Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,079
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

JAM 4.00 petang, barulah Adelia selesai memasak untuk tiga seminar yang sedang berlangsung di hotel itu.Commis Chef Rozhan dan Linda membantunya menggoreng karipap dan popia dingin beku.

Menu utama ialah mi kari dan bihun soto. Kedua-dua commis chef itu juga menyediakan bahan-bahan sampingan untuk menu utama. Mereka turut mengisar bahan-bahan asas seperti bawang merah, bawang putih, halia, serai, kunyit dan lengkuas yang banyak digunakan dalam masakan Melayu.

Manakala kek dan pastri serta manisan lainnya disediakan di Pastry Kitchen. Oh, ya. Apa rasa kek dan pai yang Syed Idlan buat agaknya? Adelia bertanya sendiri. Teringin ke aku nak rasa? Atau loya tekak aku bila teringat sindirannya setiap kali kami bertemu?

Sambil mengambil makanan di kafetaria untuk kakitangan hotel, Adelia memandang sekeliling. Sengaja dia memilih untuk makan pada waktu begitu. Sebab utamanya ialah hendak mengelak daripada bertembung dengan Syed Idlan. Macam bagus aje dia mengutuk krim karamel yang pahit itu. Hisy...

Adelia duduk lalu mula makan. Dari jauh dia ternampak Safiah, Executive Housekeeper sedang menuangkan teh tarik ke dalam mugnya.

“Hai, chef... makan seorang aje?” sapa Sapiah.

Gadis itu mengangguk. “Jemput.”

“I dietlah sekarang,” balas Safiah. “Dah terasa buncit perut ni.”

“Teh tarik ni tak elok untuk diet,” usik Adelia.

“Tahu... tapi, dah ketagih nak buat macam mana?”

Adelia tersenyum melihat lagaknya yang agak lucu itu. Dia sendiri tidak pernah terfikir untuk mengawal makanan pun sebab sedari dulu badannya memang tidak pernah naik. Kata orang, mungkin kadar metabolisme tubuh memang tinggi. Apatah lagi, setiap hari bekerja di dapur yang panas berbahang.

“Kena makan buah, makan sayur-sayuran, makan ikan kukus, minum air masak banyak-banyak.” Safiah mengomel seakan-akan mengingatkan dirinya sendiri.

“Yang bagus tu susah nak ikut...” Adelia menambah. “Exercisepun penting...”

“Tapi, berjalan turun naik hotel ni tentu dah lebih dari exercise...

“Tak macam pergi gim dan work-out sampai berpeluh.”

Safiah mengangguk.

Adelia terus menyuap nasi ke mulut. Di kepalanya terlintas beberapa masakan lagi yang perlu disediakan untuk majlis malam nanti. Kalau dia lambat, dia tahu Chef Mohd. Noor akan mula memasak. Mereka satu team.Kalau Malay Kitchen tidak sediakan lauk-pauk seperti yang sepatutnya, semua orang akan kena marah.

“Budak-budak Housekeeping ada topik hangat sekarang,” kata Safiah.

Hmm... nak mula gosiplah tu. Adelia merenung wajah Safiah yang bertahi lalat di tepi bibir sebelah kanan.

“Dah tahu pasal Pastry Chef yang baru tu?” soal Safiah.

Adelia buat muka selamba seraya mengerutkan kening. Dia rasa macam dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh wanita itu. Huh, siapa lagi kalau bukan...?

SelainPastry Kitchen, Malay Kitchen, Western Kitchendan Cold Kitchen di tingkat dua, ada Japanese Kitchen dan Chinese Kitchen di tingkat tiga. Ada beberapa chef lain bertugas di dapur sebelah restoran bagi menyediakan pesanan a la carte.
“Orangnya agak tinggi juga. Dulu dia chef di Pulau Pinang. Alamak, tu dia... tu dia!” Safiah memberi ulasan secara langsung sambil matanya melirik ke arah pintu masuk dan bergerak selari dengan pergerakan lelaki itu. Aduhlah, tak coverlangsung.

“Budak-budak Housekeeping kata dia handsome... memang pun! Orang Penang kan semua hidung mancung? Macam hero filem Hindustan.”

Nasib baik Adelia tak tersedak. “Betul ke dia orang Penang atau orang Johor tapi pernah kerja di Penang?” Adelia cuba mengacah.

Safiah langsung tidak mempedulikannya. Tumpuannya hanya kepada Syed Idlan.

“Macam pilotatau polis... chef pun sama... lelaki kalau pakai uniform memang mengancam!”

Hoi, cik kak! Tarik nafas panjang-panjang. Stay cool.

“Dia pandang kita! Eh, alamak... dia macam nak datang sinilah...” Safiah super excitednampak!

Adelia buat tak reti sebab dia memang malas nak bersemuka dengan Si Konon Bijak itu. Dia terus mencubit isi ikan, menggaul dengan nasi bercampur kuah asam pedas dan makan macam tiada apa-apa sedang berlaku.

“Assalamualaikum, Chef Syed Idlan,” sapa Safiah dalam nada ceria. “I, Safiah. Exec housekeeper. Ni...”

Dari ekor mata Adelia nampak Syed Idlan mengangkat tangan kanannya. Safiah terus terdiam. Huh, menyampah Adelia melihat aksinya yang angkuh semacam itu.

“I kenal Chef Adelia ni. Kami pernah jumpa masa nak ambil uniform. Dia ni pandai buat krim karamel. I pernah rasa masa pergi rumah kawan dia...”

Safiah tersengih. Adelia rasa macam nak sumbat mulut Syed Idlan dengan tulang ayam. Apa hal dia nak ungkit-ungkit kisah pahit krim karamel tu?

“Oh, korang dah kenal lamalah?” Nada suara Safiah macam menyindir.

Sambil berdiri mengangkat pinggan yang kosong, Adelia lekas-lekas menjawab, “Tak adalah. Jumpa gitu-gitu aje. Tak kenal langsung... tak sempat bersembang pun.”

Adelia terus melangkah pergi. Lebih lama di situ bererti lebih banyak peluang yang diberikannya pada Syed Idlan untuk membulinya dengan kata-kata berbaur sindiran.

Sayup-sayup gadis itu terdengar perbualan Safiah tentang Pulau Pinang. Mungkin dia sedang mencari modal untuk dikongsi dengan anak-anak buahnya di Housekeeping.

Adelia menggigit bibir. Isy, apa-apalah aku ni! Tak baik berprasangka buruk, tahu?

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin