerusi direndahkan
sedikit, kemudian majalah yang terselit dicapai lalu ditatap sambil lewa. Dia
sendiri tidak tahu kenapa majalah itu dibelek, mungkin kerana mahu berselindung
daripada Rijal. Dia agak tergamam bila isi hatinya dapat ditebak Rijal dan
sekaligus menyentap marahnya.
Rijal kembali
menekan-nekan huruf pada muka telefonnya. Sesekali dia ketawa kecil, menambah
meluat mamanya. Sikap mamanya itu
sedikitpun tidak diendahkannya.
***
Corrado tersengih sendirian. Adakala dia ketawa
kecil sekaligus meruapkan cemburu Rozita. Semenjak dipanah asmara, dia sudah
seperti mata-mata. Setiap derap kaki Corrado dituruti dan diperhati. Pantang
ada yang canggung mulalah cemburunya menyubur.
“Mesti
tengah mengorat perempuan. Inilah orang lelaki, pantang ada rupa mulalah nak
jadi keladi… Geram..Geram, aku.”Rozita meramas-ramas
kuntuman bunga ros.
“Assalamualaikum…”
Sufie menepuk lembut bahu Rozita.
“Waalaikummussalam…”
Rozita terkejut dengan tepukan yang
tidak disangka.
“Emmm…
Ada masalah? Bunga dicipta Allah untuk dinikmati, bukan dimatikan. Tengok…
Kasihan bunga yang begitu cantik dimusnahkan.”Sufie mencapai ros di dalam genggaman Rozita.
“Menyampah…
Menyampah. Agaknya memang orang lelaki ni diciptakan untuk menyakitkan hati
orang perempuan agaknya. HUH!”
“Segugus
anggur tidak semuanya sama saiz. Orang lelaki pun begitu. Tidak semua teruk,”pangkah
Sufie sabil senyum.
Rozita diam melihat senyuman itu dan sesungguhnya
Sufie memang terkenal dengan kemurahan
senyuman. Senyuman yang mampu mendamaikan mata yang menatap.
“Memang
lelaki jahat. Memang semua lelaki yang pernah wujud dan akan wujud dalam dunia
ni jahat.”
“Dan
jangan lupa Rasul kita juga lelaki…”Sufie ketawa, “Allah Maha Adil. Tak mungkin ada yang mampu
menandingi keadilanNya. Abaikan bisikan nafsu tu. Sebenarnya siapa yang Rozita
marahkan sangat tu?”
“Tu…”
Juih
mulut Rozita. Pandangan Sufie menurut muncung Rozita dan dia senyum
kemudiannya.
“Kenapa
pula dengan Corrado,”kerutan terlukis di dahi Sufie.
“Cuba
Kak Sufie tengok betul-betul. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Kalau macam
tu punya gaya, tak lain tak bukan tengah mengayat anak daralah tu.”
Sufie mengecilkan mata, cuba mengamati lagi, namun
dengan penglihatan yang semakin bermasalah perkara itu adalah sukar, malah
cermin mata juga sudah kurang membantu.
“Jangan
serkap jarang tau,” usik Sufie. Dia mencapai pasu di atas
meja lalu menyalin air.
“Orang
lelaki bukan susah hendak baca… Geram… Geram.”
Rozita mendengus marah kemudian berlalu. Panggilan Sufie tidak diendah.
Sufie meneruskan kerja. Kisah cemburu Rozita tidak
begitu menarik minatnya. Malah sukar untuk dia menerima tuduhan yang dilemparkan
Rozita, kerana dia kenal benar dengan sifat Corrado. Alunan melodi klasik Itali
yang dipasang membuai-buai perasaan yang mendengar sehinggakan sapaan Corrado
tidak disedarinya.
“Zaman
penuh revolusi di Eropah.”Corrado berkata selepas melabuhkan
punggung di atas kerusi, sekaligus menarik perhatian Sufie.
“ Di antara
tahun 1500 dan 1600. Ketika eraRenaissance musik klasik yang
sedang kita nikmati ini dicipta.Camerata de'
Bardi… Ah! Mereka memang hebat dan berbakat.”
Mata bulat berwarna hijau
laut itu menikam tepat ke wajah Sufie, mencarik ketenangan gadis albino itu.
Dia cepat-cepat beralih ke meja lain untuk menukar air di dalam pasu. Apabila
selesai sekali lagi pandangannya merayap kepada Corrado dan ternyata mata bulat
itu masih memaku dirinya. Dia cuak.
“Ada sesuatu yang boleh saya tolong.
Renungan awak macam nak minta pertolongan.”
“Tolong jadi kekasih saya,”getar mengalir dalam nada Corrado. Wajah lelaki
Itali itu merona merah dengan wajah yang sedikit ditundukkan.
“Aikkk… Tiba-tiba tukar topik, nak
berlatih jual minyak urat ke, Encik Corrado? Tadi tu awak mengurat siapa?”aju Sufie dengan nada mengusik.
“Saya mengurat?? Saya salah dengar
agaknya!”
“Tadi saya lihat awak senyum manis masa
main masej dekat anjung…”
Corrado ketawa dengan kuat
dan kerana ketawa itu jugalah dia hampir terjatuh dari kerusi. Hampir sahaja
Sufie memeluk kerana bimbang dia akan
tersungkur. Namun niat dibatalkan bila Corrado berjaya menyeimbangkan badan.
Hati Corrado berbunga bila
pandangan mereka bertaut, malah makin bertaut bila melihat tindak balas Sufie
ketika dia hampir terjatuh.
“Tterima Kasih…”
“Saya tak tolong apa-apa pun…”
Suasana sepi sejurus itu.
Mereka hilang patah kata. Masing- masing bermain rasa. Bagi Sufie tindakannya
tadi amat memalukan. Bayangkan kalau dia benar-benar memeluk Corrado. Aduh!
Tidak sanggup dibayangkan olehnya.
Corrado pula merasa cinta
yang disemai mula bercambah. Baginya tindak balas Sufie adalah petanda yang
hati gadis itu mulai mencair. Dia jadi malu tiba-tiba.
“Ekk… Tadi tu kawan baik saya dari
USA. Dia akan tiba hari ini. Saya ketawa
bila diusik dia. Ah! Kawan saya itu lelaki. Jadi tidak timbul isu saya mengurat
gadis.”
Sufie tidak mengendahkan
penerangan Corrado. Malunya masih tersisa. Dia mencapai penyapu lalu melaju dia beredar.
“Sufie… Sufie. Tunggu dahulu, saya masih
belum habis bercakap. Betul saya tidak mengurat gadis lain. Ke mana kamu hendak
pergi? Soalan saya masih belum kamu jawab.”
Wajah hampa Corrado
mengekori langkah Sufie.
“Astaghfirullah… Ya
Allah, ampuni aku. Ampuni khilafku,”rayu Sufie hiba. Setitis air jernih menitis. Dia benar-benar malu bila
dirasakan Tuhan melihat kelakuannya sebentar tadi.
***
Rozita menyuap bruschetta dengan lahap. Dia
benar-benar kelaparan. Manakan tidak sejak dari pagi dia bekerja tanpa rehat,
semuanya kerana kekurangan krew. Tambahan pula hari ini hari minggu. Dari bilik
persalinan kedengaran Arturo memekik dan mengarah. Macam biasalah pasti Sufie akan menjadi salah
satu mangsa kegemarannya. Darah Rozita mendidih. Cukup pantang baginya jika
sesiapa membuli Sufie dan makin mendidih bila melihat bruschetta yang berbaki
dua.
“Boleh Kak Sufie rehat sekali.”
Wajah Sufie terpancul dari
balik loker baju. Macam biasa senyuman manis menghiasi wajahnya. Sufie berlabuh
bersebelahan Rozita. Namun dipisahkan oleh pingan berisi bruschetta.
Bruschetta hanyalah
kepingan roti panggang yang dimasak dengan bawang putih dan direnjis minyak
zaitun. Garam dan merica.
Keju parut dan tomato yang dipotong dadu
kelihatan meriah memenuhi permukaan bruschetta, sekaligus mengundang selera
Sufie.
“Emmm… Sedapnya. Share sekeping dengan
Kak Sufie,”pinta Sufie
dengan wajah keanak-anakkan yang sengaja
dibuat.
“Ambiklah semua. Putus selera nak makan.
Kedekut punya chef. Dah tahu yang badan kita ni punya comel, masih nak dicatu
makan.”Rozita menolak pinggan
berisi bruschetta lembut.
“Jeng… jeng. Spegeti Bolgonies. Emmm… Baunya saja dah
semerbak. Kalau masuk ke mulut, macam manalah rasanya.” Sufie mengambil pingan yang di letak berhampiran.
Garfu ditangan dibenam
pada spegeti kemudian dipusing lembut. Bila sudah padat, garfu itu diangkat
lalu disuakan kepada Rozita.
“Kak Sufie masak sendiri tahu. Tapi
sikit sajalah. Dah kena catu dengan chef.”
“Memang dasar kedekut. Memang nak kena
si musang pendek ni,”
“Alhamdulillah,”ucapan lembut terbit dari bibir Sufie.
“Krisis makanan macam ni pun masih boleh
redha ke Kak Sufie. Silap hari bulan boleh kebuluran kita berdua,” luah Rozita geram.
Sufie ketawa melihat
gelagat Rozita. Namun tiba-tiba dia tunduk merenung lantai.
“Kak Sufie malu,” nada sayu bergema. Kakinya menguis-nguis lantai
tanpa tujuan.
“Malu?? Kenapa tiba-tiba malu? Saya tak
fahamlah Kak Sufie. Malu pasal apa? Kepada siapa?”aju Rozita bertalu. Dia menjadi cuak dengan ungkapan
itu, makin cuak bila melihat kelakuan Sufie.
“Malu dekat Allah. Kak Sufie malu bila
teringat firman Allah dalam surah Al- Saba. Kak Sufie masih ingat Al – Saba: 13,”
masih sayu
nada Sufie, sekaligus menarik minat Rozita.
“Kongsilah dengan saya. Mana tahu kita
sama-sama mendapat kebaikan.”Rozita merapati Sufie. Pingan berisi bruschetta dan spegeti bolgonies
dialih. Bahu Sufie digoncang lembut bila permintaannya tidak diendah.
Bila tenang kembali
bersarang. Sufie kembali berkalih pandang kepada Rozita. Wajah comel itu
dirayapi dengan pandangan lembut yang mendebarkan, seolah-olah ada rahsia besar
yang bakal diluahkan.
“ Dan sedikit sekali hamba-hanba-Ku yang
bersyukur. Al-Saba: 13”mata
Sufie mengalirkan titik-titik jernih bak mutiara putih. Jernih dan menyentuh
perasaan Rozita.
“Kak Sufie malu sebab saya ungkit pasal
rezeki ke? Bukan niat saya nak mengungkit… Tak tahulah kenapa dengan saya ni.
Percaya tak yang kadang-kadang saya sendiri tak faham dengan perangai saya.”Rozita
merangkul bahu Sufie lalu melentokkan kepala di bahu itu.
“Bukan sebab Rozita. Cuma kadang-kadang
Kak Sufie jadi malu dengan diri sendir. Kata-kata Allah seakan-akan menyindir
kejahilan Kak Sufie. Kak Sufie malu bila memikirkan apa yang telah Kak Sufie
lakukan atas setiap nikmatNya. Nikmat mata, telinga, kaki, tangan. Pendek kata
kalau air laut mampu Kak Sufie jadikan dakwat pun, pasti belum cukup untuk
menulis segala nikmatNya.”
Sufie menguntum senyum,
namun di mata Rozita senyuman itu hambar. Sungguhpun begitu dia mengerti yang
sesiapa sahaja, malahan dia sekalipun akan cuba untuk senyum agar resah tidak terjejak.
“Maaf jika Kak Sufie menjengkelkan
Rozita.”
Rozita meratah wajah itu
seketika. Ada kekaguman yang terbit dari jiwa yang paling ikhlas. Ya, dia benar-benar
mengagumi gadis albino di hadapannya kini. Malah dirasakan yang hatinya sudah
benar-benar ikhlas menyayangi Sufie. Tangan Sufie dicapai dan dicium lama. Malu
rasanya untuk dia mengangkat wajah, risau jika air mata yang tumpah dilihat.
Adalah mustahil gadis yang paling ceria menitiskan air mata. Dia mahu menjadi
gadis yang paling ceria, paling ‘cool’ menghadapi kerenah dunia. Barulah
‘rock.’
Dan hari ini prinsip itu
lebur dengan nasihat yang dicurahkan Sufie. Oh, atau mungkin lebih tepat luahan hati Sufie yang
begitu mencintai Allah sehinggakan sedih jika dirinya termasuk orang-orang yang
tidak bersyukur.
Tangan putih Sufie
mengusap-usap rambut Rozita. Perasaan bersalah menerjah keluar. Apakah
kata-katanya sebentar tadi setajam lembing yang merejam? Apakah Rozita berasa
dihina?
“Maaf jika Kata-kata Kak Sufie menghiris
hati. Kak Sufie hanya meluahkan rasa hati.”
“Kak Sufie tak salah. Saya yang salah.
Saya yang patut malu pada diri sendiri. Saya nak ceritakan sesuatu boleh? Nak
luah rasa hati.”Rozita masih
mencium tangan Sufie. Amat payah untuk dilepaskan genggaman tangan dan amat
payah untuk diangkat wajah.
“Boleh! Mari letakkan kepala atas peha
Kak Sufie ni.”Sufie menepuk
pehanya selepas menarik tangannya yang digenggam Rozita.
“Saya benci kalau orang lain melebihi
saya. Contohnya kalau pekerja lain gajinya lebih tinggi atau dinaikkan gaji
melebihi saya. Saya selalu risau kalau makanan yang saya suka terpaksa dikongsi
dengan orang. Saya selalu fikir yang saya kena bergantung pada diri sendiri
untuk makan dan hidup. Kalau nak cerita,
tak tercerita. Tapiii… Hari ini.”
Rozita bangkit dari
baringan lantas menatap mata biru Sufie.
“Hari ini kenapa?”aju Sufie dengan kerutan di dahi.
“Petama kali saya sedari, yang selama
ini saya bertindak bodoh. Saya bodoh dalam menyakini Allah. Bayangkan betapa
bodohnya saya sehingga meragukan kasih sayang Allah. Selama ini saya selalu
merungut tentang rezeki. Saya takut yang suatu hari saya akan mati kebuluran.
Tapi lihatlah sampai sekarang saya masih hidup, masih mampu makan sampai badan
dah terlebih comel.”Rozita ketawa
kuat. Dirasakan inilah kali pertama hatinya benar-benar tenang.
“Saya juga selalu pejam mata bila Arturo
marahkan saya mahu sembahyang. Alih-alih benda tu dah jadi biasa.”
“JANGAN! Solat itu tiang agama. Tak
boleh berkompromi tanpa sebab yang dibenarkan.”Sufie terkejut dan wajah itu kelihatan melucukan
sehingga mengundang tawa Rozita.
“Sebab saya takut kehilangan kerja.
Takut nanti mati kebuluran. Kali pertama saya lihat Arturo marahkan Kak Sufie
saya yakin yang itulah kali terakhir Kak Sufie akan bekerja di sini. Tapi
lihatlah sampai sekarang Kak Sufie masih lagi bekerja.”
“Insay-Allah. Dia akan jaga
hamba-hambaNya,”balas Sufie.
“Kalau kena pecat juga?”
“Maka itulah yang terbaik untuk kita.
Insay-Allah akan dilorongkan yang lebih baik di masa hadapan. Cuma satu… Lepas
ni jaga solat.”Sufie kenyit
mata.
“Baik bos…”usik Rozita, dan sekali lagi tawa terlerai.
Usai makan mereka menyambung tugas masing-masing.
***
“Kamu sediakan panino. Gunakan roti
Jenis rosetta. CEPAT! Hari ini ramai
sangat yang pesan panino.”Arah
Corrado tanpa memandang. Lelaki itu benar-benar sibuk mencanai doh pizza. Begitu
cekap dan pantas pergerakkannya.
“Toping apa nak guna?”aju Sufie sambil memotong rosetta secara horizontal.
Corrado berhenti seketika.
Riak kurang senang tergambar, mungkin sedang mempertimbangkan toping yang
sesuai. Sesaat dua dia senyum.
“Porchetta, tomato, salad butter head
dan sedikit kejuemmenthal.
Jangan lupa sepotong dua hirisan zaitun jeruk.”
Niat Sufie mahu
melanjutkan pertanyaan terbantut bila melihat pintu Kafe dibuka dan dua buah keluarga meluru
masuk. Sinaran mata mereka membayangkan betapa mereka sedang kelaparan. Seorang
kanak-kanak dalam lingkungan sepuluh tahun, berbaju petak dengan seluar paras
lutut berlari kea rah rak pameran tat. Dia menjerit dan terlompat kecil.
“Mak… Mak… Cepat. Nilah tat coklat
berkacang hazel yang Mirul suka tu.”
Seorang wanita tua dengan
tudung labuh dengan jubah hitan melangkah laju dengan senyuman yang tak lekang.
Dari belakang dia diekori seorang kanak-kanak perempuan yang turut teruja.
Betapa indah perhubungan yang terjalin. Sufie mengucap syukur di atas
kebahagiaan keluarga itu.
Arturo masuk, kali ini
wajahnya manis. Semanis gula kabung yang tidak berapa hendak manis. Dia
berjalan membidang dada dengan misai lentiknya yang terbuai-buai. Bagi
menampakkan lagi kegembiraannya, dia berlagu kecil. Lagu kebangsaan Itali yang
begitu diagung-agunkan.
“Sufie sayang, tolong siapkan pesanan
dari pelanggan. Boleh?”
“Saya sedang siapkan panino chef.
Pesanan untuk panino bertambah melebihi yang kafe jangka,”luah Sufie. Dan sememangnya Arturo juga tahu berkenaan
itu. Sungguhpun begitu dia tetap mahu mengenakan gadis albino itu. Niatnya
hanya satu mahu Sufie berhenti kerja.
“Non mi interessa”‘Saya
tak peduli’. Di kafe ini segala arahan saya tidak boleh dipersoalkan, melainkan
dituruti tanpa bantahan. FAHAM!”tepik Arturo
dengan jari yang digerak ke kiri dan ke kanan.
“Kamil tolong ambil alih kerja Kak Sufie,”pinta Sufie lembut.
Belum
sempat Kamil meniyakan jawapan, Arturo sudah memangkas.
“Tak perlu... Kamu akan siapkan kedua-dua kerja ini,”
Sengih
Arturo sudah cukup menunjukkan betapa lelaki pendek itu berpuas hati dapat
mengenakan Sufie. Sungguhpun begitu Sufie tetap tenang dan sikap itu sedikit
sebanyak menyebalkan Arturo.
“Pesanan apa? Berapa? Pukul berapa delivery
?”soal
Sufie seringkas mungkin. Bila melihat jarum jam yang semakin menghampiri angka lima.
“Uhhh...”Nada menghina dengan muka menjengkelkan Arturo pamerkan.
Tangannya meramas-ramas apron yang tersarung di leher.
“Tak sangka saya ada pekerja sebagus kamu. Kamu perlu
siapkan lima ratus tempahan panna cotta sebelum pukul lapan malam. Hati-hati
pelanggan ini sangat penting. Saya tak mahu ada sebarang kesalahan.”
“Tiga jam, untuk lima ratus panna cotta. Saya perlukan
bantuan beberapa orang krew,”pinta Sufie.
Arturo
sengih dan memetik-metik tangan. Dia berpusing-pusing gembira.
“Itu bukan masalah saya. Rasanya semua krew sibuk. Kamu
tentu boleh uruskan seorang diri... Bye... bye... tata.”Arturo melangkah laju dengan
senyuman paling memualkan. Sebenarnya senyuman dan Arturo adalah gabungan yang
pelik atau lebih tepat ibarat air dan minyak yang tidak mungkin akan bercampur.
“Mahu saya bantu? Rasanya lebih baik berdua dari
seorang.”
Corrado menyapa setelah agak lama memerhati. Dia geram melihat Sufie
diperlakukan begitu. Walaupun begitu dia tidak mahu mencelah, bimbang jika
ayahnya mengesyaki sesuatu.
Sufie
senyum, lantas memanjatkan kesyukuran
atas pertolongan Allah.
“Kamu uruskan panino. Hal panna cotta biar saya yang
uruskan. Kita mula sekarang.”
Nada
dering bergema di dapur, semua mata memandang.
“Tak silent mode . Kalau chef dengar, masak awak kena,”tegur Sufie separuh berbisik.
“Oppp... lupa.”Pendek dibalas
Corrado. Cepat-cepat telefon ditukar kepada mode senyap.
Panggilan
yang masuk tidak dijawab sebaliknya dimatikan, namun selepas itu sekeping
pesanan dihantar kepada nombor yang tertera. Sufie memerhati tanpa minat. Sudah
beberapa kali Rozita, Nancy dan Mohana keluar masuk ke dapur menghatar dan
mengambil pesanan. Sesekali Nancy yang cerewet dan pemarah menekan loceng
pesanan berulang kali bila hidangan lambat. Sufie tidak marah kerana dia tahu
kerenah pelanggan pelbagai.
“Panino! Mana oder untuk lima set panino. Berapa jam lagi
mahu tunggu.”Nancy memekik geram.
Nancy
merupakan penyelia di ‘ Italian Pasticceria cafe’ . Dia seorang yang cerewet dan mementingkan
kesempurnaan di dalam setiap tugasan yang diberi. Orangnya rendah dengan kulit
mulus oriental. Matanya sepet seperti kebanyakan wanita cina. Bagi krew, dia
tidak ubah seperti sesumpah yang mampu bertukar warna. Ini kerana
personalitinya cukup tegas sewaktu bekerja, namun apabila tamat waktu bekerja
dia seorang yang ceria dan peramah.
“Siap Madam,”laung Sufie. Pinggan dicapai dan dia menyusun panino bersama kentang goreng.
“Kerja mahu laju, mahu cepat.”Bebel Nancy ketika tangannya
pantas mencapai pinggan berisi panino.
“Baik Madam,” pantas dijawab Sufie.
Dia
kembali bergerak ke arah kabinet untuk menyediakan bahan panna cotta memandangkan Corrado masih sibuk
membalas masej secara curi-curi. Ketika dia cuba mencapai susu, kotak yang
paling hadapan jatuh sekaligus menarik perhatian Corrado. Dia lalu menghmpiri
Sufie.
“Biar saya uruskan panna cotta. Balik ke stesen, siapkan
panino.”Corrado
menunduk mengutip kotak susu yang jatuh.
Sedar
yang dia bukanlah orang yang begitu mahir dengan resepi panna cotta, dia
menurut tanpa membantah. Tambahan dengan penglihatan yang bermasalah tentulah sukar untuk dia bergerak pantas menyiapkan tempahan dalam waktu yang
ditetapkan.
Corrado
kembali mendekati. Dia baru selesai membalas sekeping pesanan lagi.
“Kawan saya sampai lapangan hari ini. Kami berjanji mahu
bertemu malam ini. Kamu tolong saya boleh?”aju Corrado .
Belum sempat Sufie menjawab dia membongkok mengambil magkuk dari laci bawah.
“Insay-Allah. Boleh saya tahu tolong apa?”
“Errr...”Corrado ragu-ragu.
Dia jadi malu dan berdebar.
“Tolong apa? Saya perlu tahu baru boleh buat keputusan.”Sufie masih tekun menghiris
buah zaitun, sehingga tidak menyedari renungan Corrado.
“Ttemankan saya
malam ini. Jumpa kawan saya. Boleh?”agap Corrado meminta.
Sufie
berpaling seketika dengan kening yang berkerut. Corrado faham tanda kerutan itu,
maka cepat-cepat dia berkata. Berharap yang Sufie tidak marah.
“Kita ajak Rozita
bersama. Jangan risau kawan saya itu datang dengan mamanya. Kita pergi jumpa
sekejap saja, lepas makan saya hantarkan kamu berdua balik. Setahu saya kamu berdua datang kerja dengan bas. Tolong saya
kali ini, ya,”rayu Corrado bersungguh, namun nadanya separuh berbisik.
Dia risau jika ada krew dapur yang terdengar dan perkara itu akan diketahui
ayahnya.
“Kenapa mesti saya dan Rozita? Bukan orang lain? Kenapa
tidak di kafe saja?”soal Sufie dengan wajah penuh curiga. Dia berasa kurang
selesa dengan permintaan Corrado itu. Hatinya berdetak, seakan ada sesuatu yang
bakal berlaku. Dia beristigfar sejurus itu bila merasakan dia telah bersangka
buruk terhadap Corrado.
“Kamu pun tahu saya pendiam. Bukan mudah saya hendak rapat
dengan seseorang. Hanya kamu dan Rozita saja yang rapat dengan saya. Di sini
kurang selesa. Kamu tahulah sebabnya bukan... Saya betul-betul mahu sahabat
baik saya mengenali kamu.”
“Kenapa mahu sahabat awak kenal saya? Pelik... Ada apa
sebenarnya Corrado?”aju Sufie. Nampaknya curiga yang semakin menyurut kembali
melimpah. Dia jadi risau tiba-tiba.
“Kerana kamu istimewa.”Corrado memalingkan kepala. Dia
jadi malu dengan ungkapan yang dirasakan cukup berhantu itu.
“Ya. Saya istimewa sebab saya albino,”jawab Sufie mendatar, ada kesal
yang bersarang.
“Bbukan itu maksud saya.”Corrado cuba membetulkan
keadaan.
“Tak apa, saya tak marah. Saya teman awak malam ini.
Anggaplah saya balas jasa awak sebab bantu saya siapkan tempahan.”
Tanpa
kata Corrado kembali ke stesen dan mula bekerja. Dia menyesali kerana tersalah
guna ayat. Namun dia senyum kembali.
‘Malam ini aku mahu Rijal dan mamanya jadi saksi lafaz
cinta aku kepada Sufie. Dan malam ini Sufie akan tahu yang dia benar-benar
istimewa untuk aku.’ Corrado bermonolog sendirian. Tanpa disedari Sufie
terpandang kemilau senyumannya.
“Apa yang dia tengah fikirkan?”soal Sufie sendirian dan
persoalan itu menemaninya sepanjang hari.