DATUK TALHAH tersenyum kecil tatkala terpandang nama yang
tertera pada skrin telefon bimbitnya.
“Helo, papa...” Satu suara girang menyapanya di hujung talian.
“Helo, Anna. Bila kamu nak balik ke sini?”
“Tak ada soalan lain yang papa nak tanya?” Gadis itu bertanya
pula. “Soalan macam... erm, bila anak papa ni nak kahwin?”
Datuk Talhah tergelak besar. “Kamu diperlukan di sini, sayang.
Sudah-sudahlah duduk di Sydney tu. Kalau kamu nak buka bakeri, bila-bila aje
papa boleh tolong, tapi...”
“Tapi?” ulang gadis itu. “Papa tak berubah. Asyik bertapi-tapi,
asyik bersyarat. Apa dia, papa?”
“Kamu kena kerja di hotel ni sekurang-kurangnya selama setahun. Lepas
tu baru boleh buka bisnes. Kamu kena tahu selok-belok perniagaan dulu. Dan kamu
kena ada followers barulah berjaya. Bila orang dah kenal, baru boleh
dapat customersdengan mudah.”
“Setuju, papa.” Datuk Talhah bangun lalu melangkah ke birai
tingkap. Pemandangan Masjid Shah Alam terbentang di hadapan mata. Cuaca cukup
baik dengan gumpalan awan yang berlatar langit biru. Kenderaan berjejeran di
jalan raya yang diseri rimbunan pokok-pokok renek oleander yang dijaga rapi.
“Ada kekosongan jawatan pastry sous chef... mungkin terbaik untuk kamu.
Papa minta mereka tunggu kamu hantar resume,” usul Datuk Talhah. “Jangan
lepaskan peluang ni, Anna.”
“Tengoklah nanti. Papa ni suka mendesak tau.”
“Ada sebabnya papa mendesak, sayang,” pujuk Datuk Talhah pula.
“Ya, papa selalu sudah bersedia dengan alasan yang macam-macam.”
“Sebagai chairman Board of Directors, papa sudah diminta
untuk membuka cawangan hotel ini di Johor. Jadi, papa kena pastikan hotel di
sini tiada masalah langsung. Kita juga sedang berbincang dengan pihak kerajaan
untuk usahasama menaja konvensyen antarabangsa dan lain-lain.”
Di hujung talian, Joanna tergelak pendek. “Nanti bila Anna balik
sana, papa cerita lagi, ya?”
Datuk Talhah ketawa gembira. “Bila tu, sayang?”
Pintu pejabat tiba-tiba terbuka. Datuk Talhah berpaling ke arah
pintu. Tiada sesiapa yang berani masuk tanpa mengetuk dulu kecuali Datin Mona.
“Mama baru sampai ni...” ujar Datuk Talhah kepada anaknya.
Wajah Datin Mona yang bermekap cantik itu nampak ceria tatkala
menyedari suaminya sedang bercakap dengan anak tirinya, Joanna. Dia segera
memetik jari dan memberi isyarat bahawa dia ingin bercakap dengan gadis itu.
Datuk Talhah menghulurkan telefon tersebut kepada isterinya. Dia
dan Datin Mona baru enam tahun mendirikan rumah tangga. Itu pun setelah lelaki
itu menduda selama empat tahun. Dia lega kerana isteri barunya itu dapat
menyesuaikan diri dengan Joanna.
Datin Mona yang lebih kerap ke Sydney untuk menjenguk anak gadis
itu. Kadangkala dia membawa beberapa orang rakan-rakannya melancong dan
membeli-belah.
“Helo, Anna. Mama nak tanya ni, kamu ada plans tak hujung
bulan ni?” Datin Mona bertanya.
“Belum ada rasanya. Kenapa, mama?” soal gadis itu kembali.
“Kawan mama nak ajak pergi New Zealand. Kami nak singgah di
Sydney dulu semalam dua. Kamu perlu bercuti juga, Anna. Lima hari aje... okey,
ya, sayang?”
“Tengoklah dulu. Mungkin ada jemputan demo memasak.”
“Cancel kalau ada. Bukan selalu kawan mama tu nak sponsor
pergi bercuti,” pujuk Datin Mona. “Kamu baliklah ke sini. Papa dan mama
rindukan kamu.”
Datuk Talhah tersenyum mendengar isterinya memujuk Joanna. Mereka
sudah lama berbincang dan mengatur strategi supaya Joanna mahu kembali ke tanah
air. Banyak peluang untuk berjaya berbanding dengan bila berada di Australia.
Di sana persaingan sangat hebat terutama dalam memasarkan hasil bakeri.
Kalau setakat mengambil beberapa orderdalam seminggu,
sampai bila-bila pun tidak akan kaya atau hidup selesa. Bakat yang ada pada
Joanna lebih baik diketengahkan di pasaran tempatan. Kemudian mudahlah untuk
menembusi Singapura, diikuti Brunei, Thailand dan Indonesia.
“Okey, mama. Apa-apa hal nanti Anna call mama, ya?” janji
Joanna sebelum memutuskan talian telefon.
Datin Mona menyerahkan telefon kepada suaminya semula. “Kawan saya, Puan Sri tu ada anak lelaki yang baru balik dari
U.S. Dialah yang nak bawa saya dengan Anna
bercuti di N.Z. dengan anaknya. Biar mereka berkenal-kenalan dulu. Kalau
serasi, bolehlah kita berbesan dengan Tan Sri.”
Datuk Talhah cuma
tersengih mendengar celoteh isterinya. Datin Mona duduk di sofa kulit warna
perang. Sejambangan mawar merah menghiasi permukaan meja kopi. Datuk Talhah
mencapai beberapa dokumen yang memerlukan tandatangannya. Sesekali matanya
melirik ke arah Datin Mona yang tunduk membelek kukunya.
“Abang ikut aje yang mana awak fikir baik,” jawab lelaki itu.
“Tapi, abang faham Anna tu... dia tak boleh dipaksa. Dia keras kepala macam
emaknya.”
Sebarang kenyataan tentang bekas isteri Datuk Talhah akan membuat
Datin Mona menggelabah. Paling ditakutinya bila Datuk Talhah menghubungi
perempuan Australia yang berambut perang itu semula. Sementelah perempuan itu
masih solo lagi. Ikatan kasih sayang mereka masih erat kerana kewujudan Joanna.
Apa yang membuat Datin Mona lebih gelisah adalah kerana Datuk
Talhah dan bekas isterinya masih berhubungan di dalam Facebook.
Fikiran Datin Mona makin bercelaru kerana perempuan Australia itu
kian hari kian jelita dan berjaya sebagai seorang ahli perniagaan di bumi
Australia.
Setelah beberapa ketika berlalu dan Datin Mona masih membisu,
Datuk Talhah membuka mulut. “Ada apa awak datang ni?”
“Saya nak buka butik,” balas Datin Mona.
“Kenapa tiba-tiba aje?”
“Kawan saya Datin Dayana dah buka spa. Jadi, saya fikir eloklah
saya buka bisnes juga.” Datin Mona menjeling ke arah suaminya.
“Awak nak dapatkan supply dari mana?”
Datin Mona melepaskan keluhan panjang. “Beli kain di Indonesia,
Vietnam, China... upah tukang jahit sini... yang penting, saya nak reka sendiri
fesyen baju tu.”
Datuk Talhah memegang perutnya dan cuba untuk tidak ketawa.
“Ingat senang ke nak reka baju?” tempelak lelaki itu.
“Saya tengok beberapa fesyen dalam majalah luar negara, ubah suai
ikut cita rasa sayalah...”
“Kalau macam itu, baik awak aje yang pakai.” Datuk Talhah menyindir.
“Huh!”
Datuk Talhah bangun dari kerusinya lalu mendekati Datin Mona.
“Abang cakap yang betul. Banyak sangat dah butik di merata tempat. Apa yang
buat awak fikir, butik awak akan berjaya? Kalau tasteawak targetpada
wanita 40-an atau 50-an, baik tak usah. Abang cadangkan awak buka butik
tudung.”
Spontan Datin Mona memegang rambutnya. Terasa bagaikan suaminya
menyindir. Sudah acap kali Datuk Talhah membelikan skarf dan selendang sutera,
satin, chiffon, crepe dan entah apa-apa jenis lagi untuknya
setiap kali pulang dari luar negara. Takkan dia tak dapat tangkap maksud lelaki
itu lagi?
“Tudung?”
“Dengan modal RM50,000 awak boleh minta kilang buat beratus-ratus
jenis tudung. Lepas tu awak bolehlah jual di butik, secara online atau
cari agen-agen dropship...tapi, awak kena cari fesyen yang berbeza
dengan Ariani, Pearl Haya, Fareeda atau Hajaba.”
Datin Mona mengerutkan kedua belah keningnya. “Macam mana abang
tahu serba serbi ni?”
Datuk Talhah tergelak. “Girlfriend abang ada buka butik
tudung.”
“Sejak bila abang ada girlfriend ni?” tempelak Datin Mona
meskipun dia tahu suaminya cuma bergurau. Datuk Talhah memang suka bergurau
bab-bab begitu.
“Kenapa, awak nak jumpa?” acah lelaki itu lagi sambil terus
tersenyum lebar.
Datin Mona menjegilkan matanya sebelum mencapai beg tangan lalu
keluar dari bilik itu.