SYED IDLAN menarik nafas lega ketika sebuah Proton Preve
keluar dari tempat parkir. Dia terus memarkir Satrianya lantas melangkah ke
arah Old Town White Coffee. Jam 3.00 petang, ruang restoran tidak begitu penuh.
Di sudut kanan, Razip sedang membelek menu.
“Apa yang urgentsampai kau tak boleh cerita kat rumah?”
Syed Idlan bertanya seraya mencapai kertas orderdan pensil.
“Susah sangat nak jumpa kau di rumah.”
Syed Idlan tersengih. “Bila aku dah balik, kau dah tidur. Bila
kau nak pergi kerja, aku belum bangun.”
“Kalau dah kahwin jadi macam ni, entahlah...” keluh Razip tanpa
mengangkat muka daripada menatap menu itu.
Syed Idlan tersengih. Untuk berkahwin impian setiap lelaki dan
perempuan yang masih bujang. Cuma yang paling sukar mencari seseorang yang
boleh hidup susah dan senang bersama.
Itu bukan prioriti utamanya sejak bekerja di Green Cove Hotel.
Dia ada beberapa agenda yang belum tercapai. Umpamanya, pertandingan di antara
kakitangan hotel yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Kini dia dan Commis Chef
Stella sedang sibuk mencuba resipi ciptaannya untuk pertandingan tidak lama
lagi. Semua bahan dibeli sendiri. Mereka hanya menggunakan dapur di Pastry
Kitchen setelah selesai semua tugasan untuk hari itu.
Dengan pengalaman Syed Idlan sendiri, tidak banyak perubahan yang
perlu dilakukan. Syed Idlan yakin Stella sudah faham apa yang patut dibuat pada
hari pertandingan itu kelak. Mereka tidak asing lagi dengan penyediaan manisan.
Jadi, bak kata orang Inggeris, ‘It’s a piece of cake’.
“Kau nak makan apa?” Syed Idlan bertanya setelah menulis
pesanannya. Dia sudah makan tadi. Jadi, dia hanya memesan air limau nipis saja.
“Nasi lemak dengan kopi O.”
Syed Idlan mengangguk lalu terus menulis pesanan itu.
“Ada dua hal aku nak cakap dengan kau,” kata Razip setelah
pelayan berlalu pergi. Cewah, macam serius aje.
Telefon bimbit Syed Idlan berbunyi menandakan ada mesej masuk.
Namun, chef itu langsung tidak mempedulikannya. Dia memberi sepenuh perhatian
kepada teman serumahnya itu.
“Hal pertama, minggu depan ada orang nak sewa bilik kosong tu,”
kata Razip. “Kedua, aku nak ajak kau camping.”
Syed Idlan menjegilkan matanya. “Camping?Mimpi apa kau?”
Razip tergelak pendek. “Bukan mimpi, tapi aku nak tunaikan hasrat
seseorang.”
“Biar betul.”
Razip mengangguk. “Amalan baik menggembirakan hati orang. Dari
dulu aku jenis outdoor...cuma bila dah bekerja ni, macam susah sikit.
Bila weekendaje, nak cuci baju, bersihkan rumah dan rileks.”
“Aku weekendlah masa paling sibuk di hotel,” jelas Syed
Idlan. “Mana pernah ada breaktime tu?”
Pelayan datang untuk menghidangkan minuman mereka.
“Amalan baik... apa tadi?” soal Syed Idlan. “Yang kau nak cakap
tadi tu?”
Kening Razip berkerut. Dia cuba mengingati. “Oh, amalan baik
menggembirakan orang.”
Syed Idlan tersengih seraya memeluk tubuh dan bersandar di
kusyen. “Kau boleh gembirakan aku dengan cara tak ajak aku pergi camping.”
“Bukan jauh pun... kat Bagan Lalang aje.”
“Jauh tu.”
Razip merenung wajah anak muda itu. “Pernah tak aku minta tolong
dari kau sebelum ni?”
Syed Idlan melepaskan keluhan panjang. Razip yang lebih banyak
membantunya tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Misalnya, menawarkan dia duduk
bersama. Sewa pula murah sangat. Razip juga tidak lokek membeli barang dapur.
Di dalam peti pembeku sentiasa ada ayam, daging atau udang. Di dalam peti sejuk
juga tidak putus dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Lain macam aje ni,” tingkah Syed Idlan sambil mencapai gelas
minumannya.
“Aku tak boleh pergi seorang,” sahut Razip. “Dan aku dah cuba
ajak orang lain, semua ada hal. Ali Yeon, Shukor dengan Nasir dah berpakat nak panjat Bukit Broga pagi Ahad.”
Pelayan meletakkan sepinggan nasi lemak di hadapan Razip. Lelaki
itu mencapai garfu dan sudu lalu mula makan. Keharuman sambal ikan bilis dan
rendang ayam menggamit selera Syed Idlan, tetapi perutnya memang masih kenyang
setelah diisi dengan pulut dan rendang daging.
“Bagan Lalang tu luas, bro...”
Mendengar kata-kata Syed Idlan, Razip tergelak kecil. Itu petanda
Syed Idlan hampir bersetuju untuk pergi.
“Nanti aku WhatsApp kordinat tempat tu kat kau,” janji lelaki
itu. “Gerenti tak sesat punya sebab tempat tu kat tepi pantai. Banyak signboards.”
Razip mula makan dengan penuh berselera kerana fikirannya tidak
lagi kacau. Minda Syed Idlan pula yang bercelaru kerana jadual hujung minggu
sangat padat. Memang mustahil kalau dia hendak sediakan semua hidangan dessert
seawal mungkin.
Lainlah kalau pai, strudel, biskut, kek atau macaroons
yang boleh tahan selama beberapa hari. Syed Idlan cuba memikirkan pelbagai
alternatif. Dia perlu merancang supaya dapat bertolak ke Bagan Lalang seawal
mungkin. Soalnya sekarang dia perlu berbincang dengan Chef Stella untuk
menggantikannya.
“Mungkin aku sampai lewat sikit,” kata Syed Idlan.
“Takde masalah... asalkan kau ada
pagi minggu dan bolehlah kita sediakan sarapan bersama-sama.”
“Okey.”
Syed Idlan meneguk minumannya sampai habis. “Eh... kau belum
beritahu lagi hasrat siapa yang kau nak tunaikan tu?”
Lelaki itu mengunyah nasinya perlahan-lahan dengan penuh nikmat.
Nasi lemak panas, rendang berempah dan sambal yang agak-agak pedasnya memang
sedap dimakan tidak kira masa dan tempat. Kalau berkelah di tepi air terjun
atau pantai, lagilah terasa keenakkannya.
“Kau datanglah dulu, baru kau tahu,” jawab Razip dengan selamba
badaknya.
“Okey, insya-Allah...
Sabtu malam, kan?”
Razip mengangguk. “Hah, satu lagi. Lepas aku pacak khemah, aku
akan beritahu kau mana tempatnya. Dibuatnya banyak khemah yang sama, nanti kau
keliru pula.”
Syed Idlan diam berfikir. Dia seakan-akan sudah dapat meneka
‘siapa’ yang dimaksudkan oleh sahabatnya itu. Sudah tentulah Kayla, gadis yang
berjiran dengan mereka. Semenjak majlis kecil-kecilan di rumah Kayla, memang
satu hari tidak sah kalau Razip tidak menyebut nama gadis itu.
Mungkinkah mereka sudah semakin serius? Jika tidak, masakan Razip
beria-ia hendak menunaikan impian Kayla untuk pergi berkhemah. Selalunya orang
akan gigih berusaha demi sesuatu impian.
“Aku kena balik hotel dulu ni,” ujar Syed Idlan sambil berdiri.
“Terima kasih belanja minum.”
Razip mengangguk beberapa kali. “Apa-apa hal, call.”
Syed Idlan segera beredar. Semasa memandu ke hotel, kenangannya
diterjahi dengan wajah Nancy. Satu ketika dulu, dia juga banyak berkorban untuk
gadis itu. Mereka melalui saat-saat indah bersama. Percintaan antara dua insan
adalah sesuatu yang cukup mendebarkan.
Ah, mungkin tiada jodoh di antara mereka. Jikalau mereka telah
tersurat untuk bersama, pastilah perjalanan cinta mereka menemui destinasinya
iaitu sebuah perkahwinan.